Daily Archives: March 18, 2009

Kerajaan campuran: Nik Aziz bidas Hadi

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas tindakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencadangkan pembentukan kerajaan campuran PAS-Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Nik Aziz melihat tindakan Abdul Hadi itu sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan parti itu di Ipoh Ogos lalu yang menolak usaha pembentukan kerajaan campuran dengan BN.

Sambil menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai pandangan peribadi, Nik Aziz menegaskan satu mesyuarat khusus sepatutnya diadakan untuk membincangkan perkara itu.

“Itulah yang saya sebut, kalau nak bahas masalah kerajaan dengan Umno kena ada mesyuarat khusus. Jangan buat keputusan lain, cakap lain, itu saya tak setuju.

“Saya tetap dengan keputusan Muktamar (Tahunan PAS ke-54 yang lalu), barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu PAS tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran.

Katanya, beliau hanya akan akur dengan cadangan Abdul Hadi itu sekiranya semua ahli jawatankuasa PAS Pusat bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dan keputusan itu perlu ditetapkan dalam mesyuarat khas berkenaan.

“Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah,” katanya.

Nik Aziz berkata beliau menentang cadangan Abdul Hadi itu kerana ia bertentangan dengan dasar parti selain dikhuatiri ia tidak akan membawa kebaikan pada PAS.

Cadangan Abdul Hadi itu sebelum ini dipersetujui Dewan Pemuda PAS Pusat yang disifatkan bertepatan dengan masa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut Abdul Hadi memberi penjelasan berhubung cadangannya itu kepada pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. BERNAMA

10 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Politik Wang – UMNO…..

1. Setiap kali pemilihan agung UMNO (PAU), kecoh pasal politik wang , rasuah dan sebagainya terutama bagi mereka yang terlibat secara terus atau tidak langsung dengan pemilihan tersebut.

2. Kenapa perkara ini kerap terjadi dan apa puncanya? Satu post mortem perlu dilakukan. Megapa politik wang menjadi sinonim dengan PAU? Banyak sangatkan duit yang ingin diberi dan banyak sangatkah jumlah yang diperlukan oleh perwakilan??

3. Tergerak di hati penulis utk mencadangkan kepada UMNO atau mana2 parti politik yang akan/sedang bergelumang dengan politik wang ini utk:

a. Membenarkan penggunaan wang semasa berkempen. Tetapi pihak UMNO harus menetapkan jumlah siling penggunaan wang yang dibenarkan.

b. Memastikan setiap calon membuat deklarasi tentang perbelanjaan wang yang digunakan sebagai tempoh berkempen. Contoh perbelanjaan bil handphone, makan dan sbgnya.

c. Membenarkan penggunaan agen bagi calon. Agen2 ini hendaklah berdaftar dengan pihak UMNO dari hari pertama tempoh berkempen.

4. Langkah2 di atas dapat mengurangkan politik wang di dalam UMNO. Ini kerana, kita harus faham dengan senario politik tanahair kita hari ini. Ia amat berbeza dengan senario 30-40 tahun yang lepas.

5. Kita tidak akan jumpa lagi agen yang sanggup mengayuh basikal atau berjalan kaki untuk berjumpa perwakilan lain….kini hampir semua orang naik kereta dan kereta sudah tentu memerlukan petrol.

6. Hari ini juga susah utk kita jumpa orang yang ingin bersembang politik tanpa duduk bersantai di warung2 atau kedai kopi dan ini juga memerlukan perbelanjaan.

7. Penggunaan agen juga diperlukan kerana UMNO mempunyai lebih dari 200 Bahagian seluruh Malaysia. Yang bertanding pula Menteri, Timbalan Menteri….ada masa lebih ke utk jumpa perwakilan.

8. Harap pihak UMNO dapat lah bertindak dan berfikiran secara logikal di dalam menyediakan tata etika ahli seiring dengan keadaan politik semasa.

Wassalam

10 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Profil Datuk Seri Ali Rustam

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang hari ini didapati melanggar tataetika parti oleh Lembaga Disiplin Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, menjadi Ketua Menteri Melaka sejak 2 Disember 1999.

Mohd. Ali, 60, dilahirkan di Kampung Bukit Katil di sini, pernah bertugas sebagai kerani di Lembaga Letrik Negara (LLN) dari 1969 hingga 1979, sebelum kerjayanya meningkat menjadi Pengarah Kemas di Perlis, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Dalam politik, beliau menjadi Ketua Pemuda Umno cawangan Bukit Katil pada 1972 dan memegang pelbagai jawatan sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Batu Berendam pada tahun 1986.

Bahagian itu kini ditukar nama kepada Umno Bahagian Bukit Katil.

Mohd. Ali kemudian menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka pada 1988 sebelum dilantik pengerusi badan perhubungan itu pada 1996.

Pada pemilihan Umno 2004, Mohd. Ali dipilih sebagai Naib Presiden Umno selepas mendapat undi kedua terbanyak (1,329 undi) di belakang Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad, bekas Menteri Wilayah Persekutuan (1,507 undi).

Tempat ketiga ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (1,234).

Pada November lepas, Mohd. Ali menerima 48 pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan bersama-sama dua lagi calon iaitu Muhyiddin, kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Pada 1986, Mohd. Ali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ayer Molek di Melaka dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, seterusnya memenangi kerusi DUN Sungai Udang pada pilihan raya umum 1990.

Pada pilihan raya umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Batu Berendam dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan sehingga Januari 1999, kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Kesihatan sehingga November 1999.

Pada pilihan raya umum 1999, beliau memenangi kerusi DUN Paya Rumput dan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Mohd. Ali juga memegang jawatan tertinggi dalam badan bukan kerajaan termasuk Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Presiden World Youth Foundation (WYF). BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda