Teks Ucapan Penuh YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin Pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO 2009

Menyerah Amanah

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi kelapangan dan keizinan untuk kita menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2009.

Saya dan seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda mengalu-alukan kehadiran saudara para perwakilan sekalian. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua perwakilan yang terpilih selepas mengharungi proses pemilihan parti. Saya berdoa semoga dalam perhimpunan ini, hati dan jiwa nurani kita semua, seluruh warga Pemuda dipertemukan bagi menentukan hala tuju perjuangan kita.

Perhimpunan hari ini adalah perhimpunan yang amat bermakna. Perhimpunan ini berlangsung dalam suasana kepimpinan Melayu, kedudukan institusi bangsa Melayu, kesucian agama Islam dan Institusi Raja-raja Melayu sedang dicabar. Perhimpunan ini juga berlangsung pada masa parti melakukan pemilihan barisan kepimpinan di semua peringkat yang selanjutnya akan mencorakkan hala tuju dan arah haluan parti. Proses pemilihan telah melalui perjalanan yang panjang bermula dari peringkat cawangan dan bahagian, membuktikan bahawa amalan demokrasi masih subur di dalam UMNO. Pada masa yang sama perhimpunan ini juga memberikan ruang kepada kita meneliti dan menghalusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, bagi kita merancang gerak kerja dan menyuntik semangat – bangun dengan dimensi, pendekatan dan tenaga baru untuk terus mengukuhkan UMNO.

Saudara perwakilan sekalian,

Ada pihak yang menganggap bahawa keputusan pilihan raya umum yang lalu sebagai hukuman rakyat ke atas kita. Ada yang menyalahkan dasar, ada yang menyalahkan pendekatan kerajaan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan. Ada yang mengambil sikap menyalahkan rakyat yang tersalah memilih. Ada juga yang mengatakan pengundi mahu mengajar kita tetapi telah terlebih ajar.

Ada yang berpandangan bahawa prestasi buruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu sebagai petunjuk tentang terhakisnya sokongan rakyat terhadap UMNO. Ada pihak yang menganggap tarikh ini sebagai titik permulaan kepada berakhirnya hayat sebuah parti yang selama ini begitu gah, kuat dan hebat. Ada juga yang beranggapan bahawa UMNO yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam akan tinggal dalam lipatan sejarah politik negara. Apa juga yang berlaku, kita wajib melihatnya sebagai satu peringatan Allah s.w.t kepada hambanya untuk mengambil iktibar. Tentu ada hikmah di sebalik peristiwa 8 Mac 2008. Hakikatnya, segala yang berlaku merupakan (dengan izin) wake-up call bagi kita semua.

Saudara perwakilan sekalian,

Ahli-ahli UMNO tidak perlu terlalu cepat bersifat pesimistik, sebaliknya kemelesetan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya ke-12 harus kita jadikan pengajaran untuk melakukan bedah siasat yang disusuli dengan langkah pembaikan. Sebelum ini, UMNO juga pernah mengalami senario sedemikian pada tahun 1969 dan 1999. Dalam pilihan raya umum 1999, sebagai Pemangku Ketua Pemuda, saya sendiri telah melalui pengalaman pahit ini.

Sebelas tahun yang lalu, atas rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan atas rasa kasih kepada UMNO yang telah diasaskan oleh nenda dan ayahanda saya bersama barisan pejuang seangkatan mereka, saya memberanikan diri mengambil kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO. Pada ketika itu sebahagian ahli-ahli parti ibarat berada di persimpangan, menghadapi dugaan untuk memilih; antara kesetiaan kepada parti atau kesetiaan kepada individu. Takdir dan penentuan ILAHI meletakkan tanggungjawab ini ke atas bahu saya untuk memimpin sayap penting kepada parti dalam keadaan diri saya sendiri masih serba kekurangan seperti yang saya ungkapkan melalui serangkap pantun Melayu dalam ucapan dasar yang saya sampaikan pada tahun 1999;

Anak kumbang terayap-rayap
Mari ditangkap anak Turki
Hendak terbang tidak bersayap
Hendak hinggap tidak berkaki

Beberapa pemimpin Pemuda telah membawa ahli-ahli keluar meninggalkan kita. Ada yang berpendapat Pergerakan Pemuda sudah hilang tarikan, gagal menarik minat generasi muda Melayu terutama di kalangan yang terpelajar. Ada yang menggembar gemburkan bahawa Pemuda UMNO berada dalam keadaan retak menanti belah. Ramai yang meramalkan bahawa Pemuda akan jatuh tersungkur. Namun kita tidak tunduk mengalah, sebaliknya, walaupun dalam keadaan yang begitu sukar, kita bertekad dan berikrar untuk tidak menyerah kalah. Dalam ucapan yang sama pada tahun 1999 saya suarakan secara berpantun;

Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkatkan paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang

Ketika itu kita sedar bahawa sokongan politik yang bergantung semata-mata pada usaha-usaha pembangunan fizikal telah berlalu. Rakyat perlu didampingi, diperlihatkan dan diyakinkan bahawa kita sentiasa membela nasib mereka. Lantas kita bingkas bangun mengumpul kekuatan dan menghimpun kebijaksanaan bagi mempelopori dan menggagaskan apa yang kita ungkapkan sebagai Perjuangan Politik Nilai dan Makna.

Perjuangan Politik Nilai dan Makna yang saya gagaskan ketika itu lahir dari kesedaran akan tanggungjawab untuk membela rakyat. Lebih 60 tahun UMNO telah berbakti kepada bangsa Melayu dan rakyat jelata. Malang sekali jasa dan budi UMNO tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana fikiran rakyat telah diracuni dengan fitnah dan hasutan.

Menerusi gagasan Perjuangan Politik Nilai dan Makna, Pemuda telah berjaya mendekati masyarakat di peringkat akar umbi. Pada waktu yang sama perhatian dan minat generasi muda terhadap Pergerakan Pemuda telah berjaya dipulihkan. Kehadiran Pemuda dapat dirasai di mana-mana. Paling penting, Pemuda telah kembali memenuhi peranan menjadi mata, telinga dan juru bicara rakyat.

Selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, melalui pendekatan yang teliti, tertib dan bijaksana akhirnya Pemuda kembali gagah dan perkasa, tegap dan mantap, kukuh dan padu, kekal meneruskan wadah perjuangan bangsa dan umat Melayu.

Alhamdulillah, keikhlasan dan kesungguhan Pemuda memperkukuh parti dan mendekati rakyat telah mendapat perhatian pucuk pimpinan. Seramai 52 orang anggota Pemuda UMNO telah diberi kepercayaan dipilih menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-11. Lebih menggembirakan, daripada 52 orang calon Pemuda, 48 orang telah berjaya memenangi kerusi masing-masing.

Sepanjang tempoh sepuluh tahun ini, ramai pemimpin Pemuda telah diberikan kepercayaan dan amanah untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan, baik di peringkat pusat mahupun negeri. Terbaharu, Y.A.B. Dato’ Dr Zambry Abd Kadir telah menjadi pilihan pimpinan parti untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik Menteri Besar Perak yang ke sebelas.

Dalam pemilihan kepimpinan parti kali ini, Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi telah membuktikan bahawa kita tidak ketandusan pemimpin berbakat. Kita bersyukur kerana Pemuda telah berjaya melahirkan ramai pemimpin pelapis.

Hari ini Y.B. Datuk Mukhriz Mahathir, Y.B. Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Y.B. Khairy Jamaludin, Y.B. Dato’ Razali Ibrahim dan Dato’ Reezal Naina Merican, serta 64 orang lagi telah menawarkan diri untuk mengisi jawatan Ketua, Naib Ketua dan exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Adat bertanding, ada yang terpilih, ada yang tidak. Apa pun keputusan perwakilan hari ini, mereka tetap aset UMNO yang kekal berharga.

Saudara perwakilan sekalian,

Siapa pun yang terpilih, saya berdoa semoga mereka akan terus berjaya menyalakan obor perjuangan untuk melanjutkan tradisi kegemilangan kita. Berasaskan pengalaman yang saya alami, tanggungjawab sebagai seorang Ketua Pemuda penuh dengan dugaan dan cabaran yang berat. Jika sewaktu mengambil alih dahulu cabaran yang saya hadapi sudah begitu berat, saya percaya, Ketua Pemuda yang baru, akan berdepan dengan cabaran yang jauh lebih hebat berbanding apa yang pernah saya alami sebelum ini.

Berbanding dahulu, senario politik, ekonomi, sosial dan keselamatan dunia hari ini jauh lebih mencabar. Dunia sedang berdepan dengan kemelut ekonomi yang paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua. Ekonomi Dunia pada tahun 2009 diramalkan menguncup, dengan jumlah perdagangan yang paling rendah dalam sejarah dunia. Jutaan yang kehilangan kerja dan ramai lagi dijangka menganggur. Politik antarabangsa juga tidak memberikan keyakinan akan berlakunya keadilan dan keamanan sejagat. Sikap kuasa besar yang nyata berat sebelah dalam menangani krisis politik di Asia Barat terutama dalam isu Palestin, Afghanistan, Iraq dan Iran telah menjadi punca utama kepada ketidakstabilan politik dunia. Kezaliman demi kezaliman terus berlaku. Serangan Israel ke atas Gaza adalah contoh tindakan tanpa perikemanusiaan yang memperlihatkan berlakunya kezaliman dan kekejaman di peringkat tertinggi. Dunia berterusan menghadapi ancaman terorisme yang menambahkan keadaan tidak stabil serta menjejaskan urus tadbir dan pembangunan ekonomi banyak negara.

Pada waktu yang sama, kerajaan kita tidak sepi daripada terus menghadapi tohmahan, gangguan dan serangan anasir politik dalam negara. Negara kini mula dilanda dengan politik jalanan tanpa tamadun. Parlimen sebagai dewan yang mulia juga telah dicemarkan. Akhir-akhir ini kita menyaksikan usaha-usaha terancang dan berterusan oleh pembangkang untuk meruntuhkan tiang-tiang seri negara yang berperanan sebagai pendukung utama kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Rakyat juga dihasut dengan kebencian terhadap anggota pasukan keselamatan. Pasukan Polis dijadikan sasaran serangan. Nama baik Pasukan Polis dicalar dan dicemarkan. Kesetiaan anggota Polis terhadap Raja dan Negara, pengorbanan mereka, bertugas siang dan malam, dibakar panas matahari, dibasahi hujan untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara, melindungi harta benda dan mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka sudah tidak dihargai lagi. Sudah ada pihak yang begitu angkuh, sombong dan bongkak secara berterusan mencabar dan memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Mereka begitu angkuh, sombong dan bongkak mempersoalkan kontrak sosial dan mempertikai hak kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera. Kontrak sosial telah sengaja disalah tafsir dan dijadikan tajuk untuk menyemarakkan api perkauman. Mereka sengaja tidak mahu membicarakan kontrak sosial dari perspektif sejarah yang tepat; bahawa ia telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum. Mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa selain menjamin hak dan kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera, salah satu komponen yang penting dalam kontrak sosial adalah jaminan akan hak dan perlindungan bukan Melayu di dalam sebuah negara merdeka.

Ibarat cacing naik ke mata, sudah ada pihak yang begitu angkuh mencabar dan memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang negara. Malah mereka begitu biadab menghina Institusi Raja-raja Melayu sehingga ke peringkat berani mencabar status agama Islam. Tanpa mengira tempat, tanpa menghiraukan akibat, mereka menabur fitnah, melempar tuduhan tidak berasas dan menghina sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.

Kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini, janganlah mengambil kesempatan menonjol keberanian, bermulut celupar berselindung di sebalik kekebalan Dewan Rakyat yang mulia untuk melontarkan tuduhan liar tidak berasas. Kebebasan bersuara jangan sama sekali disalah gunakan, lebih-lebih lagi untuk menyalakan api perkauman hingga negara mahu dimusnahkan.

Ingatlah, hakikatnya, BARISAN NASIONAL masih kekal diberi mandat oleh rakyat; masih kekal menguasai majoriti di Parlimen selepas Pilihan Raya ke-12. Kita kekal berjaya menubuhkan kerajaan. Keputusan pilihan raya berasaskan prinsip demokrasi masih berpihak kepada kita. Namun ada Petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia. Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan ILAHI menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong. Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul.

Ingatlah saudara, Si Petualang ini, oleh kerana gilakan kuasa, sanggup berbuat apa sahaja. Si Petualang sanggup menyemai benih kebencian; sanggup bersekongkol dengan musuh, tergamak menidakkan hak bangsa sendiri, menghina tanah airnya sendiri di pelbagai forum di serata dunia, bersedia mempersenda Institusi Raja dan sesiapa sahaja untuk memuaskan nafsu rakusnya. Biar apa pun yang hendak beliau lakukan, setiap kata dan setiap perbuatan beliau akan terpahat dalam sejarah bangsa – sejarah negara, sebagai manusia berbagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi, penuh kepura-puraan, melakukan pembohongan – melakukan manipulasi; lain di depan, lain di belakang. Wahai Petualang bangsa, pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat janganlah sama sekali melupakan pelanduk.

Siakap senohong gelama ikan duri
Cakap bohong lama-lama jual negeri

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini. Pemuda berikrar untuk mempertahankan setiap tiang seri yang telah menjadi asas menegakkan kedaulatan negara bangsa selama ini. Pemuda akan mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menegakkan kedaulatan undang-undang, memastikan hak dan kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera, kesucian agama Islam serta Institusi Raja-raja Melayu. Kita tidak akan membiarkan sama sekali, tiang-tiang seri di dalam negara ini dicabut dari bumi negara tercinta.

Sama-samalah kita mengambil peringatan dari apa yang pernah dititah oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah semasa Majlis Penyampaian Hadiah di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 21 Jun 2008, “bisikkan kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia. Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkan mereka akan sejarah bangsanya bernegara, berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja.”

Saudara perwakilan sekalian,

UMNO adalah parti keramat, ditubuhkan atas ketentuan, bukan kebetulan; ketentuan dari segi matlamat dan ketentuan dari segi kepimpinan. Ingatlah bahawa UMNO ditubuhkan untuk agama, bangsa dan negara. UMNO adalah payung tempat bangsa dapat bernaung.

Bagi meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO ini, barisan kepemimpinan Pergerakan Pemuda yang baru perlu terus berusaha menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti. Kepemimpinan Pemuda yang baru perlu memahami mereka; memahami aspirasi, cita-cita dan kebimbangan mereka. Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mematangkan Pemuda UMNO, menyediakan generasi pelapis yang boleh berjuang dan setia berkhidmat untuk parti. Usaha ini hanya akan sempurna jika generasi pelapis yang gigih ini diasuh, dididik dan dilatih dengan nilai murni dan hasrat suci perjuangan UMNO.

Saudara-saudara akan membuat pilihan barisan pemimpin Pemuda UMNO yang akan diamanahkan untuk menentukan masa depan dan haluan pergerakan, parti dan bangsa. Kita semua telah melalui proses pemilihan parti yang agak panjang. Ia membolehkan saudara mengenali dengan lebih dekat setiap calon; menilai hati budi, bakat, kebolehan, kemampuan dan kesungguhan mereka. Faktor-faktor keikhlasan, kejujuran dan integriti amat penting dijadikan asas penilaian. Berfikirlah dengan berpandangan jauh demi masa hadapan bangsa dan negara. Survival bangsa, survival negara, survival parti dan survival perjuangan akan ditentukan dan dipengaruhi oleh setiap satu undi yang ada di tangan kita. Sedar dan insaflah kejayaan parti dalam pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sedikit sebanyak akan dipengaruhi dari keputusan pemilihan pimpinan UMNO dalam persidangan ini.

Insaflah bahawa kita semua tergolong dalam kalangan yang bertuah kerana terpilih menjadi perwakilan di saat UMNO begitu memerlukan kita. Kita sampai ke dewan ini membawa amanah dan harapan ahli-ahli dari peringkat cawangan. Kebijaksanaan saudara semua amat diperlukan oleh rakyat jelata bagi memilih pemimpin yang menepati harapan mereka; pemimpin yang mampu memperkukuhkan parti, dan yang berupaya secara berkesan berperanan sebagai mata, telinga serta suara hati rakyat. Kita sering dipesan jangan sampai;

“Menjadi pemimpin bagai bayang-bayang
tidak jelas dilihat orang
walaupun ada tidak dapat dipegang
bekerja selalu main belakang
bila dicari ia menghilang
akalnya licin fikiran panjang
salah-salah menjatuhkan orang

dijadikan pemimpin banyaklah malang
dijadikan tua ia di belakang
dijadikan induk tak nampak dipandang
dijadikan tiang tak dapat dipancang
dijadikan tudung tak dapat dibentang
salah-salah masuk pelubang
negeri rosak umat terbuntang”

Ingatlah, rakyat sedang memerhatikan kita. Belajarlah dari sejarah kerana kata bijak pandai, “mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan berkali-kali.” Kembalilah pada matlamat perjuangan kita, Bersatu Bersetia Berkhidmat. Marilah kita perkukuhkan parti kita. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Carik-carik bulu ayam sepatutnya bercantum juga. Janganlah sekali-kali membenarkan kelemahan kita menjadi sumber kekuatan musuh.

Atas kesedaran ini, saya berusaha untuk memastikan perpaduan dan kekuatan Pergerakan Pemuda tetap kental biarpun terdapat pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda. Saya bersyukur kerana ketiga-tiga calon Ketua Pemuda telah berjanji serta berikrar kepada saya dan kepada parti, bahawa biar apa pun keputusannya, mereka tidak akan sekali-kali membenarkan Pemuda berpecah belah, sebaliknya bersepakat untuk memastikan barisan Pemuda terus utuh, kukuh bersatu – kekal berpadu. Mereka juga akan bersama-sama turun membantu calon-calon Barisan Nasional menghadapi tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 7 April nanti.

Sesungguhnya Pemuda mesti terus menjadi tiang kekuatan parti. Pemuda alaf ke-21 perlu tuntas menghadapi cabaran yang semakin berat dan dunia yang tidak menentu dekad ini. Pemuda mesti memiliki pengetahuan untuk menyerap persekitaran dan perkembangan ilmu. Idealisme, gagasan dan pendekatan juga perlu diberi nafas baru. Kita mesti jujur, ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab dengan tekad dan niat yang satu, Menjunjung agama, Memartabat bangsa. Kebijaksanaan berpolitik adalah satu tuntutan utama pemimpin muda alaf baru yang tidak boleh dipandang ringan. Saya berdoa semoga kita terus diberi petunjuk dan hidayah, kekuatan dan kebijaksanaan oleh Allah S.W.T ketika menunaikan amanah ini.

Saudara perwakilan sekalian,

Saya berterima kasih atas sokongan saudara-saudara selama 11 tahun saya memegang amanah memimpin Pemuda. Pada pagi yang penuh berkat ini saya memohon maaf kepada semua yang berada di dalam dewan ini dan setiap pejuang UMNO di seluruh negara atas apa juga kekurangan dan kelemahan yang berlaku sepanjang tempoh saya menerajui kepimpinan Pemuda. Saya telah berusaha melaksanakan segala yang terdaya dan yang terbaik sebagai Ketua Pemuda. Saya insaf, sebagai insan, saya tidak sempurna. Namun kita wajib bersyukur bahawa dalam tempoh sebelas tahun yang lalu, Pergerakan Pemuda UMNO telah sama-sama dapat kita gerakkan sebagai sayap yang sangat penting kepada UMNO dan terus berperanan sebagai tapak semaian membolehkan tumbuhnya tunas-tunas muda untuk dijadikan barisan pelapis meneruskan perjuangan parti.

Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan sokongan oleh rakan seperjuangan dalam Jawatankuasa Pemuda. Saya tidak mungkin berupaya melaksanakan gerak kerja memperkukuhkan Pergerakan Pemuda secara bersendirian. Berkat usaha keras, komitmen, kesungguhan dan iltizam secara kolektif di semua peringkat, peranan Pergerakan Pemuda dapat dirasai bukan sahaja oleh masyarakat di dalam negara tetapi juga di luar negara dan kita kekal diberikan penghormatan dan pengiktirafan oleh sayap-sayap Pemuda dalam parti komponen Barisan Nasional.

Kesemua saudara telah membantu saya dalam pelbagai cara. Sepanjang tempoh saya menjadi Ketua Pemuda, wajar saya rekodkan penghargaan secara khusus kepada rakan-rakan yang telah diberi tanggungjawab menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO terdiri dari Datuk Zulkifly Alwi (yang turut memainkan peranan sebagai sekretariat dalam program Aman Malaysia); Datuk Ab Raof Yusoh (turut berperanan dalam program Ehsan Afghanistan); dan Datuk Rahman Dahlan (yang memainkan peranan secara berkesan melebarkan peranan Pemuda di negeri Sabah). Tanpa usaha mereka semua dan seluruh ahli Pemuda, tidak mungkin Pergerakan Pemuda mendapat pengiktirafan dari pemimpin tertinggi parti dan majoriti rakyat jelata.

Pada waktu kita berhimpun di Dewan ini, ingatan saya tidak dapat melupakan rakan-rakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO semasa era kepimpinan saya yang telah meninggalkan kita kerana menyahut panggilan Ilahi. Mat Mazlan Abu (Ketua Pemuda Pasir Gudang, Johor; 2004-2008), Haji Ezani Abdullah (Ketua Pemuda Peringat, Kelantan; 1996-2000) dan Dato’ Abd. Kadir Daud (Ketua Pemuda Selandar, Melaka 1996-2000) telah pun kembali ke Rahmatullah. Menghargai dan mengenang jasa bakti dan pengorbanan mereka, begitu juga kepada para pejuang parti yang telah sampai hukum menyahut panggilan Ilahi, sama-samalah kita membacakan suratul Al-Fatihah, dengan doa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin. Al-Fatihah.

Saudara perwakilan sekelian

Saya amat menghargai kepercayaan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya di dalam kerajaan pimpinannya dengan melantik saya sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Mudah-mudahan segala hajat dan harapan beliau telah dapat saya penuhi. Pergerakan Pemuda juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa bakti dan khidmat beliau kepada parti dan negara. Pemuda UMNO akan menjadikan contoh teladan akan sifat kenegaraan beliau yang tinggi, bersedia memberikan laluan menyerahkan kepimpinan parti kepada barisan pelapis.

Seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO, sebulat suara berikrar untuk memberi sokongan padu dan kerjasama erat kepada Timbalan Presiden Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal menerajui kepemimpinan parti. Pemuda sedar Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib mengambil alih kepemimpinan parti dan kepemimpinan negara dalam suasana dan persekitaran politik dan ekonomi yang sungguh mencabar. Untuk itu sewajarnya kita meningkatkan azam, bersama dengan sayap Wanita dan Puteri memastikan UMNO terus kukuh bersatu – bekerja dan bekerja, berusaha dan berusaha meneruskan kegemilangan parti.

Saudara perwakilan sekalian,

Bagi diri saya, perhimpunan ini mempunyai ertinya tersendiri. Tanpa saya sedari, sudah 18 tahun saya menghadiri Persidangan Agung, bermula dengan mewakili Ledang dan Tenggara sebagai perwakilan, dipilih menganggotai barisan Exco, sebelum menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk mengemudi Pergerakan ini selama sebelas tahun. Jangka masa 18 tahun ini menghampiri satu pertiga usia pergerakan kita. Selepas pengalaman suka duka, pahit manis dan pelbagai cabaran jatuh bangun di dalam pergerakan ini, saya mengambil keputusan melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda.

Sepanjang 11 tahun menerajui kepemimpinan, saya tidak pernah mengkhianati orang Melayu. Saya tidak mengamalkan sifat gunting di dalam lipatan. Saya cekal meneruskan amanat dan warisan perjuangan yang telah saya warisi dari nenda saya dan ayahanda saya. Saya sedar banyak sistem pesanan ringkas (SMS) dan surat layang yang disebarkan menyerang peribadi saya. Saya menyerahkan kepada penilaian ILAHI yang Maha Mengetahui. Bahawa dalam diri cucunda Dato’ Onn ini, mengalir darah perjuangan Melayu yang sejati, berpaksikan kepada keluhuran nilai dan idealisme murni. Saya sama sekali tidak akan menderhakai wadah perjuangan yang saya warisi daripada nenda dan ayahanda saya. Saya sama sekali tidak akan mengkhianati perjuangan Melayu.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Dengan restu saudara sekalian, berbekal pengalaman, keyakinan dan semangat juang, saya telah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia dalam perhimpunan kali ini. Sekiranya saya diberikan sokongan padu oleh para perwakilan terutamanya dari para Pemuda, sekiranya hajat saya dimakbulkan ILAHI, adalah menjadi hasrat saya untuk membantu meningkatkan peranan Pergerakan Pemuda secara lebih ketara dan efektif.

Saya disemai, bertunas, tumbuh dan dewasa dalam tapak semaian Pergerakan Pemuda. Saya adalah hasil dan produk dari Pergerakan Pemuda. Saya mendapat pengalaman dan kematangan politik melalui Pergerakan Pemuda. Saya diuji dengan tanggungjawab dan menghadapi cabaran politik melalui Pergerakan Pemuda. Begitu banyak jasa Pergerakan Pemuda terhadap saya yang akan saya jadikan kenangan penuh nostalgia. Budi dan jasa Pergerakan Pemuda akan dikenang selagi hayat di kandung badan. Saya telah mendapat sokongan Pemuda sejak 11 tahun yang lalu dan pada hari ini saya memohon sokongan padu yang berterusan dari Pemuda. Semoga dengan sokongan padu saudara-saudara, saya dapat mengambil tanggungjawab pada peringkat yang lebih tinggi di dalam parti.

Perhimpunan kita hari ini akan menjadi saksi kepada peristiwa besar dalam Pergerakan Pemuda kerana proses Menyerah Amanah akan berlangsung. Pemimpin mungkin bersilih ganti dan peranan kepimpinan mungkin berbeza tetapi tanggungjawab kekal dan perlu dipenuhi secara amanah oleh setiap pemimpin dan kepemimpinan. Pemimpin datang dan pergi di semua peringkat sementara tanggungjawab tetap menanti untuk dilaksanakan secara beramanah.

Dalam majlis ini saya Menyerah Amanah kepada Ketua Pemuda yang baru untuk menjaga amanah bangsa yang saya pikul selama 11 tahun dengan pesanan, jagalah Pergerakan yang kita sayangi ini dengan baik, dengan sempurna dan dengan tertib. Dalam majlis ini juga, pendirian para perwakilan untuk Menyerah Amanah kepada saya bagi meneruskan peranan kepimpinan mewakili Pemuda di peringkat yang lebih tinggi akan saya laksanakan dengan sebaik mungkin, dengan sempurna dan dengan tertib. Marilah kita berdoa ke Hadrat Allah S.W.T agar terus diberikan taufik dan hidayah, kebijaksanaan dan petunjuk untuk kita tunaikan Amanah ini demi menjunjung agama, memartabat bangsa.

Atas rasa penuh kesyukuran, maka, dengan rasa khusyuk dan tawaduk, saya dengan lafaz ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, dengan ini melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta bersumpah dan berikrar dengan berbekal pengalaman dan semangat saudara semua untuk terus menjulang obor perjuangan Pemuda di peringkat tertinggi.

BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT

Hidup UMNO!

Hidup Melayu!
Daulat Tuanku!
Allahuakbar!
Selamat Bersidang.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 responses to “Teks Ucapan Penuh YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin Pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO 2009

  1. zackdanial

    NI bukit UMNO=Babi
    Tahun 1993 UMNO gubal undang2 keluarkan kekebalan Raja2 dan Sultan , hari ni nak Daulat Tuanku pulak . Mmg bodoh .

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s