Daily Archives: March 27, 2009

Khairy akan buktikan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, peralihan kuasa bapa mertuanya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah peluang terbaik untuk membuktikan kredibilitinya yang selama ini ditohmahkan amat bergantung kepada pengaruh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Malah, saya telah diuji dalam pemilihan semalam. Saya telah dinilai atas diri dan kredibiliti sendiri,’’ ujarnya.

Ahli Parlimen Rembau dan bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda itu mengakui beliau akan melalui saat-ssat sukar dan getir untuk memulihkan imej yang telah dicalari pelbagai pihak tetapi bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada para perwakilan yang memberi peluang kepadanya menjadi ketua dalam era Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada Agendadaily ketika melawat pejabat sementara portal Internet ini di PWTC, Khairy turut mengakui tugas besar yang dihadapi untuk merapatkan saf Pemuda untuk pastikan semua kumpulan akan dibawa sekali dalam satu pasukan yang kukuh.

“Kita akan cantumkan kesemuanya kerana kita harus berani membawa perubahan.’’katanya.

Menjawab pertanyaan kemungkinan beliau menghadapi masalah kerana hanya mendapat 304 undi dan kehilangan 486 undi, beliau memberikan reaksi berikut:

“ Tak ada masalah. Mereka sokong Dr. Khir dan Mukriz, tetapi mereka bukan penentang saya. Cuma… oleh kerana ada pilihan, mereka cenderung kepada calon-calon lain.. Mereka ini bukanlah musuh saya.

Walaupun kedua-dua calon itu akan meninggalkan Pemuda (kerana faktor usia), saya dah jumpa para perwakilan yang menyokong mereka. Para perwakilan sendiri menyatakan mereka akan tutup buku lama dan membuka buku baru.”

Menurutnya, beliau akan bekerja keras untuk menyatukan sokongan Pemuda kerana banyak tuntutan yang menunggu pada masa depan termasuk tiga pilihanraya kecil pada 7 April ini.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khairy perlu yakinkan perwakilan yang tak undinya

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin perlu menyakinkan semula sebahagian besar perwakilan yang tidak mengundinya supaya mereka dapat bersama-sama beliau menggerakkan barisan Pemuda parti itu.

Menurut Datuk Mukhriz Mahathir, dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda itu yang babitkan tiga penjuru, memang tiada majoriti malah keputusan semalam melihat jumlah tidak mengundi Khairy lebih ramai.

Dalam pengundian itu, Khairy hanya memperolehi 304 undi berbanding jumlah perwakilan seramai 791 orang.

Mukhriz pula memperolehi 232 undi manakala seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendapat 254 undi.

Menurut Mukhriz, ukuran penerimaan peringkat Pemuda terhadap kepimpinan Khairy bukan sahaja dalam pilihanraya kecil akan datang tetapi keberkesanan pimpinan Ketua Pemuda itu kepada akar umbi.

“Kalau program dan aktivitinya betul-betul menyakinkan orang muda supaya bersama dengan kita dan sokongan itu dizahirkan dalam bentuk undi dalam pilihanraya seterusnya, bermakna beliau berjaya,” kata beliau ketika meninjau bilik media Agendadaily di PWTC, Khamis.

Katanya, kita kini kesuntukan masa dan hanya tinggal dua setengah tahun lagi sebelum pilihanraya umum akan datang.

“Dalam waktu ini kita nak pastikan jangan kita peningkan Datuk Seri Najib (Tun Razak) sebaliknya kita kena bantu dia,” ujar beliau.

Ditanya persepsi banyak pihak bahawa Khairy merupakan liabiliti kepada UMNO dan mungkin terus menjadi beban kepada parti, Mukhriz berkata “Kita tunggu dan lihat apa respons semua pihak,”.

Mukhirz berkata, beliau dan Dr Mohamad Khir mungkin tidak dapat bersama dengan Pemuda UMNO secara langsung kerana soal teknikal disebabkan faktor usia.

Bagaimanapun, beliau akan berbakti sebaik mungkin demi kepentingan parti.

Mengenai tindakan penyokongnya yang agak emosi selepas keputusan pemilihan itu, Mukhirz percaya apabila perkara itu sudah sejuk, mereka akan kembali kepangkuan parti dan meneruskan perjuangan bangsa.

“Penyokong saya datang dari semua negeri, apabila keputusan itu diumum, mereka mungkin kecewa..itu saja,” katanya.

nota: betul kata YB Mukhriz, pada pemilihan pemuda tempohari hari sesiapa yang memang kena yakinkan semula semua perwakilan..jika YB Mukhriz dan YB khir Toyo menang sekalipun sudah tentu harus berdepan dengan situasi yang sama.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda