Daily Archives: April 28, 2009

Cadangan kerajaan perpaduan: Nik Aziz setuju dengan syarat

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: ‘‘Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

‘‘Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.’’

Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam – ketika mereka berdua sedang berbual.

Bagaimanapun, Nik Abduh ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu memberitahu, beliau akan hanya menjelaskan semuanya dalam blog tersebut pada masa akan datang.

Dalam blognya itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan menyifatkan, pembantu-pembantu ayahnya memberikan gambaran salah tentang situasi yang berlaku demi meraih keuntungan politik sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam Pas.

“Justeru, fahami ini bahawa Unity Government yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang ‘berpakaian’ serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara ayahanda saya dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mereka menyangka, mereka telah melakukan kebaikan, sedangkan telah sesat segala usaha mereka di sisi Tuhan. Semoga Allah membalas mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!” katanya.

Katanya lagi, ia terbukti apabila bapanya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu muzakarah dan kerajaan perpaduan selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan 10 ulama Pas.

Menurutnya, sesetengah pembantu bapanya berasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempatkan diri mereka.

‘‘Bagaimana mereka akan memperolehnya, sedang mereka hanya belajar agama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah-istilah agama yang dihafal, bukan difaqihi?

“Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.

“Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana ‘keruh’ dan ‘panas’ dengan Abdul Hadi.

‘‘Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha para pembantu terbabit untuk mendapatkan restu bagi calon mereka untuk menghadapi pemilihan parti Jun nanti.

“Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar Pas nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

“Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli-ahli Pas di dalam kebebasan memilih,” katanya.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS perlu buka pintu SPRM pantau pemilihan parti itu Jun ini

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) Malaysia berpandangan bahawa PAS perlu membuka ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malatsia (SPRM) memantau pemilihan pucuk pimpinan parti itu dalam Muktamar PAS, Jun depan.

Pengerusi GERAK, Mohd Nazree Mohd Yunos berkata, langkah itu akan memberikan kredit kepada PAS bagi membuktikan parti itu benar-benar tidak terjangkit dengan penyakit rasuah walaupun setelah memenangi pilihanraya umum lalu.

“Kita berpandangan bahawa PAS boleh membuka ruang kepada SPRM menjalankan pemantauan bagi mengesahkan lagi bahawa Muktamar PAS pada kali ini adalah benar-benar bebas daripada rasuah,” katanya.

Dalam kenyataanya kepada Agendadaily, beliau berkata, GERAK menyokong SPRM jika agensi berkenaan mahu memantau perjalanan pemilihan Muktamar PAS itu supaya bebas daripada rasuah.

Gerakan itu menolak pandangan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Dr. Che Rosli Che Mat yang membuat kenyataan menolak pembabitan SPRM untuk memantau pemilihan pucuk pimpinan parti itu, Jun depan.

“Sepatutnya pemimpin itu mencontohi sikap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pernah membenarkan SPRM menyiasat dakwaan korupsi terhadap menantunya. Akhirnya terbukti tidak berlaku sebarang kesalahan rasuah atau salahguna kuasa,” tegasnya.

Menurut Mohd Nazree, peranan ahli-ahli PAS yang terbabit pemilihan pemimpin parti amat penting dalam memastikan tidak ada unsur-unsur lobi-melobi dan penggunaan politik wang.

Katanya, ini perlu selepas pembangkang yang turut dianggotai PAS telah mempunyai kuasa mentadbir yang boleh menjerumuskan pemimpin ke lembah rasuah jika tidak berhati-hati dengan perkara ini.

Menurutnya. SPRM harus diberikan kepercayaan oleh rakyat terutamanya generasi muda. PAS dengan pemantauan tersebut bagi menyakini pemilihan parti itu benar-benar bebas daripada rasuah politik.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS pada Jun ini dijangka sengit dengan kerusi Presiden, Timbalan dan Naib dijangka menyaksikan pertarungan membabitkan dua kumpulan yang disebut-sebut sebagai kumpulan Erdogan yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim dan golongan PAS asal atau ulama.SPRM sebelum ini turut bekerjasama dengan UMNO ketika pemilihan pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini dan jika PAS memilih menolak cadangan ini, ianya pasti menimbulkan tanda tanya kenapa mereka takut berbuat demikian atau apakah PAS kini bukan lagi parti yang bersih

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda