Daily Archives: May 6, 2009

Sehari menjelang Sidang DUN Perak…macam-macam gila ada

Sehari lagi menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, macam-macam cerita timbul. Bagi yang kaki himpun orang seperti Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dah mula ajak orang sembahyang subuh dengan niat untuk berdemonstrasi di Ipoh.

Bagi yang bakal hilang jawatan seperti Speaker DUN Perak, V. Sivakumar, pelbagai usaha dibuat untuk menggagalkan sidang berkenaan termasuk merayu kepada Sultan Perak untuk menangguhkan sidang berkenaan kepada tarikh lain.

Namun dalam banyak-banyak ‘hu ha’ yang berlaku itu, paling menarik ialah ‘kenyataan paling gila’ dalam sejarah politik dan perundangan negara oleh orang yang telah hilang jawatan ‘paling kanan’ dalam kerajaan negeri lalu iaitu bos DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Ini berikutan, kenyataan terbaru Ngeh menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari Khamis apabila dengan terbuka mempertahankan keputusan Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN kerana telah digantung.

Namun hakikatnya, Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu telah membuat keputusan bahawa keputusan Sivakumar menggantung Dr Zambry dan enam anggota Exconya sebagai tidak sah dan terbatal.

Malah menunjukkan sikap mencabar keputusan mahkamah, Ngeh dalam kenyataanya yang dikeluarkan hari Selasa menyifatkan Mahkamah Persekutuan telah tersalah membuat keputusan tersebut kerana keputusan yang dibuat oleh Sivakumar telah disahkan oleh sidang ‘bawah pokok’ pada 3 Mac 2009.

Ngeh tidak pula menyatakan bahawa sidang bawah pokok tersebut tidak mendapat perkenan Sultan Perak yang mengikut Undang-Undang tubuh Negeri Perak, sidang DUN Perak mestilah mendapat perkenan Tuanku.

Membuktikan perkara ini ialah apabila Sivakumar sendiri hari Isnin (semalam) memohon kepada Sultan Perak yang telah memberi perkenan supaya menangguhkan Sidang DUN Perak yang akan diadakan Khamis ini.

Ini membuktikan daripada segi prosedur, memang perkenan Sultan Perak diperlukan untuk mengadakan Sidang DUN dan Sivakumar telah memohon kepada Sultan sebagai yang berkuasa untuk menangguhkan sidang yang dijadualkan kepada suatu tarikh lain yang lebih sesuai.

Sedangkan semasa bersidang bawah pokok ala kerajaan ‘pasir dua butir’ kalangan pakatan pembangkang bertegas menyatakan perkenan Tunku tidak diperlukan sebaliknya ia kuasa mutlak Speaker.

Lebih pelik lagi apabila Ngeh dalam kenyataannya berkata, barisan peguam pakatan pembangkang mentafsir keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penggantungan Dr Zambry dan enam exconya sebagai tidak sah tidak memberikan kebenaran Dr Zambry menghadiri Sidang DUN.

Berdasarkan kenyataannya itu, siapa lebih berkuasa dalam mentafsir undang-undang, Mahkamah Persekutuan sebagai badan kehakiman tertinggi negara atau Ngeh yang telah hilang jawatan Exco Kanan dan ‘master mind’ dan kini amat terdesak untuk terus memainkan peranan tersebut dalam kancah politik Perak.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS marah lagak Anwar dalam Pakatan

PAS marah dan kecewa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berunding dengan pemimpin parti itu dan DAP sebelum PKR mengumumkan kekosongan DUN Penanti, kata seorang pemimpin PAS Pulau Pinang.

PAS juga mendakwa mereka kesal dengan tindakan ketua pembangkang itu yang berlagak seperti “orang besar” dalam Pakatan Rakyat yang “tidak menghormati” pemimpin parti-parti lain.

“Beliau selalunya bercakap tentang (pentingnya) Pakatan Rakyat, (tetapi) contoh terbaru, isu Fairus letak jawatan (diputuskan) tanpa berbincang dengan DAP dan PAS pusat,” kata pemimpin itu yang enggan dikenali.

“Tak berbincang. Dia buat macam orang besar dalam Pakatan. Tak hormat (rakan Pakatan yang lain).”

Menurut sumber itu, tindakan sebelah pihak Anwar itu boleh menggugat kesatuan gabungan pembangkang di Pulau Pinang kerana memaksa PAS dan DAP “mengikut caranya.”

“Pakatan Rakyat tidak boleh pergi (bertahan) lama kalau bergantung ikut cara dia, ikut kehendak dia,” katanya.

Tindakan penasihat PKR yang tidak berbincang tentang peletakan Mohamad Fairus tanpa memikirkan kesan kepada Pakatan khususnya menyebabkan akar umbi kecewa dengan situasi tersebut.

“Pengundi dan ahli akar umbi PAS dan PKR kecewa,” katanya.

Tambah sumber, beliau dimaklumkan kemungkinan penyokong PAS dan PKR di Penanti tidak akan keluar mengundi sekiranya PKR meletakkan calonnya Mansor Othman dalam pilihanraya kecil itu, 31 Mei ini.

Berdasarkan maklum balas akar umbi parti itu, pemimpin tersebut berasa bimbang dengan situasi itu, kemungkinan calon Pakatan Rakyat kalah.

Beliau juga mendengar rungutan daripada perayu-perayu undi di kalangan Dewan Muslimat yang menghadapi masalah untuk meyakinkan pengundi setelah menguar-uarkan Mohamad Fairus – calon muka baru – boleh berkhidmat untuk mereka dalam pilihanraya umum tahun lalu.

“(Muslimat memberitahunya:) Apa lagi yang kami nak cakap, (dulu) kata Fairus boleh buat kerja, tiba-tiba letak jawatan sebab tidak berprestasi, jadi macam nak yakinkan pengundi (sekali lagi)?” katanya.

Kemarahan mereka itu diterjemahkan antaranya dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang minta isu pengunduran Mohammad Fairus Khairuddin ditanyakan sendiri kepada Anwar, kata sumber lagi.

Selain kelambatan Anwar mengumumkan pengganti jawatan timbalan satu ketua menteri yang ditinggalkan Mohammad Fairus, pemimpin DAP itu juga tidak senang apabila tidak dimaklumkan tentang langkah mengosongkan jawatan tersebut.

Susulan itu, dalam mesyuarat agung kawasannya, PAS Permatang Pauh sebulat suara meminta pucuk pimpinannya meletakkan calon dalam pilihanraya kecil itu.

Ketua Pemuda PAS negeri waktu itu Mohamed Hafiz Nordin kemudian turut membuat desakan yang sama. Desakan itu disusuli dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Mujahid Yusof Rawa.

Muktamar Dewan Pemuda Pulau Pinang, Ahad lalu, turut memutuskan sebulat suara daripada kira-kira 100 perwakilan agar PAS meletakkan calon dalam pilihanraya kecil tersebut.

“Perhubungan (PAS) negeri pun berpandangan yang sama,” kata sumber.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda