Monthly Archives: June 2009

Islam utamakan muzakarah berbanding debat – Harussani

Islam lebih mengutamakan proses muzakarah atau perbincangan berbanding mujadalah atau berdebat dalam soal perpaduan Ummah, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata Islam juga tidak menolak perdebatan untuk berhujah dan berdepan dengan individu atau kumpulan bukan Islam, khususnya dalam soal berkaitan akidah sepertimana ketika Nabi Musa berhadapan dengan Firaun.

“Dalam Islam lebih baik muzakarah (dalam soal perpaduan Ummah). Lebih baik duduk semeja dan berunding daripada berdebat,” kata mufti itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cabaran Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka.

Nik Abdul Aziz mencabar Najib berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Sebelum ini, cadangan muzakarah mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditolak pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz yang menentang keras idea kerajaan perpaduan dilaporkan berkata debat itu boleh dianggap cara nabi, pada zaman Nabi Musa berdepan dengan Firaun.

“Debat itu wajar kalau hendak hujah dengan bukan Islam contohnya tentang akidah tapi ini untuk mencari jalan kepada perpaduan (sesama Islam)… Jadi lebih baik utamakan muzakarah,” kata Harussani.

“Kalau hendak bincang soal polisi bolehlah berdebat tapi ini untuk mencari jalan dalam soal perpaduan,” kata Harussani.

Ramai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Najib supaya tidak melayan cabaran berdebat dari Nik Aziz itu yang disifatkan sebagai membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.

Bagi pensyarah media dan komunikasi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kedua-dua proses muzakarah dan perdebatan adalah penting untuk mencari titik pertemuan dalam sebarang perkara.

“Ianya ibarat dua keretapi berhenti di stesen yang sama,” kata Abu Hassan.

Katanya, ia perlu dilihat sebagai proses bersekutu dan bukannya berseteru.

“Tamadun juga dibina atas dua proses ini (perbincangan dan perdebatan). Malah di Parlimen juga berasaskan kepada dua proses ini yang saling melengkapi,” kata Abu Hassan.

Namun pensyarah media itu berkata proses itu hanya akan berjaya, jika kedua-dua pihak benar-benar ikhlas untuk mencari titik pertemuan dalam soal perpaduan itu.

Soalnya sejauhmana pihak terbabit terutama PAS melihat kepada kepentingan perpaduan Melayu ini, katanya. BERNAMA

Advertisement

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nilai-nilai 1Malaysia

Nilai 1: Budaya Kecemerlangan

Nilai 2: Ketabahan

Nilai 3: Rendah Hati

Nilai 4: Penerimaan

Nilai 5: Kesetiaan

Nilai 6: Pendidikan

Nilai 7: Integriti

Nilai 8: Meritrokasi

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pakatan tolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN

Pakatan Rakyat yang mengadakan mesyuarat sejam Majlis Pimpinan tengah hari tadi, menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN.

Idea itu dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hujung tahun lalu dan muncul semula ketika muktamar tahunan parti itu awal bulan ini.

Membacakan kenyataan selepas mesyuarat itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata:

“Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar menambah, pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh timbalan-timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung parti komponen Pakatan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menjadi tumpuan isu idea kerajaan perpaduan khususnya di kalangan ahli PAS tidak hadir dalam mesyuarat hari ini.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok tidak kelihatan di Parlimen hari ini.

11 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kuan Yew dan DAP — Awang Selamat

Lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew selama lapan hari ke Malaysia baru-baru ini menarik perhatian ramai dan pada masa yang sama mengundang banyak persoalan.

Memandangkan kunjungan pengasas dan Perdana Menteri pertama Singapura itu melibatkan pertemuan dengan pemimpin negara, sultan dan ketua kerajaan negeri maka ia secara tidak langsung mendapat liputan meluas media.

Tetapi acara mana dalam lawatan itu yang paling mendapat perhatian besar media republik tersebut? Seperti yang Awang duga ia sudah tentu lawatan Kuan Yew ke Pulau Pinang dan pertemuan dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

“Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang majoriti penduduknya bukan Melayu. Sejak pilihan raya umum lalu, negeri itu telah diperintah oleh pakatan pembangkang, dengan DAP berasaskan kaum Cina menerajui (pemerintahan).”

Ungkapan tersebut dipetik daripada perenggan kedua laporan utama akhbar The Straits Times Singapura berhubung lawatan Kuan Yew ke negeri pulau mutiara itu.

Petikan itu sudah cukup untuk menjelaskan mengapa kunjungan Kuan Yew ke negeri pimpinan DAP itu begitu signifikan dan mempunyai maksud tersirat.

Walaupun Kuan Yew turut mengunjungi Kelantan, Perak dan Pahang, kehadirannya di Pulau Pinang yang turut menyaksikan mesyuarat bersama exco negeri, adalah tanda sokongan moral yang istimewa. Kuan Yew adalah pengasas People‘s Action Party (PAP), parti yang sehingga kini masih memerintah Singapura. PAP dan DAP mempunyai hubungan sejarah yang bermula ketika Singapura berada dalam Malaysia. Ia ditubuhkan bagi menggantikan PAP pimpinan Kuan Yew ketika itu, yang disingkir keluar dari Malaysia pada tahun 1965 kerana mahu menguasai politik tanah air dan menentang hak-hak orang Melayu. Konsep Malaysian Malaysia ciptaan Kuan Yew kini terus dihidupkan oleh DAP.

Bagi DAP kejayaan menawan Pulau Pinang pastinya tidak mahu dipersia-siakan dengan melakukan apa sahaja termasuk mendapatkan bantuan luar bagi terus berkuasa. — Mingguan Malaysia

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS dakwa tak tahu rancangan Nizar

Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa berkata Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada parti itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, telah berjaya dalam hasratnya untuk menarik perhatian dunia daripada tindakannya di Dewan Rakyat kelmarin.

“Beliau nak tarik perhatian dunia dan beliau sudah mendapat perhatian dunia,” katanya merujuk kepada tindakan Mohammad Nizar memakai lilitan bertulis “Bubar DUN” pada songkoknya selain melaungkan “Hidup Rakyat, Bubar DUN” sebaik mengangkat sumpah memegang jawatan kelmarin.

Akibat perbuatan melanggar peraturan itu, beliau digantung daripada menghadiri persidangan selama dua hari oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Nasharuddin berkata beliau tidak mengetahui sepenuhnya tindakan yang ingin dilakukan oleh Mohammad Nizar kerana beliau hanya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memakai lilitan lengan, dan oleh itu terkejut apabila Anggota Parlimen berkenaan bertindak lebih daripada itu.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan tindakan itu, Nasharuddin berkata oleh kerana kejadian itu telah berlaku, maka beliau menerima seadanya.

Beliau menolak kemungkinan bahawa Mohammad Nizar akan dikenakan tindakan disiplin oleh Pas berhubung kejadian itu.

Mengenai laporan portal berita Agenda Daily bahawa berikutan kejadian itu, beliau kini menjauhkan diri daripada Mohammad Nizar, Nasharuddin berkata beliau tidak pernah berkata demikian.

“Apa yang saya katakan ialah apa yang berlaku semalam merupakan respon Nizar untuk menunjukkan kepada dunia apa yang sedang berlaku di Perak, walaupun secara peribadi, saya tidak diberitahu perkara yang akan beliau lakukan semalam,” katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata kekecohan yang berlaku semalam merupakan manifestasi masalah yang wujud di Perak.

“Apa yang dilakukan oleh Nizar semalam adalah perkara spontan. Ia menggambarkan betapa seriusnya situasi di Perak di mana ia boleh diselesaikan sebaik sahaja DUN Perak dibubarkan,” katanya. BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 Aspek utama di dalam menjayakan 1Malaysia

Teras-teras perpaduan:

*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.

*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

*Keadilan Sosial.

Nilai-nilai aspirasi merangkumi:

*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.

*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.

*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.

*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

NOTIS PERSIDANGAN TAHUNAN UMNO CAWANGAN JALAN ENGGANG 2009

Tarikh: 1 Jun 2009

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Tuan,

Per: NOTIS PERSIDANGAN TAHUNAN
1. UMNO CAWANGAN JALAN ENGGANG 2009
2. PERGERAKAN PEMUDA CAWANGAN JALAN ENGGANG 2009

Merujuk kepada perkara di atas, sukacita dimaklumkan bahawa persidangan di atas akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 20 Jun 2009 (Hari Sabtu)
Jam: 8.15 Malam
Tempat: Dewan Orang Ramai
Jalan Enggang
(Sebelah Bazar Pusat Bandar Taman Keramat)

2. Diharap Tuan/Puan dapat menghadirkan diri pada persidangan ini demi perjuangan dan kepentingan anak bangsa.

Sekian, Terima Kasih

“BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT”

Syaiful Arief Syah Mohamed Said
Setiausaha UMNO Cawangan Jalan Enggang
Bahagian Ampang

S.K –
YBhg Setiausaha UMNO Bahagian Ampang
YBhg Dato’ Ketua UMNO Bahagian Ampang

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Zaid Ibrahim masuk PKR

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno akhir tahun lalu telah memutuskan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di sini hari ini.

“Satu berita yang menggembirakan berkuat kuasa hari ini… satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita… perkembangan sangat positif untuk PKR,” kata Anwar.

Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa sebaik sahaja penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.

Anwar menambah, beliau akan memaklumkan penerimaan Zaid pada mesyuarat Pakatan Isnin.

Difahamkan Zaid juga akan diberikan peranan untuk memperkukuhkan Pakatan.

Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah ISA sebelum itu.

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada Umno pada 2 Disember kerana membuat tindakan yang bertentangan dengan etika parti.

Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dan percaya “dengan perjuangan parti berbilang kaum.”

“Saya percaya kalau beri peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan kepimpinan lain yang berminat dan berhasrat kukuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.

nota: tak dapat cari makan dalam UMNO…merajuk…terus masuk PKR

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PBT Selangor Belanja RM 8 Juta Untuk PKR, DAP dan Pas

Majlis Bandaraya Shah Alam, Petaling Jaya, Klang, Ampang Jaya dan Selayang terpaksa menampung kos hampir RM 1 juta ringgit setahun sejak tahun lalu berikutan keputusan Kerajaan Negeri memberi elaun pejabat, gaji kakitangan dan kos utiliti untuk setiap Ahli majlis MBSA selain elaun bulanan sedia ada.

Menurut kiraan kasar Selangordaily, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja terpaksa memperuntukan sebanyak RM 82, 884.50 sebulan untuk menampung kos overhead dan Elaun untuk 25 ahli Majlisnya.Sebelum ini PBT hanya membayar elaun bulanan sebanyak RM 500 sebulan kepada ahli majlisnya.

MBSA memperuntukkan 2, 415.38 untuk pejabat setiap ahli majlis dan RM 500 elaun mereka serta minimum RM 150 sebulan (elaun setiap kali mesyuarat). Manakala MBPJ, MP Klang, MPAJ dan MP Selayang memperuntukkan RM 2, 500.00 untuk pejabat setiap ahli majlisnya sebulan.Hampir 95% ahli Majlis merupakan orang kuat DAP, PKR dan Pas di kawasan tersebut.

Lebih mengejutkan sebahagian besar turut menjadikan pejabat Ahli Majlis sebagai pejabat politik mereka.Ini bermakna Majlis-Majlis Perbandaran ini membayar kos sewa pejabat untuk kegiatan politik mereka.Kos pengurusan ahli Majlis meningkat namun pengurusan masalah rakyat tidak banyak berubah.Orang ramai tertanya-tanya apa perlunya ahli Majlis mempunyai pejabat sendiri sedangkan mereka ini bukanlah pekerja sepenuh masa Majlis.

Ahli Majlis sepatutnya dilantik di kalangan mereka yang telah memberi sumbangan besar kepada komuniti dan yang mempunyai pencapaian tertentu dalam kerjaya.Tujuan ahli Majlis ialah untuk membantu Majlis Perbandaran bukannya bekerja untuk majlis perbandaran.Ditambah lagi sekarang ini, banyak aduan dan pandangan dikemukakan terus secara dalam talian (online), kita tertanya-tanya apa relevannya pemberian peruntukan sewa pejabat ini?Ini tidak lain bertujuan untuk menampung kos-kos pejabat urusan kerja parti PKR, Pas dan DAP di Selangor.

Dianggarkan PBT di seluruh Selangor membelanjakan hampir RM 8 juta setahun untuk pengurusan Ahli Majlis. Semua ini digunakan untuk melancarakan jentera parti mereka.Ahli majlis sepatutnya menyumbang kepada kemajuan PBT, malangnya mereka hari ini menyedut lagi kewangan PBT.

sumber http://www.selangordaily.com/

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Titah Sultan Perak mengenai keistimewaan Melayu disokong

Tindakan mana-mana pihak yang mempertikaikan kuasa Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah perbuatan melampau yang tidak sepatutnya timbul selepas sekian lama negara mencapai kemerdekaan dan dinaungi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri, kata Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar.

Beliau berkata kedua-dua perlembagaan berkenaan mempunyai peruntukan yang jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

“Mana boleh mana-mana pihak mempertikaikan kepentingan Melayu dan Bumiputera kerana perkara itu telah termaktub dalam perlembagaan, malah ia merupakan perkara asas dalam perlembagaan kita,” katanya ketika diminta mengulas titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam bahawa sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Hamdi berkata perlembagaan telah dibentuk hasil rundingan semua kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan dan diputuskan secara bersama sebagai menghormati hak Melayu dan bumiputera.

Beliau berkata pihak yang terus mempertikaikan kuasa itu sebenarnya ada agenda lain dan bukan dengan niat melaksanakan gagasan 1Malaysia tetapi lebih mirip kepada konsep “Malaysian Malaysia”.

Pertubuhan bukan kerajaan, Gagasan Melayu Perak (GMP), pula menggesa masyarakat di negara ini menerima kenyataan Sultan Perak itu dan menyedari bahawa mereka tidak boleh mempersendakan Raja-raja Melayu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail berkata rakyat pelbagai kaum perlu faham bahawa kemerdekaan negara dicapai selepas Raja-raja Melayu bersetuju mengorbankan kuasa autonomi mereka untuk bebas daripada penjajah British.

“Kita bangga kerana Tuanku berani bersuara dan menerangkan kepada rakyat agar mengerti dan faham tentang kuasa Raja-raja Melayu di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui awal-awal dahulu,” katanya.

Mohd Hilmi berpendapat titah Sultan Perak itu tepat pada masanya kerana sudah ada kedengaran suara yang mempertikaikan kuasa raja malah ada yang mahu Malaysia menjadi sebuah republik.

Turut menyokong titah Sultan Perak ialah Dewan Pemuda Pas Perak dan Pemuda Umno Perak.

Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Perak, Salman Saleh, berkata dewan itu menyokong saranan yang dititahkan itu kerana ia selaras dengan asas Raja Berperlembagaan yang diamalkan.

Beliau berkata Pemuda Pas akan memberikan komitmen jitu dalam usaha memahamkan seluruh rakyat mengenai asas-asas yang telah dibawa sejak merdeka lagi.

“Akibat rakuskan kuasa, sesetengah pihak sanggup menolak dan menafikan keutuhan sistem Raja Berperlembagan ini sebagai prinsip,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Perak, Maslin Shah Razman berkata negara ini ditubuhkan atas dasar kesefahaman antara kaum dengan berpegang kepada Perlembagaan yang menjadi teras penubuhan dan pembinaan negara bagi memenuhi dan melindungi hak semua kaum.

“Sebarang tindakan mempertikai kuasa Agung dan Raja Melayu merupakan tindakan yang melanggar peruntukan asas dalam perlembagaan. Seharusnya semua individu termasuk ahli politik perlu menghormati perlembagaan berkenaan dan jangan disebabkan kepentingan tertentu maka asas yang kita samasama persetujui semasa kemerdekaan negara dicapai diketepikan,” katanya. BERNAMA

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda