Daily Archives: July 3, 2009

DAP jangan ugut kerajaan Kedah – Zulkifli Noordin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin memberi amaran kepada DAP agar mengubah pendekatan kerana tindak-tanduk parti itu akhir-akhir ini sudah mula dilihat seperti mahukan hanya suara parti itu sahaja didengari.

Beliau menegaskan, sebagai sebuah kerajaan pakatan, DAP harus belajar berkompromi walaupun dalam isu yang sensitif seperti mana yang dilakukan Pas dan PKR kerana jika tidak, muafakat yang sekarang ini tidak akan mampu bertahan lama.

Justeru, katanya, DAP tidak boleh lagi mengambil pendekatan sehala kerana ini membelakangkan semangat muafakat pakatan pembangkang sekali gus menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa DAP kini mengongkong pakatan.

”Seperti dalam isu penutupan pusat penyembelihan babi di Alor Setar semalam, tindakan DAP mengugut kerajaan negeri Kedah seolah hanya mahukan suara dia saja didengar.

”Sedangkan ini tidak boleh, kita adalah pakatan, kita mesti ada kompromi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, dalam hal ini, tidak ada sebab untuk kerajaan negeri melayan ugutan DAP Kedah kerana isunya adalah jelas.

Katanya lagi, pusat penyembelihan itu telah beroperasi secara haram selama 30 tahun dan kerajaan negeri telah pun memberi peluang untuk pengusahanya berpindah ke tapak baru yang disediakan sebelum ia dirobohkan.

”Kita dah bagi peluang setahun, bukan tak ada peluang dan kerajaan bagi alternatif kepada pusat itu, tapi mereka yang enggan berpindah. Terakhir dalam taklimat, mereka minta tempoh lanjutan sebulan untuk pindah. Ini mereka sendiri yang minta, tapi tak pindah juga.

”Masyarakat sekeliling terutama orang Melayu makin marah, sebab dah capai persetujuan, tapi masih degil tak mahu pindah. Jadi kerajaan negeri Kedah ambil tindakan bijak dalam hal ini untuk jaga sensitiviti semua orang,” jelasnya.

Selain itu, Zulkifli juga mempertikaikan pendirian DAP yang tidak konsisten dalam membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan parti itu tidak bersuara langsung apabila ia digunakan ke atas pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat.

Tegas beliau, sebaliknya, DAP hanya dilihat beria-ia membantah ISA apabila undang-undang berkenaan digunakan untuk menahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

”Bila Mas Selamat ditahan, tak ada seorang pun bersuara. Jadi dia (DAP) mewakili kepentingan siapa? Kalau benar-benar tak setuju dengan ISA maknanya semualah, tak kiralah Uthayakumar ke, Teresa Kok atau Mas Selamat.

”Pas dan PKR, kita sama, bila Teresa kena pun kita tuntut beliau dibebaskan, Mas Selamat pun sama. Dan saya sendiri dalam kenyataan tuntut Mas Selamat dibebaskan dan dibicarakan di mahkamah. Ini baru kita konsisten. Ini tak ada, senyap. Kita tahu persepsi rakyat yang ‘engkau’ ini mewakili siapa,” tegasnya.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda