Daily Archives: August 24, 2009

ADUN Lunas keluar PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Ketika membuat perisytiharan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, beliau berkata, keputusan keluar parti itu dibuat berikutan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai yang diumumkan Pemangku Ketua Bahagian itu, Jamaludin Abu Hassan yang turut mengisytiharkan keluar parti.

Beliau berkata, walaupun keluar PKR, beliau akan terus kekal berkhidmat menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebagai ADUN Bebas di samping terus memberi sokongan kepada Kerajaan Pusat dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Padang Serai, saya patuh pada pembubaran cabang yang telah diumumkan bubar oleh Pemangku Ketua Cabang (Jamaludin). Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana saya sendiri tidak bersetuju cara pimpinan negeri dan pusat mengendalikan parti.

“Sebagai wakil rakyat, saya bersimpati dengan keputusan itu (pembubaran) kerana mereka (ahli PKR Cabang Padang Serai) adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kemenangan saya dalam pilihan raya lepas,” katanya.:

Menurutnya, beliau melihat PKR kini semakin ketara mengamalkan ‘politik kabilah’ apabila ahli-ahli kehilangan hak bersuara dan tindakan diambil terhadap mereka yang cuba bertindak sebaliknya malah dianggap pengkhianat.

“Dalam PKR, kita hanya boleh mendengar orang lain buat keputusan untuk diri kita dan jika kita membuat sebarang kenyataan, tunggulah tindakan apabila kita dianggap pengkhianat. Inikah yang dikatakan demokrasi yang diperjuangkan oleh parti itu?” katanya.

Beliau yang juga Exco Pelancongan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia Kedah berkata, akan terus kekal dengan jawatan itu kerana soal pelantikan Exco negeri adalah kuasa Sultan Kedah.

“Saya akan menganggap diri masih Exco dan tidak menghantar surat peletakan jawatan kerana saya dilantik oleh Sultan Kedah. Terserah kepada Tuanku Sultan sama ada masih mahu mengekalkan saya atau tidak. Saya akan terima keputusan baginda dengan hati terbuka,” katanya.

Mengenai desas-desus kononnya beliau ‘dibeli’ parti tertentu hingga membuat keputusan itu, Mohd Radzhi berkata: “Kalau saya ‘dibeli’, sudah tentu saya bersama dengan pihak yang ‘membeli’, tidaklah saya isytihar diri sebagai ADUN Bebas.”

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu, Mohd Radzhi mengalahkan calon BN, S Ananthan dengan majoriti 10,323 undi.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Permatang Pasir: “Ketua Menteri Pakatan Rakyat” Janji Jawatan….Langkah Desperado!!

Pakatan Rakyat akan mencadangkan supaya Mohd Salleh Man dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi menggantikan penyandang sekarang sekiranya calon PAS itu menang dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawatan itu masih dipegang oleh setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahabudin Yahaya dan tempoh perkhidmatannya akan tamat dua bulan lagi.

“Saya meminta pandangan (Ketua Menteri) YB Lim Guan Eng, untuk menyampaikan hasrat kita, termasuk PKR dan PAS itu. Kita doakan Ustaz Mohd Salleh Man menang.

“Dan sekiranya ini berlaku, kita akan kemukakan nama beliau untuk dipertimbangkan melalui ketua menteri, seterusnya kepada Tuan Yang Terutama ()(Yang Dipertua Negeri) dan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya melantik Ustaz Mohd Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri,” katanya.

Anwar memberitahu demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan tazkirah sempena majlis berbuka puasa di Surau Said Jalan Kampung Paya, Bukit Mertajam.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata selepas kerajaan Pakatan pimpinan Lim menerajui negeri tersebut, jawatan tersebut, masih dipegang oleh Shahabudin.

“Selalunya mengikut kes biasa, perubahan itu berlaku awal, tetapi kita terimalah keadaan sekarang. Kita tunggu sampai tempohnya habis dalam dua bulan lagi, sebelum peralihan kuasa ini berlaku,” katanya.

Mohd Salleh Man yang juga pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, merupakan seorang guru agama yang berkelulusan Syariah dari Universiti Malaya.

Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir Selasa ini, Mohd Salleh berdepan calon BN, Rohaizat Othman yang merupakan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Menurut Anwar, Mohd Salleh dilihat mampu memantapkan institusi masjid, kegiatan agama Islam di masjid dan pengajian agama Islam di Pulau Pinang, memandangkan kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan peruntukan kewangan yang lebih untuk tujuan tersebut, berbanding kerajaan BN sebelum ini.

Dalam sidang media itu juga, Anwar berkata kerajaan Pulau Pinang tidak mengumumkan cuti pada hari pengundian Selasa ini, tetapi akan mengambil langkah untuk memastikan pengundi pulang mengundi.

“Saya merayu agar pegawai kerajaan diberi waktu untuk mengundi dan pejabat ketua menteri, akan menguruskan supaya pengundi daripada kilang-kilang, berkerja mengikut syif dan diberi masa yang cukup untuk datang ke Permatang Pasir untuk mengundi,” katanya. – mkini

nota:

1. mengapa kali ini barulah ADUN PAS akan diberi jawatan…itu pun bukan jawatan exco..

2. Mengapa pengumuman ini dibuat oleh Anwar….adakah beliau KM Penang?

3. Sesudah tiada isu nasional utk dimainkan..mengapa serangan peribadi calon BN dilakukan…mana perginya nilai moral ..??

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Saya bersimpati Rohaizat terus dihentam, seorang baik

Bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat Othman, Yusri Isahak hari ini berkata, beliau bersimpati dengan rakannya itu – calon Barisan Nasional – yang kini teruk ‘dihentam’ pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir berikutan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu pembatalan lesen peguam sivil dan penggunaan wang koperasi.

Pada sidang media kedua sejak 20 Ogos lalu, Yusri menjelaskan, beliau membuat kenyataan tempoh hari semata-mata untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan perkara sebenar.

Namun sejak itu, pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap Rohaizat yang dilihat menyimpang daripada tujuan asalnya.

“Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang terjadi harus dijadikan teladan, bukan hukuman. Secara tidak langsung, saya merasa dibabitkan sama dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

“Tetapi apabila Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

“Saya tidak boleh berdiam diri melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati,” katanya.

Khamis lalu, Yusri, 39, mendakwa beliau dijadikan “kambing hitam” berhubung isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat dan menyatakan urusan firma guaman mereka itu dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.

Yusri berkata, media kedua hari ini diadakan kerana tidak mahu melihat Rohaizat terus dihentam parti pembangkang.

Isu Rohaizat mendominasi kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang sedang berlangsung.

Kempen bermula Isnin lalu manakala pengundian adalah pada Isnin ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan yang mengatakan Rohaizat terlibat dalam penyelewengan melibatkan transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh Yusri bagi pihak Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, beliau tetap mempertahankan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Bagaimanapun tegasnya, Rohaizat telah pun membetulkan kesilapan itu dan koperasi juga telah menarik kembali tuntutan mereka.

“Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut menafikan beliau dibayar oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan berhubung Rohaizat sama ada kenyataan Khamis lalu atau hari ini.

nota: terlajak perahu boleh diundur…terlajak kata…buruk padahnya…

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda