Daily Archives: September 29, 2009

Isa Samad sah calon BN DUN Bagan Pinang

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi. Pilihan raya itu akan diadakan pada 11 Okt manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

PAS dijangka mengumumkan calonnya malam ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teng, Santiago ‘serang’ Hasan

Pesuruhjaya PAS dan ahli Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sengaja menumpukan kepada isu remeh-temeh di negeri itu sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pentadbirannya, dakwa Speaker Selangor, Teng Chang Khim.

Malah Teng dalam serangan paling pedas ke atas Exco dari PAS itu berkata, Dr Hasan cuba untuk menggambarkan Khalid sebagai seorang yang tidak cekap, tidak tegas dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut Teng, apa yang dilakukan oleh Dr Hasan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan yang beliau mahu menyusahkan Khalid dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Dan ini dilakukan oleh Dr Hasan secara terancang dan sistematik, kata Teng lagi.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya membantah pelantikan Low Siew Moi sebagai pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), diikuti dengan tindakan mengeluarkan kenyataan meminta Khalid menjelaskan berhubung dakwaan pembelian lembu bagi kawasan parlimennya menggunakan wang kerajaan negeri dan penggunaan kenderaan peribadinya sebagai kereta rasmi Menteri Besar.

Teng berkata, Dr Hasan kemudiannya menimbulkan kekecohan berhubung penjualan arak di Selangor dan yang terbaru, ‘serangannya’ terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago juga berpendapat, tindakan Dr Hasan bertujuan melemahkan Khalid dan pentadbirannya.

Menurut Santiago, sebagai Exco, Dr Hasan tidak akur dengan tanggungjawab bersama yang diamalkan di negeri itu.

Katanya, Dr Hasan cuba sedaya upaya untuk menggambarkan dirinya sebagai jaguh dan suara kepada kaum Melayu di negeri itu.

Dengan pergolakan yang sedang berlaku ini kata Santiago, Dr Hasan berharap beliau dapat menuntut jawatan Menteri Besar daripada Khalid.

Sementara itu, Teng berkata, serangan terbaru Dr Hasan terhadap Selcat juga turut disertai penipuan-penipuan besar.

“Beliau menuduh saya berkata yang Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin tidak efektif dan tidak layak memegang jawatan itu.

“Saya tidak pernah berkata perkara seperti itu,” kata Teng.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya berkata, hakim-hakim yang telah bersara sepatutnya dilantik sebagai ahli Selcat namun kemudian menafikan perkara itu.

“Beliau juga berkata, Selcat mesti dianggotai oleh orang-orang yang dihormati dan boleh dipercayai. Adakah beliau bermaksud yang panel pada masa ini tidak cukup dihormati dan dipercayai?,” kata Teng.

Menurutnya lagi, selepas mengkritik Selcat, Dr Hasan tidak pernah sekalipun menghubungi beliau untuk membincangkan isu itu.

“Beliau ada nombor (telefon) saya tapi masih belum menghubungi saya walaupun sekali sejak dua minggu lalu,” katanya.

Teng berkata, ini merupakan sesuatu yang ironik memandangkan Dr Hasan merupakan orang pertama yang menghubungi beliau bagi membincangkan mengenai penubuhan kerajaan campuran selepas pilihan raya umum tahun lalu.

“Beliau boleh menghubungi saya pada ketika itu tetapi tidak pada masa ini,” kata Teng.

Malah katanya, Dr Hasan tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk menyokong apa sahaja isu yang cuba dicetuskannya.

Beliau meminta supaya siasatan Selcat dijalankan secara tertutup bagi melindungi integriti pegawai-pegawai yang akan disoal siasat, namun integriti perlu diuji dan bukan dilindungi, kata Teng.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda