Pembangkang bersandiwara isu cabar Naib Presiden letak jawatan

Pembangkang dilihat terus bersandiwara apabila cabaran yang dibuat oleh Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R.Sivarasa supaya meletak jawatan semalam, diselesaikan dalam tempoh singkat.

Ini setelah Zulkifli, yang ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam, menyatakan pendiriannya bahawa isu cabaran yang dibuatnya tidak lagi wujud selepas pertemuan Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua pemimpin itu bagi meredakan keadaan.

“Saya dah jumpa Datuk Seri Anwar dan dia pun, saya difahamkan, dah berjumpa dengan Sivarasa. Oklah dah selesai. Anwar dah bagi penjelasan bahawa ada sedikit salah faham di pihak Siva. Siva akur dan akui ada kesilapan. Soal minta maaf tak timbul, sekarang ada soal salah faham, dah selesailah pada kita. Saya dan Siva dah salam-salam. Jadi tak ada masalah.

“Bagi saya ia lebih kepada perjanjian (cabaran tersebut). Saya bukan nak jawatan itu (Naib Presiden). Kalau saya menang pun saya akan bagi balik kepada Sivarasa. Saya tak fikir saya berkebolehan berbanding Siva.

“Saya cuma berminat untuk selesaikan masalah ini dan saya percaya pada masa saya keluarkan kenyataan mencabar, ia adalah satu perjanjian,” katanya.

Ditanya sama ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Sivarasa itu ekoran terdapat ketidaksefahaman antara mereka, Zulkifli berkata:” Kena tanya dialah tapi dia akui yang dia salah tafsiran.”

Menurutnya meskipun “pertelingkahan” antara beliau dan Sivarasa selesai, namun itu tidak menghalangnya untuk terus vokal dalam menyuarakan isu terutamanya berkaitan Islam.

Kelmarin, Zulkifli dilaporkan berkata bahawa cabaran yang dibuat itu bagi membolehkan kedua-dua pemimpin itu membuktikan bahawa mereka masih relevan kepada parti atau sebaliknya.

Sebelum ini, Sivarasa dipetik sebagai berkata bahawa “amaran Ketua Umum PKR (Anwar) kepada anggota PKR supaya keluar daripada PKR dan menyertai Umno ditujukan kepada anggota seperti Zulkifli Noordin, di mana tindak tanduknya tidak selaras dengan dasar parti”.

Sementara itu, Sivarasa yang juga Anggota Parlimen Subang yang ditemui di Parlimen berkata beliau akur dengan arahan Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen supaya meleraikan persengketaan antara mereka.

“Isu cabaran letak jawatan itu tak timbul lagi. Yang penting Anwar dah selesaikan pertikaian kita dan mengarahkan supaya kita ikut polisi parti dan jangan berselisih faham di ruang umum. Arahan ini kita akur dan ikut,” katanya yang kemudian berpelukan dengan Zulkifli yang berada di situ.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula mendakwa bahawa isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cepat ekoran faktor kekuatan parti.

“Awak mesti bagi hak dan peluang untuk Zulkifli pertahankan dirinya. Itu sahaja dan dia dah jelaskan dan teguran itu juga adalah untuk parti, tidak difokuskan kepada mana-mana individu dan bagi saya itu satu peringatan yang penting kepada pimpinan parti di semua peringkat.

“Saya tak nampak Anwar membuat kenyataan yang ditujukan kepada ahli Parlimen. Berilah peluang kepada Zulkifli untuk mempertahankan pendiriannya dan Anwar dah jumpa kedua-dua pemimpin dan benda itu selesai. Soal dalam parti, saya serahkan kepada ahli untuk memutuskan dalam pemilihan parti yang akan datang, bukan media yang buat keputusan. Biarlah perwakilan yang buat keputusan,” katanya yang juga Anggota Parlimen Gombak.

Beliau bagaimanapun menyalahkan media yang didakwanya memperbesarkan isu tersebut.

Anggota Parlimen Padang Serai daripada PKR, N.Gobalakrishnan pula berkata, Anwar dalam ucapan amarannya kepada anggota parti di sebuah konvensyen PKR di Pulau Pinang, Ahad lepas mendakwa ucapan itu tidak menyebut nama mana-mana individu sebaliknya secara menyeluruh.

“Sivarasa tak perlu letak jawatan kerana beliau dilantik. Saya rasa, Sivarasa pun tak perlu ungkit nama Zulkifli sebabnya Ketua Umum (Anwar) menyebutnya secara umum dan tidak sebut nama-nama. Kalau ada kesilapan, perlulah memohon maaf,” katanya. BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

One response to “Pembangkang bersandiwara isu cabar Naib Presiden letak jawatan

  1. Halim Tuah

    mendedahkan bahawa ANWAR IBRAHIM PERNAH BERSUMPAH bagi tujuan MENAFIKAN TUDUHAN LIWAT ke atas beliau. Sila ikuti penyaksian sumpah Anwar Ibrahim tersebut di:-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s