Monthly Archives: February 2010

KENYATAAN BERSAMA PEMUDA BARISAN NASIONAL DAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Kami, barisan kepimpinan sayap pemuda bagi parti-parti politik di Malaysia, mengambil ketetapan untuk bersepakat dan bersatu hati bagi mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang terbabit dengan insiden serangan dan pencemaran ke atas rumah-rumah ibadat.

Ini termasuklah kejadian terbaru yang melibatkan dua buah masjid iaitu Masjid Jumhuriyah di Taman Dato’ Harun serta Masjid Al-Imam Tirmizi di Taman Sri Sentosa yang dicemari dengan kepala babi.

Sebarang serangan atau vandalisme terhadap mana-mana rumah ibadat tidak boleh sama sekali dipertahankan. Tindakan-tindakan sebegini merupakan suatu yang melampau, biadap, bacul dan amat bertentangan dengan nilai-nilai agama serta tatasusila yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Kami menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik untuk bangkit bersatu menentang tindakan segelintir puak ekstrim ini yang mahu menggugat kestabilan dan keamanan negara, lantas merobek semangat hormat-menghormati sesama rakyat yang sememangnya tersemai di kalangan kita.

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bertenang dan tidak bertindak berbaurkan emosi. Kami mendesak pihak berkuasa untuk menumpukan segala usaha demi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Adalah penting siasatan ini dijalankan secara bebas tanpa sebarang tekanan.

Kami sependapat bahawa isu ini adalah perkara sejagat yang merentasi batasan agama, politik serta bangsa. Apabila datang ancaman kepada perpaduan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia, kepimpinan muda negara sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik demi mempertahankan kemakmuran dan keharmonian negara.

Pemuda Barisan Nasional

Pemuda UMNO
Pemuda MCA
Pemuda MIC
Pemuda Gerakan
Pemuda PPP
Pemuda PBB
Pemuda SUPP
Pemuda SPDP
Pemuda PRS
Pemuda PBS
Pemuda UPKO
Pemuda PBRS
Pemuda LDP

Pemuda Pakatan Rakyat
Angkatan Muda Keadilan
Democratic Action Party Socialist
Dewan Pemuda PAS

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Zahrain: Lim Tetap Seorang Diktator

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim hari ini menegaskan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahu tahu siapa lagi pemimpin negeri itu yang menyokong Zahrain membuktikan pemimpin DAP itu seorang diktator.

Zahrain mempersoalkan motif di sebalik kenyataan Lim hari ini yang ingin melihat siapa lagi pemimpin di negeri itu menyokongnya mengkritik Ketua Menteri berkenaan.

“Saya ingin persoalkan maksud (Lim) Guan Eng nak tengok siapa lagi pemimpin Pulau Pinang yang sokong saya?

“Apa maknanya? Beliau nak ugut orang lain? Inilah buktinya yang saya katakan beliau adalah seorang diktator,” katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Media hari ini melaporkan Lim berminat untuk mengetahui siapa lagi pemimpin Pulau Pinang yang akan tampil menyokong Zahrain.

Minggu lalu, Zahrain dengan lantang mengkritik kepimpinan Lim yang dilabelnya sebagai diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis.

Semalam Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga tampil secara terbuka mengkritik kepimpinan Lim yang disifatkannya sebagai berat sebelah.

Tan juga mendakwa sikap ala diktator yang ditunjukkan Setiausaha Agung DAP itu menyebabkan hubungan rakan pakatan pembangkang di Pulau Pinang hanya kelihatan baik secara luaran tetapi ‘bergolak’ di dalam.

Selain itu, mengulas mengenai tindakan Tan yang memilih untuk mengkritik secara terbuka sepertinya, Zahrain berkata: “Saya tak pernah pengaruh atau hasut siapa-siapa untuk ikut cara saya.

“Tan turut mengkritik (Lim) Guan Eng sebab mungkin dia juga faham apa yang saya kata, dia faham apa yang saya cuba sampaikan demi kebaikan parti.”

Ditanya sama ada beliau akan menarik balik kenyataannya terhadap Lim ekoran gesaan banyak pihak termasuk pemimpin partinya sendiri, beliau bagaimanapun tetap mempertahankannya.

“Buat apa saya nak tarik balik kenyataan yang betul?

“Saya cakap perkara yang berlaku, bukan yang direka… jadi tak perlu nak tarik balik, saya bukan hipokrit,” katanya. – mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda