Daily Archives: March 2, 2010

Umno Ampang Buat Laporan Polis Kenyataan Hina Kematian Haslinda

Umno Bahagian Ampang hari ini membuat laporan polis mengenai kenyataan berbentuk penghinaan dalam laman web sosial, Facebook yang dikeluarkan oleh seorang lelaki berkaitan kematian Ketua Puteri bahagian itu, Haslinda Zerain baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Ismail Kijo berpendapat kenyataan yang dikeluarkan oleh lelaki itu biadab dan tidak boleh dimaafkan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya merasakan kenyataan itu biadab, manusia yang tidak bertamadun telah menghina seorang ketua Puteri yang telah banyak berjuang dalam parti dan telah kembali ke rahmahtullah dan beliau sendiri tidak berkemampuan untuk meminta maaf,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak mengenali lelaki tersebut dan lelaki itu mendakwa adalah ahli PAS dan berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan.

Sementara itu, pemangku Ketua Puteri bahagian itu, Salwa Yunus berkata, beliau menerima panggilan pada Sabtu lalu daripada seorang wakil Puteri peringkat negeri memaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya yang meragui perkara itu telah cuba menyemak komen tersebut pada pagi ini namun telah dipadamkan oleh lelaki terbabit pada Ahad lalu kerana mendapat kecaman hebat daripada orang ramai,” katanya.

Haslinda, 37, meninggal dunia pada Rabu lalu akibat sakit jantung dan beliau telah menjadi Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang sejak penubuhannya pada tahun 2001.

Haslinda pernah bertanding di atas tiket BN pada pilihan raya umum pada 2008 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa namun kalah kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lebih 10 Wakil Rakyat PKR Bakal Keluar Parti – Salehuddin

Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hasim mendakwa lebih sepuluh wakil rakyat termasuk pemimpin mungkin akan keluar dari parti itu.

Menurut beliau, kesemua pemimpin berkenaan dijangka mengambil langkah demikian kerana kecewa dengan pengurusan dan hala tuju parti.

“Saya jangka kemungkinan ada lagi pemimpin PKR yang akan keluar parti… mungkin dalam 10 orang.

“Siapa yang kamu jangkakan selama ini untuk ambil langkah itu berkemungkinan betul,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemimpin berkenaan.

“Saya tak boleh nak cakap… ini semua terpulang kepada mereka sendiri.

“Mungkin mereka perlukan sedikit masa untuk itu (umum keluar parti), kita tunggu saja waktunya, biarlah masa yang menentukannya,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai statusnya dalam PKR, Salehuddin mengesahkan beliau telah meninggalkan parti itu dua minggu selepas meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung pada 7 Januari lalu.

“Dah lama saya keluar PKR, ia bukan perkara baru dan lagipun tak perlulah saya buat pengumuman rasmi kerana waktu saya keluar PKR status saya hanya ahli biasa.

“Jadi perkara biasalah kalau ahli biasa macam saya keluar parti,” katanya.

Berhubung khabar angin yang mengatakan beliau akan mengikut jejak langkah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dengan menyertai Umno, beliau menolak dakwaan tersebut.

“Mana ada saya nak masuk Umno, sejak saya letak jawatan dalam PKR saya anggap sudah pencen politik.

“Saya lebih selesa seperti sekarang tanpa terikat dengan politik, saya kini lebih fokus kepada perniagaan yang saya jalankan,” katanya.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda