KUALA LUMPUR, 1 Julai – Khairy Jamaluddin hari ini membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau menghilangkan diri ke Washington untuk “meminta maaf” bagi pihak Pakatan Rakyat kerana mengadakan protes anti-Zionis di Kedutaan Amerika Syarikat bulan lalu. Akhbar The Washington Post bertarikh 28 Jun memetik Anwar sebagai berkata beliau “kesal” dengan penggunaan perkataan pencerobohan Yahudi, dan beliau akan “lebih berhati-hati” pada masa hadapan. “Anwar berada di Washington selama beberapa hari… di mana beliau bercakap dengan Pengerusi House of Committees AS Howard Berman dan meminta maaf atas serangan yang dilakukannya. “Anwar perlu menjelaskan kepada 10,000 rakyat Malaysia yang menyertai protes diluar Kedutaan AS kira-kira dua tiga minggu lalu dan kemudian ke Washington untuk meminta maaf. Ini membuktikan beliau adalah seperti talam dua muka,” kata Khairy.“Saya tidak nampak apa-apa yang salah jika menyebut pasal pencerobohan dilakukan Zionis. Tapi Anwar ia orang yang berubah-ubah. Sebagai ketua pembangkang beliau perlu jelaskan mengapa beliau berbuat demikian,” kata Khairy. Perhimpunan aman diadakan di pekarangan Kedutaan Amerika di sini selepas misi kemanusiaan yang turut disertai rakyat Malaysia diserang oleh tentera Israel. Laporan Bernama semalam menyebut, Anwar memberitahu rakan-rakannya di Amerika bahawa beliau kesal kerana telah menggunakan istilah seperti “pencerobohan Zionis”. Dalam artikel yng ditulis timbalan editor ruangan rencana pengarangnya Jackson Diehl, akhbar itu berkata Anwar berada di Washington selama beberapa hari minggu lepas. “(Beliau) menghabiskan banyak masa untuk memberi penjelasan kepada rakan-rakan lama, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Howard Berman dan seorang dua pemimpin Yahudi,” tulis Diehl dalam artikel bertajuk “Flirting with zealotry in Malaysia” (Bercanda dengan kefanatikan di Malaysia). Anwar berkata beliau kesal kerana telah menggunakan istilah seperti “pencerobohan Zionis” yang lazim digunakan oleh “penghasut terkenal seperti Mahmoud Ahmadinejad”, kata Diehl. “Kenapakah saya menggunakannya sedangkan ia telah menimbulkan begitu banyak salah faham? Saya perlu lebih berhati-hati,” kata Anwar, yang juga penasihat PKR seperti yang dipetik penulis itu. Akhbar itu juga menyebut bahawa Anwar menyertai satu tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini di mana sehelai bendera Israel telah dibakar dan telah membuat sindiran pedas tentang firma perhubungan awam berpejabat di Washington “yang dikuasai Yahudi” Apco Worldwide, yang digunakan khidmatnya oleh kerajaan Malaysia. Diehl berkata kebanyakan rakan Anwar, termasuk bekas diplomat dan bekas pemimpin Bank Dunia Paul Wolfowitz nampaknya berkecenderungan untuk memberi peluang kepada beliau untuk bernafas. Diehl berkata Wolfowitz memberitahu beliau: “Apa yang Anwar lakukan adalah salah, tapi memandangkan beliau sedang bergelut untuk hidup – secara fizikal dan dalam bidang politik – daripada serangan sebuah kerajaan yang menyifatkannya sebagai ‘boneka Yahudi’, kita patut beri sedikit ruang kepadanya”.