Monthly Archives: August 2010

Selamat Hari Kemerdekaan Ke 53

Salam semua pembaca,

Pergerakan Pemuda UMNO Jalan Enggang ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 53 buat seluruh rakyat Malaysia. Hargailah jasa-jasa para pejuang kemerdekaan negara kita.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Perutusan sambutan ulang tahun ke 61 Pergerakan Pemuda UMNO

Tanggal 26 Ogos setiap tahun menyaksikan lembaran usia dan kematangansayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) sebagai salah satu sayap utama parti UMNO di dalam mengharungi dan meniti titian masa selaku pemimpin anak muda bagi pembela dan memacu kemajuan nusa dan bangsa.

Kita sememangnya kini berada di satu daerah perbatasan yang menuntut kepekaan kita untuk menangani hambatan arus cabaran persaingan politik pembangkang serta bagi mengisi tuntutan peranan yang selari dengan putaran zamannya.

Di dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak pernah leka dan sentiasa berdiri teguh di barisan hadapan bagi menempuh dan menangkis serangan rangkaian pembangkang yang sentiasa menunggu peluang ke atas setiap langkah yang sumbang mahupun perancangan yang kurang sempurna. Disamping itu, Pemuda UMNO tidakkan berganjak barang seinci pun di dalam istiqamahnya menunaikan janji dan harapan membela nasib anak-anak bangsa dan watan buat kemakmuran seluruhnya.

Arus persaingan politik masa kini bukan sahaja mencakupi batas pertempuran kita dengan pihak pembangkang bahkan tuntutan pengisian zaman. Dalam acuan ini, marilah kita bersama-sama menaikkan sauh dan mengemudi  kapal dengan haluan kompas 1Malaysia sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh nakhoda parti iaitu YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri kita semua.

Biarlah Pemuda UMNO zaman kita dikenali sebagai Pemuda yang memimpin, Pemuda yang mengasihi rakyat dan Pemuda yang menjadi denyut nadi perjuangan agama, bangsa dan negara. Untuk itu, pelbagai program dan aktiviti Pemuda UMNO telah dirancang dengan perencanaan berorientasikan mesra rakyat dan penuh inklusif seperti program Jelajah 1Malaysia yang merancang membina dan membaiki ribuan rumah di seluruh negara dan juga pada hari ini Pemuda UMNO, beserta sayap-sayap Pemuda parti komponen Barisan Nasional yang lain, bakal membentangkan penemuan hasil kajian dan perbincangan Makmal Pemuda BN berhubung isu, permasalahan serta cadangan polisi untuk Kerajaan berkisar dengan hal
ehwal orang muda.

Pemuda UMNO juga sentiasa prihatin dengan nasib dan perihal rakyat apabila menjuarai isu saman ekor dan gaji minima, disamping pelbagai isu rakyat yang lain.

Inilah peranan dan fungsi pengisian Pemuda UMNO yang kita ingin suburkan di dalam jiwa dan roh perjuangan ahli kita semua. Dalam pada Pemuda UMNO mendepani isu-isu yang melibatkan kepentingan semua, tidak pernah sama sekali Pemuda UMNO bersifat alpa dan leka tentang nasib dan harapan orang-orang Melayu yang masih lagi merupakan kelompok majoriti golongan miskin dan yang perlu dibantu.

Akhir sekali, saya beserta saf kepimpinan Pemuda UMNO Pusat dan Negeri mengucapkan selamat menyambut ulang tahun pergerakan kita yang ke 61 dan Salam Ihya Ramadhan Al Mubarak kepada semua ahli.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BN YOUTH LAB

Laporan kertas cadangan BN Youth Lab boleh dimuatturun melalui laman

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

lagi PR berpolitik di masjid!

1. politik satu hal!!

2. dedah aurat satu lagi hal!!

ni la masalah kalau mempolitikan islam seperti pas..semua main bedal je!!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Nasihat ulama muda Umno

Masih teringat lagi tarikh keramat 25 Jun 2010, di PWTC. Saya dan beberapa sahabat menyerahkan borang penyertaan Umno kepada perdana menteri. Pelbagai respons diperolehi daripada teman-teman seperjuangan, juga masyarakat yang peka terhadap perkembangan politik semasa.

Ada yang memberi semangat dan ada yang memberi nasihat. Tidak kurang juga ada pihak yang mencemuh dan membuat pelbagai tuduhan palsu.

“Ustaz, teruskan perjuangan, teruskan dakwah. Ustaz, kena banyak nasihati Umno. Ustaz, lakukan perubahan dalam Umno, jadikan mereka cinta kepada Islam,” kata mereka.

Respons positif seperti ini membuatkan kami terus bersemangat. Terima kasih kami ucapkan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa sesuatu nasihat itu bukan untuk Umno semata-mata. Bahkan nasihat adalah untuk semua manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu nasihat. Para sahabat bertanya, untuk siapa nasihat itu? Nabi bersabda, untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah Muslim dan manusia umumnya.” (Riwayat Muslim, hadis nombor 55).

al-Khatthobi ketika menjelaskan erti nasihat berkata: “Menjamin atau menghendaki kebaikan bagi yang diberi nasihat.” (lihat Syarh Shahih Muslim al-Imam al-Nawawi).

Adakah Umno sahaja yang sering melakukan kesilapan dan perlu dinasihati? Adakah PAS dan PKR tidak pernah melakukan kesalahan? Wahai manusia, usah terlalu prejudis.

Sibuk cari kesalahan orang

Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Setiap anak adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat atas segala kesalahannya.” (Riwayat al-Tirmidzi, hadis nombor 2499).

Nah, Rasulullah sendiri menyatakan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan. Maka, usah kita tunding menuding antara satu dengan yang lain.

Sewajarnya, di mana ada kesalahan, maka di situ perlu ada nasihat tanpa mengira agama, parti, bangsa dan warna kulit.

Soal bagaimana nasihat itu perlu dilakukan, ia perlu kembali kepada etika-etika yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Kadang kala, si jasus (mata-mata) yang sibuk mencari kesalahan orang lain terlupa tentang dirinya. Akidah, ibadah dan akhlaknya bagaimana?

Jiwanya kacau, kerana itu mereka sering meracau.

Bagi pihak yang dikritik, sekiranya kritikan tersebut kena pada tempatnya, maka menjadi satu kewajipan baginya untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Ustaz kena pastikan wanita Umno bertudung!

Takutilah firman Allah, maksudnya:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (surah al-A’raf, ayat 179).

Imam Ibnu Kathir ketika mengulas ayat di atas menyatakan: “Mereka (ahli neraka) tidak memanfaatkan anggota yang Allah jadikan sebab untuk mendapat hidayah.” (Tafsir Al-Quran al-‘Adzhim).

Sebaliknya, jika kritikan tersebut merupakan fitnah dan tuduhan palsu, maka usah cepat melatah. Berdiam di samping muhasabah diri adalah tindakan bijak.

Teringat saya pada satu syair Imam Syafie: “Berkatalah sesuka hatimu untuk menghina kehormatanku. Maka diamku dari orang yang hina adalah suatu jawapan . Bukanlah ertinya aku tidak memiliki jawapan, tetapi tidak pantas bagi seekor singa melayani kerenah anjing-anjing. (Lihat Diwan al-Syafi’e).

Bagaimana pula dengan sindiran seperti: “Selamat menjadi orang kaya. Ustaz kena pastikan semua orang Umno simpan janggut bulan depan! Ustaz kena pastikan semua wanita Umno bertudung! Ustaz kena pastikan hukum hudud dilaksanakan segera! Ustaz kena hapuskan rasuah!”

Terasa letih mendengar suara-suara sindiran sebegitu. Bagaimanapun, saya dan para sahabat jadikan ia sebagai satu dugaan dan cabaran.

Perjuangan tanpa dugaan ibarat berbuka puasa tanpa manisan. Apatah lagi Allah SWT telah menetapkan ujian bagi sesiapa yang beriman.

Rasuah, hudud dan mata duitan

Firman-Nya, bermaksud: “Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum dari mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta.” (surah al-‘Ankabut, ayat 2-3)

Suara-suara sindiran tadi adalah harapan dalam berbentuk ugutan. Seolah-olah hidayah berada di tangan kami. Sedangkan Nabi SAW tidak mampu merubah hati saudaranya sendiri dari kekufuran kepada keimanan. Apatah lagi kami.

Hairan apabila manusia cuba mencabar tugas Allah.

Bahkan adakah amalan rasuah, menolak hudud dan mata duitan merupakan dasar Umno? Sudah tentu tidak.

Sebaliknya, mungkin ia berlaku pada individu-individu tertentu yang mendahulukan hawa nafsu mengatasi disiplin beragama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebenarnya kesalahan itu boleh berada di mana-mana dan pengawalnya adalah takwa, bukan parti politik atau kelompok tertentu.

Kerana itu, Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.” (surah al-Hujurat, ayat13).

Oleh itu, isu melibatkan individu, usahlah dimaklumkan kepada umum kerana ia termasuk dalam kategori mengumpat.

Mungkin ada yang berkata, isu tersebut memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Saya katakan: “Adakah anda telah menasihatinya?”

Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jangan terlalu berani mencabar

Mingguan Malaysia 15 Ogos 2010

Kolumnis ultra kiasu The Centre for Policy Initiative (CPI), dalam artikel terbarunya minggu lalu, berulang kali menyebut nama saya. Artikel kontroversinya turut mengundang laporan polis oleh Perkasa. Saya hanya ketawa kecil membaca artikel tersebut kerana ternyata kolumnisnya amat jahil dalam memahami sejarah dan kehidupan bernegara, apatah lagi untuk memahami perlembagaan.

Beliau yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghinakan kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Saya cadangkan beliau berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya. Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke barat, kerana di sana lebih banyak ‘kebebasan’ untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas.

Nak kata beliau bangga dengan keturunannya, tidak juga, sebab beliau lebih gemar menggunakan nama Mat Salleh walaupun matanya begitu sepet. Beliau membuat analogi sampahnya melalui permainan bolasepak semata-mata untuk menghina Islam dan Melayu. Nasihat saya, tidak payah berbelit-belit kerana ia menampakkan kedangkalan ilmu beliau. Beliau begitu anti Melayu dan Islam.

Ternyata beliau amat jahil (mungkin sengaja) dalam memahami perlembagaan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu. Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apakah beliau tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau. Pun begitu beliau masih tidak berpuas hati. Beliau mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah iatu dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Saya cadangkan beliau supaya membawa ideanya itu ke negara barat, mungkin negara asal usulnya di China. Cadangkan apa yang beliau mahu terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan beliau akan ‘dibakul sampahkan’ sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya. Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali. Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah tidak bersyukur?

Keistimewaan Islam termasuk mengembangkan syiar Islam seperti membina masjid dan surau sudah termaktub dalam perlembagaan. Namun, kebanyakan surau dan masjid kebanyakannya dibina menggunakan peruntukan wang zakat, walaupun tidak salah jika kerajaan mahu menggunakan wang negara. Tetapi untuk mengelakkan kontroversi, pemimpin negara hanya menggunakan harta orang Islam sahaja. Tidak kurang yang membinanya melalui kutipan derma dan sedekah hartawan. Apakah beliau masih buta mata hatinya? Jangan pulak kata kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Seringkali saya timbulkan kenapa perlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar, sedangkan keperluan penganutnya tidak seberapa ramai? Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai. Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi.

Ketika Perlembagaan digubal, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini begitu memahami kedudukan Tanah Melayu ketika itu.

Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas beliau dan ultra kiasu yang lain.

Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan. Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat. Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jamaah. Itupun masih dipertikaikan.

Pertikaian mengenai status agama Islam seolah-olah tiada penghujung walaupun ia amat sensitif. Beliau tidak setuju dengan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah dan budaya berdoa ketika perhimpunan seminggu sekali yang tidak sampai tiga minit pun. Terlalu bersifat Islam dan Melayu katanya. Sekiranya inipun dicabut, apakah yang masih tinggal? Apa guna perlembagaan? Sebagai ganti pelajar bukan Islam boleh mempelajari mata pelajaran bahasa ibunda dan pendidikan moral yang sudah diselitkan serba sedikit ajaran agama lain. Tidak cukupkah lagi? Beri betis nak peha. Satu sahaja yang saya pinta agar beliau dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain. Barulah aman negara ini.

Cuba siasat silibus mata pelajaran di negeri China dan di India, adakah matapelajaran agama Islam diberikan hak kepada minoriti umat Islam Cina di sana? Sudah tentu tidak. Malah mereka ditindas. Begitu juga di negara barat, berdoa mengikut ajaran Kristian adalah perkara biasa. Umat Islam di sana diam sahaja kerana mereka tahu itu bukan negara asal mereka. Kenapa mahu mempertikaikan bacaan doa dalam sebuah negara Islam?

Adakah dengan amalan doa tersebut, hati orang bukan Islam akan cair lantas memeluk Islam? Benci sungguh beliau terhadap Islam. Doa adalah salah satu amalan budaya orang Melayu Islam. Takkan kita mahu hapus semua identiti pribumi semata-mata mahu meraikan orang lain. Jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia. Pelik sungguh species sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi.

Begitu juga dengan Sekolah Missionari yang telah diambilalih oleh kerajaan. Bukanlah menjadi isu besar jika identiti penjajah seperti lambang salib ditukar kepada identiti tempatan. Tidakkah ia perlu diMalaysiakan sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat di sini? Kenapa masih mahu mengekalkan identiti penjajah? Apakah mengekalkan identiti Melayu atau tempatan bermakna memelayukan bukan Melayu? Apakah kita langsung menolak asimilasi walaupun sedikit? Apakah majoriti langsung tidak ada hak dalam masyarakat minoriti?

Beliau tidak perlu menghantar ‘anak’nya (jika ada anak sah taraf) ke sekolah kebangsaan, jika dia tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan. Kehadiran ‘anak’ beliau tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja ‘anak’nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut. Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular? Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan.

Persoalan juga ditimbulkan mengenai pertubuhan bukan Islam di sekolah seperti yang telah saya tulis dalam Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010. Tidak perlu saya ulang. Bacalah. Persoalan kenapa bukan Islam tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, bacalah perlembagaan, jangan jadi jahil.

Beliau juga membangkitkan mereka yang memeluk Islam yang dibantu dari segi kewangan. Tidakkah beliau tahu bahawa bantuan tersebut dibuat melalui asnaf zakat, bukan wang sekutu ultra kiasu beliau yang selalu cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai? Janganlah terlalu berani mencabar.

Sebenarnya semua perkara yang dibangkitkan itu adalah tuntutan pertubuhan haram Inter- Faith Council (IFC) dan Majlis Peguam satu ketika dahulu. Agama Islam dilabelkan sebagai zalim kerana tidak membenarkan mereka yang memeluk Islam untuk murtad kembali.

Beliau tidak perlu mengambil kes Susie Teoh, Banggarma dan Azlina Jailani (Lina Joey) untuk dijadikan isu. Kes mereka ini agak rumit disebabkan oleh perancangan jahat tangan di belakang dan orang seperti beliau. Islam tidak benarkan seseorang itu setelah memeluk Islam, keluar sewenang-wenang ibarat kedai kopi. Inilah yang membezakan antara Islam dengan agama beliau. Lagipun kita tidak pernah memaksa bukan Islam memeluk Islam. Tetapi setelah memeluk Islam, mereka tidak boleh boleh keluar sesuka hati. Kehormatan Islam mesti dipelihara baru ada beza dengan beliau. Jika tidak Islam sama sahaja dengan agama lain. Beliau sebut sahaja tiga isu murtad ini, saya sudah dapat tangkap niat jahat di sebalik perkara ini dibangkitkan.

Umat Islam menghalang Azlina Jailani murtad kerana bercanggah dengan perlembagaan persekutuan perkara 160 (2) mengenai definisi Melayu dan Islam. Azlina bukan lagi Melayu setelah keluar Islam sebab Melayu mesti beragama Islam mengikut perlembagaan. Maknanya, Lina sudah tidak ada bangsa. Maka dia sudah tidak layak bermukim di bumi tercinta ini sebab bangsanya telah tiada.

Beliau juga mengambil berat tentang adik saya yang turut memeluk Islam. Terima kasih. Adik saya memeluk Islam kerana beliau banyak mengkaji Islam selain daripada melihat contoh abangnya seperti saya. Oleh kerana adik saya tidak anti Islam, beliau sanggup duduk dalam kelas untuk belajar agama Islam kerana minat yang amat mendalam terhadap Islam. Pada saya elok juga beliau dan sekutunya belajar sedikit tentang agama majoriti ini untuk mengelakkan salah faham, daripada terus menyakitkan hati orang Islam dan menghina Islam.

Cuba kita bandingkan bagaimana keadaan orang Islam yang tinggal di kawasan majoriti bukan Islam. Toleransinya amat tinggi. Umat Islam tidak menimbulkan masalah kepada bukan Islam, kecuali haknya diambil dan mereka ditindas, seperti yang berlaku di Selatan Thai, Filipina dan Palestin. Melayu Islam di Singapurapun tidak bising-bising walaupun tanahair mereka dirampas. Mereka duduk diam-diam sahaja, walaupun hak Islam dan Melayu mereka semakin hari semakin dicabut dan terhakis serta dicairkan oleh orang sekutu beliau.

Lihatlah toleransi kita di sini. Pada saya kerana Melayu memeluk Islam 600 tahun lalulah yang menyebabkan orang bukan Islam boleh hidup senang-lenang di bumi bertuah ini. Nilai-nilai Islam mengajar orang Melayu supaya menjaga hak bukan Islam dan jangan menganiayai mereka. Andainya orang Melayu tidak memeluk Islam, apakah nasib bukan Melayu akan menjadi seperti umat Islam di negeri China atau di India, yang begitu tertindas dan teraniaya? Sebenarnya Islamlah yang melembutkan hati orang Melayu untuk menerima orang bukan Melayu di negara ini. Justeru, janganlah kedudukan Islam itu diungkitkan dan disalahkan kerana ia amat menghiriskan hati kami.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Belum Tunai Janji Kebajikan, Pembangkang Kini Kutip Derma Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pakatan pembangkang disaran berhenti dari terus membodohkan rakyat dengan mengutip derma semata-mata untuk memuaskan nafus impian untuk berkuasa.

Belum pun mereka menunaikan janji-janji pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan dan negeri berkebajikan, setelah berkuasa pembangkang sibuk kutip derma rakyat, termasuk pelancaran Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram), Sabtu lalu.

Aktivis masyarakat Selangor, Wan Indera Putra Wan Ahmad, berkata cukup-cukuplah pembangkang memeras wang rakyat dengan menjual pelbagai impian kerana sekarang adalah masa untuk pakatan pembangkang membuktikan bahawa mereka adalah parti yang membela rakyat.

“Sampai bila mereka nak terus main putar belit, jual impian sedangkan rakyat sudah beri mereka peluang untuk buktikan kemampuan mereka.

“Cerita Pelan 16 September pun tak habis lagi sekarang nak jaja misi impian baru pula. Cukup-cukuplah tipu dan peras duit rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran Tiram oleh pakatan pembangkang yang kononnya untuk mendekatkan jarak antara kerajaan dan rakyat dalam mencapai impian mereka memiliki sebuah negara dan kerajaan yang lebih baik.

Wan Indera Putra yang juga bekas Setiausaha Pemuda PKR Selangor seterusnya berkata, sepatutnya sekarang adalah waktu pakatan pembangkang membalas budi dan kepercayaan rakyat yang telah memberikan mereka kemenangan di empat negeri bukan sebaliknya.

“Mereka sudah perintah empat negeri. Sepatutnya sekarang waktu mereka tunai janji. Pemimpin mereka cukup bijak bercakap soal ekonomi takkan nak tawan Putrajaya ambil duit rakyat.

“Mana hilangnya duit pasir, duit rumah urut, duit kilang arak, duit pelaburan ekonomi negeri, mereka ada penasihat ekonomi RM1…masih lagi nak kutip duit rakyat?

“Kasihanlah rakyat….ini bukan kerajaan kebajikan rakyat tapi kerajaan sapu duit rakyat,” ujarnya sinis dengan merujuk janji manifesto pakatan pembangkang yang mahu menjadikan negeri yang ditawan sebagai negeri berkebajikan. -MediaUMNO

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda