Monthly Archives: December 2010

Gobalakrishnan: Anwar pilih kasih – malaysiakini

Pergeseran di antara ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dan pemimpin tertinggi PKR semakin memuncak dan beliau kini tidak lagi berselindung dalam menamakan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca sebenar ketidakadilan yang didakwa berlaku di dalam parti itu.

NONEGobalakrishnan berkata demikian ketika menjawab amaran keras yang dikeluarkan N Surendran, naib presiden baru parti itu yang mahu beliau menghentikan segala serangan tidak berasas kepada parti pada kadar segera.

Ingkar dengan arahan tersebut, Gobalakrishnan hari ini menuntut supaya Anwar dikenakan tindakan disiplin kerana didakwa telah menutup sebuah kuil di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Gobalakrishnan mendakwa, Anwar bertindak demikian dengan alasan kuil tersebut “tidak mempunyai ciri-ciri India.”

“Masalah ini wujud ketika pentadbiran BN di Selangor tetapi mereka tidak bertindak sehingga menutup kuil berkenaan,” katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anwar amal ‘pecah dan perintah’

Tambahnya, Anwar juga telah memperkuatkan kepemimpinan Melayu dan Cina di dalam PKR tetapi masyarakat India diabaikan dan jauh diketepikan sejak 12 tahun lalu.

NONE“Hanya orang yang dekat dengan (Anwar) dilantik ke jawatan parti. Seharusnya pertimbangan diberikan kepada masyarakat India dalam parti kerana mereka membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah ahli.

“Ini merupakan amalan pecah dan perintah yang jelas daripada Anwar,” kata Gobalakrishnan lagi yang merupakan salah seorang calon naib presiden yang tewas dalam pemilihan parti bulan lalu.

Jelasnya, beliau berkata demikian kerana telah tiba masanya untuk menjelaskan “ketidakadilan” yang didakwa berlaku.

Gobalakrishnan yang menganggotai parti itu sejak lebih 11 tahun lalu juga berkata, beliau telah banyak berkorban untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan beliau tidak mendapat keuntungan peribadi daripada usahanya itu.

‘Surendran bukan ahli PKR’

Beliau bagaimanapun tidak dilantik ke jawatan naib presiden pada 18 Disember selepas pemilihan parti berakhir. Sebaliknya, jawatan lantikan bagi kuota masyarakat India itu diisi oleh Surendran.

NONE“Surendran telah menyatakan bahawa PKR merupakan parti yang demokratik dan tetapi saya kini sedar bahawa demokrasi hanya diamalkan secara pilih kasih di dalam parti yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Gobalakrishnan lagi.

Gobalakrishnan juga berkata, beliau ingin tahu bagaimana Surendran boleh dilantik ke jawatan itu sedangkan peguam hak asasi itu tidak menganggotai PKR.

“Saya mempertikaikan integritinya apabila dia bercakap mengenai pemilihan PKR. Dia tidak mengundi di (mana-mana) cabang dan dia tidak menganggotai mana-mana mesyuarat agung tahunan cabang (MATC).

“Namanya tidak kelihatan di dalam senarai pengundi cabang Lembah Pantai di mana beliau mendakwa menjadi anggota di situ, atau mana-mana cabang (PKR) di negara ini,” katanya lagi.

Advertisement

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Senarai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Berkuatkuasa 1 Januari 2011

Berikut adalah senarai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri 2011 yang diumumkan Tengku Adnan Tengku Mansor di sini pada Isnin.

Perlis

Pengerusi: Datuk Seri Md Isa SabuTimbalan : Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (muka baru)

Kedah

Pengerusi: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah (muka baru)Timbalan : Datuk Mukhriz Tun Mahathir (muka baru)

Pulau Pinang

Pengerusi: Datuk Zainal Abidin Osman (muka baru)Timbalan : Datuk Musa Sheikh Fadzir (muka baru)

Perak

Pengerusi: Datuk Seri Dr Zambry Abdul KadirTimbalan : Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Selangor

Pengerusi: Datuk Seri Najib Tun RazakTimbalan : Datuk Seri Noh Omar

Wilayah Persekutuan

Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin YassinTimbalan : Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Negeri Sembilan

Pengerusi: Datuk Seri Mohamad HasanTimbalan : Datuk Shaziman Abu Mansor

Melaka

Pengerusi: Datuk Seri Mohd Ali RustamTimbalan : Datuk Wira Abu Seman Yusop

Johor

Pengerusi: Datuk Abdul Ghani OthmanTimbalan : Datuk Dr Latiff Ahmad

Pahang

Pengerusi: Datuk Seri Adnan YaakobTimbalan : Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin

Terengganu

Pengerusi: Datuk Seri Ahmad Said (muka baru)Timbalan : Yahya Khatib Mohamad (muka baru)

Kelantan

Pengerusi: Datuk Seri Mustapa MohamedTimbalan : Datuk Dr Awang Adek Hussin

Sabah

Pengerusi: Datuk Seri Musa AmanTimbalan : Datuk Seri Salleh Said Keruak

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pembangkang Tak Layak Perintah Negara – raja petra

Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang tidak sebulu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus `menyerang’ parti pembangkang itu dengan menyatakannya tidak layak memerintah negara ini. Raja Petra berkata, ketika dia menegur parti itu mereka amat kecoh mendakwanya disogok oleh Umno atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sheesh, macam ini nak memerintah negarakah?,” tulis Raja Petra dalam ruangannya, No Holds Barred semalam.

Para pemimpin PKR mengecam Raja Petra dengan hebat malah melabelkannya sebagai ‘kuda Trojan’ serta mendakwanya telah dibeli oleh sesetengah pihak.

Raja Petra menulis, dia dianggap sebagai musuh Pakatan Rakyat.

“Bagaimanapun, sekiranya saya bodek Pakatan Rakyat dan menghentam Barisan Nasional, saya akan menjadi anak sejati Malaysia, seorang patriot.

“Inilah cara minda pembangkang berfungsi dan kita ingin mereka memerintah negara ini,” soalnya.

Dia menambah, apabila Malaysia Today membocorkan rahsia dan kertas-kertas sulit yang memudaratkan kerajaan, mereka tidak melatah.

“Apabila WikiLeaks membocorkan rahsia-rahsia negatif kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya, PKR bertepuk tangan, bersorak serta berkata, WikiLeaks ialah satu anugerah Tuhan.

“Sekarang bila keadaan sebaliknya berlaku, anda melatah dan mendakwa berlaku konspirasi dan sub judice. Berhenti menangis seperti bayi,” ujar Raja Petra.

Katanya, ramai kecewa dengan laporan WikiLeaks mengenai pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka berasa ia adalah tidak adil dan beretika bagi WikiLeaks untuk menerbitkan satu laporan berhubung dengan isu tersebut ketika prosiding mahkamah masih berlangsung.

“Sudah pasti, saya bersetuju, perbicaraan itu sedang berlangsung. Jadi kita tidak sepatutnya memberikan komen tentang sesuatu perbicaraan yang sedang berlangsung.

“Namun, sejak bila parti pembangkang menghormati peraturan ini?

“Semasa perbicaraan Liwat 1, kita mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) kaw kaw (secara hebat) dan berkata apa-apa sahaja mengenai isu tersebut bagaimana beliau mengenakan Anwar.

“Sekarang di perbicaraan Liwat 2, kita menghentam Najib dan mendakwa beliau turut mengenakan Anwar,” tulisnya.

Raja Petra menambah, Malaysia Today bukan sahaja lantang bersuara dalam kes perbicaraan Anwar bahkan beberapa kes besar termasuk kepincangan kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semasa ia masih dibicarakan di mahkamah.

Dia memberitahu, mereka yang suka mencari pasal perlu bersedia untuk menerima kritikan. -mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jelaskan ‘hubungan’ dengan Shamsidar – Ezam

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya menjelaskan kenyataan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan mengenai ‘hubungannya’ dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Shamsidar Taharin.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, kenyataan Nallakaruppan itu memberi pelbagai konotasi terhadap Anwar serta Shamsidar.

“Ini bukan kenyataan main-main, ini perkara sensitif yang perlu dijelaskan oleh Anwar.

“Kalau kenyataan Nallakarupan itu salah, saya cabar Anwar, Shamsidar dan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali supaya saman Nallakarupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di Bangi dekat sini, semalam.

Ezam mengulas kenyataan Nallakarupan seperti laporan Utusan Malaysia semalam yang meminta Shamsidar menjelaskan perlakuan sebenar suaminya dan Anwar bagi menyelamatkan rakyat daripada ditipu.

Menurut Nallakarupan, Shamsidar mempunyai pengetahuan luas mengenai Anwar kerana kedua-duanya mempunyai hubungan amat rapat suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjelaskan, beliau menentang Anwar bukan kerana ‘perhitungan peribadi’ tetapi demi prinsip dan keamanan negara.

Menurutnya, usaha Anwar serta pembangkang yang mempolitikkan segala isu termasuk masalah air di Selangor melalui demonstrasi jalanan adalah satu perbuatan yang hipokrit.

“Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar dan kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan segala isu berkaitan air melalui saluran formal seperti mesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan, bukan huru-hara demonstrasi.

“Walhal, ketika Anwar jadi Menteri Kewangan dulu dia langsung tidak memberikan satu sen pun daripada RM600 juta yang dimohon Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk rawatan air di Kelantan.

“Anwar juga memberitahu enggan memberi bantuan itu kerana mahu ‘mengajar’ kerajaan Pas negeri, memang dia mempolitikkan isu air.

“Tapi selepas dia (Anwar) disingkirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998, Dr. Mahathir terus meluluskan peruntukan RM600 juta buat Kelantan kerana kerajaan Barisan Nasional tidak mempolitikkan isu air dan ikhlas membantu, kalau saya tipu, samanlah saya,” cabarnya. – utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

WikiLeaks: Anwar terlibat?

Agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.

Pendedahan itu dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008, iaitu kira-kira lima bulan selepas dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terbongkar.

Menurut WikiLeaks, dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa, Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang.

Maklumat risikan itu dikukuhkan lagi apabila WikiLeaks juga mendedahkan bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, sendiri pernah memberitahu agensi Risikan Kebangsaan Australia (ONA) sewaktu mereka bertukar-tukar pandangan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat.

“Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan Lee Kuan Yew pernah memberitahu ONA semasa bertukar-tukar pandangan iaitu, Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu (liwat), yang beliau sekarang sedang menghadapi pertuduhannya.

“Penilaian ONA dan rakan-rakan dari Singapura bersetuju, pertuduhan itu ‘perangkap’ dan Anwar mengetahui mengenai kemungkinan pendakwaan tetapi apa yang jelas beliau (Anwar) memang terlibat (dalam aktiviti liwat),” kata kabel itu sebagaimana dipetik daripada laporan The Sydney Morning Herald.

Menurut The Sydney Morning Herald, Anwar memang sedar bahawa beliau bakal masuk ‘perangkap’ iaitu akan didakwa buat kali kedua berhubung pertuduhan salah laku seksnya, berdasarkan laporan polis yang dibuat Mohd. Saiful serta bukti klinikal yang lengkap.

‘Perangkap’ itu merujukkan kepada pendakwaan di mahkamah kerana di Australia, aktiviti homoseksual dibenarkan tetapi di negara ini yang Islam sebagai agama rasmi, liwat adalah salah di sisi undang-undang sama ada ia dilakukan secara sukarela atau pun secara paksaan.

Pada masa yang sama, beberapa portal berita propembangkang seperti The Malaysian Insider dan Malaysiakini juga dilihat cuba memutarkan isu sebenar dengan memperbesarkan isu ‘perangkap’ tetapi persoalan sebenar iaitu mengenai laporan agensi perisikan Singapura – Utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Isu SYABAS

sumber http://www.anwaraidc.com AIDCNews – 4/12/10 – Wawancara AIDCNews siri pertama [klik di sini] dengan Pengarah Eksekutif, Bahagian Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som merungkai banyak persoalan tentang agenda sebenar Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan perang ke atas syarikat pengurusan air negeri itu. Apa sebenarnya yang mahu diperangi Anwar ? Adakah mahu memecat Pengerusi SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail dan diganti dengan CEO baru berbangsa Cina ? Adakah mahu mengambil alih semula pengurusan air Selangor ? Adakah sebagai strategi politik untuk menarik semula sokongan rakyat Selangor dengan mempolitikkan isu air ? Laporan Selangorkini (portal rasmi Kerajaan Negeri Selangor), berkenaan kerajaan negeri ‘kehilangan RM11 juta sebulan’ kerana memberi air percuma kepada rakyat juga wajar diteliti. Apakah semua strategi perang ke atas syarikat air Selangor itu bertujuan sebagai mencari alasan untuk memberhentikan pembiayaan RM11 juta sebulan, setelah menyedari janji sebelum PRU 12 dulu silap ? Untuk mencari jawapan-jawapan di atas, sekarang mari kita ikuti wawancara selanjutnya dengan Abdul Halem Mat Som, Pengarah Eksekutif, Bahagian Korporat SYABAS.

 

AIDCNews : SYABAS menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri yang terdahulu (BN). Sekarang kerajaan negeri diterajui oleh PR. Adakah kerajaan negeri PR boleh membatalkan perjanjian yang dibuat sebelum ini ?

Kita kena ingat, SYABAS tandatangani perjanjian itu dengan pihak kerajaan negeri dan bukannya dengan individu. Sebab itu, yang menandatangani perjanjian tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri. Contoh, kita membuat pinjaman di bank ABC. Tiba-tiba bank ABC ini diambil alih oleh bank lain. Adakah secara automatik perjanjian kita dengan bank ABC yang dibuat dahulu terbatal? Tidak terbatal. Kita masih tetap kena bayar, cuma bezanya, pembayaran tersebut harus dibuat di bank yang mengambil alih bank ABC tersebut. Jadi, tidak timbul soal polisi berubah selepas kerajaan negeri bertukar. Di dalam SYABAS terdapat tiga kompenan yang besar. Pertama, Syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad yang merupakan pembayar saham utama iaitu memegang 70 peratus saham. Tan Sri Rozali merupakan individu yang memegang saham terbesar dalam Syarikat Puncak Niaga itu. Kedua, pemegang saham minoriti yang terdiri daripada orang awam yang membeli saham SYABAS dan ketiganya, Kerajaan Negeri Selangor sendiri. Kerajaan Negeri Selangor memegang saham sebanyak 30 peratus. Kerajaan Selangor diwakili oleh dua anak syarikatnya, iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memegang saham 15 peratus dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad juga 15 peratus. Manakala Kerajaan Persekutuan pula juga mempunyai satu saham emas yang bertindak sebagai kata pemutus. Semua wakil pemegang saham ini dilantik menganggotai Ahli Lembaga Pengarah SYABAS. Ada wakil dari Puncak Niaga, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh orang nombor dua pentadbiran kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Perbandaran. Sebarang keputusan yang mahu dilaksanakan mesti dicapai secara bersama. Jadi, kalau ada yang tidak bersetuju misalnya Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan beberapa polisi, kenapa dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah mereka tidak bangkitkan? Kita tidak boleh membuat sebarang keputusan seperti family business. Kita kena ingat, Ketua Setiausaha Perbandaran juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SYABAS. Sepatutnya semua ini berjalan lancar dan teratur serta mampu membawa pulangan keuntungan. Dari sudut lain, kalau SYABAS mengalami kerugian, Kerajaan Negeri Selangor juga akan turut rugi kerana mereka ada memegang saham. Kalau SYABAS untung, Kerajaan Negeri Selangor juga akan mendapat keuntungan. Dalam soal penswastaan, faktor kewangan ini diambilkira. SYABAS hanya boleh mencapai keuntungan selepas 10 tahun beroperasi. Seperti kita berniaga, takkanlah tahun pertama itu sudah mendapat keuntungan. Tan Sri Rozali sendiri, sudah bertahun-tahun berniaga sehinggalah apa yang kita lihat kejayaannya hari ini. Begitu jugalah dengan SYABAS, baru 5 tahun. Itupun sudah menunjukkan pelbagai kejayaan yang dicapai. Misalnya, mendapat anugerah perkhidmatan pusat pelanggan terbaik, pengurusan sumber manusia terbaik, anugerah emas dan sebagainya.

 

AIDCNews : Setakat ini Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah PR beri kerjasama baik kepada SYABAS ?

Oleh kerana penstrukturan semula ini, SYABAS telah diarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membekukan kerja-kerja capital expenditures (CAPEX) atau perbelanjaan modal. Arahan SPAN berasaskan perbincangan yang belum selesai di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Maknanya, Perbelanjaan modal SYABAS dibekukan sementara menunggu persetujuan semua pihak. Kita sendiri pun tidak tahu bilakah persetujuanitu akan selesai. Apabila perbelanjaan modal SYABAS dibekukan dalam tempoh yang lama tanpa ada sebarang persetujuan, seolah-olah tangan kita diikat. Bila tangan diikat, kita tidak boleh mengeluarkan modal. Kerja-kerja penggantian paip lama pun tidak boleh dijalankan. Sebab itulah, paip lama yang kesemuanya berjumlah 6000 km (tetapi) hanya 800 km yang dapat dibaiki. Bukan setakat penggantian paip lama tergendala, malah juga melibatkan penggantian meter, komunikasi paip, pemasangan penyaluran dan lain-lain. Yang menanggung akibat ini adalah rakyat Selangor. Dalam masa sama, SYABAS akan dilihat tidak dapat memberikan perkhidmatan yang efektif akibat dari sekatan ini. Sekarang ini, Kerajaan Negeri Selangor menuduh SYABAS tidak berjaya melaksanakan peningkatan perkhidmatan air. Persoalannya kenapa? Kerana mereka mengikat kita. Kalau mereka ikhlas, lepaskan SYABAS untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Jangan diikat dari segi perbelanjaan modal dan sebagainya. Sedangkan perbelanjaan modal adalah dari duit SYABAS. Kononnya, SYABAS ini akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri. Jadi, jangan lakukan apa-apa perbelanjaan dahulu. Sampai sekarang, SYABAS ditahan daripada melakukan perbelanjaan modal. Kemudian dikaitkan pula dengan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor. Sebenarnya projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor ini merupakan projek Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA). Sedangkan isu perstrukturan itu di antara SYABAS dengan Kerajaan Negeri Selangor. Jadi sekarang ini, Kerajaan Negeri Selangor mahu ikat Kerajaan Pusat supaya bersetuju dengan pengambilalihan SYABAS dengan cara tersebut. Dengan ertikata lain, mereka (Kerajaan Negeri Selangor) tidak mahu memberi kelulusan tanah untuk penyaluran air, selagi penstrukturan ini tidak selesai dan akan memaksa SYABAS berada dalam tekanan.

 

AIDCNews: Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mengambil alih semula urusan pengurusan air ? Bolehkah Kerajaan Negeri berbuat demikian ?

Sebenarnya memang boleh. Kalau Kerajaan Negeri Selangor hendak ambil alih SYABAS pun boleh. Perjanjian ini adalah buatan manusia. Tetapi kita sentiasa ikut kepada perjanjian ini. Dalam konteks ini, kalau Kerajaan Negeri nak ambil alih konsep willing-buyer (persetujuan pembeli) dan willing-seller (persetujuan penjual) mesti ada. Kalau anda berhajat nak beli, tetapi kita tak mahu jual, jadi tidak boleh buat kerana ada willing-buyer tetapi tidak ada willing-seller. Ada yang hendak beli tapi tak ada yang hendak jual. Lainlah kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk membeli dan menjual. Jadi, harga boleh dibincang. Secara logiknya, SYABAS bukanlah mahukan harga yang tinggi dengan membebankan Kerajaan Negeri Selangor. Tidak sama sekali. Isunya sekarang ini, kalau kita sudah keluarkan modal yang besar untuk mengambil alih hutang, membaik pulih, membuat pinjaman dan sebagainya, perkara-perkara ini harus diambil kira sebelum proses pengambilalihan. Jadi, penentuan harga yang ditawarkan mestilah dapat menampung perkara-perkara tadi dan juga faktor pemegang saham sama ada pemegang majoriti atau minoriti (orang awam). Ini kerana, kalau kita jual dengan harga yang lebih rendah, saham itu merundum, kita pula terpaksa menjawab dengan pemegang-pemegang saham. Semua yang kita buat ini mengikut peraturan dan undang-undang. Isunya sekarang, kita perlu buat perbincangan secara teratur dan rapi sama ada duduk berbincang atau sebagainya. Kalau perbincangan itu pun tidak serius, susahlah untuk saya katakan.

 

AIDCNews: Sudah adakah perbincangan yang serius?

Perbincangan setakat ini hanya ada di peringkat pegawai-pegawai. Tidak ada titik pertemuan. Jalan selari tetapi mencapah, makin lama makin jauh. Jadi, memang tidak akan jumpa titik pertemuan itu.

 

AIDCNews: Kenapa Kerajaan Negeri Selangor berminat untuk mengambil alih SYABAS ? Adakah ada agenda lain?

Susah untuk saya katakan kerana ini adalah agenda masing-masing. Kalau kita lihat dari konteks ekonomi, SYABAS boleh mencapai keuntungan selepas 10 tahun beroperasi. Kalau dari sudut itu pun kita boleh tengok. SYABAS sudah 5 tahun beroperasi dan hanya tinggal 5 tahun lagi untuk mencapai keuntungan. Sebab semua sudah boleh diambil alih dari segi sistem dan sebagainya. Maknanya, kalau sudah diambil alih, mungkin selepas itu boleh dapat keuntungan melalui tarif. Mereka nampak dari sudut itu. Mungkin juga boleh memberi peluang pekerjaan kepada kroni-kroni yang menyokong mereka selama ini. Mungkin juga boleh diletakkan di posisi Pengerusi atau Pengarah. Ini saya tak mahu tuduh sesiapalah. Kita tak perlu sebut sesiapa tapi kita tahulah. ‘Orang-orang’ inilah yang bising tentang industri air, buat ceramah di sana sini tentang hendak ambil alih hak rakyat dan sebagainya. Sebenarnya untuk kepentingan sendiri kalau dapat SYABAS. Di situlah siapa yang layak dapat Chairman atau Director. Tapi dari segi politik pula, tentu ada kepentingannya di situ. Dengan memainkan isu air ini, mereka beranggapan akan mendapat sokongan rakyat dan terus menang pada pilihanraya akan datang. Sama ada mereka serius atau tidak, saya sendiri masih lagi tertanya-tanya. Kita sendiri tidak boleh nak bertanyakan dari mana wang yang akan digunakan untuk penstrukturan semula ini. Betulkah ada pelabur yang akan membantu membuat pembayaran pengambil alihan ini, siapa pelabur tersebut, adakah mereka dari golongan yang boleh dipercayai ? Sekiranya pelabur dari luar negara, kita khuatir jika industri air akan dipindah milik kepada syarikat luar, sedangkan syarikat tempatan boleh mengurus dan keluarkan dana. Kenapa perlu diberi kepada syarikat antarabangsa? Tidakkah nanti syarikat tersebut akan membuat pindahan milik? Kita tidak mahu semua ini berlaku kerana air adalah keperluan rakyat. Jangan nanti yang menguruskan air ini bukan di kalangan kita sendiri. Oleh kerana tidak mampu untuk membayar hutang, akhirnya menjadi pindah milik. Ataupun, ini mungkin satu permainan, tidak serius pun nak ambil alih. Atau sekadar nak memberitahu rakyat bahawa Kerajaan Negeri serius untuk ambil alih kerana hendak terus memberi air percuma kepada rakyat. Jadi, kalau tak dapat ambil alih selepas ini, mereka terpaksa hentikan pemberian air percuma ini. Pihak yang akan dipersalahkan nanti, sudah tentulah SYABAS serta mereka yang menyokong SYABAS sama ada Kerajaan Persekutuan atau sebagainya.

 

AIDCNews : SYABAS didakwa kroni politik tertentu ?

Bila dikaitkan SYABAS dengan orang-orang tertentu sebagai kroni, dakwaan ini disangkal. Kita kena ambil kira kakitangan SYABAS seramai 3000 orang yang majoritinya rakyat Selangor. Janganlah dipolitikkan isu ini dengan mengaitkan dengan kroni. Tidak semua kakitangan SYABAS ini menyokong satu parti. Masing-masing ada parti yang mereka sokong. Walaupun kita berlainan ideologi politik, tetapi di SYABAS kita masih boleh bersatu. Itu tidak menjadi masalah besar. Dari segi hubungan tokoh korporat dengan orang politik. Ini sudah wujud sejak berzaman lagi. Mereka tak boleh kata tokoh ini kroni dengan orang politik ini. Kalau anda sebut siapa pun tokoh korporat di negara ini, mereka mesti ada hubungan yang baik dengan pemimpin. Kalau tak ada hubungan yang baik dengan pemimpin, macam mana mereka nak berniaga. Dalam sebuah negara itu, mesti ada hubungan antara pihak korporat dengan kerajaan. Hubungan ini perlu. Dalam pentadbiran SYABAS sendiri, kita menerima bos kita adalah Kerajaan Persekutuan. Begitu juga kalau di negeri, kita menerima Kerajaan Negeri yang ada sekarang. Kita terima hakikat itu dan sedia bekerjasama pada bila-bila masa. Kita tidak beranggapan mereka tidak sama parti dengan kita maka tidak boleh bekerjasama, jadi tidak boleh begitu. Kerana Kerajaan Negeri yang sekarang adalah kerajaan yang mentadbir, kerajaan yang sedia ada. Manakala Kerajaan Pusat yang ada sekarang adalah kerajaan yang lain. Jadi, dua-dua kerajaan ini adalah bos kita. Saya sendiri tidak faham kenapa SYABAS sentiasa dimusuhi. Kalau kita nak berbaik dengan seseorang, macam-macam usaha kita lakukan tapi orang tersebut tidak mahu berbaik sebaliknya memusuhi kita, jadi apa lagi yang boleh kita buat?


AIDCNews : Adakah Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk melantik kroninya menjadi Pengerusi SYABAS ?

Dalam entiti swasta ini, sama ada syarikat atau korporat, yang mempunyai kuasa adalah yang memegang saham majoriti. Kalau pemegang saham itu adalah Puncak Niaga, maka wakil Puncak Niaga yang akan menjadi Pengerusinya. Sebagai seorang bekas korporat dan ahli politik, saya tidak fikir, Menteri Besar Selangor mengambil tindakan-tindakan yang tidak selari dengan apa yang sepatutnya di dalam pengetahuannya.

 

AIDCNews: Adakah Tabung Budi ditolak oleh kesemua Wakil Rakyat PR ?

Inilah yang menariknya tentang Tabung Budi. Kita telah pun menghantar surat kepada semua Ahli Parliman dan ADUN Negeri Selangor untuk memberitahu kewujudan Tabung Budi. Jadi, mana-mana pihak yang ingin menyumbang, boleh menyumbang. Kita juga memberitahu mereka bahawa Tabung Budi ini adalah untuk membantu golongan yang susah dan miskin. Jadi, kalau terdapat golongan ini di kawasan mereka, kenalpasti dan berikan nama kepada SYABAS untuk diberi bantuan. Tidak kiralah ADUN dari parti mana sekali pun. Kita beri sama rata. Semasa pelancaran Tabung Budi peringkat umum baru-baru ini, kita jemput semua Wakil Rakyat kerana kita hendak maklumkan tentang tabung ini. Kita faham Wakil Rakyat ini sibuk. Jadi, tidak semuanya yang hadir. Yang hadir itu pula ada di kalangan Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kedua-dua parti ini ada. Tetapi, apa yang dibesarkan adalah kenapa Tabung Budi ini diwujudkan seperti hendak melawan kuasa Kerajaan Negeri. Tambahan pula ada Wakil Rakyat BN yang datang. Tapi mereka terlupa bahawa yang datang ke majlis itu pun ada juga Wakil Rakyat PKR. Lebih menarik lagi, kita ada terima surat daripada Exco Kerajaan Negeri yang meminta supaya SYABAS menyalurkan Tabung Budi ini kepada penduduk miskin di kawasan mereka. Kita sudah pun menyemak dan siasat siapa yang layak dan kita bagi. Hari ini, bila kita bagi, tangan sebelah kanan terima tapi tangan sebelah kiri pula tampar kita. Jadi tak kenalah.

 

AIDCNews: Benarkah Exco tersebut ialah Dr Xavier Jayakumar ?

Ya. Itu saya boleh sahkan.

 

AIDCNews : Benarkah ada dakwaan yang mengatakan SYABAS memaksa kakitangannya supaya menyumbang kepada Tabung Budi dan benarkah Tan Sri Rozali Ismail selaku CEO, tidak menyumbang mengikut perolehan pendapatannya ?

Yang pertama sekali, pihak yang menuduh ini perlu membuktikan di mana kita memaksa kakitangan supaya menyumbang kepada Tabung Budi. Kena buktikan. Perkara ini seringkali disebut dalam perhimpunan mingguan kakitangan, sekiranya ada yang ingin menyumbang dialu-alukan tanpa ada sebarang paksaan. Malahan, kalau yang sudah menyumbang jika mereka ingin menarik balik sumbangan tersebut pun dibenarkan. Tiada siapa yang memaksa, mengarah atau sebagainya. Ini bergantung kerelaan individu. Kalau ada yang kata mereka dipaksa untuk menabung, tunjukkan bukti atau dokumen. Sedangkan mereka yang menabung ini ada yang mengisi borang supaya dipotong daripada gaji bulanan sebanyak RM11.40 untuk didermakan kepada golongan yang layak. Mereka sendiri ada Akujanji berkaitan sumbangan ini. Pemotongan ini dilakukan oleh pihak bank dan terus disalurkan kepada tabung ini. Yang keduanya, berkaitan Tan Sri Rozali Ismail (CEO) dikatakan tidak menyumbang keuntungan seperti mana diharapkan. Konsep kita adalah berdasarkan akaun. Contohnya, kalau saya ada rumah dan penama itu adalah saya. Tiap-tiap bulan saya dapat RM11.40. Jadi, RM11.40 itulah yang saya beri. Kalaulah saya ada 10 buah rumah pula, maka RM114.00 yang saya beri. Kalau dilihat dari segi sumbangan beliau membantu Pusat Zakat Selangor (PZS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan golongan-golongan yang memerlukan, saya rasa beliau lakukan lebih daripada yang sepatutnya. Jadi, tidak timbul kenapa kakitangan SYABAS sama ada yang bergaji RM3000 ke bawah atau Pegawai Kanan bergaji RM10,000 perlu membayar RM11.40. Kerana itulah kita kena kembali kepada konsep pemberian air percuma. Jika golongan kaya menerima RM11.40, maka golongan miskin pun menerima jumlah yang sama juga. Hasil dari pengumpulan tabung tersebut, maka kita akan beri kepada golongan yang miskin ini. Sebab itu, saya boleh katakan, mereka yang membuat tuduhan ini tidak faham konsep. Kalau tak faham, beginilah jadinya. Kata orang, kalau tak faham, seeloknya cuba untuk memahaminya dulu. Kita tak ada masalah untuk memberi penerangan kepada pihak yang mahukan penjelasan. Tapi, ada pihak yang tidak mahu penjelasan tetapi menghentam kita sesuka hati. Soalan saya, menjadi kesalahankah kalau orang hendak buat kebajikan?

 

AIDCNews: Difahamkan pada Ahad ini (5 Disember), satu memorandum akan dihantar kepada Yang DiPertuan. Adakah ini menggambarkan krisis air di Selangor sangat teruk hinggakan perlu campur tangan daripada Yang DiPertuan Agong ?

Kenapa hingga sampai ke peringkat ini ? Kita anggap Kerajaan Negeri Selangor adalah bos kita. Bila bos ada masalah dengan pekerja, apa salahnya kalau berbincang. Bukannya dengan cara menghentam, fitnah dan kempen di sana sini. Apa pula perasaan pekerja tadi? Kenapa perlu gunakan orang lain. Saya tidak nampak kewajaran dan kecerdikan dalam menangani isu ini. Sokongan-sokongan rakyat ini datang dari konsep sedemikian seperti berhimpun, berarak dan sebagainya. Apabila insiden berarak dan berhimpun ini semakin lesu, jadi untuk mengembalikan nostalgia berhimpun, perlu ada isu untuk dimainkan. Isu yang hangat sekarang adalah isu air. Dan digunakan sepenuhnya. Sedangkan bagi rakyat atau orang awam yang berfikiran waras, mereka akan terfikir kenapa isu ini diperbesarkan ? Kita tidak rasa tertekan langsung. Di SYABAS kita tidak boleh mengikut rentak orang lain, kalau orang lain buat ini, kita tidak semestinya perlu ikut. Ini kerana, kita memberi perkhidmatan kepada pengguna sama ada mereka menentang atau menyokong. Mereka adalah pengguna yang membayar bil air kepada kita. Kalau SYABAS ‘merajuk’ disebabkan tekanan ini, semua loji air ditutup dan pengguna di Selangor tidak dapat bekalan air. Apa akan jadi? Contohnya di KLIA sahaja, mesti perjalanan operasi mereka akan tergendala atau ditutup. Sebab itulah bila berlaku krisis air di Sepang iaitu 3 paip pecah kerana aktiviti mengorek pasir. Paip ini, asalnya berada di dalam tanah. Tetapi apabila ada aktiviti korek pasir, paip ini akan menjadi tergantung kerana tiada yang menampungnya. Inilah mengakibatkan paip tersebut patah. Paling kritikal adalah KLIA. Kakitangan SYABAS terpaksa bekerja 24 jam untuk memastikan kawasan-kawasan kritikal tersebut ada air dan kod kecemasan iaitu kod merah perlu diaktifkan. KLIA yang paling kritikal kerana pada waktu itu ada pertandingan lumba kereta di Sepang. Kakitangan SYABAS bertungkus-lumus memenuhkan tangki air KLIA dengan berlori-lori air. Bayangkan kalau SYABAS ‘merajuk’?

 

AIDCNews : Adakah isu air ini sengaja dimanipulasi sebagai isu politik ?

Ada kemungkinan, tapi saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak kerana mereka ada strategi masing-masing untuk memenangi hati rakyat, memenangi pilihanraya. Tapi kita kena lihat dari segi kewajarannya. Air sekarang ini dikatakan sebagai ‘emas biru’ iaitu sangat bernilai. Di mana-mana negara sekalipun, isu mendapatkan air bersih ini menjadi topik utama. Kita sepatutnya bersyukur dengan kualiti air yang dinikmati di negara kita. Walaupun menerima pelbagai tekanan, SYABAS tetap bersikap profesional. Apa yang saya nak tekankan adalah, Selangor merupakan negeri yang mempunyai kualiti air terbaik di Malaysia. Kebanyakan syarikat pembekal air di Malaysia, datang ke SYABAS untuk belajar pengurusan air, perkhidmatan pelanggan dan sebagainya.

 

AIDCNews: Termasuk dari negeri yang diperintah oleh PR ?

Ya. Contohnya Pulau Pinang sudah beberapa kali datang ke SYABAS.

 

AIDCNews: Ini bermakna mereka mengiktiraf SYABAS. Tetapi kenapa pula Kerajaan Negeri sendiri tidak mengiktiraf?

Sebenarnya mereka juga mengiktiraf cuma tidak mahu mengakuinya. Sebab mereka tidak mahu mengakuinya kerana akan menjadi semakin sukar untuk mengelirukan pemikiran rakyat jika diiktiraf. Jauh di lubuk hati, SYABAS boleh dikatakan bagus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Kita sedia membantu negeri-negeri tersebut sekiranya mereka memerlukan bantuan. Kita pernah hantar berlori-lori tangki air dan kakitangan ke Pahang, Johor , Kelantan dan Kedah. Semua ini bersandarkan kepada motif. Saya sendiri tak tahu apa motif mereka sebenarnya.

 

AIDCNews: Apakah implikasinya kepada rakyat Selangor dengan penangguhan Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) ini ?

Kita kena ingat, krisis air ini pernah berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 1998. Krisis ini berlaku bukan kerana tidak ada air tetapi disebabkan tiada kemudahan yang cukup untuk merawat air. Selepas krisis air 1998 ini, diwujudkan Loji Rawatan Air Selangor Fasa 1, 2 dan 3. Ada orang bertanya, hujan selalu turun, jadi takkanlah tiada air? Kita kena lihat kawasan tadahan hujan sudah banyak dijadikan sebagai kawasan pembangunan. Kalau hujan di Shah Alam, Petaling Jaya atau Klang, tempat ini bukan kawasan tadahan hujan. Air hujan tersebut mengalir ke Sungai Klang dan terus ke laut. Sungai-sungai yang ada sekarang ini pun banyak yang tercemar. Kemudian banyak pembangunan, pengguna air semakin ramai dan permintaan air semakin meningkat. Apabila SYABAS menguruskan air, tanggungjawab kita adalah membekalkan air kepada pengguna dan memaklumkan serta memberi cadangan-cadangan kepada kerajaan tentang masalah dan memastikan bekalan air mencukupi. SYABAS telah menjalankan peranan ini dengan membuat kajian, memberi laporan kepada kerajaan yang telah disemak oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu pakar dalam industri air. Kita telah buat kajian iaitu pada tahun 2014, itupun sekiranya tiada alternatif penyaluran air mentah dilakukan, maka akan berlaku kekurangan bekalan air. Kawasan yang banyak air di bahagian Utara Selangor, bagaimana pula dengan bahagian Selatan dan Lembah Klang ? Bukannya ada paip besar yang boleh disalurkan ke kawasan yang kekurangan air. Masalah-masalah inilah yang tidak diketahui. Kita juga hairan bagaimana Kerajaan negeri boleh mengatakan bahawa berdasarkan pakar yang dilantik oleh mereka, mengatakan air cukup sehingga tahun 2019. Tanpa perlu menyegerakan PPAMPS.

 

AIDCNews: Kenyataan pihak mana yang lebih tepat. Kerajaan Negeri atau SYABAS ?

Kalau berdasarkan rujukan SYABAS, Kerajaaan Pusat dan EPU adalah pada tahun 2012. SYABAS ada jadual pengeluaran air yang telah dibuat. Mereka cuma mengikut kajian yang dibuat oleh pakar-pakar yang mengatakan cukup sehingga 2019. Kita pun tak tahu siapa pakar yang disebutkan itu. Katakanlah pakar dari luar negara. Pakar ini pun tidak mendalami apa sebenarnya isu yang dihadapi. Apa bezanya antara tahun 2014 dengan 2019. Hanya beza 5 tahun. Sebagai kerajaan yang berwawasan, sepatutnya kita buat persiapan lebih awal sebelum kejadian tersebut berlaku. Implikasinya juga terhadap kos. Kos bagi 4 tahun sudah berbeza. Mungkin dari 4 bilion kepada 8 bilion atau lebih daripada itu. Jadi, siapa yang akan tanggung kos ini? Kalau berlaku krisis air 2012 atau 2014 tanpa adanya persiapan-persiapan ini, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan nanti? Saya bimbang jika krisis ini benar-benar berlaku tanpa ada persiapan yang rapi, mungkin ada pihak yang akan cuci tangan dan saling menyalahi di antara satu sama lain. Yang merananya adalah rakyat kerana tiada air. Akibatnya air terpaksa dicatu. Kita sepatutnya mengambil contoh wawasan Tun Dr. Mahathir. Beliau memperkenalkan Wawasan 2020. Sedangkan pada tahun itu, beliau sendiri belum tentu lagi akan ada. Tapi beliau buat ini untuk kepentingan dan masa depan rakyat. Jadi, kita sepatutnya mengambil konsep tersebut untuk kebaikan rakyat. Apa kewajarannya jika dilengah-lengahkan. Apa bezanya antara tahun 2012 dengan 2014. Kalaulah kajian mereka itu benar, salahkah kalau dibuat persiapan awal ini? Kalau berlaku krisis air pada 2014, kerajaan sedia untuk bertanggungjawab, baguslah. Kita boleh beli air dari Kerajaan Negeri Perak atau sebagainya. Tapi tidak ada. Kita sepatutnya berpijak di bumi yang nyata. Janganlah mempolitikkan isu ini. Yang menanggung kesannya adalah rakyat. Bagi saya, projek ini harus dilaksanakan kerana ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan bukannya projek Kerajaan Negeri.

 

AIDCNews: Bagaimana pula dengan statistik penggunaan air di Selangor?

Pengguna air di Malaysia, khususnya di Selangor adalah yang paling tertinggi dari segi penggunaannya. Purata penggunaan air di Selangor adalah sebanyak 260 liter sehari untuk seorang pengguna. Sedangkan mengikut United Nations (UN), penggunaan normal sepatutnya 165 liter sehari.

 

AIDCNews: Adakah kerana peningkatan penggunaan air ini yang menyebabkan PPAMPS perlu dilaksanakan?

PPAMPS adalah projek Kerajaan Persekutuan. Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan prihatin. Ini kerana Selangor merupakan transit bagi semua aktiviti pelaburan dan sebagainya. Bagaimana kalau di Selangor tidak ada air? Sebab itulah dalam perkhidmatan pelanggan kita ada Unit YAKIN (Unit Kerjasama Informasi Pelanggan) yang berurusan dengan persatuan-persatuan pengguna utama, JKK dan sebagainya. Kita juga ada Unit ICU (Industrial Customer Unit) iaitu sekiranya ada berlaku gangguan, unit ini akan bertindak menghubungi hotel dengan segera supaya menampung tangki air dengan banyak dan sebagainya. Ini yang dibuat oleh SYABAS dan nampaknya seperti tidak dihargai. SYABAS bukanlah badan politik yang perlu menghebohkan apa yang telah dibuat. Perkara-perkara seperti inilah yang tidak diketahui dan ada pula pihak lain yang melemparkan tomahan berdasarkan agenda politik. Bagi saya, SYABAS tidak sepatutnya terkena tomahan ini kerana kita bukannya badan politik Air ini merupakan komoditi penting. Ada orang kata, air ini adalah anugerah Tuhan, kenapa perlu dikomersialkan dan dibayar. Kalau hendak air percuma yang dikatakan anugerah Tuhan ini, boleh. Tidak ada sesiapa melarang. Kalau anda menadah air hujan di depan rumah sekalipun, tak ada penguatkuasa tempatan datang untuk mengutip cukai. Ataupun ambil air dari sungai, juga tidak ada sesiapa melarang. Air yang dirawat juga adalah anugerah Tuhan. Kalau lihat zaman dahulu, air sungai atau perigi boleh diminum terus tanpa dimasak. Itu kerana tiada pencemaran. Tapi hari ini, kebanyakan sungai sudah tercemar. Contohnya di Singapura. Air yang dirawat itu bukan air dari sungai tapi air kumbahan. Sebab itulah kosnya tinggi berbanding dengan kita. Sistem rawatan yang kita lakukan sekarang ini ialah merawat air sungai dan bukannya merawat air kumbahan. Jadi, tidak adillah kalau hendak dibandingkan dengan Singapura. Kalau hendak juga air percuma, mungkin boleh diambil di Gunung Ledang. Kos yang perlu dikeluarkan seperti bayaran pemandu lori, tol dan minyak. Saya ingat kosnya lebih tinggi daripada buka pili paip di rumah. Jadi, tak bolehlah kata air ini anugerah Tuhan seperti ‘orang itu’ yang dikatakan anugerah Tuhan.

 

AIDCNews: Bagaimana pula peranan yang dimainkan oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu krisis air ini?

Beliau langsung tidak tahu tentang ekonomi. Buktinya, semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau cuba memujuk Perdana Menteri supaya membuat pinjaman dengan IMF. Disebabkan faktor beliau tidak tahu ekonomi, maka beliau dipecat. Keduanya, beliau tidak dibayar setimpal dengan jawatan yang dipegang. Dengan gaji RM1, apa yang beliau boleh lakukan. Mungkin juga Kerajaan Negeri Selangor melihat beliau bukanlah pakar ekonomi. Sebab itulah dibayar RM1.

 

AIDCNews: Apakah strategi perang ke atas SYABAS ini didalangi oleh Penasihat Ekonomi Selangor ?

Saya sendiri tertanya, apa masalahnya yang sebenarnya? Kalau dilihat dari segi luaran dan dalaman, SYABAS tidak bermasalah. Saya selalu berpesan kepada kakitangan, walaupun kita diasak, kita tetap teruskan kerja dan jangan dengar tomahan-tomahan tersebut, kerana ini akan melemahkan semangat kita. Kalau mereka mogok, bukan kita sahaja yang susah tapi seluruh Malaysia.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Piagam Barisan Nasional 2010

Kami Pewaris Bangsa, memperakui betapa para Pengasas Negara bersatu hati dan berganding bahu, dalam menubuhkan Parti Perikatan demi memperjuangkan kemerdekaan negara, dan mencipta prinsip permuafakatan demi kemakmuran bersama.

Hari ini, KAMI ANAK MALAYSIA, Pendukung Barisan Nasional, berhimpun atas satu semangat, mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja Berpelembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen serta mengamalkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara, bertekad dan berjanji serta berikrar, meneruskan perjuangan untuk bangsa dan Negara, berteraskan kepada prinsip-prinsipberikut:

PERTAMA, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan institusi kehakiman dan membanteras jenayah bagi menzahirkan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

KEDUA, mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan lapisan masyarakat, mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme, demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

KETIGA, meneruskan usaha memajukan ekonomi Negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberikan komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang, demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan Negara dapat dikecapi bersama.

KEEMPAT, menjamin pendidikan berkualiti bagi semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan, sebagai asas pembentukan modal insan yang berketrampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan, menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan perpaduan nasional.

KELIMA, meneruskan tradisi membela rakyat, dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastuktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat, sebagai petanda asas utama prestasi kerajaan Barisan Nasional.

KEENAM, memajukan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, serta memperkasa peranan golongan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara; dan

KETUJUH, mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan menghayati konsep “Rakyat Didahulukan” sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Inilah ikrar dan tekad kami, Pendukung Barisan Nasional, demi kesejahteraan semua rakyat dan generasi akan datang, dalam meneruskan perjuangan murni mewujudkan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan keazaman semangat 1Malaysia, dengan mendahulukan rakyat, kami berikrar dan bertekad mencipta kejayaan yang lebih gemilang, bagi negara Malaysia.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat

Teks ucapan Presiden UMNO semasa Konvensyen BN 2010

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yi ge Malaysia [Cina],…

Oray Malaysia [Tamil],…

Ndi Malaysia [kata Bidayuh],…

Ji Malaysia [kata Orang Ulu],…

Ise’ Malaysia [kata Kadazan & Dusun],…

Saumi Malaysia [kata orang Murut],…

atau kata orang Iban pula Sato Malaysia

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

Naib-Naib Pengerusi Barisan Nasional

Ahli-Ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional

Menteri-Menteri

Timbalan-Timbalan Menteri

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Presiden dan wakil-wakil dari Friends of Barisan Nasional, KIMMA, IPF, Makkal Sakti dan MIUP

Para perwakilan Barisan Nasional terdiri daripada 13 parti komponen

Para Pemerhati

Wakil-wakil media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

1.Pertama sekali, marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana kita semua dapat berkumpul pada pagi ini di Dewan San Choon yang indah, dalam penuh kesepakatan, dengan kebulatan tekad dan suasana yang begitu harmonis.

2.Sesungguhnya, perhimpunan pada hari ini, membuktikan kepada dunia bahawa, sebagai rakyat Malaysia, we stand united, indivisible with one purpose, that, of building a better future. Apa yang penting kepada kita, yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, semua dapat berkumpul beramai-ramai, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang mahupun gundah gulana terhadap keselamatan diri masing-masing.

3.Ia sekali gus menjadikan telahan para prophets of doom and gloom yang telah meramal dan menujumkan kemusnahan Malaysia selama ini oleh sebab faktor kepelbagaian kita, terbukti salah sama sekali.

4.Sesungguhnya, walau apa warna kulit kita, walau apa anutan kepercayaan kita, walau apa pun taraf sosioekonomi dan di mana sekalipun berada, kita tetap teguh berpadu di bawah payung 1Malaysia.

5.Ternyata pula, Malaysia telah dikurniakan dengan segala nikmat dan kedamaian, sehingga kita mampu berjalan sejauh ini. Dalam keadaan banyak negara majmuk lain di dunia, ditandai dengan bermacam krisis dan konflik, jalan yang dilalui Malaysia jelas istimewa. Kita telah merintis jalan yang panjang dan berjaya menguruskan kepelbagaian yang ada dengan begitu baik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6.Kejayaan terbesar kita adalah menukarkan kerumitan pelbagai yang wujud atau “a potential achilles heel” kepada kelebihan persaingan atau “competitive advantage”. Di sini, sama ada kita sedar atau tidak, ia bukanlah pencapaian yang kecil mahupun lazim, sebaliknya ia adalah satu pencapaian yang amat signifikan serta begitu monumental dalam sejarah pembikinan Malaysia.

7.Pendek kata, kejayaan ini begitu mengkagumkan kerana kita tidak mengambil jalan mudah mengamalkan kaedah ‘kawah pelakuran’ atau ‘melting pot’ dalam membina sebuah negara, di mana perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu pula dicipta. Waima, kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana mana budaya, tidak juga pernah cuba menukar asal usul sesiapa. Hatta sampai sekarang ini, masing-masing bebas mengekalkan jati diri.

8.Misalnya, kalau nama Samy Vellu, tak payah tukar jadi Suhaimi atau Sazali. Kalau Chua Soi Lek, tak payah tukar jadi Salleh, So ud atau Ayoub, kalau John Ambrose tu John Ambrose lah, tak payahlah jadi Johan Ambrose. Sehinggakan, orang Asli sekalipun bebas mengekalkan identiti mereka. Bahkan, kita harus berbangga bahawa kita satu-satunya negara di dunia, membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing masing sebagai bahasa pengantar.

9.Ini jelas memperlihatkan bahawa, rakyat Malaysia bukan setakat toleran terhadap kemajmukan, malah kita sesungguhnya melangkah setahap lagi dengan meraikan kepelbagaian itu. Kita telah memilih jalan yang wajar dengan mengaplikasi kaedah integrasi di mana perbezaan yang unik digabungkan dalam sebuah keluarga besar, saling mengukuh dan menyokong, bukannya untuk memusnahkan identiti mana-mana bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10.Hari ini, pagi ini, sekali lagi setelah konvensyen lalu pada tahun 1995, perwakilan tiga belas buah parti komponen dari kesemua tiga belas Negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh Malaysia, duduk berhimpun, terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, berkumpul, dengan satu tekad, satu hati dan satu matlamat yakni untuk memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan.

11.Tambahan pula, konvensyen kali ini berlangsung di Wisma MCA, sebagai satu tanda bahawa kita adalah rakan kongsi saksama dalam mengkhidmati rakyat. Indeed, we are committed partners in our endeavour to serve the Malaysian people.

12.Kata orang, we stand on the shoulder of giants, bapa-bapa kita selaku para pendahulu. Mereka telah merintis warisan paling agung yakni mekanisme perkongsian kuasa dan kerjasama politik antara kaum yang telah terbukti paling berkesan, paling praktikal dan kekal merentasi masa.

13.Sudah barang pasti, pendahulu-pendahulu kita adalah political geniuses yang berwawasan. Mereka telah berjaya mengatasi muslihat dan helah penjajah Inggeris dengan dasar pecah perintahnya. Secara sedar atau tidak, sepanjang tempoh penjajahan, rakyat telah diasingkan mengikut kaum dari segi tempat tinggal, jenis pekerjaan dan aliran pelajaran secara halus. Matlamat penjajah sebenar adalah, agar perbezaan ini, akan akhirnya, menyebabkan semua kaum terpaksa bergantung kepada mereka sebagai kononnya the impartial referee.

14.Jadinya, pada waktu itu, pemimpin seperti Allahyarham Dato’ Onn menyedari hakikat dan cuba mengatasinya dengan membuka keahlian UMNO kepada pelbagai kaum, namun percubaan pertama tersebut dan kemudiannya pula melalui Parti Kemerdekaan Tanah Melayu yakni IMP yang dipimpinnya juga, tidak berjaya.

15.Lalu, menyedari bahawa rakyat belum bersedia menerima sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum tetapi menginsafi bahawa inilah jalan ke hadapan untuk mencapai kemerdekaan dan membina masa depan yang lebih baik, maka, mereka telah mencipta suatu kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa melalui konsep Parti Perikatan yang sangat unik dengan mengambil kira persekitaran dan realiti yang ada.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16.Jika diimbau peristiwa lalu, benih-benih Perikatan ini telah bermula melalui kerjasama UMNO dan MCA semasa pemilihan Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Perikatan kedua-dua parti ini telah berjaya memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Kerjasama ini kemudiannya, telah diperluaskan ke peringkat nasional melalui penyertaan MIC pada tahun 1954 bagi menghadapi pemilihan Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun berikutnya.

17.Seperti pucuk dicita ulam mendatang, kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa, antara kaum melalui kerjasama antara tiga parti UMNO, MCA dan MIC ini telah diterima rakyat terbanyak apabila Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya tahun 1955.

18.Seterusnya, konsep dan keanggotaan Parti Perikatan ditambah baik selepas Tragedi 13 Mei 1969 apabila pintu keahliannya dibuka kepada parti-parti yang sebelum ini berada di luar. Malah ada parti-parti yang dahulunya sebagai pembangkang, telah mengiktiraf dan memilih jalan ke arah kesatuan nasional.

19.Ini kerana, mereka mempercayai bahawa, masa depan negara yang terjamin hanya mampu dibela oleh Barisan Nasional. Selanjutnya, Barisan Nasional juga mengembangkan keanggotaan kepada parti-parti di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjelmakan era baru integrasi kebangsaan apabila Barisan Nasional menjadi jambatan politik yang merantau jauh, merentasi Laut Cina Selatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20.Berbanding Pilihanraya Umum 2008, Barisan Nasional yang cuba dimomok-momok, sebagai sudah suram, Alhamdulillah, kini, nampaknya semakin hari sudah semakin pulih. Begitulah, episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas telah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan, sokongan rakyat kepada kita telah berputik dan mekar kembali.

21.Justeru, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang telah membantu kita mencapai kejayaan manis semasa pilihanraya-pilihanraya kecil tersebut. Jelas sekali, ini adalah kejayaan semua pihak, kemenangan demi kemenangan milik kita bersama. Kata-kata tersohor orang Iban “Agi idup agi ngelaban”. Selagi hidup, selagi itu kita berjuang. Kata orang Bajau di Sabah pula “Mangan niak mangan, asal kurung, kurung”. Maksudnya, makan atau tidak makan, asal kita masih hidup bersama-sama. Pastinya, mengambil semangat itu, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka, kita mesti tetap bersama demi Barisan Nasional.

Tuan-tuan dan puan-puan,

22.Memang benar, dikatakan bahawa politik itu penuh dengan percaturan persepsi dan permainan angka. Namun begitu, ia tidak akan berlaku dengan sendirinya. Sebetulnya lagi, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap Barisan Nasional perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

23.Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak. Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk Barisan Nasional terus menerajui kepemimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat.

24.Sebab itulah, pasca Pilihanraya Umum 2008, semasa merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada tahun tersebut, saya telah dengan tegas mengingatkan bahawa UMNO harus berubah atau berisiko untuk rebah. Saya membunyikan semboyan tersebut kerana menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.

25.Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.

26.Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan; kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal; ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.

27.Oleh itu, tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan. Untuk bangun kembali, kita mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan.

28.Syukur kepada Tuhan kerana kita melihat perkembangan-perkembangan positif yang memberangsangkan di dalam parti-parti komponen semenjak 2 tahun yang lalu. Perubahan-perubahan yang berlaku menunjukkan bahawa kita, sedia mendengar suara rakyat dan akan terus menggarap aspirasi mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

29.Sememangnya seperti yang saya sebutkan tadi, kisah-kisah kejayaan Malaysia ini terhasil tidak lain dan tidak bukan, di atas satu formula perkongsian politik antara kaum dicetus oleh our forefathers dan terserlah sebagai satu resipi penerajuan negara yang sangat mujarab.

30.Oleh itu, kita akan sentiasa mengenang jasa-jasa pemimpin utama Barisan Nasional seperti bekas Pengerusi Parti Perikatan dan Barisan Nasional iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemimpin pemimpin parti komponen pula seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tun Tan Siew Sin, Tun Temenggung Jugah Anak Barieng, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen dan ramai lagi pimpinan pelbagai kaum yang tidak terhitung di sini, namun pasti kita tidak pernah lupakan.

31.Sehubungan itu juga, dengan perasan sedih dan rasa belasungkawa, baru-baru ini kita telah kehilangan seorang lagi negarawan tulen dan bekas pemimpin yang bersifat ikonik yakni mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu. Sesungguhnya, beliau merupakan salah seorang pemimpin yang penuh percaya kepada gagasan serta perjuangan Barisan Nasional dan mendiang telah banyak membantu parti bagi membina negara ini.

32.Pastinya segala khidmat dan bakti para pemimpin ini kekal terpahat dengan tinta emas dalam lembaran sejarah negara sebagai muliawan muliawan yang telah berjuang demi membina tamadun rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

33.Dari dahulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara Barisan Nasional adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat. Dari Perlis sampailah ke Sabah, Barisan Nasional menjiwai degupan nubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia.

34.Pucuk pangkalnya, Barisan Nasional telah sentiasa mendahulukan rakyat, mampu mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat, sekali gus mengangkat negara kita ke satu tahap yang sungguh membanggakan. Hakikatnya pun, bukankah Parti Perikatan, yang telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan? Bukankah muafakat murni ini, yang sedang mengisi kemerdekaan itu? Dan bukankah barisan ini, yang diberi mandat oleh rakyat, untuk menerajui negara?

35.Jelas sekali, orang lain hanya mampu memperdagangkan mimpi, traders of dreams, mencanangkan angan-angan, mencetak khayalan, walhal parti kita lah sebenarnya menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan jitu, serta pelaksanaan kerja yang tersusun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

36.Oleh sebab itulah, saya suka mengulang-ulangkan bahawa antara nilai paling penting yang telah menjadi penguat kepada Barisan Nasional adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan kita, untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang jauh lebih besar.

37.Kepentingan itu, adalah mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, maju lagi makmur di mana rendangnya, semua dapat berlindung dan berteduh, di mana limpahan nikmat alamnya, semua dapat mencari rezeki, di mana keamanannya, semua dapat membina kehidupan yang bahagia.

38.Furthermore, when the time comes where each of us can rest assured, that our children and grandchildren and in turn their children will have a better future, a higher standard of living, a better quality of live, able to realise their dreams and their God given potential.

Tuan-tuan dan puan-puan,

39.Seperti yang saya katakan, perhubungan kaum dan cara kita menguruskannya di Malaysia adalah sesuatu hal yang boleh kita banggakan. Cara kita menangani realiti kemajmukan yang wujud adalah secara realistik dan berpegang kepada prinsip universal bahawa semua makhluk dicipta sama oleh Maha Pencipta, dengan hak-hak yang tidak dapat dinafikan. Sejarah menunjukkan bahawa kita tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan sentimen perkauman atau menjadikan rasisme teras pengurusan perhubungan kaum di negara ini.

40.Jika kita meninjau di Amerika Syarikat, kononnya sebagai negara yang dijadikan contoh kepelbagaian demokrasi pun, telah mengambil masa lama yakni 87 tahun dari tarikh pengisytiharan kemerdekaan yang menyatakan “semua manusia diciptakan sama” atau “all men are created equal” kepada emansipasi menghapuskan perhambaan. Manakala ia memakan tempoh 102 tahun lagi selepas itu, apabila semua diskriminasi dalam pendaftaran pengundi diharamkan.

41.Namun, di Malaysia ini, semenjak merdeka kerajaan tidak pun menjadikan isu kaum dan warna kulit sebagai alasan untuk menghadkan hak kelayakan mendaftar mengundi. Apatah lagi, bagi menentukan tempat duduk di restoran dan kenderaan awam, serta mengasing penggunaan bilik air, sebagaimana berlaku di negara-negara lain.

42.Lantaran itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menafikan peranan Barisan Nasional, sebagai parti pelbagai kaum sebenar, yang memperjuangkan kesejahteraan hidup antara kaum di Malaysia selama ini. Kita dianggotai oleh pelbagai jenis parti berasaskan kaum, dan ada yang bersifat pelbagai kaum. Bersatu dan bersama-sama mewakili kepentingan semua pihak. Sedangkan di pihak pembangkang, tidak terjamin suara kaum minoriti akan sampai ke peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi mereka, simply because they, are not adequately represented.

Tuan-tuan dan puan-puan,

43.Kita adalah parti yang progresif, bersatu secara ikhlas dengan matlamat dan nilai yang dikongsi bersama. Kita bergabung secara sah dari segi undang-undang, mempunyai perlembagaan, lagu dan lambang sendiri sebagai panji-panji yang mana kita berdiri megah di belakangnya.

44.Telah terbukti, kerajaan Perikatan dan kemudiannya, Barisan Nasional, berjaya merubah sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, dalam masa hanya lima puluh tahun. Kita telah bukan sahaja berjaya menguruskan sebuah negara multi-racial dengan baik, malah, kita telah berjaya memajukan bidang sosioekonomi dan memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional.

45.Barisan Nasional telah mencipta kemakmuran melalui rancangan pembangunan lima tahun, rangka rancangan jangka panjang, reformasi tanah besar-besaran, perang terhadap kemiskinan, dasar ekonomi baru, dasar pembangunan nasional, dasar pembangunan wawasan, dan hari ini kita telah menggariskan laluan-laluan besar seperti Government Transformation Programme atau GTP, Economic Transformation Programme atau ETP dan mutakhir adalah Political Transformation Programme atau PTP.

46.Antara contoh PTP terkini, adalah perubahan bersejarah dalam Barisan Nasional sejak ia ditubuhkan yakni berkaitan keahlian. Atas prinsip keterangkuman dan berjiwa besar, seberapa ramai rakyat, NGO, persatuan, penyokong dan generasi muda supaya dapat bersama dalam perjuangan ini, maka kita bersetuju untuk mewujudkan empat jenis keahlian baru. Pertama, keahlian secara bersekutu; kedua, keahlian secara bergabung; ketiga, friends of Barisan Nasional dan keempat, kelab rakan muda Barisan Nasional. Kita akan terus bergerak dan berusaha agar dasar keahlian terus Barisan Nasional ini akan menjadi realiti yang membawa manfaat kepada parti dan rakyat.

47.As a matter of fact, we have never rested on our laurel or taken things for granted. We have toiled together with our constituency of one and many, you the people. These are exciting times, these are interesting and challenging times. We are a nation and a people at the crossroad of history, on the verge of the promised future.

48.Ladies and gentlemen, the clarion call of manifest destiny is beckoning upon us to bring this great nation, Malaysia, to its fullest potential, to take its’ rightful place in the community of nations with dignity and pride, holding our head up high, thankful in the blessings of providence.

Tuan-tuan dan puan-puan,

49.Apa yang menghairankan, adalah parti pembangkang cuba mendakwa bahawa merekalah pembawa obor perubahan dan pembaharuan. Betulkah begitu? Bahawa merekalah kononnya manifestasi demokrasi dan segala yang demokratik. Betulkah begitu?

50.Apa yang jelas, parti pembangkang cuba meniru kita dari segi kerjasama. Pada hemah saya, usaha ini sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, wawasan dan nilai yang dikongsi bersama. Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apapun yang dicipta adalah hanya percubaan-percubaan pembangkang yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka. Simpulan bahasa menyebut, mereka ini, telunjuk sahaja lurus tapi kelingking berkait.

51.Antara DAP dan PAS misalnya, hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak seolah-olah bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Maksud saya, kalau dahulu Parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih Parti Keadilan Rakyat. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan, kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleweng rakyat.

52.Mereka juga mendabik dada kononnya, sebagai parti demokratik yang mewakili semua kaum. Realiti sebenarnya jauh berbeza. Lihat sahaja parti PKR, daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja, yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti.

53.Contohnya lagi, apabila UMNO memperkenalkan corak pemilihan kepemimpinan yang baru mereka pun nak meniru juga. Kita faham mungkin mereka ikut kata pepatah Inggeris “imitation is the best form of flattery”. Tampak jelas, apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka, sehingga kelam-kabut dan melilau ingin menciplak. Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru, sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya.

54.Lagipun, jika hanya 7 peratus, yakni lebih kurang 30,000 orang dari kononnya ratusan ribu ahli parti yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab, untuk keluar memilih barisan kepemimpinan mereka, maka, ia membawa dua konotasi.

55.Pertama, parti ini adalah parti yang tidak mendapat sokongan massa. Maksud saya, kepemimpinan parti ini sebenarnya hanya mewakili kepentingan tertentu yang mengejar kuasa serta terikat untuk menyelesaikan masalah peribadi sehingga sanggup memperdayakan rakyat. Berhati-hatilah semua, berwaspadalah semua, mereka ini amat-amat merbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara. Saya mahu jelaskan di sini bahawa, mereka ini anti nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak peranda oleh kegiatan durjana mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

56.Konotasi kedua adalah integriti dan kewibawaan parti tersebut sebenarnya disangsikan oleh ahli-ahli mereka. Ahli-ahli mereka sendiri yang telah mengamuk, tidak berpuas hati, memberontak, kecewa, membuat kecoh, membaling kerusi dan ramai yang telah membawa pelbagai isu parti ke mahkamah. Selain itu, amat pelik bin ajaib, keputusan pemilihan boleh berubah dengan drastik, lantas mencemarkan kebolehpercayaan kepada proses yang dijalankan.

57.Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar, ramai pimpinan utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Pengerusi Negeri, Ketua Cabang termasuk Cabang Permatang Pauh, Bekas Timbalan Ketua Menteri 5 orang ADUN dan 5 Ahli Parlimen. Lantaran itu, amatlah pantas jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-Ramai.

58.Baru-baru ini pula, tampaknya PKR menjadi begitu terdesak untuk meraih simpati rakyat sehinggakan Presidennya terpaksa mengutarakan, bahawa, Ketua Umum mereka adalah anugerah Tuhan. Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap “ke…he..ba..tan” suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadith mana pendapat itu boleh dibuat? Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga penyataan begini sanggup dikeluarkan?

59.Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu lagi ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu! Saya harap rakyat janganlah mudah terpengaruh dengan perkara yang karut-marut seperti ini. Mustahak untuk diingat, bukanlah rakyat yang bertanggungjawab untuk menyelesai dan menanggung beban pemimpin. Sebaliknya, pemimpinlah yang wajib hadir dalam kehidupan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah perbezaan paling ketara dan besar antara kita dan parti lawan kerana Barisan Nasional adalah parti sebenar yang merasai denyut nadi dan menjuarai keluh-kesah rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

60.Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan kita yang mendakwa bersifat pelbagai kaum ini, merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika adapun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik. Sebenarnya, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat rakyat, atau tiga empat kepala, atau tiga empat orang sahaja.

61.Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan. Di sinilah lainnya dengan konsep Barisan Nasional yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.

62.Di dalam sistem Barisan Nasional, setiap parti mempunyai perwakilan yang sama rata dalam Dewan Tertinggi, tidak kira parti itu besar atau kecil. UMNO mempunyai perwakilan yang serupa dengan parti-parti komponen yang lain. Paling mustahak, semua keputusan dibuat secara musyawarah dan konsensus. Ini bagi menjamin, walaupun sebahagian parti yang menganggotai Barisan Nasional adalah berasaskan kaum, akan tetapi, kepentingan semua, tetap dipelihara, dilindungi, diambil kira dan terus dipertahankan sampai bila-bila.

63.Hal yang sebaliknya berlaku di sebelah sana, keputusan pemilihan parti lawan baru-baru ini menyaksikan Ketua Umum, Presiden dan Naib Presiden parti datang dari satu keluarga. Sungguh lucu rasanya apabila mereka pula yang berani menuduh kita sebagai pengamal nepotisme. Saya nak tanya, siapakah pengamal nepotisme yang sebenar di sini? Seperti kata Legal Maxim, justice must not only be done it must seen to be done. Moreover, it must not only be proper it must also be seen to be proper.

Tuan-tuan dan puan-puan,

64.Satu lagi parti pula adalah parti Anak Beranak Sendirian Berhad. Dengan hegemoni dua dinasti, satu keluarga dengan kuasa, dan satu lagi keluarga tanpa kuasa, actually, all are merely ceremonial. Sebabnya, dalam sistem parti ini Setiausaha Agung lebih berkuasa daripada Pengerusi. Mereka ini, tak henti-henti berkokok dan menjerit mendakwa parti mereka adalah berbentuk pelbagai kaum.

65.Namun begitu, jika dikaji daripada senarai kepimpinan pusat, kita dapat lihat, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir enam puluh tujuh peratus rakyat, hanya setakat mempunyai dua orang wakil. Lebih dahsyat lagi, kelompok Bumiputera Sabah dan Sarawak langsung tidak diwakili. Adakah itu namanya demokrasi dan parti bersifat terbuka?

66.Dari sebab itu, saya berpendapat parti ini seharusnya mengamalkan apa yang mereka khutbahkan. They should uphold what they so sanctimoniously preach to others with righteous indignation. Di sini, saya ingin katakan kepada mereka, mengakulah, bersikap teluslah. Jika didedahkan statistik kepimpinan serta keahlian sebenar parti mereka mengikut kaum, maka sangat terang lagi bersuluh, bahawa, merekalah parti satu kaum yang menjadikan cauvinisme sebagai falsafah perjuangan dari dahulu sampailah sekarang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

67. Di sudut yang lain pula, kalau kita lihat tentang PAS, amat pelik jika diamati, apabila PAS sebagai sebuah parti yang kononnya mendokong pegangan menurut ajaran Islam, boleh pula bekerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen-dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara. Apa yang boleh kita katakan, adalah sepatutnya PAS bertindak lebih bijak dari itu dan menyedari hal tersebut serta eloklah saja terus berpegang teguh kepada apa yang kononnya menjadi prinsip mereka selama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

68.Bercita-cita untuk menjadi parti pemerintah bagi sebuah parti politik bukanlah perkara yang luar biasa, namun yang perlu direnungkan oleh rakyat ialah kesannya kelak. Rakyat mesti sedar dan faham bahawa parti-parti lawan ini mempunyai maksud yang tidak ikhlas, sangat oportunis dan penuh hipokrasi.

69.Kita tahu, mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah, mereka sanggup berbuat apapun, hanya untuk merampas kuasa dan dari semasa ke semasa bersifat biadab, rakus lagi haloba. Dalam hal ini, seluruh Malaysia tahu, bahkan satu dunia tahu bahawa angan-angan 16 September oleh pihak pembangkang telah menjadi satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanah air.

Tuan-tuan dan puan-puan,

70.Berbanding dengan Barisan Nasional, kita tidak pernah mengambil apa-apa langkah semata-mata kerana ianya popular tanpa memikirkan secara mendalam akibat jangka panjang kepada rakyat yang telah menaruhkan kepercayaan mereka kepada kita.

71.Kesimpulan yang boleh dibuat, Barisan Nasional adalah parti yang bertanggungjawab. Barisan Nasional adalah parti yang melaksanakan amanah rakyat. Barisan Nasional adalah parti di mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan pengharapan. The people can trust us to do, not only what is right, but what is in their best interest, and what is in the best interest of this beloved nation of ours.

72.Selanjutnya, sebagai pemimpin, saya mahukan semua dalam Barisan Nasional hendaklah memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri sendiri. Saya ingin memetik satu falsafah Cina yang sangat sesuai dijadikan pengajaran kepada kita. Dalam bahasa Mandarin berbunyi:

“Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le ”

(“先天下之忧而忧,后天下之乐而乐” )

Saya difahamkan ia bermaksud “Selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka, Bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia“.

73.Itulah syarat-syarat yang diwajibkan seorang mahaguru dan ahli falsafah pada zaman Dinasti Sung beribu tahun dahulu kepada pemimpin yang hendak mentadbir negara. Saya berpendapat, bahawa, walaupun ajaran tersebut sudah muncul sekian lama, tetapi, ianya sangatlah sesuai dijadikan pegangan para pemimpin Barisan Nasional yang mendahulukan rakyat dan mempertamakan kepentingan rakyat.

74.Satu falsafah dalam bahasa Tamil pula, menyeru dengan tegas supaya kita berjuang dengan sepenuh jiwa bagi memastikan kemenangan. Dalam bahasa Tamil disebut:

“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”

(Ertinya: “If this team cannot win the battle, no other team can”).

This is the team, this is the Barisan Nasional team!

“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

75.Pokoknya, kita telah meletakkan asas-asas konkrit yang perlu untuk membawa Malaysia ke arah status negara maju berpendapatan tinggi menjelang fajar 2020. Pada waktu itu nanti, kita ingin semua bangsa menjadi maju. Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang Murut, orang Dusun, orang Iban, orang Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh termasuk orang Siam dan semua suku kaum yang ada untuk menikmati sinar bahagia, dalam negara Malaysia yang maju.

76.Di sinilah tanah tumpah darah kita, di sinilah, kita dilahirkan dan dibesarkan, di sinilah kita menghirup udara segar sebagai nikmat dan rahmat dari Tuhan, di sinilah kita hidup aman merdeka dan di sinilah satu hari yang ditakdir dan ditentukan kelak, kita akan kembali menemui Yang Maha Esa dan dipusarakan.

77.Makanya, mahu tidak mahu, jangan sekali-kali biarkan apa yang telah kita bina dan bangunkan selama ini diruntuhkan oleh puak-puak yang hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa semata-mata. Oleh sebab itu, walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

78.Simbol kapal layar dan kini dacing sebagai logo parti kita adalah perlambangan Barisan Nasional sebagai bahtera gagah serta neraca keadilan yang akan terus menakhoda Malaysia ke ambang kejayaan. Justeru, saya berdiri dan berpidato sebagai Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, ingin berpesan, janganlah terpukau oleh helah pihak pembangkang yang penuh tipu daya, janganlah sekali-kali menumpang atau menaiki sampan rosak dan bocor, pakatan palsu mereka, yang makin hanyut dilanda badai.

Seperti diingatkan dalam pantun Melayu:

Kalau belayar perahunya senget,

Memang susah hendak kemudi,

Usah berharap guruh di langit,

Kilat memancar hujan tak jadi.

79.Oleh itu, kepada semua saya mengajak;

Marilah bersama-sama barisan yang telah terbukti jasanya ini,

marilah mempertahankan masa depan tanah air kita daripada ancaman pendusta dan pelelong nusa,

marilah membina sebuah masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk kita, tetapi untuk anak-anak kita dan juga anak-anak mereka,

tampillah, seluruh pemuda-pemudi negara,

di sini dan di luar sana,

dengan tangan terbuka, kita ingin menyambut semua,

inilah saat dan waktunya, bergerak bersama saya, berjuang dalam barisan,

menumpah khidmat, menggembleng kudrat.

Dakaplah barisan ini, yang selama lima dekad telah mencipta kejayaan bagi rakyat Malaysia.

Dukunglah barisan ini, dengan kepercayaan baru apabila tiba masanya nanti.

Moga-moga ditunjang sokongan saudara dan saudari, rakyat Malaysia, kita bakal menempa lima puluh tahun lagi yang lebih gilang-gemilang.

80. We will always put you, the people first in our priority, in our heart and our every action,

we shall stand by and with you, for we are part of you, and for you,

we are born out of your yearning for a better life and for a better future.

Barisan Nasional will always fight for your welfare and your wellbeing, every step of the way in this great national journey of ours.

This, is our promise to you, the people of Malaysia.

Let there be enough food on the table,

decent roof above every head,

well paying jobs for all who want to work,

a country where everybody feels safe and secure,

access to quality and affordable healthcare,

an education system that is able to optimise the potential of each and every Malaysian.

Let us go forth and strive for a developed and prosperous Malaysia with opportunities for all, a nation standing tall among the community of nations.

History has proven that Barisan Nasional has always delivered on its commitment and we will continue to deliver,

we have upheld your trust in us, and, we will continue to do so.

81. Bersatu dan bermuafakat, pasti membawa rahmat. Barisan Nasional, barisan menjuarai rakyat.

barisan perpaduan,

barisan keamanan,

barisan kemakmuran,

barisan 1Malaysia.

Dengan kata-kata semangat itu, saya merasmikan Konvensyen Barisan Nasional tahun 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Sultan Selangor kurang senang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

“Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ yang ada pada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’ hendaklah dihapuskan.

“Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka,” titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan – Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

“Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri-negeri Melayu Bersekutu’ dan juga ada menyebut ‘Raja-raja Melayu’.

“Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini,” titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

“Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan,” tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

“Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

“Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita,” katanya. -UM

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemilihan Umno Ditangguhkan 18 Bulan

Pemilihan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut telah diputuskan secara sebulat suara oleh ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam.

“Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang bukan kali pertama, tetapi telah beberapa kali kita gunakan peruntukan ini.

“Hal ini supaya seluruh perhatian dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Najib berkata, Umno juga tidak mahu menjadikan pemilihan parti pada tahun hadapan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam parti walaupun beliau yakin perkara itu dapat dibendung.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti,” katanya.

Ditanya adakah penangguhan pemilihan Umno itu merupakan petunjuk yang menandakan pilihan raya umum akan diadakan pada tahun hadapan, Najib berkata: “Bukan perkara baru. Kita tidak boleh terlalu teruja.”

“Setahu saya sudah tiga, empat kali kita pakai peruntukan ini. Tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno turut menangguhkan pengumuman barisan kepimpinan di beberapa buah negeri sehingga penghujung tahun ini.

“Perkara ini akan dilakukan dan saya diumumkan sebelum hujung tahun ini tapi bukan malam ini.

“Saya perlukan sedikit masa bersama-sama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri. Berilah sedikit tempoh, insya-Allah kita akan umumkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno, Oktober lalu Najib mengumumkan bahawa beliau akan melakukan rombakan terhadap barisan kepimpinan di beberapa buah negeri dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, beliau berkata mulai awal tahun depan, semua ketua cawangan dan ketua sayap peringkat cawangan diwajibkan untuk menghadiri kursus parti yang bakal menyaksikan lebih 50,000 pemimpin Umno diberi latihan.

“Kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan kepada Model Baru Politik yang telah saya gariskan dengan tujuh prinsipnya.

“Kita akan murnikan lagi dan terangkan tentang gagasan 1Malaysia dan bagaimana Umno adalah parti yang mendahulukan rakyat, menjaga kepentingan rakyat dan mementingkan sistem penyampaian kita,” katanya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda