Daily Archives: December 1, 2010

Sultan Selangor kurang senang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

“Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ yang ada pada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’ hendaklah dihapuskan.

“Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka,” titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan – Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

“Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri-negeri Melayu Bersekutu’ dan juga ada menyebut ‘Raja-raja Melayu’.

“Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini,” titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

“Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan,” tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

“Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

“Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita,” katanya. -UM

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemilihan Umno Ditangguhkan 18 Bulan

Pemilihan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut telah diputuskan secara sebulat suara oleh ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam.

“Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang bukan kali pertama, tetapi telah beberapa kali kita gunakan peruntukan ini.

“Hal ini supaya seluruh perhatian dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Najib berkata, Umno juga tidak mahu menjadikan pemilihan parti pada tahun hadapan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam parti walaupun beliau yakin perkara itu dapat dibendung.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti,” katanya.

Ditanya adakah penangguhan pemilihan Umno itu merupakan petunjuk yang menandakan pilihan raya umum akan diadakan pada tahun hadapan, Najib berkata: “Bukan perkara baru. Kita tidak boleh terlalu teruja.”

“Setahu saya sudah tiga, empat kali kita pakai peruntukan ini. Tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno turut menangguhkan pengumuman barisan kepimpinan di beberapa buah negeri sehingga penghujung tahun ini.

“Perkara ini akan dilakukan dan saya diumumkan sebelum hujung tahun ini tapi bukan malam ini.

“Saya perlukan sedikit masa bersama-sama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri. Berilah sedikit tempoh, insya-Allah kita akan umumkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno, Oktober lalu Najib mengumumkan bahawa beliau akan melakukan rombakan terhadap barisan kepimpinan di beberapa buah negeri dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, beliau berkata mulai awal tahun depan, semua ketua cawangan dan ketua sayap peringkat cawangan diwajibkan untuk menghadiri kursus parti yang bakal menyaksikan lebih 50,000 pemimpin Umno diberi latihan.

“Kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan kepada Model Baru Politik yang telah saya gariskan dengan tujuh prinsipnya.

“Kita akan murnikan lagi dan terangkan tentang gagasan 1Malaysia dan bagaimana Umno adalah parti yang mendahulukan rakyat, menjaga kepentingan rakyat dan mementingkan sistem penyampaian kita,” katanya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda