Daily Archives: December 13, 2010

Jelaskan ‘hubungan’ dengan Shamsidar – Ezam

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya menjelaskan kenyataan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan mengenai ‘hubungannya’ dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Shamsidar Taharin.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, kenyataan Nallakaruppan itu memberi pelbagai konotasi terhadap Anwar serta Shamsidar.

“Ini bukan kenyataan main-main, ini perkara sensitif yang perlu dijelaskan oleh Anwar.

“Kalau kenyataan Nallakarupan itu salah, saya cabar Anwar, Shamsidar dan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali supaya saman Nallakarupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di Bangi dekat sini, semalam.

Ezam mengulas kenyataan Nallakarupan seperti laporan Utusan Malaysia semalam yang meminta Shamsidar menjelaskan perlakuan sebenar suaminya dan Anwar bagi menyelamatkan rakyat daripada ditipu.

Menurut Nallakarupan, Shamsidar mempunyai pengetahuan luas mengenai Anwar kerana kedua-duanya mempunyai hubungan amat rapat suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjelaskan, beliau menentang Anwar bukan kerana ‘perhitungan peribadi’ tetapi demi prinsip dan keamanan negara.

Menurutnya, usaha Anwar serta pembangkang yang mempolitikkan segala isu termasuk masalah air di Selangor melalui demonstrasi jalanan adalah satu perbuatan yang hipokrit.

“Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar dan kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan segala isu berkaitan air melalui saluran formal seperti mesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan, bukan huru-hara demonstrasi.

“Walhal, ketika Anwar jadi Menteri Kewangan dulu dia langsung tidak memberikan satu sen pun daripada RM600 juta yang dimohon Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk rawatan air di Kelantan.

“Anwar juga memberitahu enggan memberi bantuan itu kerana mahu ‘mengajar’ kerajaan Pas negeri, memang dia mempolitikkan isu air.

“Tapi selepas dia (Anwar) disingkirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998, Dr. Mahathir terus meluluskan peruntukan RM600 juta buat Kelantan kerana kerajaan Barisan Nasional tidak mempolitikkan isu air dan ikhlas membantu, kalau saya tipu, samanlah saya,” cabarnya. – utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

WikiLeaks: Anwar terlibat?

Agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.

Pendedahan itu dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008, iaitu kira-kira lima bulan selepas dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terbongkar.

Menurut WikiLeaks, dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa, Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang.

Maklumat risikan itu dikukuhkan lagi apabila WikiLeaks juga mendedahkan bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, sendiri pernah memberitahu agensi Risikan Kebangsaan Australia (ONA) sewaktu mereka bertukar-tukar pandangan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat.

“Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan Lee Kuan Yew pernah memberitahu ONA semasa bertukar-tukar pandangan iaitu, Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu (liwat), yang beliau sekarang sedang menghadapi pertuduhannya.

“Penilaian ONA dan rakan-rakan dari Singapura bersetuju, pertuduhan itu ‘perangkap’ dan Anwar mengetahui mengenai kemungkinan pendakwaan tetapi apa yang jelas beliau (Anwar) memang terlibat (dalam aktiviti liwat),” kata kabel itu sebagaimana dipetik daripada laporan The Sydney Morning Herald.

Menurut The Sydney Morning Herald, Anwar memang sedar bahawa beliau bakal masuk ‘perangkap’ iaitu akan didakwa buat kali kedua berhubung pertuduhan salah laku seksnya, berdasarkan laporan polis yang dibuat Mohd. Saiful serta bukti klinikal yang lengkap.

‘Perangkap’ itu merujukkan kepada pendakwaan di mahkamah kerana di Australia, aktiviti homoseksual dibenarkan tetapi di negara ini yang Islam sebagai agama rasmi, liwat adalah salah di sisi undang-undang sama ada ia dilakukan secara sukarela atau pun secara paksaan.

Pada masa yang sama, beberapa portal berita propembangkang seperti The Malaysian Insider dan Malaysiakini juga dilihat cuba memutarkan isu sebenar dengan memperbesarkan isu ‘perangkap’ tetapi persoalan sebenar iaitu mengenai laporan agensi perisikan Singapura – Utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda