Daily Archives: January 19, 2011

Speaker isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

NONESebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.

Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversial Pelabuhan Klang itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga ‘menghilangkan diri’ buat seketika dan muncul semula dengan berita yang beliau akan berpaling tadah.

azlanBadrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil. Yang terakhir akan diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha.

Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan.

Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng.

Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatatkan kehadirannya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Duta Besar Iran Iktiraf Umno Parti Islam

Umno bukan sahaja parti politik yang memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu, malah diakui sebagai sebuah parti yang konsisten dalam memartabatkan agama Islam, kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Profesor Dr Mohammed Mehdi Zahedi.

“Umno adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni, bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam, tetapi juga masyarakat keseluruhannya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita Umno Online semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Umno hari ini.

Pada pertemuan tersebut, Tengku Adnan menjelaskan kepada duta berkenaan tentang perjuangan Umno untuk agama seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan parti serta isu semasa membabitkan agama.

“Umno menghormati agama-agama lain dan masyarakat di Malaysia bebas untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, tetapi apa yang sangat ditekankan dalam konteks Islam ialah pengukuhan akidah agar tidak berlaku pemesongan,” katanya.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Tengku Adnan juga menerangkan pemimpin Umno tidak bertolak ansur dalam soal akidah Islam, namun pada masa yang sama, percaya persefahaman dan kerjasama antara masyarakat majmuk mampu membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.

Tengku Adnan turut menghuraikan sejarah penubuhan Umno pada 1946 dan perjuangannya dalam menuntut kemerdekaan, serta latar belakang yang membawa kepada penubuhan parti PAS oleh bekas anggota Umno pada 1955.

Dalam kunjungan ini, Dr Mohammed Mehdi turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Umno untuk bekerjasama dengan anggota Parlimen dan ulama Iran dalam rangka bertukar-tukar fikiran serta berkongsi pengalaman. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda