Monthly Archives: July 2011

Jangan pandang rendah kekuatan UMNO – Najib

KUALA LUMPUR 10 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pelbagai pihak terutama pembangkang supaya tidak memandang rendah kekuatan UMNO hanya kerana mampu menganjurkan perhimpunan haram semalam.

Dengan kekuatan lebih tiga juta ahli, beliau menegaskan parti itu pada bila-bila masa boleh mengarahkan sejuta daripada mereka untuk menawan Kuala Lumpur tetapi itu bukan cara UMNO yang sentiasa menjunjung undang-undang.

Menurutnya, jika mahu, parti itu juga boleh mengumpul sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan silat yang selama ini menyokong perjuangan UMNO.

”Mereka nak berhimpun 100,000? Saya nak beritahu, anak buah kita ada berapa? UMNO sahaja ada lebih tiga juta ahli. Tidak perlu tiga juta, kumpul sejuta pun sudah cukup. Kita boleh tawan Kuala Lumpur dengan satu juta ahli.

”Sekiranya tidak cukup sejuta ahli UMNO berhimpun, kita kerahkan.. siapa? Tan Sri Omar Din, Mahaguru Seni Silat Lincah, ahli-ahli silat Gayung. Saya Ulul Amri dua silat ini. Perintah Ulul Amri tak boleh dibantah, mesti taat. Kekuatan kita jelas. Oleh itu, jangan ada sesiapa yang sangsi dengan kekuatan kita,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap di hadapan 6,000 peserta Majlis Penerangan Perdana Bersama Perdana Menteri anjuran Ketua Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Najib berkata, begitu juga dengan persatuan bekas komando dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang sedia bertindak sekiranya arahan dikeluarkan.

”Sentuh sahaja soal Islam dan Melayu bangkitlah ini semua. Jadi, janganlah kita mulakan budaya demonstrasi jalanan, jangan. Kita boleh lawan mereka semalam. Sebab itu kita minta wakil kita Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sahaja yang turun,” kata beliau.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bersih: Alahai…sendiri bikin, Anwar terbaring lesu ‘separuh nyawa’…

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya boleh cakap apa shaaja fasal perhimpunan haram Bersih yang menyebabkan huru-hara dan segala aktiviti harian di beberapa lokasi di ibu negara terhenti bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, Sabtu.

Ketua Pembangkang itu boleh dakwa polis bertindak ganas, boleh dakwa demokrasi sudah mati, boleh dakwa 50,000 hadir menyokong perhimpunan itu dan segala macam lagi.

Namun, hakikatnya mungkin Anwar merasa amat malu kerana perhimpunan Bersih kali ini hanya menarik tak sampai 15,000 orang sahaja menyertainya berbanding lebih 30,000  ketika perhimpunan Bersih pada 2007.

Ibarat skip drama ulangtayang, Ketua Pembangkang itu bising dakwa beliau cedera ringan dan dilihat meninggalkan KL Hilton dengan ambulans sebuah hospital swasta.

Itupun sendiri bikin ketika beliau bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain berdegil cuba merempuh hadangan polis di perkarangan KL Sentral.

Sebelum itu beliau menyusup masuk menginap Hotel Hilton di situ, kemudian turun menyertai peserta perhimpunan Bersih lain.

Anwar dalam mesej twitternya kata hanya cedera ringan tetapi peliknya tengok gambar beliau yang disiarkan beberapa blog, nampak macam ‘nazak’ sangat.

Apakah itu semua lakonan semata-mata kerana nak[I] ‘coverline’[/I] perhimpunan Bersih yang gagal capai matlamatnya? Apapun kalau betullah dia ‘nazak’ semoga cepat sembuh, supaya dapat hadir ke mahkamah semasa  kes liwatnya bersambung 13 Julai ini.

Tidak hairanlah, senator Ezam Mohd Nor dalam SMSnya kepada[B] Agendadaily[/B], kata “Allah selamatkan negara sekali lagi dari agenda jahat Anwar Ibrahim. Dia gagal untuk himpunkan puluhan ribu atau ratusan ribu orang. Semasa arsenik atau Bersih, matlamatnya sama saja untuk kumpul  ratusan ribu untuk lumpuhkan sistem negara agar lepas dakwaan liwat,”.

“Saya tahu skrip sebenar Anwar sebab saya panglima nombor satu dalam susun agenda ini dulu. Kasihan lihat ada lagi terus diperalatkan lagi. Sekarang  Anwar cedera pula dan di hospital. Skrip lapuk untuk selamatkan diri dari kes liwat. Dia akan guna alasan ini untuk simpati dan kemudian cabut lari,”.

Itu kata Ezam yang merupakan bekas Ketua Pemuda Keadilan yang menjadi orang kanan Anwar semasa zaman reformasi 1998 dulu.

Sebenarnya, sesiapa yang turun di jalanan melihat perhimpunan hari ini jelas melihat tindakan itu bukan bertujuan mahukan proses pilihanraya yang bersih dan adil.

Kalau menuntut perkara itu, kenapa jerit Reformasi, Hidup Rakyat dan tolak kerajaan?.

Barangkali benarlah kata Ezam bahawa Anwar hanya mahu melepaskan tengkuknya sahaja dan mereka yang tidak berdosa jadi galang ganti.

Tolak ketepi mereka yang sanggup kena siram dengan[I] water canon[/I] atau peluru asap oleh FRU kerana mereka semua sudah terlalu taksub dengan perjuangan pembangkang.

Tetapi apa jadi dengan pesakit di hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu apabila ratusan penunjuk perasaan meluru lari ke hospital itu mengelak ditahan pihak berkuasa.

Ini semua kerja tidak masuk akal dan hanya menyusahkan orang lain.

Begitu juga dengan nasib pemilik premis perniagaan di sepanjang Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Silang dan kawasan lain tempat perhimpunan diadakan.

Mereka terpaksa tanggung kerugian kerana menutup perniagaan sejak awal pagi lagi.

Sebab itu, memang wajar lebih seribu tangkapan oleh pihak berkuasa terharap pemimpin pembangkang dan mereka yang terbabit demonstrasi jalanan sama ada di Jalan Pudu, Central Market, KL Central, KLCC, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di Kampung Bharu.

Jika berani buat, mereka kena berani tanggung.

Malangnya ada juga kanak-kanak dan warga emas turut diperalat dalam perhimpunan haram yang sebelum ini sudah dicadangkan oleh kerajaan diadakan di stadium.

Namun, mereka nyata lebih berani berbanding Anwar yang awal-awal lagi ‘baling batu sembunyi tangan’ dalam isu perhimpunan Bersih dengan Datuk S.Ambiga hanya jadi boneka beliau.

Mereka juga tidak lari masuk hotel macam Anwar dan kemudian pergi menaiki ambulan dengan alasan cedera.

Akhirnya, titah Yang diPertuan Agong tidak dipedulikan Anwar dan penyokong-penyokongnya.

Nampaknya kerajaan dan pihak berkuasa tidak boleh lagi bagi muka kepada mereka yang dianggap menderhaka kerana engkar titah Yang diPertuan Agong.

Cukuplah apa yang berlaku pada 2007 dan hari ini…Rakyat sudah muak dengan politik jalanan yang tujuannya hanya mahu mempertahankan pemimpin yang didakwa oleh isteri sendiri …kononnya anugerah Tuhan.

Ada yang secara sinis kata kes liwat dan video seks yang patut ‘dibersihkan’ dulu.Tak gitu Pak Sheikh.-9/7/2011- agendadaily

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peserta demo Bersih mati kerana komplikasi jantung bukan kerana gas pemedih mata

Polis telah klasifaksikan kes kematian seorang pemandu teksi, Baharuddin Ahmad, juga isteri kepada seorang ahli PKR cabang Setiawangsa Kuala Lumpur yang menyertai perhimpunan Bersih Sabtu sebagai  ‘mati mengejut’.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kematiannya adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

Baharuddin meninggal dunia selepas sesak nafas semasa polis sedang menyuraikan peserta demo di jalan depan KLCC.

“Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya dalam sidang akhbar Ahad.

Amar Singh juga memberitahu bahawa usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharudin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

“Semasa bedah siasat malam tadi pada pukul 11.30 malam oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kecederaan dalaman,” kata beliau.

Amar Singh juga menegaskan tiada sebarang gas pemedih mata atau meriam air digunakan untuk meleraikan perhimpunan haram semasa Baharudin berada di kawasan perhimpunan haram di KLCC.

Beliau berkata Baharudin melarikan diri ketika polis meleraikan perhimpunan haram tersebut dan menuju ke KL Avenue, dan pada ketika di situlah beliau mengalami masalah pernafasan.

“Kerana twitter menyatakan bahawa ia ada kaitan dengan tindakan polis. Siasatan oleh polis, tiada sebarang pemedih mata yang digunakan ketika beliau berada di situ,” katanya.

Amar Singh juga berkata anak Baharudin iaitu Mohd Nasrul, 22, dalam keterangannya kepada polis memberitahu bahawa bapanya ada memaklumkan mahu  pergi ke KLCC untuk menghadiri perhimpunan tersebut dan juga merupakan seorang penghidap penyakit darah tinggi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu yang mempunyai bukti bahawa kematian Baharudin disebabkan tindakan polis meleraikan perhimpunan, Amar Singh berkata polis bersedia menerima apa-apa bukti berkaitan perkara tersebut.

“Jika anda ada bukti mengenainya, sila tunjukkan kepada kita tetapi polis mengesahkan bahawa mereka tidak ada kaitan dengan tindakan polis seperti gas pemedih mata dan meriam air,” kata beliau.

Dalam kenyataan media yang diedarkan pada sidang media itu, Amar Singh berkata polis menjalankan siasatan kes itu sebagai kes mati mengejut.-10/7/2011

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jangan salah guna artikel 10 perlembagaan persekutuan..

harap yg suka bicara soal demo/berhimpun ni hak seorg rakyat dibawah artikel 10..harap baca sepenuhnya

terutama fasal 10(2)

Artikel 10.

Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.

(1) Tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4);

(a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

(b) Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;

(c) Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

(2) Parlimen boleh dengan undang – undang menggunakan:

(a) Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;

(b) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;

(c) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasa (2) (a) , Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemuda Umno Batal Perhimpunan Patriot Bagi Hormati Titah Agong

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno dan Kelab Putra 1Malaysia pada Isnin memutuskan untuk membatalkan Himpunan Patriot, iaitu perhimpunan untuk membantah perhimpunan haram 9 Julai anjuran pihak yang berkepentingan, bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata keputusan itu dicapai sebulat suara berdasarkan sokongan dan maklum balas anggota pergerakan demi menjaga keselamatan serta keharmonian negara.

“Saya memandang serius nasihat titah yang disebut Tuanku semalam dan bersedia untuk berbincang dengan rakan-rakan Patriot agar tidak meneruskan hasrat atas junjung kasih dan nasihat Tuanku demi memelihara kedaulatan undang-undang dan perlembangan yang menjadi benteng utama,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong mengenai perhimpunan haram anjuran pihak berkepentingan itu pada 9 Julai ini. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Daulat Tuanku – Titah khas Yang di-Pertuan Agong kepada Bersih

Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

“Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara”. — BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda