Selangor perlu jelaskan tujuan sebenar jual aset PKNS

SHAH ALAM 21 Sept. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak memberi penjelasan mengenai tujuan sebenar penjualan tiga aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa dibuat kepada sebuah syarikat pelaburan amanah.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, penjualan tiga aset tersebut iaitu Kompleks PKNS di sini, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Menara PKNS di Petaling Jaya dilihat tidak wajar kerana ia menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan.

Ini kerana, katanya, sejak diwujudkan pada 1964, perbadanan itu dilihat telah berjaya membangunkan negeri ini termasuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat selaras dengan matlamat penubuhannya.

“PKNS sejak 1964 dilihat tidak mengalami masalah sama ada dari segi pengurusan dan kewangan, malah ia mempunyai aset yang besar terutamanya dalam sektor hartanah.

“Namun, sejak kerajaan negeri diambil alih oleh pembangkang, timbul pelbagai dakwaan membabitkan kelemahan pengurusan kewangan termasuk pembaziran membabitkan PKNS seperti dilaporkan oleh media sebelum ini.

“Penjualan aset-aset ini sekiranya berlaku, kita tidak menolak kemungkinan akan menimbulkan banyak implikasi kepada PKNS selain membabitkan para peniaga yang menyewa ruang niaga khususnya di Kompleks PKNS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah laman blog, http://darulehsantoday.blogspot.com yang mendakwa tiga bangunan yang menjadi kebanggaan PKNS dan rakyat Selangor yang dibangunkan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan diambil alih oleh sebuah syarikat pelaburan amanah bermula Januari 2012.

Selain pengambilalihan itu, PKNS juga melalui satu surat bertarikh 12 September 2011 kepada penyewa Kompleks PKNS Shah Alam akan menaikkan kadar sewa premis di pusat komersial itu termasuk akan menamatkan sewaan kepada mana-mana peniaga yang kurang berdaya saing.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang tidak menolak kemungkinan penjualan aset-aset berkenaan akan memberi kesan kepada kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga gerai di kompleks berkenaan yang sebelum ini dilihat agak berpatutan.

Kata beliau, sebagai sebuah anak syarikat kerajaan negeri, PKNS seharusnya mengembangkan sayapnya dengan meneroka lebih banyak peluang pembangunan negeri ini, bukannya melepas atau mengurangkan pegangannya dalam aset yang berpotensi dan berdaya saing.

“Sekiranya benar dakwaan itu, kita melihat penjualan aset-aset tersebut adalah bermotifkan keuntungan semata-mata dan sudah tentu akan turut melibatkan kenaikan kadar sewa ruang niaga atau kos-kos lain bagi ketiga-tiga aset berkenaan.

“Persoalannya, untung untuk apa dan kepada siapa sebenarnya. Bagaimana pula dengan matlamat sebenar penubuhan PKNS untuk meningkatkan sosio ekonomi rakyat Selangor.

“Justeru, Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang juga Pengerusi PKNS perlu menjelaskan perkara ini,” tegasnya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s