Daily Archives: September 23, 2011

Parti KITA Jelajah Malaysia Sokong PM

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan menjelajah ke seluruh negara bagi meminta sokongan rakyat terhadap usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tiga proklamasi darurat, demikian menurut satu kenyataan parti itu, Khamis.

KITA berkata pengumuman pemansuhan undang-undang darurat, ISA dan undang-undang berkaitan akhbar, yang memberikan kebebasan berhimpun dan bersuara kepada rakyat, adalah perisytiharan yang penuh bermakna dan bersejarah.

“Adalah amat penting bagi rakyat di semua peringkat di negara ini memahami tujuan dan maksud transformasi dasar ini. Tanpa pemahaman yang mendalam, rakyat boleh dikelirukan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang transformasi berkenaan.

“Usaha Perdana Menteri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana transformasi berkenaan mendatangkan manfaat kepada rakyat seluruhnya,” kata KITA dalam kenyataan itu.

Parti itu seterusnya menjelaskan adalah penting bagi memastikan usaha murni Perdana Menteri tidak tergendala dengan mengadakan pertemuan dengan orang ramai untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam beberapa hal berkaitan dengan isu ini.

Pada peringkat pertama, parti itu akan ke Pasir Putih (27 Sept), Kota Baharu (28 Sept), Jerantut (2 Okt), Petaling Jaya (4 Okt), Kapar (6 Okt), Bangi (9 Okt), Seri Andalas (14 Okt), Kota Kinabalu (17 Okt), Sungai Petani (20 Okt)dan Kelana Jaya (26 Okt).

“Jadual bagi kawasan-kawasan lain akan diberitahu kelak,” tambah kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

TPM umum nama MP BN untuk Jawatankuasa Parlimen tambahbaik proses pilihanraya

Teka teki siapa Ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan menggangotai Jawatankuasa Parlimen untuk tambahbaik proses pilihanraya terjawab petang Khamis bila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin umum nama mereka.

Seorang darinya ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Marudu.Beliau dicadangkan sebagai Pengerusi.

Empat yang lain Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Ahli Parlimen Alor Gajah, Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Putrajaya Muhyiddin juga memberitahu  rang undang-undang bagi membentuk jawatankuasa itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen pada 3 Oktober ini.

jawatankuasa berkenaan akan diberikan tempoh enam bulan bagi menyiapkan cadangan mereka.

Sementara itu pakatan pembangkang belum lagi menamakan tiga wakil mereka.

Begitu juga seorang  bagi pihak Ahli Parlimen Bebas -22/9/2011

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda