Hudud: Drama terbaru dalam panggung Pakatan

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berdolak dalik lagi berhubung perjuangan parti itu khasnya pelaksanaan hukum hudud di bawah pentadbiran PAS, apabila kenyataan terbarunya membelakangkan keputusan muktamar PAS yang kononnya mahu menegakkan sebuah negara berkebajikan.

Selepas kejutan Jun lalu, rakyat disemaikan dengan fikiran kononnya perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud, sudah berkubur. Bagaimanapun, edisi kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan itu tidak semena-mena membangkitkan semula isu lama mahu terus menunaikan niat dan janji melaksanakan hukum hudud yang terpendam sejak 20 tahun lalu.

Seperti biasa, kenyataan Nik Aziz mendapat tentangan DAP. Hanya beberapa jam selepas Nik Aziz membuat kenyataan mengenai hasratnya itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh melenting.

Walaupun nampak tidak sekeras ugutan supaya melangkah mayatnya dulu Karpal memberi hujah politik dan undang-undang mengenai mengapa penubuhan kerajaan Islam tidak boleh dilaksanakan dalam suasana rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Agak menarik apabila melihat Nik Aziz amat tegas dengan pendiriannya dan seolah-olah tidak kisah sekiranya Karpal meleraikan ikatan pakatan yang tidak pernah dimeterai secara rasmi. Menteri Besar itu seolah-olah mahu menghalau DAP jika parti bertunjangkan bangsa Cina itu terus membantah niat PAS menubuhkan kerajaan Islam dan hukum hudud.

Perhatian rakyat selepas ini sudah pasti bertumpu kepada reaksi DAP. Apakah ia mahu terus diheret dalam kancah konflik identiti PAS yang masih kabur antara agenda menubuhkan negara Islam atau negara kebajikan… atau membuat keputusan tegas membabitkan kerjasama dengan PAS.
Bagi PAS pula, ahlinya tersepit antara perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam di kalangan golongan ulama dan agenda untuk menawan Putrajaya di kalangan pemimpin muda yang lebih liberal.

Bagi pengkaji politik, ramai melihat Nik Aziz yang disanjung sebagai ulama PAS, terus berdolak dalik berikutan kegagalan parti itu melaksanakan undang-undang Islam terutama di Kelantan. Pendirian tidak tetapnya itu menyebabkan rakyat memandang sinis terhadap kewibawaannya sebagai pemimpin serta ulama dan menganggap ia sebagai permainan atau drama politik.

Jika Nik Aziz ghairah melaksanakan hukum hudud, rakyat juga sebenarnya tidak sabar melihat sejauh mana keberanian parti itu berbuat demikian, khasnya dalam menghadapi kecaman daripada DAP.

Secara terbuka DAP sudah pun menjelaskan pendirian bahawa langkah mayat mereka dulu sebelum PAS melaksanakan sebarang undang-undang Islam, apa lagi impian mereka untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

Daripada senario semasa, Nik Aziz tidak lagi mempunyai alasan untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang berkenaan, kerana orang yang disebutnya sebagai penghalang utama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan lagi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Dr Mahathir secara sinis membuat kenyataan terbuka bahawa Nik Aziz tidak perlu lagi teragak-agak untuk melaksanakan hukum Islam di Kelantan.

Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hukum hudud). Pi la tanya Najib, kot dia nak bagi ini. Ini dia dok salahkan saya, kononnya pasal saya (PAS) tak dapat laksanakan hukum hudud, tegas Mahathir

Mungkin dalam hal ini, Najib yang telah bertolak ansur dan memberi pertimbangan serius dalam banyak isu sensitif termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), boleh mengkaji semula surat terbabit dan memberi kebenaran kepada Kerajaan PAS Kelantan untuk cuba membuat pindaan perlembagaan peringkat negeri.

Nik Aziz perlu diberi peluang untuk melaksanakan undang-undang, kerana kerajaan PAS Kedah di bawah pentadbiran Datuk Seri Azizan Abu Bakar tidak berani mendahului Nik Aziz dan pernah membuat kenyataan untuk melihat dahulu hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Ariffin, pernah berkata dia pernah mendengar sendiri Nik Aziz ketika ditanya mengenai hudud dan menjawab: Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya.

Justeru, sekiranya ditakdirkan Najib akhirnya membenarkan kerajaan PAS meneruskan usaha dalam cubaan untuk melaksanakan hudud di Kelantan rakyat sudah pasti mahu melihat sama ada Nik Aziz dan PAS boleh meyakinkan parti sekutu dan parti pemerintah untuk meluluskan undang-undang berkenaan.

Ia tidak boleh melaksanakan undang-undang Islam tanpa persetujuan semua pihak atau mendapat sokongan yang cukup dari semua parti politik.

Nik Aziz tidak boleh berkata dia mahu undang-undang hudud dilaksanakan, dia perlu menggerakkan usaha ke arah merealisasikan impian terbabit.

Tapi apa yang pasti ketika ini, pemimpin dan ahli PAS lain sudah pasti pening kerana tidak tahu sama ada mereka sebenarnya masih dalam agenda meneruskan impian untuk mewujudkan sebuah negara Islam, atau sebuah negara kebajikan… hanya Nik Aziz yang boleh memberi jawapannya.

Bagi DAP, PAS ibarat duri dalam daging kerana risiko meneruskan kerjasama dengan parti itu amat tinggi dan sekiranya tidak ditangani dari sekarang sejarah kekalahan terburuk DAP pada Pilihan Raya Umum 1999 mungkin berulang.-23/9/2011 -Berita Harian

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

One response to “Hudud: Drama terbaru dalam panggung Pakatan

  1. Nam jahanam

    Heran la org nk tegak hukum islam pun kita komplen..ptutnya sebagai org islam klau xmau buat pun kita sokong org yg nak buat..bantu mana yg patut. DAP MCA x mau pasai depa x phm hukum islam..kita yg islam ni cuba la bagi depa phm.tunjukkan keadilan hukum islam tu supaya depa x takut sgt..ni kta pi curah minyak bagi terbakar lagi dgn harapn depa bergaduh n kita menang PRU..dah tu camna la org nak pham..org islam sendiri x mau..dh xmau lawn plak bg x jadi..Allahuakbar x takut ka ngn dosa..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s