KALAU sebelum ini PAS sering mendendangkan mereka berjaya ‘dakwah’ DAP mengenai Islam kerana mahu tunjuk hubungan akrab dengan parti komponen Pakatan Rakyat itu, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Ahad petang, pada PAS, “bikin rosak ana punya program”.
Malah ia lebih ekstrem dari ancaman yang pernah dibuat Karpal Singh satu ketika dulu.Pengerusi DAP itu cuma menawarkan ‘ mayatnya’ seorang dilangkah oleh PAS jika mau laksana Negara Islam di Malaysia.Sebaliknya kini seluruh pimpinan DAP bersatu suara tegas memberi amaran kepada PAS tentang isu hudud.
Manakan tidak, Guan Eng bagi kata dua pada PAS dan PKR, bahawa seluruh kepimpinan pusat parti bertunjungkan kaum Cina itu akan letak jawatan jika pelaksanaan hukum hudud dipaksa dimasukkan ke dalam polisi Pakatan Rakyat.
Lebih mengharu-birukan lagi, bila kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibuat beberapa jam selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim umum Rabu depan pakatan pembangkang akan duduk semuka bincang soal Hudud.
Guan Eng yang yang ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan berkata bahawa Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PAS dan PKR dibentuk berdasarkan dasar bersama dan persefahaman, khususnya dalam isu-isu berkaitan dengan usaha melawan rasuah dan mempertahankan keadilan.
Hukum hudud, kata beliau, tidak pernah dimasukkan ke dalam polisi bersama Pakatan Rakyat atau Buku Jingga, dan oleh itu tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada agenda pembangkang itu.
“Oleh itu jika pelaksanaan hukum hudud digariskan dalam rangka kerja dasar bersama dan Buku Jingga, keseluruhan jawatankuasa pusat parti akan meletakkan jawatan (dari DAP),” kata beliau.
Kata mudahnya, satu bentuk penggorbanan besar pemimpin DAP, bahawa jika PR mahukan Hudud, mereka tidak akan keluar dari Pakatan Rakyat, sebaliknya letak jawatan beramai-ramai dari memimpin DAP.
“Pendirian kami jelas, kami tidak menerima hudud ataupun sebuah negara Islam,” kata Guan Eng lagi.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Karpal Singh pada Sabtu lepas meminta pakatan pembangkang mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan soal rancangan PAS melaksanakan hukum hudud.
Sementara itu, Bernama melaporkan, di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan PAS Kelantan akan tetap memastikan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu melalui sistem perundangan Mahkamah Syariahnya.
Beliau berkata kerajaan negeri itu sedang menggubal Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud).
“Usaha kami ialah mahu memasukkan enakmen hudud ini dalam Mahkamah Syariah Kelantan dan kami orang politik mahu membawa usaha ini ke arah itu (sehingga terlaksana).
“Apabila siap ia boleh dijadikan panduan oleh hakim-hakim (Mahkamah Syariah) dan hakim ini tahu bagaimana melaksanakannya. Hukum hudud ini sebenarnya tidak zalim kerana ia lebih berbentuk pengajaran dan berperikemanusiaan,” kata Nik Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2011 di pekarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.
Mursyidul Am PAS itu bagaimanapun tidak menetapkan bila pelaksanaan hukum hudud itu akan mula dilaksanakan di semua Mahkamah Syariah negeri itu.
Menteri Besar Kelantan itu turut memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat pakatan pada Rabu ini kerana kesihatannya tidak mengizinkan.-25/9/2011