Daily Archives: September 27, 2011

Jangan kompromi soal Islam dan Melayu – Raja Nazrin

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah prinsip-prinsip asas terutamanya yang menyentuh Islam dan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara tidak boleh dikompromi sama sekali.

Baginda meminta semua pihak supaya tidak menggunakan sebarang alasan, muslihat dan matlamat jangka pendek hingga menggadaikan nasib ummah di hari ini.

“Ummah wajib berdiri teguh, berpendirian tegas dan tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun,” titah baginda pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

Bernama melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan kongres dua hari itu anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia.

Raja Dr Nazrin bertitah pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia amat penting diperingatkan semula manakala semua persetujuan yang sudah dicapai harus dihormati.

Menurut baginda, penghakisan martabat Islam bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara.

“Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh.

“Ia mungkin bermula dengan satu jamuan, satu nyanyian, satu perkhemahan, satu lawatan yang mungkin bermula dengan segenggam garam-setahil emas, ia juga mungkin bermula dengan satu kalimah-satu ceramah,” titah baginda.

Menurut baginda Islam akan terhakis apabila tanggungjawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas.

“Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh aqidah.

“Hari ini nama suci Allah dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam, tanpa mengendahkan potensi yang boleh mengelirukan akidah anak-anak Islam, tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah bahawa kalimah suci Allah amat tinggi di sisi Islam di mana apabila dicetak pada kertas, kalimah itu tidak boleh dipijak, dijadikan bahan bungkusan malah tidak boleh dibawa ke dalam tandas.

“Prinsip asas Islam jika diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik merupakan satu perkara yang amat bahaya,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin mengingatkan umat Islam bahaw mereka kini berdepan dengan masalah perpaduan kerana mereka kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk “menang sorak tanpa memikirkan kampung halamannya mungkin tergadai”.

“Raja-raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah itu dan sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang.

“Pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu kiambang betaut,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin mengingatkan status Islam dan ummah boleh terjejas sekiranya institusi Raja ditiadakan dan kerajaan pilihan rakyat berpegang kepada doktrin pemerintahan iaitu agama adalah urusan individu dan agama berada di luar bidang tanggungjawab negara.

“Akan berkelanalah ummah, Masjid Ubudiah (di Kuala Kangsar), begitu juga masjid-masjid lain, mungkin bertukar menjadi muzium, tempat para pelancong dimaklumkan bahawa di suatu masa dahulu, bangunan yang begini cantik seni binanya ini adalah tempat pengikut ajaran Muhammad menunaikan sembahyang,” titah baginda.

Baginda bertitah senario yang berlaku di serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki sistem pemerintahan beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara. “Dalam hasrat membina kekuatan ummah dan jati diri bangsa dan dalam hasrat memastikan kelangsungan ummah, kuasa-kuasa prerogratif yang kekal diperuntukkan kepada Raja-Raja wajib dirujuk secara bijaksana,” titah baginda.-26/9/2011 – agendadaily

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

DAP Ibarat Budak Kecil Takut Hantu:Nik Aziz

BERITA

Selasa September 27, 2011
DAP Ibarat Budak Kecil Takut Hantu:Nik Aziz

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum Hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum Hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini, Isnin.

Semalam, Nik Abdul Aziz berkata hukum Hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum Hudud di negara ini.

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum Hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka, Rabu ini.

Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, katanya kepada pemberita.

Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum Hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat.

Di Tanjung Karang, Selangor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata PAS sepatutnya menarik diri dari Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama DAP dan PKR jika ia benar-benar sebuah parti bermaruah yang hendak menegakkan agama Islam.

Bagaimanapun, Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata biar apa pun sengketa atau sandiwara yang diketengahkan oleh PAS baik DAP dalam soal pelaksanaan hukum Hudud, beliau yakin kedua-duanya tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

“Cabar-mencabar antara PAS dan DAP hanya gimik politik, hanya nak hidupkan suasana untuk menarik perhatian rakyat bahawa mereka ada isu semasa,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada 128 bakal haji dari Parlimen Tanjong Karang, Isnin.

Beliau berkata gema mengenai isu Hudud lazimnya ditimbulkan pihak pembangkang bila pilihan raya dirasakan semakin hampir.– BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda