ISU NATIONAL FEEDLOT CORPORATION

Kenyataan saya berhubung isu National Feedlot Corporation yang mana terbahagi kepada dua, iaitu bahagian satu yang merangkumi kenyataan akhbar yang telah saya buat di parlimen dan juga respon serta jawapan saya kepada kenyataan YB Machang, yang terkandung dalam kenyataan beliau, di bahagian dua.

Bahagian 1: Kenyataan YB Rembau – National Feedlot Corporation atau Pusat Fidlot Nasional

Baru-baru ini pihak pembangkang telah membuat kenyataan berhubung National Feedlot Corporation (NFC) atau Pusat Fidlot Nasional dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan bahawa projek tersebut adalah gagal.

Pihak kami ingin menyatakan bahawa tuduhan tersebut bersifat liar demi menagih perhatian umum bagi menutup kepincangan pembangkang yang kini terumbang-ambing menghadapi pilihanraya dengan pertelagahan dalaman sesama umpama retak menunggu belah.

Terdapat beberapa kepincangan daripada tuduhan mereka yang mana bersifat melulu dan kejahilan yang sangat nyata: –

[1] Pembangkang menuduh bahawa pihak NFC mendapat tanah seluas 5,000 ekar secara percuma

Ini adalah satu kepalsuan kerana NFC tidak diberi tanah sebanyak 5000 ekar; sebaliknya, sebagai integrator Pusat Fidlot Negara (PFN), NFC ditawarkan untuk menjayakan projek PFN di atas tanah seluas 1500 ekar secara pajakan daripada Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBI). Maknanya bukan sahaja tanah itu lebih kecil iaitu 70% lebih kecil daripada yang didakwa malahan tanah itu adallah tanah pajakan.

[2] Dakwaan bahawa daging mentah keluaran NFC dijual kepada restoran Meatworks, Senor Santos dan Brawn yang beroperasi di Singapura.

Ia bukan sahaja tidak masuk akal bahkan mustahil kerana NFC beroperasi di Semenanjung Malaysia dan Kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang pengimportan daging mentah daripada Semenanjung Malaysia akibat kerisauan risiko penyakit kaki dan mulut (foot and mouth disease).

[3] Tuduhan bahawa projek fidlot tersebut gagal menepati sasaran asal Rancangan Malaysia Kesembilan iaitu 60,000 ekor lembu setahun

Perlu diteliti bahawa projek ini hanya bermula lewat tahun 2008, iaitu dua tahun selepas bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan, kerana kelewatan pembangunan infrastruktur dan rantaian penawaran di mana telah membawa kepada penyemakan semula sasaran pengeluaran sebanyak 8,000 ekor pada tahun 2010, dengan sasaran tahunan bermula dari 2011.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 tidak menyatakan bahawa NFC gagal mencapai matlamat. Di mukasurat 138, tercatat bahawa “sasaran 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 sebenarnya tercapai.”

Mengikut laporan yang sama, jumlah sebenar yang dibawa ke ladang Pusat Fidlot Nasional adalah 8016 ekor bagi tempoh 2008 – 2010, dan daripada jumlah tersebut, 5,742 telah disembelih sehingga akhir bulan November 2010. Oleh itu, sasaran 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 sebenarnya telah tercapai.

[4] Pembangkang menuduh Kerajaan berbohong apabila menyatakan bahawa tidak semua daripada jumlah pinjaman RM250 juta yang diberi telah dibayar bagi kegunaan NFC

Pembangkang membuat tohmahan berasaskan kepada laporan penyata kewangan tahunan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, yang telah difailkan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang mana telah menunjukkan hutang jangka panjang sejumlah RM256,082,518 yang terdiri daripada pinjaman daripada Kerajaan sebanyak RM250,000,000 dan geran Kerajaan sejumlah RM6,082,518.

Dengan laporan tersebut, pembangkang mendakwa bahawa jumlah pinjaman tersebut telah disalurkan sepenuhnya untuk digunakan oleh NFC.

Ini adalah satu pembohongan dan kecuaian. Ini kerana mereka mengambil sikap untuk langsung mengabaikan laporan Ketua Audit Negara 2010, yang mana sedang hangat dijaja mereka, yanga mana laporan itu menyatakan jelas menunjukkan terdapat baki pinjaman di dalam akaun berjumlah RM115.28 juta.

Berdasarkan laporan audit tersebut, sebanyak RM134.72 juta telah diserahkan kepada syarikat terlibat dan angka-angka itu direkodkan sehingga Disember 2010. Oleh itu, laporan audit itu telah mengesahkan masih terdapat baki pinjaman.

Jika laporan Ketua Audit Negara bagi kedudukan Disember 2010 menyatakan bahawa masih ada baki masakan pembangkang boleh terus mengatakan bahawa pada Disember 2009, kesemuanya telah disalurkan. Ini menunjukkan kecuaian dan sikap mereka mendiskriminasi dan memusingkan fakta untuk kepentingan politik.

Disamping itu, ingin dijelaskan bahawa sejurus selepas kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk pinjaman sejumlah RM250 juta itu. Ia telah dimasukkan kedalam sebuah akaun khas di atas nama NFC namun dikawal selia dengan ketat oleh Kerajaan. Bagi tujuan sebarang pengeluaran, pihak NFC hendaklah membuat kertas kerja dan justifikasi untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal (Authorised Technical Commitee dibawah Jabatan Veterinar) yang telah ditubuhkan khas bagi mengawal selia dan menantau projek fidlot ini. Setelah Jawatankuasa Teknikal berpuas hati maka ia akan mengeluarkan kelulusan untuk pertimbangan Kementerian Kewangan, yang mana mempunyai keputusan akhir pengeluaran wang dari akaun khas tersebut.

Setelah kesemua proses itu meluluskan keperluan pengeluaran maka pihak Kerajaan, yang mana merupakan salah satu daripada penandatangan akaun bank tersebut, akan menandatangani pengeluaran dana yang dipohon.

Ia satu proses yang ketat.

Apa yang ingin diketengahkan adalah proses kawal selia dan pemantauan di mana pinjaman itu walaupun sudah diluluskan mesti melalui proses pengeluaran yang ketat. Yang kedua, tuduhan yang mana kesemua wang tersebut telah disalurkan untuk diguna NFC adalah satu penipuan dan menampakkan sikap pembangkang yang bukan sahaja mendiskriminasi bahkan sengaja mengenepikan laporan Ketua Audit Negara 2010 bila dirasakan tidak menguntungkan mereka.

Berdasarkan status terkini, jumlah pengeluaran terkumpul adalah sebanyak RM180.5 juta.

[5] Pengeluaran wang serta pemberian diskaun kepada syarikat sekutu

Pihak pembangkang mendedahkan bahawa NFC telah menyalurkan wang sejumlah RM81.2 juta kepada National Livestock & Meat Corporation Sdn Bhd (NLMC), syarikat sekutu NFC dan juga memberikan diskaun hampir RM3 juta kepada sebuah lagi syarikat sekutunya iaitu Real Food Company Sdn Bhd (RFC).

Perlu dijelaskan bahawa tujuan projek fidlot ini mempunyai pelbagai objektif sebagaiaman di bawah dan bukannya sekadar menghasilkan daging mentah:

a) Pembangunan infrastruktur ternakan seperti kandang, kilang, makmal dan sebagainya yang boleh menampung keperluan keseluruhan projek ini

b) Memenuhi konsep pembangunan PFN yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Integrator PFN meliputi rangkaian pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan bekalan input secara bersepadu, serta membeli hasil peladang kontrak atau ladang satelit, sebagai integrator

c) Membina kemampuan dari aspek pemasaran, perancangan operasi, kewangan, perancangan organisasi dan pengurusan sumber manusia

d) Menjanakan kapasiti membangunkan industri pedaging negara dari aspek penghasilan produk termasuk hasil hilirannya, membawa dan mengadaptasikan teknologi penghasilan ternakan, menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam system pengeluaran dan juga pemprosesan, dan melaksanakan pemindahan teknologi baru dalam pengeluaran ternakan rangkaian PFN.

Di dalam aspek ini, NLMC telah dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian penawaran, membina pasaran untuk produk fidlot serta membeli hasil dari ladang satelit. Pada masa yang sama ia juga berperanan untuk memaju operasi sistem lojistik dan penghantaran serta membina pasaran bagi produk Pusat Fidlot Nasional sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi di dalam proses persediaan untuk Entrepreneur Development Program.

Ia adalah salah satu teras objektif projek ini iaitu bagi membina ekosistem industri fidlot.

Berhubung dakwaan tentang pemberian diskaun, RFC berperanan sebagai pengedar daging keluaran NFC dan diskaun yang diberi itu kemudiannya disalurkan kepada kesemua pembeli-pembeli daging melalui RFC seperti hypermarket besar di negara, termasuk Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant, pasar-pasar tani seluruh negara, dan juga pasaran ‘horeca’ (hotel-restaurant-catering) dan syarikat-syarikat pengeluar makanan downstream seperti burger dan hotdog.

Bahagian 2: Jawapan saya yang terkandung di dalam kenyataan YB Machang bertajuk “Skandal Fidlot: Barisan Nasional Mengelak Dari Isu Penyelewengan Wang Rakyat”

Selepas pendedahan KEADILAN mengenai status dana rakyat sebanyak RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran) yang telah disalurkan sepenuhnya kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), ahli-ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional cuba mengalihkan fokus rakyat daripada isu yang sebenarnya.

Isu-isu yang dibawa oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan YB Rembau di dalam Dewan Rakyat semalam langsung tidak menyentuh perkara pokok yang didedahkan oleh KEADILAN; iaitu sejumlah besar wang rakyat diberikan kepada keluarga menteri dan dibelanjakan sesuka hati mereka sedangkan projek yang diamanahkan tidak mencapai sasaran awal.

KJ: OK. Jelas disini apa menjadi perkara pokok: wang rakyat diberi kepada keluarga menteri dan dibelanjakan sesuka hati mereka.

Pun begitu, saya ingin menjawab beberapa isu yang cuba ditimbulkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional yang mempertahankan bahawa hanya RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman telah disalurkan kepada NFC:

Pinjaman RM250 juta disalurkan ke dalam Akaun Khas Pinjaman (Special Loan Account) berbentuk amanah (escrow account)

• Secara lazimnya, sebuah akaun amanah (escrow account) adalah akaun yang dipegang oleh pihak ketiga (third party) yang menguruskan urusniaga di antara dua belah pihak.

• Kebiasaannya, escrow account dipegang oleh pihak bank atau peguam yang bertanggungjawab menerima arahan dari pemberi pinjaman sebelum menyalurkan pinjaman kepada si peminjam.

• Apabila si peminjam telah memenuhi syarat-syarat perjanjian pinjaman yang dipanggil Conditions Precedent (CP), barulah pihak ketiga menyalurkan wang ke akaun bank milik peminjam.

• Di dalam kes pinjaman RM250 juta yang diambil oleh NFC, KEADILAN telah membuktikan bahawa wang-wang pinjaman sebanyak RM130 juta (bayaran pertama) dan RM120 juta (bayaran kedua) telah masuk ke dalam akaun milik NFC.

• Akaun-akaun NFC di Maybank dan Public Bank bukanlah di atas nama pihak ketiga seperti mana konsep escrow account tetapi benar-benar di atas nama NFC.

• Oleh sebab itu jugalah, mengikut peraturan International Financial Reporting Standard (IFRS) yang digunapakai dalam penyediaan penyata kewangan, pinjaman yang telah masuk ke akaun milik peminjam mestilah ditunjukkan sebagai hutang jangka panjang di dalam penyata kewangan peminjam.

• Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian KEADILAN bahawa bukti jelas menunjukkan keseluruhan RM250 juta telah disalurkan kepada NFC berdasarkan rekod penyata bank; bukannya diletakkan di dalam escrow account seperti alasan yang diberikan Barisan Nasional.

KJ: Seperti dijelaskan dalam sidang akhbar saya tadi (9hb November), Akaun Khas Pinjaman (SLA) untuk project NFC bukan akaun escrow. Semalam dalam perbahasan, saya sebut akaun ini seperti escrow, tetapi bukan akaun escrow. Maknanya akaun SLA ini akaun berprinsipkan kepada amanah dan mempunyai proses kawal selia. Walaupun SLA ini bukan akaun escrow tetapi ia juga bukan akaun pinjaman biasa.

SLA ini ada syarat-syarat yang ketat. Walaupun pinjaman sebanyak RM 250 juta sudah dimasukkan kedalam SLA, sebelum duit ini boleh diguna oleh NFC satu proses kawal selia dibuat oleh Kerajaan. Secara spesifik, sekiranya NFC mahu guna duit pinjaman dalam SLA, mereka perlu bentangkan perancangan perbelanjaan mereka kepada Authorised Technical Officer Committee (ATOC) yang dianggotai wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). Setelah ATOC bersetuju dengan permohonan dari NFC, Kementerian Kewangan selaku penandatangan bersama (co-signatory) kepada SLA, juga perlu setuju dengan syor ATOC sebelum duit pinjaman dari SLA disalurkan kepada NFC untuk dibelanja.

Mengikut International Financial Reporting Standard (IFRS), hutang dalam SLA ini mesti dilapor sebagai hutang jangka panjang dalam penyata kewangan NFC. Tetapi apa yang tidak dijelaskan oleh PKR ialah SLA ini merupaka akaun berprinsipkan amanah dan kawal selia. Sepertimana diterangkan diatas walaupun hutang ini sudah wujud atas nama NFC, duit pinjaman ini tidak dapat dibelanjakan tanpa persetujuan ATOC dan Kemterian Kewangan. Ini beza dengan pinjaman biasa dimana peminjam terus mendapat duit pinjaman.

Di sini saya hendak mengingatkan pembaca, apa perkara pokok di sini? Perkara pokok yang dikenalpasti oleh PKR sendiri diatas ialah: wang rakyat diberi kepada keluarga menteri dan dibelanjakan sesuka hati mereka.

Apakah dengan akaun pinjaman khas (SLA) dan proses perbelanjaan yang dikawal ketat oleh Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kemnterian Kewangan, sepertimana dijelaskan diatas, wang rakyat dalam bentuk pinjaman ini dibelanjakan sesuka hati mereka?

Sudah pasti jawapan kepada soalan pokok itu adalah tidak. Duit pinjaman dah lulus, sebab itu masuk dalam penyata kewangan NFC sebagai liabiliti. Tapi setiap kali NFC nak keluarkan duit dari SLA, mereka kena minta kebenaran dua agensi Kerajaan.

Perbelanjaan membazir dan pindahan wang ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil

• Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa wang selebihnya masih berada di dalam escrow account yang dikawal oleh kementeriannya menjerat beliau sendiri.

• Daripada rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

• Ini termasuklah pindahan wang ke dalam akaun-akaun deposit tetap milik NFC yang bakinya berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sehingga mencecah jumlah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan perjalanan luar negara dan keraian berjumlah RM828,000 dalam tahun 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berjumlah RM3 juta dalam tahun 2009.

• Jika benar semua perbelanjaan ini datangnya dari dana yang diletakkan di dalam escrow account seperti yang didakwa Barisan Nasional, bermakna kementerian-kementerian terbabit telah cuai dan membiarkan sahaja perbelanjaan yang membazir dan menyeleweng ini dibuat.

• Ini mengheret keseluruhan pentadbiran Barisan Nasional yang melindungi penyelewengan seorang menteri dan membiarkan sahaja keluarga beliau berbelanja wang rakyat sesuka hati.

KJ: Saya dah jelaskan di atas bahawa akaun berkenaan yakni akaun pinjaman khas (SLA) bukan akaun escrow tetapi ada ciri-ciri amanah untuk memastikan perbelanjaan duit ini dikawal selia oleh pihak kedua dan ketiga, dua-duanya mewakili Kerajaan (DVS dan Kementerian Kewangan).

Apa sahaja perbelanjaan dari duit pinjaman yang ada dalam SLA ini dipersetujui dahulu pihak Kerajaan. NFC tidak boleh belanja duit ini sesuka hati mereka.

PKR menuduh NFC memberi subsidi kepada restoran milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebanyak RM3 juta pada tahun 2009. Tuduhan ini berdasarkan diskaun berjumlah RM2,964,555 kepada Real Food Company Sdn Bhd (RFC). Antara aktiviti perniagaan RFC ialah mengendalikan restoran Meatworks. Adakah perniagaan RFC hanya terhad kepada pengendalian restoran Meatworks? Ini gambaran yang diberi oleh PKR.

Semakan di laman web RFC (www.rfc.com.my) menunjukkan bahawa syarikat ini bukan hanya terlibat dalam pengendalian Meatworks, tetapi juga menjadi sebuah syarikat edaran daging lembu. Sebenarnya, RFC merupakan pengedar tunggal bagi daging dan produk-produk daging keluaran NFC. Diskaun yang diberi kepada RFC dinikmati semua yang membeli daging dan produk-produk daging dari RFC. RFC menjual bukan hanya kepada Meatworks. Siapa lagi yang beli daging keluaran NFC dari RFC? Antaranya, hypermarket besar di negara, termasuk Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant, pasar-pasar tani seluruh negara, dan juga pasaran ‘horeca’ (hotel-restaurant-catering) dan syarikat-syarikat pengeluar makanan downstream seperti burger dan hotdog. Jelas disini tuduhan bahawa subsidi diberi kepada Meatworks oleh NFC tidak menceritakan gambaran sepenuhnya iaitu semua pembeli daging dan produk-produk daging dari NFC melalui pengedar tunggalnya RFC, mendapat diskaun atau ‘subsidi’ yang sama.

Mengapa RFC menikmati diskaun dari NFC? Sektor penjualan daging lembu amat kompetitif dengan import murah dari negara seperti India. Untuk menembusi pasaran tempatan, NFC telah membuat keputusan untuk memberi diskaun agar produk mereka dapat menembusi pasaran dan jenama daging dari NFC dapat dipromosikan dikalangan pembeli.

PKR juga sebut duit sebanyak RM83 juta dipindah ke syarikat lain. Ini berdasarkan pinjaman yang diberi oleh NFC kepada syarikat bernama National Livestock & Meat Corporation (NLMC). Dalam kenyataan PKR bertarikh 8 November, mereka menuduh bahawa RM81,222,448.93 ini diberi sebagai pinjaman dari NFC kepada NLMC “walaupun kegiatan NLMC hanyalah untuk tujuan pemasaran daging.”

Benarkah kegiatan NLMC ini hanya pemasaran daging? Kalau betul agak pelik pinjaman sebanyak RM81.2 juta diberi oleh NFC. Setelah saya buat semakkan, didapati bahawa sekali lagi maklumat PKR tidak betul. NLMC secara langsungnya terlibat di dalam kesemua aktiviti pemprosesan – yang mana kalau kita melihat kepada perinciannya meliputi penyembelihan, boning atau proses pengasingan daging dan tulang, pembungkusan serta penghantaran. Oleh sebab itu NLMC memerlukan satu pusat penyembelihan dan menurut perancangan asal satu pusat penyembelihan yang menepati piawai antarabangsa atau Export Quality Abattoir (EQA) perlu dibina oleh Kerajaan untuk diuruskan oleh NLMC. Namun, EQA tersebut masih tidak dibina oleh Kerajaan dan ini menyebabkan perbelanjaan modal oleh NLMC untuk membina satu mini abattoir. Duit itu datang dari pinjaman NFC. Pada masa yang sama NLMC juga berperanan membeli hasil daripada ladang-ladang satelit apabila ladang-ladang ini beroperasi. Ini juga memerlukan modal yang datang dari pinjaman NFC kepada NLMC.

Maknanya, NLMC memerlukan dana yang mencukupi untuk memastikan semua kegiatannya dapat dijayakan. Sekirannya kegiatan NLMC hanya terhad kepada pemasaran mungkin hujah PKR boleh diterima. Tetapi setelah saya diberitahu kegiatan sebenara NLMC yang amat menyeluruh, saya berpendapat tuduhan PKR, yang sekali lagi tidak mendapat gambaran sebenar, tidak berasas sama sekali.

Aset bersih NFC berjumlah RM239 juta pada 31 Disember 2009

• Hakikatnya, penyata kewangan NFC yang diaudit dan difailkan ke SSM secara jelas menunjukkan bahawa aset bersih NFC pada 31 Disember 2009 berjumlah RM239 juta.

• Ini membabitkan simpanan deposit tetap di atas nama NFC berjumlah RM119 juta, hutang Meatworks kepada NFC berjumlah RM3 juta, hutang lain-lain kepada NFC berjumlah RM626,000, dana yang dipindahkan ke syarikat-syarikat lain berjumlah RM83 juta, baki lembu belum disembelih yang dinilai berharga RM6 juta dan nilai bersih aset tetap (selepas susut nilai tahunan) berjumlah RM28 juta.

• Jika hanya RM181 juta yang disalurkan setakat ini, bagaimana pula NFC boleh berbelanja lebih besar sehingga aset bersihnya berjumlah RM239 juta pada 31 Disember 2009?

Ini adalah kepincangan-kepincangan alasan yang diberikan oleh Barisan Nasional setakat ini yang cuba mengabui mata rakyat.

KJ: Nampak agak pelik. Sekiranya hanya RM181 juta disalurkan untuke dibelanjakan NFC, kenapa aset bersihnya RM 239 juta pada 31 Disember 2009? Untuk memudahkan jawapan, saya jelaskan begini. Duit pinjaman dalam akaun pinjaman khas (SLA) ini diletakkan dalam akaun jenis akaun semasa. Umum tahu, akaun semasa tiada pulangan tinggi. Daripada membiar duit berjumlah berjuta-juta duduk dalam akaun semasa SLA tanpa pulangan, lebih baik ia dimasukkan dalam simpanan deposit tetap yang memberi pulangan yang lebih dari akaun semasa.

Jangan lupa, duit pinjaman dalam SLA tidak boleh dibelanjakan oleh NFC sesuka hati mereka. Ada proses sepetimana dijelaskan diatas. Maknanya mestilah ada duit pinjaman yang masih lagi tidak diguna yang ada dalam SLA. Sebahagian dari duit ini dimasukkan dalam akaun simpanan deposit tetap yang dikira sebagai aset. Ini menjawab mengapa nilai aset NFC lebih dari duit pinjaman yang telah dilulus untuk kegunaan NFC. Bukan pecah amanah, bukan menipu tetapi satu pelaburan bijak untuk mendapat pulangan dari duit yang masih tidak dibenarkan untuk dibelanja.

Saya telah cuba menjawab setiap hujah PKR. Sekali lagi saya rujuk kepada perkara pokok iaitu adakah wang rakyat dalam bentuk pinjaman ini dibelanjakan sesuka hati mereka? Secara jelas, saya berpendapat bahawa proses amanah dan kawal selia yang dipersetujui NFC dan Kerajaan melalui SLA membuktikan bahawa tuduhan PKR ini langsung tidak tepat dan berniat jahat.

Saya percaya rakyat tetap akan kekal mempersoalkan perkara pokok iaitu penyelewengan dana rakyat yang dibuktikan oleh:

1. Pemindahan dana berjumlah RM83 juta ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil;

2. Perbelanjaan luar negara dan keraian yang melampau sehingga mencecah RM828,000 setahun; dan

3. Pemberian subsidi sebanyak RM3 juta menggunakan wang rakyat kepada restoran Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Ketiga-tiga perkara ini masih belum dijawab oleh menteri dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional. Semakin lama mereka mengelak, semakin rakyat yakin bahawa Barisan Nasional cuba melindungi penyelewengan yang berlaku di NFC.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL,

SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

AHLI PARLIMEN MACHANG

9 NOVEMBER 2011

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 responses to “ISU NATIONAL FEEDLOT CORPORATION

  1. 2] Dakwaan bahawa daging mentah keluaran NFC dijual kepada restoran Meatworks, Senor Santos dan Brawn yang beroperasi di Singapura.

    Ia bukan sahaja tidak masuk akal bahkan mustahil kerana NFC beroperasi di Semenanjung Malaysia dan Kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang pengimportan daging mentah daripada Semenanjung Malaysia akibat kerisauan risiko penyakit kaki dan mulut (foot and mouth disease).

    —-

    Wei hang ada gi tak makan atau check? Aku gi makan kat santos clark quay.. tengok menu dier.. TULIS “GEMAS GOLD” meat. Kena steak sebijik SGD 36.00. Jam 1030pm orang dah takde sebab area tu area clubbing dan Santos bukan nye club.

  2. Jeffrey

    Pemuda U.Mawas.N.O Jalan Enggang, BOHONG, BOHONG!!! Semuanya TERAMAT BOHONG sekali!!! TIPU RAKYAT Malaysia sampai habis-habisan!!! 1000% Tidak tahu malu dan segan!!! Malaysia Boleh!!! RASUAH, NEPOTISMA DAN KRONISMA kerajaan pusat U.Mawas.N.O/Barisan Najis/Malaysia JAUH-JAUH lagi/lebih boleh/serius/dahsyat/teruk/berleluasa/syabas/canggih/berpengalaman/veteran/jauh lebih LAMA/”AKAR UMBI” daripada mana-mana pihak di Malaysia!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s