Daily Archives: November 16, 2011

Gaji Minimum: Kerajaan Selangor Amal Diskriminasi Terhadap Penjawat Awam

Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor berkata kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri itu dengan memperkenalkan gaji minimum hanya kepada kakitangan anak syarikat kerajaan negeri semata-mata.

Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) berkata amalan itu tidak sepatutnya wujud dengan mengambil kira kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini yang berkata kerajaan negeri berjaya meningkatkan pendapatan dan hasil kerajaan negeri dalam pembentangan belanjawan negeri 2012 baru-baru ini.

“Kalau kerajaan negeri mengatakan ada pertambahan pendapatan, kenapa tidak berikan dan laksanakan gaji minimum kepada semua kakitangan awam Selangor.

“Ini jelas menunjukkan hasil dan pendapatan itu tidak disalurkan untuk manfaat kepada seluruh kakitangan awam negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

Abdul Khalid ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2012 baru-baru ini berkata pelaksanaan gaji minimum bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM1,500 sebulan akan bermula tahun depan. Beliau berkata langkah itu adalah satu usaha menggerakkan syarikat milik kerajaan negeri agar memberikan latihan kepada kakitangannya bagi menaik taraf kemahiran seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata sekiranya kerajaan negeri benar-benar memikirkan kebajikan kakitangan awam Selangor, mereka sepatutnya melaksanakan dasar gaji minimum itu kepada penjawat awam yang bergaji rendah dahulu dan bukan hanya kepada kakitangan GLC semata-mata.

“Kalau kita ambil kira GLC, mereka ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang mana sudah tentunya skim perkhidmatannya adalah berbeza daripada skim perkidmatan awam negeri. “Malah GLC juga dilihat secara operasinya adalah mencari keuntungan yang membolehkan mereka membayar gaji dan bonus kakitangan secara puratanya melepasi RM1,500 sebulan.

“Namun, kakitangan awam negeri gaji mereka adalah rendah,” katanya yang menambah terdapat seramai 19,000 penjawat awam di Selangor.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Dr Mohd Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyediakan geran berjumlah RM100,000 hingga RM150,000 kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menjalankan kajian berhubung keupayaan dan kebolehan negara ini melaksanakan gaji minimum. Beliau berkata hasil kajian itu nanti akan dikemukakan untuk menunjukkan bagaimana kadar gaji minimum di negara ini boleh dinaikkan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, hasil kajian itu turut membantu pihaknya untuk mencari kaedah sesuai bagaimana GLC di bawah negeri boleh menterjemahkan kadar gaji minimum.-BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selangor ‘tikam dari belakang’

SAMPAH tidak pernah dikutip oleh PKNS sejak tahun lalu menyebabkan pemilik rumah yang masih tinggal di kawasan itu berdepan dengan suasana tidak selesa, selain terdedah kepada ancaman penyakit.

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pemilik rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pusat Bandar Taman Keramat di Jalan Jelatek di sini kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk ‘merampas’ hak mereka.

Mengibaratkan tindakan itu seperti menikam dari belakang, mereka mendakwa tindakan itu diambil bagi menidakkan hak pemilik untuk mendapat pampasan yang sudah dipersetujui.

Wakil penduduk, Fadhilah Saharin, 38, berkata, 14 pemilik unit rumah dan kedai yang enggan menerima pampasan yang ditawarkan dahulu diarahkan keluar dari premis mereka pada Oktober lalu.

Katanya, apa yang mengecewakan adalah kerajaan Selangor memberikan pampasan yang tidak setimpal iaitu RM130,000 kepada rumah dua bilik dan RM155,000 bagi kedai satu bilik.

Pampasan yang ditawarkan oleh PKNS sebelum ini adalah antara RM250,000 dan RM500,000.

“Kita sifatkan ini menikam dari belakang kerana enam bulan sebelum itu, perbincangan telah dibuat dan PKNS telah bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak RM350,000 bagi rumah dan sedang berbincang mengenai jumlah pampasan untuk kedai.

“Tetapi pihak terbabit kemudiannya menggunakan kerajaan negeri dan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil premis kami secara paksa,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Fadhilah berkata, penduduk terpaksa akur dengan tindakan itu dan menerima pampasan tersebut tetapi dalam masa yang sama akan terus menuntut pampasan yang setimpal.

Ini kerana, katanya, sejak 2010, penyenggaraan flat itu tidak dijaga sehingga pemilik terpaksa hidup dalam keadaan rumah yang bocor serta sampah yang tidak dikutip walaupun membayar yuran penyenggaraan RM15 sebulan.

Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar itu akan dibangunkan dengan projek Datum Jelatek yang bertujuan menukar kawasan hartanah itu menjadi lebih moden.

Projek bernilai RM1.2 bilion itu akan mengandungi kawasan kediaman mewah, bangunan pejabat, pusat beli-belah dan hotel.

 

nota:

1. ni dia projek baby si punahsihat ekonomi selangor…anwar brahim…

2. sampai la ni..tak jalan lagi…

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda