Daily Archives: December 21, 2011

Pas tersasar dari perjuang asal

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan partinya itu kian tergelincir daripada perjuangan asal dan berdepan kemungkinan hilang sokongan sekiranya terus meminggirkan perjuangan memartabatkan Islam.

Katanya, Pas perlu kembali ke pangkal jalan dan kepimpinan sedia ada perlu memikirkan jalan terbaik mengembalikan parti itu kepada perjuangan asal iaitu menegakkan sebuah negara Islam.

“Pas sekarang sudah dipenuhi dengan golongan profesional dan akademik yang bersifat sekular berbanding sebelum ini yang menyaksikan parti ini dikuasai golongan ulama.

“Saya berjuang bagi memastikan matlamat Pas diletakkan kembali di landasan asalnya bagi memastikan semangat perjuangan Islam itu menjadi teras dalam perjuangan Pas,” katanya pada sidang media di kediamannya, semalam.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata, konsep Negara Berkebajikan sepatutnya tidak perlu menjadi pegangan Pas ketika ini kerana banyak negara lain dalam dunia mempraktikkan konsep sama.

“Tetapi, untuk meletakkan asas negara Islam, Pas memerlukan ulama yang dapat menggarap Islam dalam konteks kehidupan moden dan saya melihat ulama Pas terdahulu berjaya membawa Pas ke arah ini.

“Saya secara peribadinya mahu mempertahankan Pas (berjuang membentuk negara Islam) dan saya yakin hampir ke semua ahli di dalam parti ini menyokong usaha yang saya lakukan selama ini,” katanya.

Hasan berkata, beliau mempunyai bukti sokongan terhadap Pas semakin berkurangan sejak kebelakangan ini rentetan situasi semasa parti. – SH

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda