Daily Archives: January 4, 2012

Al-kisah Saiful Bukhari, Anwar, Azlan dan Raja Petra

Saiful Bukhari Azlan tidak gelabah menantikan detik-detik 9 Januari 2012 ini. Tarikh itu sebenarnya dipopularkan oleh propagandis Anwar Ibrahim dengan panggilan 901, lebih kurang sama seperti hari keruntuhan Pusat Dagangan Dunia New York di Amerika Syarikat iaitu pada 911.

Saiful, 27, menjalani kehidupannya seperti orang muda yang lain. Beliau tenang. Beliau keluar berjumpa orang. Beliau tidak gelabah. Beliau bukan pemarah. Beliau kini menyerahkan kepada Allah Taala sebarang keputusan yang akan didengarinya pada pagi Isnin depan, 901.

Beliau sudah bersumpah laknat di masjid. Pendek kata beliau tiada apa-apa lagi tekanan. Beliau akan terus berdoa, beristiqamah dan bersabar. Sebagai mangsa, beliau menyerah kepada qada dan qadar Allah SWT.

Sebaliknya bagi Anwar bin Ibrahim, 901 yang akan dihadapinya itu bukanlah kali pertama, tapi sudah kali kedua. Pertuduhan kali kedua yang dihadapinya juga membabitkan kes liwat, sama seperti pertuduhan kali pertamanya membabitkan bekas pemandu isterinya.

Bagi masyarakat Barat, kes liwat ini bukanlah satu jenayah. Ia bukan sesuatu yang menjelekkan. Ia juga bukan suatu taboo atau sesuatu yang orang mahu sembunyikan.

Di Barat, liwat-meliwat atau kehidupan gay adalah sebahagian daripada cara hidup. Lelaki boleh bernikah dengan lelaki. Mereka boleh menjalinkan hubungan seks sama jenis.

Mungkin kerana itulah para propagandis Anwar mahu menjadikan hari 901 itu sebagai Rakyat Hakim Negara. Mereka mahu menjadikan undang-undang di tangan mereka.

Tapi di Malaysia, undang-undang tidak membenarkan liwat. Jika ada kes, ia harus dibicarakan. Biar mahkamah yang menentukan salah atau tidak. Agama Islam lebih-lebih lagi tidak membenarkan langsung amalan liwat. Anak-anak kita diajar mengenai kisah Nabi Lut a.s. sejak dari kecil lagi.

Gay atau homoseksual dikenal dengan istilah liwat. Imam Ibnu Qudamah mengatakan bahawa, telah sepakat (ijma’) seluruh ulama mengenai haramnya homoseksual (ajma’a ahlul ‘ilmi ‘ala tahrim al-liwat) [Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 12/348].

Sabda Rasulullah SAW: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut” (Hadis riwayat Ahmad).

Hukuman untuk gay adalah hukuman mati dan tidak ada khilafiyah di antara para fuqaha’ termasuklah di antara para sahabat Nabi Muhammad SAW mengenainya. Ini seperti dinyatakan oleh Qadhi Iyadh dalam kitabnya Al-Syifa’.

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa sahaja yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah kedua-duanya (peliwat dan yang diliwat).” [HR Al-Khamsah, kecuali an-Nasa”i].

Namun, dalam pelaksanaan hukuman bunuh tersebut, para sahabat Rasulullah SAW berbeza pendapat mengenai tatacara (uslub) hukuman mati ke atas golongan gay ini.

Menurut Ali bin Thalib ra, kaum gay mesti dibakar dengan api hingga mati. Menurut Ibnu Abbas ra, mesti dicari bangunan yang paling tinggi di suatu tempat, lalu dihumbankan si gay tadi dengan kepala ke bawah dan setelah jatuh ke tanah, dilempari dengan batu.

Menurut Umar bin Al-Khattab r.a dan Usman bin Affan r.a, golongan gay dihukum mati dengan cara dihempapkan dinding tembok kepadanya hingga mati.

Meskipun para sahabat Rasulullah SAW berbeza pendapat tentang uslub pelaksanaan hukuman, namun semuanya sepakat bahawa golongan gay ini wajib dihukum mati. [Abdurrahman Al-Maliki, Nidzamul Uqubat, hal. 21].

Begitu seriusnya kes liwat ini. Oleh sebab itulah Islam melarang perbuatan itu. Banyak kemudaratan daripada amalan gay dan liwat ini. Ia boleh menghancurkan manusia sebagaimana yang berlaku di zaman kaum Nabi Lut a.s. Tidak mustahil ia boleh berlaku lagi sekarang.

Berbalik kepada Saiful dan Anwar, Anwar nampaknya begitu gelabah. Kita tidak pasti mengapa beliau gelabah. Apakah Anwar terlalu merasakan dirinya bersalah?

Apa yang kita tahu, para propagandisnya sedang rancak merangka rancangan siang dan malam untuk memastikan kempen Bebaskan Anwar 901 dilaksanakan. Anwar mahu mengembalikan zaman reformasi. Mereka mahu berhimpun dan membuat bising.

Bagi Saiful pula sebaliknya. Apa yang dihadapinya itu ialah masalah peribadi. Bukan soal politik. Anwar pula sebaliknya mahu menjadikannya sebagai isu politik.

Anwar mendakwa dia difitnah oleh kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Tapi apa kena mengena Najib dengan Anwar? Kes liwat dengan Saiful ini bermula semasa zaman Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Pada zaman Abdullah juga Anwar dibebaskan.

Jadi siapa fitnah siapa? Nampaknya Anwar dan pengikut-pengikutnya sudah keliru.

Bapa Saiful, Azlan memberitahu saya, keluarganya menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusannya. Rakyat boleh menilai siapa benar, siapa salah.

“Jika anak saya salah, kami reda. Saya berdoa kes ini berjalan lancar tanpa ada huru-hara. Bukan saya tidak mengenali Anwar secara peribadi.

“Malah saya pernah menjadi penyokong tegar Anwar semasa zaman reformasi dulu. Perhimpunan reformasi di Masjid Negara dulu saya adalah salah seorang daripada ribuan penyokong Anwar Ibrahim.”

“Malah saya juga pernah berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana mengambil anak saya sebagai pegawai khasnya. Dan Datuk Seri menjawab dengan suara bergurau, jangan risau kalau dia (Saiful) nakal saya pukul dia…” kata Azlan kepada saya semalam.

Jika bapa Saiful, Azlan pernah menjadi pengikut tegar Anwar, begitu juga dengan Raja Petra Kamarudin, atau dikenali sebagai RPK.

RPK juga pastinya bersama-sama dengan bapa Saiful, Azlan berada di Masjid Negara semasa zaman reformasi dulu.

Kini, bersama-sama dengan bekas-bekas pemimpin PKR – termasuk dengan bekas-bekas setiausaha sulit Anwar – semua mereka telah lari meninggalkan Anwar. Mengapa? Sebabnya, mereka tahu siapa itu Anwar.

RPK dalam reaksinya kepada New Straits Times semalam, hasil wawancaranya yang disiarkan oleh akhbar Ahad lepas, berkata: “Bukan semua boleh menerima kenyataan.”

“Sudah tentu, saya menjangka akan dihentam. Mereka hanya mahu saya bercakap apa yang baik untuk telinga mereka saja, walaupun benda itu tidak betul,” katanya ketika mengulas asakan yang diterima daripada penyokong Anwar ekoran wawancara Ahad lepas.

Akhir sekali, Anwar kena percaya kepada takdir qada dan qadar Allah SWT. Beliau mungkin menganggap dirinya hebat. Beliau mungkin boleh bercakap mengenai ketamadunan, peradaban, pemikiran, ilmu dan intelektualisme manusia.

Beliau mungkin the custodian of knowledge atau pun the Renaissance Man seperti Leonardo da Vinci. Tapi sedarlah, orang yang bijak pun boleh jatuh. Personaliti mereka juga boleh runtuh.

Kejatuhan mereka hanyalah kerana beberapa kesalahan kecil. Begitu juga Anwar. — Utusan Malaysia

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Atas kesedaran dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia… Afdlin, Harun sertai perjuangan UMNO

“Saya berasal dari keluarga yang susah. Tetapi sistem yang dibentuk oleh kerajaan memberi saya peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan mengambil bidang arkitek walaupun akhirnya saya menceburi industri seni.,” itulah luahan pengarah filem terkenal Afdlin Shauki ketika mengulas mengenai penyertaan beliau ke dalam UMNO di PWTC pada petang Selasa.

“Saya memang selama ini menyokong kerajaan dan percaya kepada perjuangan UMNO walaupun tidak menyertainya. Tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat transformasi, saya lihat dia nampak serius dan jujur,” kata Afdlin.

Lebih menarik lagi apabila Afdlin bukan masuk seorang sebaliknya bersama Presiden Seniman Harun Salim Bahcik, kedua-duanya merupakan nama besar dalam industri hiburan negara memilih untuk sama-sama menyertai tranformasi politik negara yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baru bergelar naib juara Maharaja Lawak Mega, pasangan kumpulan Boboi ini hadir ke ibu pejabat UMNO di PWTC untuk menyerahkan borang kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof di Ibu pejabat parti.

Awal-awal lagi Afdlin dan Harun telah mengingatkan peminat supaya tidak menyalahertikan tindakan mereka dan memusing cerita.

“Saya berharap perkara ini tidak akan dipolitikkan kerana kami ikhlas. Apa yang kami lakukan adalah atas kesedaran dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Sekiranya ada yang nak buat cerita bahawa kami masuk UMNO kerana mahu cari rezeki lebih, itu salah sama sekali kerana rezeki adalah ketentuan Allah,” kata Harun pula.

Ditanya mengapakah baharu sekarang mahu sertai UMNO, Afdlin secara berseloroh berkata, “Macam orang cakap, hidup bermula pada usia 40.”

“Umur saya genap 40 pada tahun lalu. Pada usia begini, kita mula memikirkan banyak perkara dan akan bertanya pada diri sendiri apa yang penting dalam kehidupan kita. Pada usia begini kita sedar ada perkara yang memang sudah tersurat dan ada perkara yang masih boleh diperbetulkan

“Secara peribadi, saya menyertai UMNO tahun ini kerana pilihanraya dah dekat dan saya percaya dengan apa yang diusahakan oleh kerajaan sekarang untuk membuat perubahan kepada negara ini. Saya percaya dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

“Sekiranya penyertaan saya dalam UMNO dapat membantu kerajaan melakukan transformasi, ia adalah satu penghormatan bagi saya,” kata Afdlin.

Afdlin dan Harun akan menjadi ahli UMNO Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang.

Menurut Afdlin sistem yang dibentuk oleh kerajaan telah membantu mempertingkatkan taraf kehidupannya.

“Saya berasal dari keluarga yang susah. Tetapi sistem yang dibentuk oleh kerajaan memberi saya peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan mengambil bidang arkitek walaupun akhirnya saya menceburi industri seni.

“Saya percaya sekiranya seseorang tidak mensesiakan peluang yang ada, dia boleh berjaya. Oleh itu saya tidak faham mengapa ada golongan yang merungut mereka tidak ada peluang. Padahal peluang itu sentiasa ada depan mata. Sekiranya saya boleh mengubah hidup saya daripada susah kepada berjaya, sesiapa pun boleh lakukannya,” tambah Afdlin.

Harun, yang juga presiden Seniman, berkata, dia memang menyokong kerajaan sejak dahulu lagi.

“Selama ini saya cari makan pun dengan kerajaan. Tetapi saya tak pernah dipelawa secara rasmi untuk menyertai sebarang parti. Jadi apabila dipelawa, saya kata, mengapa tidak?

“Saya harap penyertaan kami dalam UMNO dapat membantu rakan-rakan seperjuangan dalam industri ini. Saya juga berharap dapat membantu golongan remaja yang mungkin terlepas pandang atau tidak mendapat maklumat yang betul sehingga mereka salah laku,” katanya.

[IMG]/images/stories/boboilead513.jpg[/IMG]Sebelum Harun, naib presiden Seniman, Zed Zaidi telah menyertai UMNO tahun lalu. Bagaimanapun Harun berkata keputusannya menyertai UMNO adalah atas dasar peribadi dan bukan sebagai presiden Seniman.

Bagaimanapun dia akan berusaha mempelawa ahli-ahli Seniman untuk menyertai UMNO. “Tetapi saya tidak akan paksa. Ia terpulang kepada keinginan masing-masing,” katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai cita-cita untuk berkecimpung dalam politik secara serius, Afdlin tidak menafikan.

“Ya, saya ada. Saya akan bekerja keras untuk cuba mendapat tempat supaya saya dapat membantu orang, terutama sekali golongan yang terbabit dalam industri seni.”

Afdlin berkata dia juga tidak takut kehilangan peminat.

“Saya tetap orang Malaysia, sama seperti mereka. Cuma bezanya sekarang saya ada pegangan dalam apa yang saya percaya di segi politik.

“Saya berkawan dengan semua orang tak kira dari parti manapun. Malah, saya ramai kawan dari parti pembangkang. Tak jadi masalah. Harapan saya ialah saya tidak menjadi masalah kepada orang lain. Kalau ada, mereka terpaksa terimalah keputusan yang saya buat ini.”

Tahun lalu, beberapa artis telahpun berbuat demikian. Antara mereka Datuk AC Mizal, Jamal Abdillah, Awie, Zed Zaidi, Rashdan Baba, Ezani Nizarif, Haris Kool, Adam AF dan ramai lagi.

Sementara itu, Ab Rauf berkata golongan artis yang menyertai parti Umno telah menjadi ikon dan membawa pengaruh mereka kepada peminat di luar sana untuk turut serta menyokong UMNO.

Kini terdapat 40 orang ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang yang terdiri daripada kalangan artis, antaranya Tan Sri Jins Shamsudin dan Jamal Abdillah.– 3/1/2012. agendadaily

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda