Kenyataan Anwar Mengenai Israel Mengejutkan

Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush menyifatkan sebagai “pelik dan ganjil” kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Wall Street Journal bahawa beliau menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel.

“Kami terkejut dan terperanjat dengan kenyataan pelik itu bahawa beliau menyokong keselamatan Israel,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Abughoush berkata oleh kerana Palestin menjadi isu utama bagi semua umat Islam, dan Malaysia pula menjadi pendokong utama sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, maka adalah pelik dan ganjil apabila seorang pemimpin beragama Islam dari negara ini membuat kenyataan demikian.

“Kami tak tahu siapa sebenarnya yang memerlukan perlindungan keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih.

“Kami tidak pasti adakah jaminan keselamatan perlu diberi kepada penakluk atau rakyat Palestin yang ditakluki, yang ditindas saban hari serta berdepan dengan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan penakluk, yang mencabuli undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa serta tidak menghiraukan usaha masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah,” katanya.

Abughoush mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kerana menyatakan pendirian kerajaan Malaysia tentang perkara itu.

“Kami yakin kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbudi tinggi akan terus memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin serta perjuangan suci mereka,” katanya.

Dalam kenyataannya pada Ahad, Anifah berkata tindakan yang disifatkan oleh Israel sebagai langkah yang perlu diambilnya untuk memelihara keselamatan negara itu termasuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Gaza; menangkap dan menahan rakyat Palestin tanpa bicara; membunuh rakyat Palestin termasuk pemimpin mereka melalui serangan misil dan bom; dan melaksanakan dasar bersifat menindas dan menekan rakyat Palestin seperti merampas rumah mereka dan membenarkan rakyat Israel membina penempatan haram di tanah milik penduduk Palestin.

Beliau berkata kerajaan Malaysia bukan saja tidak pernah menyokong sebarang tindakan-tindakan itu, malah berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk mengkritik dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa. BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

One response to “Kenyataan Anwar Mengenai Israel Mengejutkan

  1. ABU

    Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu Palestin-Israel adalah selari dengan Inisiatif Keamanan Arab, malah didokong gerakan Islam seluruh dunia termasuk Hamas- sebuah gerakan yang mempelopori perjuangan rakyat Palestin.

    Kenyataan Anwar, yang disiarkan oleh Wall Street Journal melalui satu wawancara 26 Januari lalu bagaimanapun diputarbelitkan media milik Umno, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

    Beliau ditanya mengenai prinsip Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution yang turut dipersetujui Hamas dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    “Hamas pernah menyatakan kebarangkalian untuk melihat realiti kewujudan dua buah negara yang berasingan, tetapi pemimpin Hamas mahu memastikan Israel benar-benar jujur untuk mengiktiraf negara Palestin menurut Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1967,

    “Bagaimanapun sekiranya kedaulatan negara Palestin ini tidak dijamin, Hamas tidak bersetuju.

    “Jadi tidak menjadi kehairanan apabila Datuk Seri Anwar, dengan mengambil kiraan politik semasa menyebut mengenai isu ini yang tidak terkeluar dari pandangan gerakan Islam seluruh dunia termasuk Hamas,” kata Muhammad Nur.

    Menurutnya lagi, ketua pembangkang itu juga sentiasa dimaklumkan mengenai pandangan dan dasar gerakan-gerakan Islam dalam konteks menyelesaikan konflik antara Palestin-Israel.

    Tambah beliau, pendirian Anwar mengenai isu itu juga sangat konsisten dan tidak perlu dipertikaikan.

    “Pendirian Anwar supaya rakyat Palestin mendapat hak balik mereka dari segi kesahihan sebagai warganegara tidak perlu dipertikaikan kerana beliau memang konsisten sejak berjuang dalam gerakan Islam dan arena politik.

    “Ideanya tentang formula bagi menyelesaikan konflik Palestin dan Israel sentiasa selaras dengan gerakan Islam sedunia. Beliau mendahulukan tentang keselamatan negara palestin yang dijamin resolusisi PBB,” kata beliau yang juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

    Bagaimanapun katanya, kenyataan Anwar mengenai isu sekuriti Israel cuba diputarbelitkan oleh media Utusan yang dimiliki Umno, seolah menggambarkan Anwar mementingkan keselamatan rejim itu.

    “Sedangkan kerajaan sendiri dalam dasar luar menangani konflik Palestin-Israel sebelum ini tunduk kepada formula dengan mengiktiraf kedua negara, tetapi perkara ini dinafikan menteri luar, Datuk Seri Hanifah Aman,” ujar beliau.

    Anwar dalam kenyataannya Sabtu lalu berkata, pendirian beliau sejajar dengan prinsip perjuangan KEADILAN yang menjunjung tinggi prinsip keadilan sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

    “Selain itu, pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

    “Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan YB Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27hb September 2011 di New York.

    Bagaimanapun kata Anwar kesediaan untuk mematuhi prinsip itu bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi.

    “Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin,” tegas beliau.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s