Ucapan Dasar Presiden Umno: Teks Penuh Ucapan Najib Tun Razak

MUKADIMAH

Alhamdulillahi, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain.

1. Dimulai kalam, dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian bahawa, Dialah Tuhan Yang Maha Kaya, Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Dialah Tuhan Yang Paling Tahu segalanya.

2. Berbekalkan sifat Rahman dan RahimNya, pada pagi ini, 1 haribulan Disember 2016, bersamaan 1 Rabi’ul Awal 1438 Hijriah, kita sekali lagi diberi izin oleh Allah-Hu Ta’ala, untuk berhimpun dalam satu majlis yang awalnya semoga dirahmati dan mudah-mudahan perpisahannya jua, mendapat keampunan.

3. Demikian juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad sesempurna manusia, Kekasih Allah, yang terkepil namanya di sisi Tuhan Maha Esa.

Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

4. Mengambil sempena, dan mafhum daripada surah Al-Kahfi ayat 10, yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami,” seiring itu surah Al-Baqarah, ayat Ruqi-yah 102, sebagai penawar dan pelindung.

5. Kemudiannya, sebuah kisah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, yang menceritakan Rasulullah mendapat bai’ah daripada para sahabat, untuk sentiasalah mendengar dan mentaati pemimpin dalam suka dan benci, dalam kesulitan mahupun kemudahan, selama mana pemimpin itu, tidak membawa kepada kekufuran, kezaliman, menyekutukan Allah, atau membawa mudarat kepada masyarakat.

UMNO DAN HIERARKI PARTI

Saudara dan Saudari Sekalian,

6. Tahun ini merupakan kali ke-13 saya berdiri di Podium dan pentas dalam dewan bersejarah lagi berkeramat ini, 5 tahun selaku Timbalan Presiden Parti dan masuk tahun ke-8 sebagai Presiden Parti UMNO.

7. Sesungguhnya, selama itulah, dari benak hati dan sanubari, saya berucap bukan sekadar seorang Presiden Parti, atau selaku Perdana Menteri, tetapi yang lebih ulung dan lebih utama dari itu, saya, Najib Razak, adalah seorang Melayu, seorang Islam, seorang Bumiputera dan seorang Anak Malaysia.

Sebelum itu, saudara dan saudari,

8. Seperti digurindam orang dulu-dulu, Patah Tumbuh Hilang Berganti, maka,kalau hilang di hujung Pagoh, syukur, telah kita jumpa di Bagan Datoh, kita raikan kini, saudara Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan kini sebagai Naib Presiden yang menjalankan kerja Timbalan Presiden Parti.

Tepukan tahniah kepada beliau.

9. Seterusnya, jika ada yang sudah beralih arah dan tidak ‘semporna’ lagi, maka ‘se-afdhal-afdhalnya’, yang kita mahukan seorangyang setia dan tidaklah pula bersombong-sombong, Itulah dia Dato’ Seri Hishammuddin dari Sembrong.

Marilah berikan tanda sokongan kepada Hisham.

10. Serentak dengan itu, saudara dan saudari, saya terus yakin juga percaya bahawa, UMNO Bahagian Pagoh dan UMNO Bahagian Semporna secara keseluruhannya, akan tetap berdiri teguh dan setia dalam mendokong pimpinan parti serta Kerajaan yang ada.

UMNO DAN BUDAYA SANTUN MELAYU

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

11. Sebetulnya, sejak beberapa bulan lalu, dalam menghadapi pelbagai cabaran, sama ada di peringkat parti mahupun Kerajaan, apabila tidak henti-henti diasak dan dipertohmah oleh pihak lawan, saya sering berfikir masak-masak, akan apakah approach atau pendekatan ucapan, yang hendak saya sampaikan pada perhimpunan yang bermakna kali ini.

12. Ternyata, apabila saya berjumpa ramai pihak dalam proses menyediakan ucapan ini, berbagai pandangan diterima antaranya supaya, saya tidak perlu lagi bersifat gentleman dan berlembut, sebaliknya, hendaklah sekarang ini, bernada lebih keras, menjawab cemuhan-cemuhan, segala maki hamun, dan membalas kembali cercaan serta tuduhan oleh pelbagai pihak termasuk Dr. Mahathir bersama konco-konconya itu, dengan kata-kata cacian yang juga kesat lagi kasar.

Namun, saudara dan saudari, sabar, sabar itu sebahagian daripada iman.

13. Kerana, semakin hari, semakin saya renung semula saranan-saranan itu, saya berasakan adalah lebih baik mengambil sifat yang mulia dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isteri Baginda Saida-tina Aisyah, agar berlembutlah dalam kata-kata, walaupun terhadap lawanmu.

14. Tambahan lagi, sifat-sifat mulia orang-orang Melayu, seperti disesuaikan daripada madah Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Melayu-Riau Tenas Affendy.

Melayu itu orang yang bijaksana,

Budi bahasanya tidak terkira,

Kurang ajarnya masih beralas dan bersantun,

Kalau berkelahi biarlah cara Melayu,

Kalau menikam pula, pun dengan berpantun,

Walau menyanggah dikuntum senyum,

Kalau merayu dan meminta,

Hendaklah pada yang kasih dan sudi memberi.

Mencontoh biarlah pada yang senonoh,

Berteladan pada yang sepadan.

Adil menjadi hakim,

Amanah dalam bersumpah,

Sekalipun begitu, walau watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan,

biar berkecai tulang, hatta hancurnya badan,

PANTANG PENDEKAR, MENINGGALKAN GELANGGANG!!!

UMNO: PARTI DAN PIMPINAN BERJIWA BESAR

Saudara dan Saudari,

15. Lantas, jikalau tahun lepas, saya memilih untuk menjadi Berjiwa Besar, bertolak dari itu juga, dalam ucapan pagi ini, saya akan terus mengambil pendirian dan sikap pemimpin yang matang.

16. Pucuk pangkalnya, bak kata orang putih, we must be above them and not to bring ourselves down to their level.

17. Apa yang mustahak, saya akan bercakap dengan terus terang, supaya setiap perkara yang diperhadapkan kepada pimpinan dan parti, boleh sama-sama kita hadami dan bahaskan nanti.

18. Kata orang, yang tersimpul dapat dirungkaikan, yang kusut boleh diperjelaskan, yang lemah mampu diperbaiki dan diperbetulkan.

19. Semuanya kita lakukan, demi kepentingan Melayu, Islam, Bumiputera dan kesinambungan UMNO dalam membina sebuah Tamadun Bangsa, yang berjaya lagi dirahmati bukan sahaja di dunia ini bahkan di akhirat kelak, InsyaAllah.

20. Malah, menceduk pengajaran ketika mana Rasulullah telah diusir, dicerca, dihina dan dilontar dengan batu oleh penduduk Thoif, sampai terpercik dan mengalirnya darah Nabi dicederakan oleh mereka.

21. Sehinggalah Malaikat Jibril bersama-sama Malaikat yang menjaga gunung ganang serta bukit bukau, dalam sifat Ke-Mala-ikatan sendiri pun, berasa marah, hatta meminta izin dari Rasul untuk menghempap dan menurun bala bencana, kepada bumi Thoif dan penduduk-penduduknya, atas kejahatan dan kekejaman yang telah diperlakukan kepada Baginda Rasul.

22. Namun, mulianya hati Nabi, Baginda memilih untuk bersabar dan berjiwa besar serta lebih mementingkan usaha murni dakwah bagi menyebarkan kebaikan dan membangunkan masa depan ummah daripada membalas keburukan dengan keburukan.

23. Demikianlah dalam konteks semasa, dengan segala rasa rendah diri dan tawaduk, sebagai hamba Allah dan manusia biasa, yang punya hati dan perasaan, saya sedar dan saya sememangnya tahu bahawa, segelintir pihak sedang menghina-hina serta mengeji-ngeji saya secara peribadi, anak isteri serta keluarga saya, dan lebih menyedihkan lagi, mereka mencela-cela pula parti kesayangan kita, parti UMNO, dan Kerajaan secara keseluruhannya.

24. Oleh itu, pada hemah dan pendirian saya lagi, kita tidak perlu membuang masa, apatah lagi menghabiskan tenaga untuk melayan atau melawan segelintir pengkhianat bangsa dan negara yang tidak bertanggungjawab ini.

25. Di sinilah kita perlu fahami baik-baik, termasuk tuduhan dan fitnah yang dikerangka, direncana dan dipertimpakan ke atas saya dan kepimpinan saya serta Kerajaan yang ada, dengan isu-isu politik, GST, rasionalisasi subsidi, 1MDB dan kos sara hidup, di mana sebahagian besar daripadanya sudah pun dijawab dengan jelas dan sedang kita tangani.

26. Oleh yang demikian, lebih mustahak untuk saya dan pimpinan Kerajaan perbuat, adalah melaksanakan Jihad yang lebih besar yakni, memilih untuk menumpukan 100 peratus kudrat diri dan seluruh keringat yang mengalir, untuk terus mara ke depan, memajukan ekonomi dan pembangunan negara, demi menjaga kepentingan sejumlah 31 juta rakyat di Malaysia.

UMNO: WALA’ DAN KESETIAAN

Saudara dan Saudari Rakan Seperjuanganku Sekalian,

27. Maka bertolak dari situ, diucapkan kalimah-kalimah tahmid dan pujian ke hadrat Ilahi di atas izin dan kurniaNya, Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO ini bersama parti-parti komponen, telah menempa kejayaan demi kejayaan serta rekod prestasi yang cemerlang dan mampu diperbanggakan.

28. Contohnya, melalui Dasar Transformasi Nasional, mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, Alhamdulillah, KDNK pada suku ketiga tahun 2016, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan KDNK sebanyak 4.3 peratus dan kita yakin sasaran 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2017 pula akan tercapai, Insya-Allah.

29. Pucuk pangkalnya, segala hasil kejayaan ini menuntut kepada satu budaya kerja sepasukan yang mantap oleh kepimpinan parti dan Kerajaan.

30. Berkait itu, saya ingin merakamkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dalam ucapannya telah menzahirkan kesetiaan kepada saya dan memberi nasihat-nasihat yang bernas kepada Wanita, Pemuda dan Puteri, 2 malam lepas.

Berilah tepukan kepada beliau.

Saudara dan Saudari,

31. Bersabit prinsip wala’ ini, pada hemah saya pula, ia membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah, yang wajib diberikan kepada seseorang Khalifah, Pemimpin yang sah, atau dalam konteks UMNO, kepada Presidennya, manakala dalam konteks Kerajaan pula, kepada Perdana Menteri.

32. Maknanya di sini, sebagaimana yang dianjurkan oleh Ulama, Wala’ yang diberikanbukanlah sekadar kepada Jasad, Tubuh atau Individu, akan tetapi, wala’ sebenarnyamerangkumi Institusi Ke-Presidenan atau Ke-Perdana-Menterian, yang disandang oleh seseorang.

33. Selanjutnya, menyongsong suka duka perjalanan parti UMNO, selama lebih 7 dekad, meskipun melalui pelbagai rintangan, umpamanya, parti ini sering kali cuba ‘dijebak’ ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

34. Walau pun begitu, Alhamdulillah, parti yang bertuah ini, terus diperselamatkan oleh Allah A’zza Wa Jalla dan mampu bertahan sehingga hari ini kerana prinsip dan falsafah wala’ jelas terpancar amalannya dalam tradisi mulia UMNO.

Inilah perlambangan hebat, sebuah parti yang menjunjung adat dan budaya Timur serta bersendikan landasan syarak, dalam menyatakan sokongan dan dokongan terhadap seorang Presiden atau Perdana Menteri selama ini.Sebagai contohnya:,

35. Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987. Sebagai yang telah saya sebutkan pada Perhimpunan Agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir? Kalau bukan kita, Ahli-Ahli UMNO.

36. Hinggakan YB Mulia Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati dengan saya, atas keputusan saya dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir. Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan 3kepada seorang Presiden Parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila.

37. Babak selanjutnya, tragedi hitam ketika mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh 4 Februari 1988, telah mengisytiharkan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang haram.

38.  Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr. Mahathir selaku Presiden, sehingga UMNO baharu telah secara rasmi diterima semula secara sah? Siapa lagi, Siapa lagi, kalau bukan kita, orang-orang UMNO!

39. Justeru, saya secara peribadi yang turut melalui peristiwa hitam tersebut, telah diarah dan ditugaskan oleh Presiden untuk menggerakkan jentera Pemuda bagi mendapatkan keahlian UMNO di pelbagai peringkat.

40. Dengan izin Tuhan, saya masih ingat lagi, yang membantu ketika itu, antaranya rakan-rakan yang telah pun kembali ke rahmahtullah, termasuk Allahyarham-Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Datuk Hashim Safin dan Datuk Sulaiman Taha. Yang masih bersama kita antaranya, adalah Dato’ Zahid Hamidi, Dato’ Nazri Aziz – Padang Rengas dan Dato’ Md Isa Ismail – Bukit Gantang telah mampu dan berjaya menyenaraikan kembali barisan pemimpin pergerakan UMNO di peringkat nasional dan negeri dalam tempoh yang singkat.

Manakala,

41. Episod selanjutnya, ketika negara berdepan dengan krisis kegawatan kewangan Asia pada sekitar tahun 1997-1998, sekali lagi, parti dan siapakan yang tetap setia menyokong apa punjua keputusan Presiden UMNO? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, kita, kitalah ini orang-orang UMNO yang setia.

42. Namun, sayang sejuta kali sayang, saya secara peribadi berasa amat kecewa, dan pastinya saudara dan saudari juga berkongsi rasa kehampaan yang sama, atas apa yang sedang terjadi sekarang.

43. Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

44. Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang.

45. Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya.

Saudara dan Saudari,

46. Begitu juga harus barang diingat, yang berlaku di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Wala’ dan Kesetiaan yang saya, Najib Razak berikan selaku Timbalan Presiden parti, bersama-sama Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta majoriti pimpinan juga keseluruhan ahli UMNO, kepada Pak Lah, bukan sahaja ke atas jasad atau tubuhnya, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh beliau yakni sebagai Presiden parti UMNO serta Perdana Menteri Malaysia.

47. Demikianlah juga, wala’ dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang saya sandang ini, adalah atas sebab tanggungjawab yang dipikul dan amanah oleh ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia.

48. Pastinya, wala’ dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

49. Kesimpulannya, wala’ dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita adalah semangat se-pasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

UMNO DAN PERJUANGAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

50. Menyisir pula sejarah pembikinan Tanah Melayu dan Malaysia, sekitar tahun 40an dan awal 50an dahulu, tanahair kita, hanyalah terdiri daripada kelompok-kelompok penempatan, perdesaan, bangunan-bangunan kecil, yang tidak terancang.

51. Orang-orang Melayu khususnya, hidup tidak terpimpin, tanpa halatuju bangsa yang jelas, terpinggir, bahkan gelap gulita dalam maksud perjuangan.

52. Lalu, pada persimpangan yang genting lagi bersejarah itu, dengan Kehendak Allah Hu Ta’ala, tercetuslah kebangkitan pertama, Kongres Melayu Se-Malaya, tanggal 1 Mac 1946, yang menghimpunkan 41 kumpulan Melayu yang bersatu dalam sebuah kesatuan, sebagai jalan hendak menentang penubuhan Malayan Union.

53. Kemudiannya pada tarikh yang telah ditakdirkan, yakni 11hb Mei 1946 tergagaslah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR.

54. Ini membawa kepada terbentuknya secara rasmi satu organisasi yakni UMNO. Hakikatnya, dengan tergagas Parti keramat ini, lebih 70 tahun dulu, menjadi satu titik di garisan sejarah dan sebenarnya merupakan detik permulaan atau satu movement massa untuk orang-orang Melayu, dengan menjadikan UMNO sebagai Pusat, Wadah, dan Wahana, mereka sebagai Penggerak Kemajuan dan Pembikinan Negara Bangsa dalam sebuah kesatuan atas perkenan Raja-Raja Melayu.

55. Arakian, saudara dan saudari, pada kesempatan ini, bagi pihak parti UMNO yang terus mempermuliakan institusi Raja-Raja Melayu, merafak setinggi-tinggi junjungan kasih, kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14, yang akan menamatkan penggal pemerintahan Baginda pada 12 haribulan Disember ini, sekaligus UMNO jua merafakkan tahniah menjunjung kasih setinggi-tingginya, kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-5, yang telah dimasyhurkan oleh Majlis Raja-Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu, bermula pada 13 haribulan Disember 2016.

UMNO MENGGERAK TRANSFORMASI MASSA

Saudara dan Saudari,

56. Lantas, orang lain boleh berkata apa sahaja tentang UMNO, tapi hanya Allah Yang Maha Adil-lah, yang akan menjadi hakim di akhirat kelak, betapa parti penuh barakah ini, telah merimbun beribu budi dan merintis berjuta jalan, demi pembelaan untung nasib bangsa Melayu dan Bumiputera.

57. Sebagai semua maklum, saban tahun, Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi pentas bagi membicara dan membahas pelbagai usul demi penerusan agenda sebuah parti.

58. Apatah lagi, saya tahu, ramai dapat berasakan bahangnya perhimpunan kali ini, adalah untuk menerima amanat-amanat sebagai persiapan untuk bertempur di medan juang Pilihanraya tidak lama lagi.

59. Meskipun begitu, dengan belajar dari sejarah dan peradaban manusia, menurut pandangan bijak pandai dan pakar-pakar strategi pula, sesuatu persiapan ke medan juang tidak semestinya berlangir limau meng-asap keris, waima mengasah-menajam sundang atau lembing, sekalipun tombak serta panah, untuk ditusuk ke pihak lawan.

60. Sebabnya, dengan mengambil ibrah dari peperangan Uhud dan Badar serta Khandak, kalah menang dan kekuatan sesuatu ketumbukan serta pasukan perang, bukanlah semata-mata di atas jumlah bala tentera mahupun senjata yang dimiliki.

61. Bahkan, perkataan quwwah, dalam surah Al-Anfal ayat 60, merujuk kepada persiapan yang lebih utama daripada persiapan fizikal yakni mengatur barisan yang kukuh, menyatukan hati-hati kita, dalam ikatan yang padu, berbekalkan strategi peperangan minda dan mental yang ampuh, sebabnya itulah dia erti kekuatan sebenar dalam mentauhidkan ummah.

62. Itulah rahsia dan azimat untuk kita pakai sebelum bertempur. Ingatlah selalu kepada pesan para hukamak, walau kita di pihak yang benar, namun, tanpa strategi yang tersusun atau kita berada dalam keadaan berpecah belah, nescaya kita akan ditewaskan oleh pihak lawan.

63. Nauzubillah, sekalipun mereka lemah kedudukan serta bilangannya, tetapi berpadu dan tersusun langkah, rancangan serta gerakan mereka.

64. Oleh yang demikian, apa yang perlu kita lakukan? Jawapannya, pembuktian yang lebih mustahak adalah seperti bukan sahaja mahu dilihat, malah hendak dirasakan oleh rakyat ialah kewibawaan dan kemampuan kita untuk memacu kepesatan negara, menabur budi dan jasa kepada rakyat merentasi sempadan kaum dan agama dalam membangunkan Malaysia.

65. Ternyata, itulah yang sejak sekian lama ini, UMNO yang menginduk kepimpinan Kerajaan sejak merdeka telah perbuat, sebagai bukan sahaja organisasi untuk orang Melayu dan Bumiputera, tapi terbukti perjuangan UMNO bersifat inklusif yang menjamin kepentingan dan hak kaum-kaum lain agar tiada yang terpinggir: …indeed UMNO has fulfilled far more than its duty for its members, and has gone beyond in justifying its purpose to the rakyat and the country, and no one will be left behind…iaitu, bukan sahaja memenuhi, bahkan telah merentasi objektif serta falsafah penubuhannya, sebagai sebuah movement massa besar-besaran yakni UMNO – Penggerak Transformasi Nasional, yang menjadi tema ucapan ini.

UMNO MENGHARGAI JASA DAN KHIDMAT AHLI

Saudara dan saudari,

66. Alhamdulillah, berbalik kepada realiti semasa, Hari ini, jumlah ahli UMNO seperti yang dilaporkan oleh Yang Berhormat Mulia Setiausaha Agung Parti tadi telah mencecah angka lebih 3 juta di seluruh Malaysia.

67. Sukacitanya juga, ingin saya maklumkan bahawa, keahlian UMNO Cawangan, paling ramai, adalah dari Kampung Batu Putih Darat yakni berjumlah 2,371 orang ahli, di dalam Bahagian Libaran, Sabah. Bersama kita dalam dewan ini beberapa wakil dari cawangan tersebut. Marilah kita berikan tepukan bersemangat UMNO kepada mereka!

68. Bagi keahlian UMNO Bahagian paling ramai pula adalah, dari UMNO Bahagian Silam, yang mempunyai sejumlah 51,902 orang keahlian. Mana dia pimpinan dan perwakilan bahagian Silam? Saya nak tengok wajah tuan-tuan dan puan-puan. Satu tepukan gemuruh untuk mereka semua!

69. Dan di peringkat negeri pula, dengan sejumlah 25 Bahagian, keahlian yang  paling ramai adalah UMNO Negeri Sabah yakni sejumlah 561,617 orang. Syabas dan tepukan tahniah kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman selaku Ketua Menteri serta Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

70. Sesungguhnya, atas sumpah janji tragedi di Lahad Datu, biar berpisah nyawa dari badan, namun seinci pun bumi Sabah, takkan sesekali kita gadaikan.

71. Selain itu, saudara dan saudari, saya turut berbangga dengan catatan keahlian baru paling ramai mengikut bahagian, yakni dari UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu Darul Imaniaitu seramai 2,876 ahli. Tepukan hebat kepada UMNO Bahagian Kuala Nerus!

72.   Manakala, bagi kategori negeri pula, keahlian baru tertinggi dicatat oleh Terengganu Darul Iman, iaitu sejumlah 9,787 ahli setakat Oktober 2016. Bak kata orang Terengganu, Mane’ oghang Ghanu kite? Sile’ beghi tepukang, beghi tepukang kepada Menteri Besar YAB Ahmad Razif Abdul Rahman dan UMNO Negeri Terengganu.

73.  Bercakap soal keahlian UMNO, saya mahukan agar semua kepimpinan di setiap peringkat, memberikan kerjasama kepada Biro Keahlian dan Daftar Pemilih, khususnya di kalangan ahli UMNO, yang masih belum mendaftar.

74. Sehubungan ini, saya ingin melahirkan rasa sukacita di atas kerja-kerja pendaftaran yang memberangsangkan oleh biro ini dengan bantuan keseluruhan jentera parti. Saudara dan Saudari rakan seperjuanganku sekalian,

75. Di atas segalanya, telah terlukis dalam kanvas pembikinan negara bangsa Malaysia, yang tidak akan terpadam sampai bila-bila, adalah jasa, khidmat bakti dan sumbangan bagai lautan yang tidak bertepi, oleh bapa-bapa pimpinan parti UMNO, bersama-sama rakan-rakan parti komponen yang lain.

76. Pada Ogos lalu, saya berkesempatan menziarahi Tan Sri Hussain Ahmad, atau lebih mesra saya panggil Abang Hussain, yang sedang uzur di rumahnya. Beliau merupakan seorang veteran parti, mantan Ketua Penerangan UMNO Kebangsaan dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan sekitar awal 80-an. Beliau ada berpesan, “Abang nak ingatkan ahli-ahli UMNO supaya menghayati perjuangan, sebab bila kita menghayati perjuangan UMNO, kita akan terima kasih dan sayang akan parti kita, dalam apa keadaan pun, kita tidak akan mengkhianati parti. Itulah perjuangan parti yang tulen lagi sejati.”

77. Bahkan, pasti terpahat dan terukir indah dalam lipatan sejarah parti bahawa, para Wanita UMNO, juga para veteran Wanita, telah sanggup berkorban apa sahaja, hatta melurut gelang emas di tangan dan rantai leher, demi, membiayai dana rombongan menuntut kemerdekaan.

78. Menyingkap juga tawarikh perjuangan mulia UMNO, pastinya, ramai sedia maklum tentang kisah-kisah pengorbanan ibu-ibu pimpinan UMNO terdahulu.

WANITA UMNO IBU PERJUANGAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

80.  Lantaran, selaku Presiden, Saya turut ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Shahrizat, yang mengetuai seramai 1,366,457 orang wanita di atas ucapannya pada PersidanganAgung kali ini,yang seperti lazimnya sungguh berkobar-kobar, terutama sekali, apabila bercakap tentang jentera pilihanraya, dengan panggilan glamor di kalangan mereka iaitu Jalinan Rakyat atau JR, menjelang persiapan Pilihanraya Umum Ke-14 kelak. Untuk itu bersamalah kita berikan tepukan tahniah kepada Ketua Wanita UMNO atas ucapan yang memberangsangkan.

81.  Tan Sri Ijat ini, dia kalau berjumpa saya memang bersemangat orangnya dalam menyuarakan harapan dan kepentingan Wanita sebagai Tulang Belakang parti supaya kita menunjukkan penghargaan dan tanda hormat kepada perjuangan wanita.

Saudara dan Saudari,

82. Bercakap tentang tanda hormat, acknowledgement and respect terhadap Wanita ini, saya berasa begitu sayu dan tersentuh apabila mendengar cerita tentang wirawati-wirawati Wanita UMNO yang tidak didendang, namun telah berkorban jiwa dan raga demi kepentingan parti.

83. Kisah tauladan yang saya maksudkan, adalah tentang Puan Saridah binti Ibrahim, Nombor Ahli UMNO 01441342, Ketua Wanita Cawangan Bandar Baru Selayang, juga merangkap Ketua Penerangan Wanita Bahagian Selayang.

84. Beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari berkempen untuk Barisan Nasional, semasa Pilihanraya Kecil DUN Kajang pada tahun 2014.

85. Sesungguhnya, saya berasa sungguh sebak dan terharu, melihat keadaan Puan Saridah kini yang penuh semangat, walaupun dalam keadaan yang uzur, beliau sanggup hadir bersama kita.

86. Saudara dan saudari, saya perlihatkan, Puan Saridah.

87.  Inilah dia contoh sejati Semangat Pendekar Tun Fatimah, wirawati kegemilangan Melayu Melaka yang patut dinyala-nyalakan dalam sanubari semua, bukan sekadar Wanita, bahkan seluruh ahli UMNO.

88. Sehubungan ini, saya selaku Presiden mewakili seluruh Pimpinan dan ahli, dari hati yang luhur, menjemput sila, semua yang berada di dalam dewan mahupun sedang menonton layar-layar skrin di luar sana, sama ada orang UMNO atau pun tidak, marilah kita sama-sama berdiri, dan bangun,……Saya mahukan semua berdiri kecuali kaum ibu dan wanita, Puteri pun sila bangun dan berdiri juga
Kalau sudah sedia, ayuhlah kita semua, dengan penuh semangat, beri tepukan penghargaan yang gemuruh sebagai tanda kasihdan penghargaan, khusus kepada Wanita UMNO, yang bukan sahaja bergelar Tulang Belakang parti, tunjang semangat, bahkan, mereka-lah Ibu kepada perjuangan parti UMNO yang diberkati ini.

89. Bertenang saudara dan saudari, bertenang, jemput duduk kembali,

Saudara dan Saudari Sekalian,

90. Seraya dengan itu, dengan sukacitanya, bagi menghargai khidmat jentera Jalinan Rakyat yang diketuai oleh Wanita, saya selaku Presiden secara rasminya mengumumkan: Untuk mengkaji satu bentuk Skim Perlindungan kepada 223,000 orang Jentera Jalinan Rakyat.

UMNO: PIMPINAN BERAMANAH

Saudara dan Saudari Sekalian,

91. Berbalik kepada realiti semasa, alangkah walang dan sebak di dada, pada saat-saat Malaysia sedang dipacu dengan derasnya, menuju gerbang maju jaya, musuh dari luar serta dalam, tidak kunjung jemu, mengasak dari segenap penjuru, hanya sa-nya untuk melihat negara kita hancur berkecai.

92. Makanya, dalam perhimpunan ini, saya memilih untuk terus berjiwa besar, menasihat dan menegur secara yang baik, bukannya menghentam batang tubuh secara peribadi, tapi mengkritik pada perbuatannya, kerana kebanyakan mereka merupakan bekas-bekas pimpinan, menteri bahkan sampai ke tahap negarawan yang telah mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia atasnama Allah, dengan kalimah-kalimah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, namun kini, telah menjadi orang asing malah mengkhianati perjuangan ini. Dalam hal ini, saya bertanya kepada para ulama, apabila dilafazkan sumpah atas nama Allah demikian, namun kemudiannya melanggar sumpah tersebut, apakah hukum dan kesannya. Jawabnya, ia adalah satu dosa yang besar, dan tanda-tanda sifat kemunafikan seseorang itu. Tidak hairanlah kalau benda ini berlaku, kerana ada orang itu sendiri yang pernah menyebut, Melayu Mudah Lupa.

93. Lalu, saya ingin bertanya sekarang ini, siapa sebenarnya Melayu Yang Mudah Lupa itu? Pastinya bukan kita, kerana Melayu UMNO yang sejati adalah Melayu yang setiadan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti!

UMNO TONGGAK KEMAKMURAN EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Saudari dan Saudari,

94. Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang menonggak kemakmuran ekonomi, hasil lawatan saya ke Jerman baru-baru ini, telah dimeterai pelaburan bernilai 1 bilion Euro, atau hampir 5 bilion ringgit melalui syarikat Osram.

95. Selepas itu, melalui lawatan ke China pula, kita telah mencipta sejarah apabila berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir 144 bilion ringgit, yang Insyaallah akan memberikan pulangan lumayan kepada negara.

96. Ini semua hasil usaha siapa? Kalau bukan inisiatif Kerajaan yang diinduki dan dipimpin oleh UMNO.

97. Namun demikian, ada juga segelintir pihak yang tak suka dengan apa pun yang telah kita lakukan. Bila tiada pelaburan, mereka kata kita gagal. Bila kita bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gadai negara.

98. Di samping itu, tuduhan mengatakan Malaysia akan bankrap, amatlah tidak berasas dan dusta semata-mata.

99. Sebabnya, segelintir pihak pembangkang yang sengaja buat-buat tak faham, tentang kedudukan sesebuah negara yang dianggap muflis, sedangkan, penarafan yang dibuat, tidak oleh pihak sebarang-sebarang, contohnya bukanlah oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan atau DAP, atau PKR, atau Mat Sabu, tetapi rating atau penarafan rekod kejayaan negara, telah dipersahihkan oleh Badan-Badan serta agensi antarabangsa yang teriktiraf akan kewibawaannya di serata dunia.

100. Sebagaimana saya menjawab soalan kepada para wartawan, selepas mesyuarat APEC di Peru baru-baru ini, penarafan terkini Malaysia, berada dalam rating kumpulan A dan itulah hakikatnya.

101. Jelasnya di sini, istilah muflis atau bankrap itu, jauh sekali malah tidak ada dalam kamus ekonomi Malaysia!

Alhamdulillah,

102. Selain itu, pimpinan UMNO dan pihak Kerajaan sendiri telah dipertimpa dengan bermacam-macam lagi tuduhan oleh pihak yang penuh dendam kesumat, menghasut rakyat bagi menjatuhkan Kerajaan.

103. Mereka kata Kerajaan zalim, pilihanraya tidak telus dan menindas rakyat.

104. Merujuk kepada isu zalim, saya telah meminta pandangan para bijak pandai dan alim ulama berkaitan apakah yang difahami tentang maksud tafsiran zalim.

105. Menurut sabda Nabi Muhammad melalui mafhum hadisnya, pemimpin itu hanya dianggap zalim pabila menyuruh rakyatnya mensyirikkan Allah dan melakukan kemaksiatan serta kebatilan.

106. Kerana itulah para sarjana membuat kesimpulan, sebarang tohmahan yang tidak berasas, seperti tuduhan zalim kepada seseorang atau pemimpin itu bukan satu hal yang ringan, sebaliknya ia adalah satu perkara yang dipandang berat di sisi agama dan Haram hukumnya.

107. Sebaliknya, adakah zalim sebuah Kerajaan yang begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat, sehingga kita mampu menyediakan Pusat Khidmat Sehenti atau UTC yang beroperasi 7 hari seminggu, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam?

108. Saya nak tanya, mana ada negara dalam dunia, yang Kerajaannya mampu menyediakan perkhidmatan sebegini? Mana ada? Melainkan, Kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

109. Malahan, untuk rawatan pesakit, segalanya pun hampir percuma di hospital Kerajaan dengan peruntukan Bajet tahun 2017 sahaja menjangkau kira-kira RM25 bilion.

110. Dalam ehwal pendidikan, bermula dari peringkat pra-sekolah, rendah sampai ke menengah semuanya hampir percuma dan di universiti-universiti awam pula lebih kurang 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh Kerajaan dengananggaran belanja keseluruhan lebih RM56 bilion.

PEMUDA UMNO HARAPAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

111. Berhubung itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih sebanyak-banyaknya, kepada anakanda-anakanda kita, para pemuda, yang dipimpin oleh Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin, sebagai ketuanya, dalam ucapan beliau, menunjukkan tentangan terhadap tingkah laku dan sikap buruk oleh kelompok BERSIH.

112. Makanya, anakanda YB Khairy Jamaluddin atau panggilan manjanya KJ, berdiri dan serulah rakan-rakan saudara, para pemuda UMNO pewaris bangsa, sejumlah lebih 600,000 ahli di seluruh negara, sama ada, dalam dewan ini atau di luar untuk bangun dan bangkit, saudara-saudaralah masa depan UMNO, dalam Bahasa Arabnya JIL UMNO atau Generasi Pewaris kepimpinan parti dan negara. Tepukan gemuruh kepada KJ dan semua pemuda harapan bangsa.

Saudara dan Saudari,

113. Selanjutnya, pabila berbicara tentang soal orang muda sebagai zuriat harapan hari muka, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, saya telah mencetuskan satu gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence.

114. Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi saya adalah untuk melihat lahirnya generasi masa hadapan Malaysia, yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran, iaitu satu generasi yang digelar dan disebut dalam Al-Quran sebagai Khayra Ummah.

115. Bagi menjayakan usaha TN50 ini, UMNO sebagai nadi Penggerak Transformasi sedang menggerakkan satu movement massa, untuk pewaris masa hadapan.

116. Untuk itu, saya alu-alukan anak-anak kita, yang turut hadir bersama-sama kita pada pagi ini, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, antaranya adalah barisan Ahli-ahli Parlimen Belia, Barisan Nasional Youth Volunteer, Malaysian Volunteer Organisation, Mahasiswa Turun Parlimen atau MANTAP, Persidangan Mahasiswa Nasional atau PEMANAS, Kelab UMNO Luar Negara, Felo Perdana dan Felo Muda Dakwah dan Pimpinan Muda Pro-Aspirasi. Inilah dia generasi TN50, atau Khayra Ummah yang saya maksudkan, dan bersamalah kita beri tepukan semangat untuk pewaris nusa dan bangsa.

117. Kepada Saudara Khairy selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan tentang belia, inilah mandat parti yang kami berikan kepada saudara selaku Ketua Pemuda dan pasukan saudara, maka bertindaklah seperti Panglima Perang Muda Tariq bin Ziad dalam terus mengkibarkan panji-panji perjuangan UMNO, bangsa dan agama!!!

PUTERI UMNO BUNGA BANGSA

Saudara dan Saudari,

118. Seterusnya, kepada anakanda YB Datuk Mas Ermieyati binti Samsudin, Ketua Puteri UMNO, bersama dengan ahli-ahlinya seramai 388,443 orang di seluruh negara, yang terus bekerja untuk parti, malah telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan parti UMNO selama ini.

119. Menyebut tentang kesetiaan dan wala’ Puteri UMNO ini, saya dikhabarkan oleh YB Mas Ermieyati, tentang kisah Puan Zakiah Kalipunya, Ketua Puteri Bahagian ketika berdepan episod dan kemelut Bahagian UMNO Semporna, tetap setia dan teguh serta tidak bertindak untuk keluar parti UMNO.

120. Begitulah juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh Puan Rohaiza binti Ahmad dan pasukannya.

121. Inilah contoh wala’ dan kesetiaan sejati yang kita harapkan. Berikan tepukan paling gemuruh kepada Puteri UMNO Bahagian Semporna dan Pagoh serta seluruh Puteri UMNO Malaysia.

KEINDUKAN KERAJAAN PIMPINAN UMNO VS KEINDUKAN KERAJAAN PIMPINAN DAP (UMNO LED VS DAP LEDGOVERNMENT)

122. Seperkara lagi, yang tidak perlu saya selindung-selindung lagi, untuk kita sama-sama berwaspada adalah pilihan sama ada untuk mengekalkan  Keindukan Kerajaan Pimpinan UMNO atau Keindukan Kerajaan Pimpinan DAP.

123. Ertinya, orang-orang Melayu dan Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya kini, sedang berdepan dengan satu persimpangan paling genting dalam tawarikh politik negara, di mana, pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti, para pengundi akan menentukan dengan pemikiran dan tangan-tangan mereka, di peti-peti undi akan siapakah yang sebaiknya menerajui pemerintahan negara ini.

Saudara dan Saudari,

124. Pokoknya, persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini.

125. Pada ketetapan takdir ini kelaklah, sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk Institusi-institusi Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

126. Begitulah juga institusi Pengajian Tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun, yakni UiTM, tidak akan lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya.

127. Oleh yang demikian itu, kalaulah, orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh menyelami apa yang tersurat serta isi maksud yang tersirat daripada ucapan saya kali ini, akan natijah buruk dan mimpi ngeri yang bakal tiba serta melanda hidup serta nasib mereka, saya yakin, nescaya orang-orang Melayu juga Bumiputera berasa takut dan bimbang, lalu akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka.

Saudara dan saudari,

128. Selanjutnya, Kerajaan yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional amat prihatin atas keluh kesah bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

129. Misalnya, bantuan khas diperuntukan kepada pekebun kecil sebanyak RM200 selama 3 bulan bagi musim tengkujuh, merangkumi 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah.

130. Tidak dilupakan, kepada hampir 60,000 nelayan yang diberi elaun khas sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan sepanjang tahun. Untuk pesawah padi pula, Kerajaan menyediakan RM1.3 bilion untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi.

Saudara dan saudari,

131. Demikianlah antara banyaknya usaha yang telah kita persembahkan demi mendahulukan kepentingan rakyat. Sekiranya rakyat dapat menjadi hakim dan memilih, DAP atau UMNO? DAP atau UMNO?

132. Kerana itulah, moga-moga rakyat terus memilih kita sampai bila-bila.

133. Menambah ke arah kebaikan lagi, buat pertama kalinya, Kerajaan menyediakan RM30 juta  bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz, melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, yang sedang dilaksana dan akan terus diperkasa.

134. Selain itu, Kerajaan ini juga turut mengambil berat tentang kebajikan Imam, di mana elaun bulanan mereka dinaikkan kepada RM850, melibatkan 15,000 Imam di seluruh negara. Kerajaan juga turut memberi bantuan khas one-off kepada bilal dan siak.

135. Bagi guru-guru KAFA pula, elaun bulanan mereka dinaikkan kepada RM900, melibatkan hampir 33,000 orang guru.

136. Satu perkara lagi saudara dan saudari, pastinya tidakkah kita sebagai umat Islam akan berasa risau, sakit hati dan marah, laksana diracun dan didamak, apabila syiar Islam dan pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan, sekiranya DAP yang memerintah.

137. Bahkan, lebih dahsyat dari itu, jika dikaji Perlembagaan parti DAP, tiada langsung menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tidak dinyatakan untuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak tertulis satu ayat pun, tentang usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan Orang-Orang Melayu serta Bumiputera.

138. Waima, institusi-institusi berkaitan Melayu Islam seperti Lembaga Tabung Haji, JAKIM, JAWHAR, LEMBAGA ZAKAT NEGERI-NEGERI akan diperlekeh dan dicabar kewujudannya.

139. Oleh itu, saudara dan saudariku sekalian, kita tidak akan sesekali membiarkan kesemua ini berlaku. Bak sumpah nenek moyang kita, langkah dulu mayat saya dan semua umat Melayu, kita akan bangkit dan pertahankan habis-habisan!!!

140. Sesungguhnya, inilah janji-janji yang ditepati dan bukti-bukti khidmat Kerajaan indukan UMNO dalam Barisan Nasional kepada rakyat, dengan sentiasa istiqamah dan wasatiyah dalam menghargai semua golongan, tanpa mengira bangsa dan agama.

141. Seiring itu, kepada rakan-rakan dan saudara-saudara kita rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, selagi mana Kerajaan Malaysia diinduki oleh kepimpinan UMNO, maka kami akan terus berlaku adil.

142. Seperti mana yang dituntut dan diperintah oleh Tuhan di dalam Al-Quran, bersandarkan lebih berpuluh-puluh ayat suci, yang menganjurkan supaya pemimpin berlaku adil kepada semua,tidak kira apa latar belakang agama mahupun kepercayaan.

143. Tambahan lagi, peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak dan kepentingan orang-orang bukan Islam, akan tetap dipelihara oleh Kerajaan tunjangan UMNO untuk selama-lamanya.

Saudara dan saudari,

UMNO DAN RUU 355

144. Sesungguhnya lagi, Kerajaan indukan UMNO telah membuat satu ketetapan bersejarah, apabila pada 24 November 2016 yang lalu, setelah dirunding bersama rakan-rakan dari parti PAS, maka pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 telah dibacakan.

145. Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

146. Kepada yang bukan beragama Islam, usahlah bimbang, kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme.

UMNO DAN PERPADUAN UMMAH

Saudara dan saudari sekalian,

147. Renungkanlah, apa sudah terjadi dan dialami oleh saudara-saudara seakidah kita di seluruh dunia. Sebelum nasi menjadi bubur, Mahukah kita menderita dan menerima nasib yang sama seperti yang dialami oleh umat Islam Palestin, Syria dan Selatan Filipina.

148. Mutakhir, UMNO melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas saudara-saudara seIslam kita, orang Rohingya di Myanmar. Berkait ini, Kerajaan pimpinan UMNO akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini.

149. Cukup-cukuplah sejarah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana  permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak tertentu, kelak menang sorak kampung tergadai.

150. Dari itu, sudah-sudahlah. Saya menyeru, marilah kita bersatu. Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, lupakan sengketa dan perbezaan antara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan.

151. Sesungguhnya, perpaduan ummah itu amat dekat di hati saya. Kalau kita boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak kita mulakannya sekarang di negara kita sendiri.

152. Inilah kemuncak kepada kejayaan perjuangan yakni perpaduan ummah.

153. Ayuhlah, kita ubat luka itu dan jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan sesama sendiri lagi.

154. Bak kata orang dulu-dulu,

Air dalam bertambah dalam,

Hujan dahulu belum teduh,

Hati dendam jangan didendam,

Dendam yang dulu mesti disembuh.

155. Sehubungan dengan inilah, atas nama perpaduan ummah, kita mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari parti PAS, kerana matang dalam berpolitik dan kekal berada dalam Dewan Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya, dan juga tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran BERSIH.

156. Inilah masanya. Inilah saat dan ketika yang dinantikan bersama, satu perpaduan ummah mulia yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama. Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Saudara dan Saudari,

KHULASAH KALAM

157. Lantas, Ayuhlah kita berdoa, BismillahirRahmanirRahim,  Ya Allah kau selamatkanlah dan berkatilah bangsa bertuah ini, parti yang berkeramat ini, dan negara yang tercinta ini.

158. Ya Rabbi, Kerana di sinilah kami lahir, tumpah dan menitiknya darah kami, di sinilah kami dibesarkan, di tanah dan perwilayahan ini kami berjuang serta dipersempadanan ini juga kami akan disemadikan satu hari kelak.

159. Oleh itu, sesungguhnya Ya Tuhan kami, jika kau yang tidak memberi pertolongan, taufik dan hidayah, maka, pada siapalah lagi dapat kamibergantung dan meletakkan urusan hidup serta mati kami juga anak cucu kami.

160. Janganlah diKau Ya Ilahi Rabbi, biarkan, tanahair ini, nasib bangsa ini, jatuh ke tanganpengkhianat dan pendurjana. Duhai Sang Yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Kau berilah kesentosaan kepada Bangsa Melayu, Parti UMNO dan Rakyat sekalian serta datangkanlah bahagia pada tanahair ini.

161. Sesungguhnya, Ya Tuhan Yang Maha Agung,kami berjanji akan berjuang bermati-matianhingga ke titisan darah yang terakhir, biarpun nyawa kami ditukar ganti. Amin Allahumma Amin!

Saudara dan saudari,

162. Lantaran itulah, Kerajaan Barisan Nasional dengan izin Allah jua, yakin dan percaya bahawa, angin kemenangan besar Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 yang lalu, diketuai oleh ‘Apai Besai’ Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Satem, telah berpuput-puput bayunya ke Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sekarang pula, mula meniup obor perjuangan yang kami yakin dan percaya, hari demi hari, mudah-mudahan, dengan kehendak Yang Esa, akan membawa pula kemenangan besar di Pilihanraya Umum Ke-14 yang bakal tiba tidak lama lagi, kepada Kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah.

163. Bersempena pula tersergamnya kompleks baharu Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, setinggi 70 tingkat, yang saya rasmikan upacara pecah tanahnya 2 hari lepas, bakal menjadi mercu tanda serta perlambangan roh, fizikal, jasmani dan rohani kepada perjuangan UMNO dulu kini dan selamanya.

164. Jadinya, ayuhlah wahai bangsaku sedar, jangan lalai walau seketika, bahawa, kita sedang berdepan dengan cabaran yang tidak pernah dilalui sepertinya.

165. Jikalau UMNO terkubur oleh kelekaan kita, pastinya ia menjadi satu ‘dosa’ yang tidak akan diampunkan oleh anak-anak cucu kita kelak.

166. Apalah akan menimpa bangsa kita nanti? Bila semua sudah punah berkecai, apabila UMNO sudah tidak ada lagi, umpama kupang tembaga yang tidak berguna. Pabila orang-orang Melayu sudah tidak ada tempat bergantung harap, akan tersungkur dan tertiaraplah, menjadi hina, merempat, mengemis, bahkan terbangsat di tanah sendiri.

167. Pada masa itu, zahir UMNO akan tercarik dan luka, batin parti Keramat ini juga, pastinya menjerit-jerit dan luluh binasa.

Alangkah berhiba-hiba di hati, Tamatlah riwayat Melayu sejati. Nobat nafiri puntiada bergema dan tidak akan berbunyi lagi.

Saudara dan saudari,

168. Makanya, akhirul kalam, saya selaku Presiden menyeru kepada kalian semua, Jangan kita mundur walau setapak, jangan kita berpatah jalan walau sejengkal, dengan ibarat pedang di kanan dan terhunus keris di kiri, berselempangkan pula semangat yang tidak mungkin bisa mati. Kerana janji Tuhan pada tiap yang berusaha tentu ada balasan jayanya. Kalau belum hari ini, esok atau lusa cahaya mentari pasti terbit dan memancar jua. Ayuhlah, Tanpa gentar dan tiada ragu-ragu lagi, kita bangun dan berdiri, bersiap untuk berjuang bermati-mati pabila semboyan dibunyi-kan nanti.

Hidup UMNO!

Hidup Barisan!

Hidup Malaysia!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s