Category Archives: Berita & Aktiviti Pemuda

Manifesto BN 2018

selangormaniifestBNJOM

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Dasar Presiden Umno: Teks Penuh Ucapan Najib Tun Razak

MUKADIMAH

Alhamdulillahi, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain.

1. Dimulai kalam, dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian bahawa, Dialah Tuhan Yang Maha Kaya, Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Dialah Tuhan Yang Paling Tahu segalanya.

2. Berbekalkan sifat Rahman dan RahimNya, pada pagi ini, 1 haribulan Disember 2016, bersamaan 1 Rabi’ul Awal 1438 Hijriah, kita sekali lagi diberi izin oleh Allah-Hu Ta’ala, untuk berhimpun dalam satu majlis yang awalnya semoga dirahmati dan mudah-mudahan perpisahannya jua, mendapat keampunan.

3. Demikian juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad sesempurna manusia, Kekasih Allah, yang terkepil namanya di sisi Tuhan Maha Esa.

Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

4. Mengambil sempena, dan mafhum daripada surah Al-Kahfi ayat 10, yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami,” seiring itu surah Al-Baqarah, ayat Ruqi-yah 102, sebagai penawar dan pelindung.

5. Kemudiannya, sebuah kisah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, yang menceritakan Rasulullah mendapat bai’ah daripada para sahabat, untuk sentiasalah mendengar dan mentaati pemimpin dalam suka dan benci, dalam kesulitan mahupun kemudahan, selama mana pemimpin itu, tidak membawa kepada kekufuran, kezaliman, menyekutukan Allah, atau membawa mudarat kepada masyarakat.

UMNO DAN HIERARKI PARTI

Saudara dan Saudari Sekalian,

6. Tahun ini merupakan kali ke-13 saya berdiri di Podium dan pentas dalam dewan bersejarah lagi berkeramat ini, 5 tahun selaku Timbalan Presiden Parti dan masuk tahun ke-8 sebagai Presiden Parti UMNO.

7. Sesungguhnya, selama itulah, dari benak hati dan sanubari, saya berucap bukan sekadar seorang Presiden Parti, atau selaku Perdana Menteri, tetapi yang lebih ulung dan lebih utama dari itu, saya, Najib Razak, adalah seorang Melayu, seorang Islam, seorang Bumiputera dan seorang Anak Malaysia.

Sebelum itu, saudara dan saudari,

8. Seperti digurindam orang dulu-dulu, Patah Tumbuh Hilang Berganti, maka,kalau hilang di hujung Pagoh, syukur, telah kita jumpa di Bagan Datoh, kita raikan kini, saudara Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan kini sebagai Naib Presiden yang menjalankan kerja Timbalan Presiden Parti.

Tepukan tahniah kepada beliau.

9. Seterusnya, jika ada yang sudah beralih arah dan tidak ‘semporna’ lagi, maka ‘se-afdhal-afdhalnya’, yang kita mahukan seorangyang setia dan tidaklah pula bersombong-sombong, Itulah dia Dato’ Seri Hishammuddin dari Sembrong.

Marilah berikan tanda sokongan kepada Hisham.

10. Serentak dengan itu, saudara dan saudari, saya terus yakin juga percaya bahawa, UMNO Bahagian Pagoh dan UMNO Bahagian Semporna secara keseluruhannya, akan tetap berdiri teguh dan setia dalam mendokong pimpinan parti serta Kerajaan yang ada.

UMNO DAN BUDAYA SANTUN MELAYU

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

11. Sebetulnya, sejak beberapa bulan lalu, dalam menghadapi pelbagai cabaran, sama ada di peringkat parti mahupun Kerajaan, apabila tidak henti-henti diasak dan dipertohmah oleh pihak lawan, saya sering berfikir masak-masak, akan apakah approach atau pendekatan ucapan, yang hendak saya sampaikan pada perhimpunan yang bermakna kali ini.

12. Ternyata, apabila saya berjumpa ramai pihak dalam proses menyediakan ucapan ini, berbagai pandangan diterima antaranya supaya, saya tidak perlu lagi bersifat gentleman dan berlembut, sebaliknya, hendaklah sekarang ini, bernada lebih keras, menjawab cemuhan-cemuhan, segala maki hamun, dan membalas kembali cercaan serta tuduhan oleh pelbagai pihak termasuk Dr. Mahathir bersama konco-konconya itu, dengan kata-kata cacian yang juga kesat lagi kasar.

Namun, saudara dan saudari, sabar, sabar itu sebahagian daripada iman.

13. Kerana, semakin hari, semakin saya renung semula saranan-saranan itu, saya berasakan adalah lebih baik mengambil sifat yang mulia dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isteri Baginda Saida-tina Aisyah, agar berlembutlah dalam kata-kata, walaupun terhadap lawanmu.

14. Tambahan lagi, sifat-sifat mulia orang-orang Melayu, seperti disesuaikan daripada madah Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Melayu-Riau Tenas Affendy.

Melayu itu orang yang bijaksana,

Budi bahasanya tidak terkira,

Kurang ajarnya masih beralas dan bersantun,

Kalau berkelahi biarlah cara Melayu,

Kalau menikam pula, pun dengan berpantun,

Walau menyanggah dikuntum senyum,

Kalau merayu dan meminta,

Hendaklah pada yang kasih dan sudi memberi.

Mencontoh biarlah pada yang senonoh,

Berteladan pada yang sepadan.

Adil menjadi hakim,

Amanah dalam bersumpah,

Sekalipun begitu, walau watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan,

biar berkecai tulang, hatta hancurnya badan,

PANTANG PENDEKAR, MENINGGALKAN GELANGGANG!!!

UMNO: PARTI DAN PIMPINAN BERJIWA BESAR

Saudara dan Saudari,

15. Lantas, jikalau tahun lepas, saya memilih untuk menjadi Berjiwa Besar, bertolak dari itu juga, dalam ucapan pagi ini, saya akan terus mengambil pendirian dan sikap pemimpin yang matang.

16. Pucuk pangkalnya, bak kata orang putih, we must be above them and not to bring ourselves down to their level.

17. Apa yang mustahak, saya akan bercakap dengan terus terang, supaya setiap perkara yang diperhadapkan kepada pimpinan dan parti, boleh sama-sama kita hadami dan bahaskan nanti.

18. Kata orang, yang tersimpul dapat dirungkaikan, yang kusut boleh diperjelaskan, yang lemah mampu diperbaiki dan diperbetulkan.

19. Semuanya kita lakukan, demi kepentingan Melayu, Islam, Bumiputera dan kesinambungan UMNO dalam membina sebuah Tamadun Bangsa, yang berjaya lagi dirahmati bukan sahaja di dunia ini bahkan di akhirat kelak, InsyaAllah.

20. Malah, menceduk pengajaran ketika mana Rasulullah telah diusir, dicerca, dihina dan dilontar dengan batu oleh penduduk Thoif, sampai terpercik dan mengalirnya darah Nabi dicederakan oleh mereka.

21. Sehinggalah Malaikat Jibril bersama-sama Malaikat yang menjaga gunung ganang serta bukit bukau, dalam sifat Ke-Mala-ikatan sendiri pun, berasa marah, hatta meminta izin dari Rasul untuk menghempap dan menurun bala bencana, kepada bumi Thoif dan penduduk-penduduknya, atas kejahatan dan kekejaman yang telah diperlakukan kepada Baginda Rasul.

22. Namun, mulianya hati Nabi, Baginda memilih untuk bersabar dan berjiwa besar serta lebih mementingkan usaha murni dakwah bagi menyebarkan kebaikan dan membangunkan masa depan ummah daripada membalas keburukan dengan keburukan.

23. Demikianlah dalam konteks semasa, dengan segala rasa rendah diri dan tawaduk, sebagai hamba Allah dan manusia biasa, yang punya hati dan perasaan, saya sedar dan saya sememangnya tahu bahawa, segelintir pihak sedang menghina-hina serta mengeji-ngeji saya secara peribadi, anak isteri serta keluarga saya, dan lebih menyedihkan lagi, mereka mencela-cela pula parti kesayangan kita, parti UMNO, dan Kerajaan secara keseluruhannya.

24. Oleh itu, pada hemah dan pendirian saya lagi, kita tidak perlu membuang masa, apatah lagi menghabiskan tenaga untuk melayan atau melawan segelintir pengkhianat bangsa dan negara yang tidak bertanggungjawab ini.

25. Di sinilah kita perlu fahami baik-baik, termasuk tuduhan dan fitnah yang dikerangka, direncana dan dipertimpakan ke atas saya dan kepimpinan saya serta Kerajaan yang ada, dengan isu-isu politik, GST, rasionalisasi subsidi, 1MDB dan kos sara hidup, di mana sebahagian besar daripadanya sudah pun dijawab dengan jelas dan sedang kita tangani.

26. Oleh yang demikian, lebih mustahak untuk saya dan pimpinan Kerajaan perbuat, adalah melaksanakan Jihad yang lebih besar yakni, memilih untuk menumpukan 100 peratus kudrat diri dan seluruh keringat yang mengalir, untuk terus mara ke depan, memajukan ekonomi dan pembangunan negara, demi menjaga kepentingan sejumlah 31 juta rakyat di Malaysia.

UMNO: WALA’ DAN KESETIAAN

Saudara dan Saudari Rakan Seperjuanganku Sekalian,

27. Maka bertolak dari situ, diucapkan kalimah-kalimah tahmid dan pujian ke hadrat Ilahi di atas izin dan kurniaNya, Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO ini bersama parti-parti komponen, telah menempa kejayaan demi kejayaan serta rekod prestasi yang cemerlang dan mampu diperbanggakan.

28. Contohnya, melalui Dasar Transformasi Nasional, mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, Alhamdulillah, KDNK pada suku ketiga tahun 2016, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan KDNK sebanyak 4.3 peratus dan kita yakin sasaran 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2017 pula akan tercapai, Insya-Allah.

29. Pucuk pangkalnya, segala hasil kejayaan ini menuntut kepada satu budaya kerja sepasukan yang mantap oleh kepimpinan parti dan Kerajaan.

30. Berkait itu, saya ingin merakamkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dalam ucapannya telah menzahirkan kesetiaan kepada saya dan memberi nasihat-nasihat yang bernas kepada Wanita, Pemuda dan Puteri, 2 malam lepas.

Berilah tepukan kepada beliau.

Saudara dan Saudari,

31. Bersabit prinsip wala’ ini, pada hemah saya pula, ia membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah, yang wajib diberikan kepada seseorang Khalifah, Pemimpin yang sah, atau dalam konteks UMNO, kepada Presidennya, manakala dalam konteks Kerajaan pula, kepada Perdana Menteri.

32. Maknanya di sini, sebagaimana yang dianjurkan oleh Ulama, Wala’ yang diberikanbukanlah sekadar kepada Jasad, Tubuh atau Individu, akan tetapi, wala’ sebenarnyamerangkumi Institusi Ke-Presidenan atau Ke-Perdana-Menterian, yang disandang oleh seseorang.

33. Selanjutnya, menyongsong suka duka perjalanan parti UMNO, selama lebih 7 dekad, meskipun melalui pelbagai rintangan, umpamanya, parti ini sering kali cuba ‘dijebak’ ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

34. Walau pun begitu, Alhamdulillah, parti yang bertuah ini, terus diperselamatkan oleh Allah A’zza Wa Jalla dan mampu bertahan sehingga hari ini kerana prinsip dan falsafah wala’ jelas terpancar amalannya dalam tradisi mulia UMNO.

Inilah perlambangan hebat, sebuah parti yang menjunjung adat dan budaya Timur serta bersendikan landasan syarak, dalam menyatakan sokongan dan dokongan terhadap seorang Presiden atau Perdana Menteri selama ini.Sebagai contohnya:,

35. Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987. Sebagai yang telah saya sebutkan pada Perhimpunan Agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir? Kalau bukan kita, Ahli-Ahli UMNO.

36. Hinggakan YB Mulia Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati dengan saya, atas keputusan saya dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir. Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan 3kepada seorang Presiden Parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila.

37. Babak selanjutnya, tragedi hitam ketika mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh 4 Februari 1988, telah mengisytiharkan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang haram.

38.  Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr. Mahathir selaku Presiden, sehingga UMNO baharu telah secara rasmi diterima semula secara sah? Siapa lagi, Siapa lagi, kalau bukan kita, orang-orang UMNO!

39. Justeru, saya secara peribadi yang turut melalui peristiwa hitam tersebut, telah diarah dan ditugaskan oleh Presiden untuk menggerakkan jentera Pemuda bagi mendapatkan keahlian UMNO di pelbagai peringkat.

40. Dengan izin Tuhan, saya masih ingat lagi, yang membantu ketika itu, antaranya rakan-rakan yang telah pun kembali ke rahmahtullah, termasuk Allahyarham-Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Datuk Hashim Safin dan Datuk Sulaiman Taha. Yang masih bersama kita antaranya, adalah Dato’ Zahid Hamidi, Dato’ Nazri Aziz – Padang Rengas dan Dato’ Md Isa Ismail – Bukit Gantang telah mampu dan berjaya menyenaraikan kembali barisan pemimpin pergerakan UMNO di peringkat nasional dan negeri dalam tempoh yang singkat.

Manakala,

41. Episod selanjutnya, ketika negara berdepan dengan krisis kegawatan kewangan Asia pada sekitar tahun 1997-1998, sekali lagi, parti dan siapakan yang tetap setia menyokong apa punjua keputusan Presiden UMNO? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, kita, kitalah ini orang-orang UMNO yang setia.

42. Namun, sayang sejuta kali sayang, saya secara peribadi berasa amat kecewa, dan pastinya saudara dan saudari juga berkongsi rasa kehampaan yang sama, atas apa yang sedang terjadi sekarang.

43. Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

44. Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang.

45. Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya.

Saudara dan Saudari,

46. Begitu juga harus barang diingat, yang berlaku di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Wala’ dan Kesetiaan yang saya, Najib Razak berikan selaku Timbalan Presiden parti, bersama-sama Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta majoriti pimpinan juga keseluruhan ahli UMNO, kepada Pak Lah, bukan sahaja ke atas jasad atau tubuhnya, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh beliau yakni sebagai Presiden parti UMNO serta Perdana Menteri Malaysia.

47. Demikianlah juga, wala’ dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang saya sandang ini, adalah atas sebab tanggungjawab yang dipikul dan amanah oleh ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia.

48. Pastinya, wala’ dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

49. Kesimpulannya, wala’ dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita adalah semangat se-pasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

UMNO DAN PERJUANGAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

50. Menyisir pula sejarah pembikinan Tanah Melayu dan Malaysia, sekitar tahun 40an dan awal 50an dahulu, tanahair kita, hanyalah terdiri daripada kelompok-kelompok penempatan, perdesaan, bangunan-bangunan kecil, yang tidak terancang.

51. Orang-orang Melayu khususnya, hidup tidak terpimpin, tanpa halatuju bangsa yang jelas, terpinggir, bahkan gelap gulita dalam maksud perjuangan.

52. Lalu, pada persimpangan yang genting lagi bersejarah itu, dengan Kehendak Allah Hu Ta’ala, tercetuslah kebangkitan pertama, Kongres Melayu Se-Malaya, tanggal 1 Mac 1946, yang menghimpunkan 41 kumpulan Melayu yang bersatu dalam sebuah kesatuan, sebagai jalan hendak menentang penubuhan Malayan Union.

53. Kemudiannya pada tarikh yang telah ditakdirkan, yakni 11hb Mei 1946 tergagaslah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR.

54. Ini membawa kepada terbentuknya secara rasmi satu organisasi yakni UMNO. Hakikatnya, dengan tergagas Parti keramat ini, lebih 70 tahun dulu, menjadi satu titik di garisan sejarah dan sebenarnya merupakan detik permulaan atau satu movement massa untuk orang-orang Melayu, dengan menjadikan UMNO sebagai Pusat, Wadah, dan Wahana, mereka sebagai Penggerak Kemajuan dan Pembikinan Negara Bangsa dalam sebuah kesatuan atas perkenan Raja-Raja Melayu.

55. Arakian, saudara dan saudari, pada kesempatan ini, bagi pihak parti UMNO yang terus mempermuliakan institusi Raja-Raja Melayu, merafak setinggi-tinggi junjungan kasih, kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14, yang akan menamatkan penggal pemerintahan Baginda pada 12 haribulan Disember ini, sekaligus UMNO jua merafakkan tahniah menjunjung kasih setinggi-tingginya, kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-5, yang telah dimasyhurkan oleh Majlis Raja-Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu, bermula pada 13 haribulan Disember 2016.

UMNO MENGGERAK TRANSFORMASI MASSA

Saudara dan Saudari,

56. Lantas, orang lain boleh berkata apa sahaja tentang UMNO, tapi hanya Allah Yang Maha Adil-lah, yang akan menjadi hakim di akhirat kelak, betapa parti penuh barakah ini, telah merimbun beribu budi dan merintis berjuta jalan, demi pembelaan untung nasib bangsa Melayu dan Bumiputera.

57. Sebagai semua maklum, saban tahun, Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi pentas bagi membicara dan membahas pelbagai usul demi penerusan agenda sebuah parti.

58. Apatah lagi, saya tahu, ramai dapat berasakan bahangnya perhimpunan kali ini, adalah untuk menerima amanat-amanat sebagai persiapan untuk bertempur di medan juang Pilihanraya tidak lama lagi.

59. Meskipun begitu, dengan belajar dari sejarah dan peradaban manusia, menurut pandangan bijak pandai dan pakar-pakar strategi pula, sesuatu persiapan ke medan juang tidak semestinya berlangir limau meng-asap keris, waima mengasah-menajam sundang atau lembing, sekalipun tombak serta panah, untuk ditusuk ke pihak lawan.

60. Sebabnya, dengan mengambil ibrah dari peperangan Uhud dan Badar serta Khandak, kalah menang dan kekuatan sesuatu ketumbukan serta pasukan perang, bukanlah semata-mata di atas jumlah bala tentera mahupun senjata yang dimiliki.

61. Bahkan, perkataan quwwah, dalam surah Al-Anfal ayat 60, merujuk kepada persiapan yang lebih utama daripada persiapan fizikal yakni mengatur barisan yang kukuh, menyatukan hati-hati kita, dalam ikatan yang padu, berbekalkan strategi peperangan minda dan mental yang ampuh, sebabnya itulah dia erti kekuatan sebenar dalam mentauhidkan ummah.

62. Itulah rahsia dan azimat untuk kita pakai sebelum bertempur. Ingatlah selalu kepada pesan para hukamak, walau kita di pihak yang benar, namun, tanpa strategi yang tersusun atau kita berada dalam keadaan berpecah belah, nescaya kita akan ditewaskan oleh pihak lawan.

63. Nauzubillah, sekalipun mereka lemah kedudukan serta bilangannya, tetapi berpadu dan tersusun langkah, rancangan serta gerakan mereka.

64. Oleh yang demikian, apa yang perlu kita lakukan? Jawapannya, pembuktian yang lebih mustahak adalah seperti bukan sahaja mahu dilihat, malah hendak dirasakan oleh rakyat ialah kewibawaan dan kemampuan kita untuk memacu kepesatan negara, menabur budi dan jasa kepada rakyat merentasi sempadan kaum dan agama dalam membangunkan Malaysia.

65. Ternyata, itulah yang sejak sekian lama ini, UMNO yang menginduk kepimpinan Kerajaan sejak merdeka telah perbuat, sebagai bukan sahaja organisasi untuk orang Melayu dan Bumiputera, tapi terbukti perjuangan UMNO bersifat inklusif yang menjamin kepentingan dan hak kaum-kaum lain agar tiada yang terpinggir: …indeed UMNO has fulfilled far more than its duty for its members, and has gone beyond in justifying its purpose to the rakyat and the country, and no one will be left behind…iaitu, bukan sahaja memenuhi, bahkan telah merentasi objektif serta falsafah penubuhannya, sebagai sebuah movement massa besar-besaran yakni UMNO – Penggerak Transformasi Nasional, yang menjadi tema ucapan ini.

UMNO MENGHARGAI JASA DAN KHIDMAT AHLI

Saudara dan saudari,

66. Alhamdulillah, berbalik kepada realiti semasa, Hari ini, jumlah ahli UMNO seperti yang dilaporkan oleh Yang Berhormat Mulia Setiausaha Agung Parti tadi telah mencecah angka lebih 3 juta di seluruh Malaysia.

67. Sukacitanya juga, ingin saya maklumkan bahawa, keahlian UMNO Cawangan, paling ramai, adalah dari Kampung Batu Putih Darat yakni berjumlah 2,371 orang ahli, di dalam Bahagian Libaran, Sabah. Bersama kita dalam dewan ini beberapa wakil dari cawangan tersebut. Marilah kita berikan tepukan bersemangat UMNO kepada mereka!

68. Bagi keahlian UMNO Bahagian paling ramai pula adalah, dari UMNO Bahagian Silam, yang mempunyai sejumlah 51,902 orang keahlian. Mana dia pimpinan dan perwakilan bahagian Silam? Saya nak tengok wajah tuan-tuan dan puan-puan. Satu tepukan gemuruh untuk mereka semua!

69. Dan di peringkat negeri pula, dengan sejumlah 25 Bahagian, keahlian yang  paling ramai adalah UMNO Negeri Sabah yakni sejumlah 561,617 orang. Syabas dan tepukan tahniah kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman selaku Ketua Menteri serta Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

70. Sesungguhnya, atas sumpah janji tragedi di Lahad Datu, biar berpisah nyawa dari badan, namun seinci pun bumi Sabah, takkan sesekali kita gadaikan.

71. Selain itu, saudara dan saudari, saya turut berbangga dengan catatan keahlian baru paling ramai mengikut bahagian, yakni dari UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu Darul Imaniaitu seramai 2,876 ahli. Tepukan hebat kepada UMNO Bahagian Kuala Nerus!

72.   Manakala, bagi kategori negeri pula, keahlian baru tertinggi dicatat oleh Terengganu Darul Iman, iaitu sejumlah 9,787 ahli setakat Oktober 2016. Bak kata orang Terengganu, Mane’ oghang Ghanu kite? Sile’ beghi tepukang, beghi tepukang kepada Menteri Besar YAB Ahmad Razif Abdul Rahman dan UMNO Negeri Terengganu.

73.  Bercakap soal keahlian UMNO, saya mahukan agar semua kepimpinan di setiap peringkat, memberikan kerjasama kepada Biro Keahlian dan Daftar Pemilih, khususnya di kalangan ahli UMNO, yang masih belum mendaftar.

74. Sehubungan ini, saya ingin melahirkan rasa sukacita di atas kerja-kerja pendaftaran yang memberangsangkan oleh biro ini dengan bantuan keseluruhan jentera parti. Saudara dan Saudari rakan seperjuanganku sekalian,

75. Di atas segalanya, telah terlukis dalam kanvas pembikinan negara bangsa Malaysia, yang tidak akan terpadam sampai bila-bila, adalah jasa, khidmat bakti dan sumbangan bagai lautan yang tidak bertepi, oleh bapa-bapa pimpinan parti UMNO, bersama-sama rakan-rakan parti komponen yang lain.

76. Pada Ogos lalu, saya berkesempatan menziarahi Tan Sri Hussain Ahmad, atau lebih mesra saya panggil Abang Hussain, yang sedang uzur di rumahnya. Beliau merupakan seorang veteran parti, mantan Ketua Penerangan UMNO Kebangsaan dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan sekitar awal 80-an. Beliau ada berpesan, “Abang nak ingatkan ahli-ahli UMNO supaya menghayati perjuangan, sebab bila kita menghayati perjuangan UMNO, kita akan terima kasih dan sayang akan parti kita, dalam apa keadaan pun, kita tidak akan mengkhianati parti. Itulah perjuangan parti yang tulen lagi sejati.”

77. Bahkan, pasti terpahat dan terukir indah dalam lipatan sejarah parti bahawa, para Wanita UMNO, juga para veteran Wanita, telah sanggup berkorban apa sahaja, hatta melurut gelang emas di tangan dan rantai leher, demi, membiayai dana rombongan menuntut kemerdekaan.

78. Menyingkap juga tawarikh perjuangan mulia UMNO, pastinya, ramai sedia maklum tentang kisah-kisah pengorbanan ibu-ibu pimpinan UMNO terdahulu.

WANITA UMNO IBU PERJUANGAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

80.  Lantaran, selaku Presiden, Saya turut ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Shahrizat, yang mengetuai seramai 1,366,457 orang wanita di atas ucapannya pada PersidanganAgung kali ini,yang seperti lazimnya sungguh berkobar-kobar, terutama sekali, apabila bercakap tentang jentera pilihanraya, dengan panggilan glamor di kalangan mereka iaitu Jalinan Rakyat atau JR, menjelang persiapan Pilihanraya Umum Ke-14 kelak. Untuk itu bersamalah kita berikan tepukan tahniah kepada Ketua Wanita UMNO atas ucapan yang memberangsangkan.

81.  Tan Sri Ijat ini, dia kalau berjumpa saya memang bersemangat orangnya dalam menyuarakan harapan dan kepentingan Wanita sebagai Tulang Belakang parti supaya kita menunjukkan penghargaan dan tanda hormat kepada perjuangan wanita.

Saudara dan Saudari,

82. Bercakap tentang tanda hormat, acknowledgement and respect terhadap Wanita ini, saya berasa begitu sayu dan tersentuh apabila mendengar cerita tentang wirawati-wirawati Wanita UMNO yang tidak didendang, namun telah berkorban jiwa dan raga demi kepentingan parti.

83. Kisah tauladan yang saya maksudkan, adalah tentang Puan Saridah binti Ibrahim, Nombor Ahli UMNO 01441342, Ketua Wanita Cawangan Bandar Baru Selayang, juga merangkap Ketua Penerangan Wanita Bahagian Selayang.

84. Beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari berkempen untuk Barisan Nasional, semasa Pilihanraya Kecil DUN Kajang pada tahun 2014.

85. Sesungguhnya, saya berasa sungguh sebak dan terharu, melihat keadaan Puan Saridah kini yang penuh semangat, walaupun dalam keadaan yang uzur, beliau sanggup hadir bersama kita.

86. Saudara dan saudari, saya perlihatkan, Puan Saridah.

87.  Inilah dia contoh sejati Semangat Pendekar Tun Fatimah, wirawati kegemilangan Melayu Melaka yang patut dinyala-nyalakan dalam sanubari semua, bukan sekadar Wanita, bahkan seluruh ahli UMNO.

88. Sehubungan ini, saya selaku Presiden mewakili seluruh Pimpinan dan ahli, dari hati yang luhur, menjemput sila, semua yang berada di dalam dewan mahupun sedang menonton layar-layar skrin di luar sana, sama ada orang UMNO atau pun tidak, marilah kita sama-sama berdiri, dan bangun,……Saya mahukan semua berdiri kecuali kaum ibu dan wanita, Puteri pun sila bangun dan berdiri juga
Kalau sudah sedia, ayuhlah kita semua, dengan penuh semangat, beri tepukan penghargaan yang gemuruh sebagai tanda kasihdan penghargaan, khusus kepada Wanita UMNO, yang bukan sahaja bergelar Tulang Belakang parti, tunjang semangat, bahkan, mereka-lah Ibu kepada perjuangan parti UMNO yang diberkati ini.

89. Bertenang saudara dan saudari, bertenang, jemput duduk kembali,

Saudara dan Saudari Sekalian,

90. Seraya dengan itu, dengan sukacitanya, bagi menghargai khidmat jentera Jalinan Rakyat yang diketuai oleh Wanita, saya selaku Presiden secara rasminya mengumumkan: Untuk mengkaji satu bentuk Skim Perlindungan kepada 223,000 orang Jentera Jalinan Rakyat.

UMNO: PIMPINAN BERAMANAH

Saudara dan Saudari Sekalian,

91. Berbalik kepada realiti semasa, alangkah walang dan sebak di dada, pada saat-saat Malaysia sedang dipacu dengan derasnya, menuju gerbang maju jaya, musuh dari luar serta dalam, tidak kunjung jemu, mengasak dari segenap penjuru, hanya sa-nya untuk melihat negara kita hancur berkecai.

92. Makanya, dalam perhimpunan ini, saya memilih untuk terus berjiwa besar, menasihat dan menegur secara yang baik, bukannya menghentam batang tubuh secara peribadi, tapi mengkritik pada perbuatannya, kerana kebanyakan mereka merupakan bekas-bekas pimpinan, menteri bahkan sampai ke tahap negarawan yang telah mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia atasnama Allah, dengan kalimah-kalimah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, namun kini, telah menjadi orang asing malah mengkhianati perjuangan ini. Dalam hal ini, saya bertanya kepada para ulama, apabila dilafazkan sumpah atas nama Allah demikian, namun kemudiannya melanggar sumpah tersebut, apakah hukum dan kesannya. Jawabnya, ia adalah satu dosa yang besar, dan tanda-tanda sifat kemunafikan seseorang itu. Tidak hairanlah kalau benda ini berlaku, kerana ada orang itu sendiri yang pernah menyebut, Melayu Mudah Lupa.

93. Lalu, saya ingin bertanya sekarang ini, siapa sebenarnya Melayu Yang Mudah Lupa itu? Pastinya bukan kita, kerana Melayu UMNO yang sejati adalah Melayu yang setiadan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti!

UMNO TONGGAK KEMAKMURAN EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Saudari dan Saudari,

94. Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang menonggak kemakmuran ekonomi, hasil lawatan saya ke Jerman baru-baru ini, telah dimeterai pelaburan bernilai 1 bilion Euro, atau hampir 5 bilion ringgit melalui syarikat Osram.

95. Selepas itu, melalui lawatan ke China pula, kita telah mencipta sejarah apabila berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir 144 bilion ringgit, yang Insyaallah akan memberikan pulangan lumayan kepada negara.

96. Ini semua hasil usaha siapa? Kalau bukan inisiatif Kerajaan yang diinduki dan dipimpin oleh UMNO.

97. Namun demikian, ada juga segelintir pihak yang tak suka dengan apa pun yang telah kita lakukan. Bila tiada pelaburan, mereka kata kita gagal. Bila kita bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gadai negara.

98. Di samping itu, tuduhan mengatakan Malaysia akan bankrap, amatlah tidak berasas dan dusta semata-mata.

99. Sebabnya, segelintir pihak pembangkang yang sengaja buat-buat tak faham, tentang kedudukan sesebuah negara yang dianggap muflis, sedangkan, penarafan yang dibuat, tidak oleh pihak sebarang-sebarang, contohnya bukanlah oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan atau DAP, atau PKR, atau Mat Sabu, tetapi rating atau penarafan rekod kejayaan negara, telah dipersahihkan oleh Badan-Badan serta agensi antarabangsa yang teriktiraf akan kewibawaannya di serata dunia.

100. Sebagaimana saya menjawab soalan kepada para wartawan, selepas mesyuarat APEC di Peru baru-baru ini, penarafan terkini Malaysia, berada dalam rating kumpulan A dan itulah hakikatnya.

101. Jelasnya di sini, istilah muflis atau bankrap itu, jauh sekali malah tidak ada dalam kamus ekonomi Malaysia!

Alhamdulillah,

102. Selain itu, pimpinan UMNO dan pihak Kerajaan sendiri telah dipertimpa dengan bermacam-macam lagi tuduhan oleh pihak yang penuh dendam kesumat, menghasut rakyat bagi menjatuhkan Kerajaan.

103. Mereka kata Kerajaan zalim, pilihanraya tidak telus dan menindas rakyat.

104. Merujuk kepada isu zalim, saya telah meminta pandangan para bijak pandai dan alim ulama berkaitan apakah yang difahami tentang maksud tafsiran zalim.

105. Menurut sabda Nabi Muhammad melalui mafhum hadisnya, pemimpin itu hanya dianggap zalim pabila menyuruh rakyatnya mensyirikkan Allah dan melakukan kemaksiatan serta kebatilan.

106. Kerana itulah para sarjana membuat kesimpulan, sebarang tohmahan yang tidak berasas, seperti tuduhan zalim kepada seseorang atau pemimpin itu bukan satu hal yang ringan, sebaliknya ia adalah satu perkara yang dipandang berat di sisi agama dan Haram hukumnya.

107. Sebaliknya, adakah zalim sebuah Kerajaan yang begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat, sehingga kita mampu menyediakan Pusat Khidmat Sehenti atau UTC yang beroperasi 7 hari seminggu, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam?

108. Saya nak tanya, mana ada negara dalam dunia, yang Kerajaannya mampu menyediakan perkhidmatan sebegini? Mana ada? Melainkan, Kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

109. Malahan, untuk rawatan pesakit, segalanya pun hampir percuma di hospital Kerajaan dengan peruntukan Bajet tahun 2017 sahaja menjangkau kira-kira RM25 bilion.

110. Dalam ehwal pendidikan, bermula dari peringkat pra-sekolah, rendah sampai ke menengah semuanya hampir percuma dan di universiti-universiti awam pula lebih kurang 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh Kerajaan dengananggaran belanja keseluruhan lebih RM56 bilion.

PEMUDA UMNO HARAPAN BANGSA

Saudara dan Saudari,

111. Berhubung itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih sebanyak-banyaknya, kepada anakanda-anakanda kita, para pemuda, yang dipimpin oleh Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin, sebagai ketuanya, dalam ucapan beliau, menunjukkan tentangan terhadap tingkah laku dan sikap buruk oleh kelompok BERSIH.

112. Makanya, anakanda YB Khairy Jamaluddin atau panggilan manjanya KJ, berdiri dan serulah rakan-rakan saudara, para pemuda UMNO pewaris bangsa, sejumlah lebih 600,000 ahli di seluruh negara, sama ada, dalam dewan ini atau di luar untuk bangun dan bangkit, saudara-saudaralah masa depan UMNO, dalam Bahasa Arabnya JIL UMNO atau Generasi Pewaris kepimpinan parti dan negara. Tepukan gemuruh kepada KJ dan semua pemuda harapan bangsa.

Saudara dan Saudari,

113. Selanjutnya, pabila berbicara tentang soal orang muda sebagai zuriat harapan hari muka, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, saya telah mencetuskan satu gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence.

114. Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi saya adalah untuk melihat lahirnya generasi masa hadapan Malaysia, yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran, iaitu satu generasi yang digelar dan disebut dalam Al-Quran sebagai Khayra Ummah.

115. Bagi menjayakan usaha TN50 ini, UMNO sebagai nadi Penggerak Transformasi sedang menggerakkan satu movement massa, untuk pewaris masa hadapan.

116. Untuk itu, saya alu-alukan anak-anak kita, yang turut hadir bersama-sama kita pada pagi ini, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, antaranya adalah barisan Ahli-ahli Parlimen Belia, Barisan Nasional Youth Volunteer, Malaysian Volunteer Organisation, Mahasiswa Turun Parlimen atau MANTAP, Persidangan Mahasiswa Nasional atau PEMANAS, Kelab UMNO Luar Negara, Felo Perdana dan Felo Muda Dakwah dan Pimpinan Muda Pro-Aspirasi. Inilah dia generasi TN50, atau Khayra Ummah yang saya maksudkan, dan bersamalah kita beri tepukan semangat untuk pewaris nusa dan bangsa.

117. Kepada Saudara Khairy selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan tentang belia, inilah mandat parti yang kami berikan kepada saudara selaku Ketua Pemuda dan pasukan saudara, maka bertindaklah seperti Panglima Perang Muda Tariq bin Ziad dalam terus mengkibarkan panji-panji perjuangan UMNO, bangsa dan agama!!!

PUTERI UMNO BUNGA BANGSA

Saudara dan Saudari,

118. Seterusnya, kepada anakanda YB Datuk Mas Ermieyati binti Samsudin, Ketua Puteri UMNO, bersama dengan ahli-ahlinya seramai 388,443 orang di seluruh negara, yang terus bekerja untuk parti, malah telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan parti UMNO selama ini.

119. Menyebut tentang kesetiaan dan wala’ Puteri UMNO ini, saya dikhabarkan oleh YB Mas Ermieyati, tentang kisah Puan Zakiah Kalipunya, Ketua Puteri Bahagian ketika berdepan episod dan kemelut Bahagian UMNO Semporna, tetap setia dan teguh serta tidak bertindak untuk keluar parti UMNO.

120. Begitulah juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh Puan Rohaiza binti Ahmad dan pasukannya.

121. Inilah contoh wala’ dan kesetiaan sejati yang kita harapkan. Berikan tepukan paling gemuruh kepada Puteri UMNO Bahagian Semporna dan Pagoh serta seluruh Puteri UMNO Malaysia.

KEINDUKAN KERAJAAN PIMPINAN UMNO VS KEINDUKAN KERAJAAN PIMPINAN DAP (UMNO LED VS DAP LEDGOVERNMENT)

122. Seperkara lagi, yang tidak perlu saya selindung-selindung lagi, untuk kita sama-sama berwaspada adalah pilihan sama ada untuk mengekalkan  Keindukan Kerajaan Pimpinan UMNO atau Keindukan Kerajaan Pimpinan DAP.

123. Ertinya, orang-orang Melayu dan Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya kini, sedang berdepan dengan satu persimpangan paling genting dalam tawarikh politik negara, di mana, pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti, para pengundi akan menentukan dengan pemikiran dan tangan-tangan mereka, di peti-peti undi akan siapakah yang sebaiknya menerajui pemerintahan negara ini.

Saudara dan Saudari,

124. Pokoknya, persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini.

125. Pada ketetapan takdir ini kelaklah, sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk Institusi-institusi Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

126. Begitulah juga institusi Pengajian Tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun, yakni UiTM, tidak akan lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya.

127. Oleh yang demikian itu, kalaulah, orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh menyelami apa yang tersurat serta isi maksud yang tersirat daripada ucapan saya kali ini, akan natijah buruk dan mimpi ngeri yang bakal tiba serta melanda hidup serta nasib mereka, saya yakin, nescaya orang-orang Melayu juga Bumiputera berasa takut dan bimbang, lalu akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka.

Saudara dan saudari,

128. Selanjutnya, Kerajaan yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional amat prihatin atas keluh kesah bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

129. Misalnya, bantuan khas diperuntukan kepada pekebun kecil sebanyak RM200 selama 3 bulan bagi musim tengkujuh, merangkumi 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah.

130. Tidak dilupakan, kepada hampir 60,000 nelayan yang diberi elaun khas sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan sepanjang tahun. Untuk pesawah padi pula, Kerajaan menyediakan RM1.3 bilion untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi.

Saudara dan saudari,

131. Demikianlah antara banyaknya usaha yang telah kita persembahkan demi mendahulukan kepentingan rakyat. Sekiranya rakyat dapat menjadi hakim dan memilih, DAP atau UMNO? DAP atau UMNO?

132. Kerana itulah, moga-moga rakyat terus memilih kita sampai bila-bila.

133. Menambah ke arah kebaikan lagi, buat pertama kalinya, Kerajaan menyediakan RM30 juta  bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz, melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, yang sedang dilaksana dan akan terus diperkasa.

134. Selain itu, Kerajaan ini juga turut mengambil berat tentang kebajikan Imam, di mana elaun bulanan mereka dinaikkan kepada RM850, melibatkan 15,000 Imam di seluruh negara. Kerajaan juga turut memberi bantuan khas one-off kepada bilal dan siak.

135. Bagi guru-guru KAFA pula, elaun bulanan mereka dinaikkan kepada RM900, melibatkan hampir 33,000 orang guru.

136. Satu perkara lagi saudara dan saudari, pastinya tidakkah kita sebagai umat Islam akan berasa risau, sakit hati dan marah, laksana diracun dan didamak, apabila syiar Islam dan pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan, sekiranya DAP yang memerintah.

137. Bahkan, lebih dahsyat dari itu, jika dikaji Perlembagaan parti DAP, tiada langsung menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tidak dinyatakan untuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak tertulis satu ayat pun, tentang usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan Orang-Orang Melayu serta Bumiputera.

138. Waima, institusi-institusi berkaitan Melayu Islam seperti Lembaga Tabung Haji, JAKIM, JAWHAR, LEMBAGA ZAKAT NEGERI-NEGERI akan diperlekeh dan dicabar kewujudannya.

139. Oleh itu, saudara dan saudariku sekalian, kita tidak akan sesekali membiarkan kesemua ini berlaku. Bak sumpah nenek moyang kita, langkah dulu mayat saya dan semua umat Melayu, kita akan bangkit dan pertahankan habis-habisan!!!

140. Sesungguhnya, inilah janji-janji yang ditepati dan bukti-bukti khidmat Kerajaan indukan UMNO dalam Barisan Nasional kepada rakyat, dengan sentiasa istiqamah dan wasatiyah dalam menghargai semua golongan, tanpa mengira bangsa dan agama.

141. Seiring itu, kepada rakan-rakan dan saudara-saudara kita rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, selagi mana Kerajaan Malaysia diinduki oleh kepimpinan UMNO, maka kami akan terus berlaku adil.

142. Seperti mana yang dituntut dan diperintah oleh Tuhan di dalam Al-Quran, bersandarkan lebih berpuluh-puluh ayat suci, yang menganjurkan supaya pemimpin berlaku adil kepada semua,tidak kira apa latar belakang agama mahupun kepercayaan.

143. Tambahan lagi, peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak dan kepentingan orang-orang bukan Islam, akan tetap dipelihara oleh Kerajaan tunjangan UMNO untuk selama-lamanya.

Saudara dan saudari,

UMNO DAN RUU 355

144. Sesungguhnya lagi, Kerajaan indukan UMNO telah membuat satu ketetapan bersejarah, apabila pada 24 November 2016 yang lalu, setelah dirunding bersama rakan-rakan dari parti PAS, maka pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 telah dibacakan.

145. Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

146. Kepada yang bukan beragama Islam, usahlah bimbang, kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme.

UMNO DAN PERPADUAN UMMAH

Saudara dan saudari sekalian,

147. Renungkanlah, apa sudah terjadi dan dialami oleh saudara-saudara seakidah kita di seluruh dunia. Sebelum nasi menjadi bubur, Mahukah kita menderita dan menerima nasib yang sama seperti yang dialami oleh umat Islam Palestin, Syria dan Selatan Filipina.

148. Mutakhir, UMNO melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas saudara-saudara seIslam kita, orang Rohingya di Myanmar. Berkait ini, Kerajaan pimpinan UMNO akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini.

149. Cukup-cukuplah sejarah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana  permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak tertentu, kelak menang sorak kampung tergadai.

150. Dari itu, sudah-sudahlah. Saya menyeru, marilah kita bersatu. Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, lupakan sengketa dan perbezaan antara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan.

151. Sesungguhnya, perpaduan ummah itu amat dekat di hati saya. Kalau kita boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak kita mulakannya sekarang di negara kita sendiri.

152. Inilah kemuncak kepada kejayaan perjuangan yakni perpaduan ummah.

153. Ayuhlah, kita ubat luka itu dan jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan sesama sendiri lagi.

154. Bak kata orang dulu-dulu,

Air dalam bertambah dalam,

Hujan dahulu belum teduh,

Hati dendam jangan didendam,

Dendam yang dulu mesti disembuh.

155. Sehubungan dengan inilah, atas nama perpaduan ummah, kita mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari parti PAS, kerana matang dalam berpolitik dan kekal berada dalam Dewan Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya, dan juga tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran BERSIH.

156. Inilah masanya. Inilah saat dan ketika yang dinantikan bersama, satu perpaduan ummah mulia yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama. Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Saudara dan Saudari,

KHULASAH KALAM

157. Lantas, Ayuhlah kita berdoa, BismillahirRahmanirRahim,  Ya Allah kau selamatkanlah dan berkatilah bangsa bertuah ini, parti yang berkeramat ini, dan negara yang tercinta ini.

158. Ya Rabbi, Kerana di sinilah kami lahir, tumpah dan menitiknya darah kami, di sinilah kami dibesarkan, di tanah dan perwilayahan ini kami berjuang serta dipersempadanan ini juga kami akan disemadikan satu hari kelak.

159. Oleh itu, sesungguhnya Ya Tuhan kami, jika kau yang tidak memberi pertolongan, taufik dan hidayah, maka, pada siapalah lagi dapat kamibergantung dan meletakkan urusan hidup serta mati kami juga anak cucu kami.

160. Janganlah diKau Ya Ilahi Rabbi, biarkan, tanahair ini, nasib bangsa ini, jatuh ke tanganpengkhianat dan pendurjana. Duhai Sang Yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Kau berilah kesentosaan kepada Bangsa Melayu, Parti UMNO dan Rakyat sekalian serta datangkanlah bahagia pada tanahair ini.

161. Sesungguhnya, Ya Tuhan Yang Maha Agung,kami berjanji akan berjuang bermati-matianhingga ke titisan darah yang terakhir, biarpun nyawa kami ditukar ganti. Amin Allahumma Amin!

Saudara dan saudari,

162. Lantaran itulah, Kerajaan Barisan Nasional dengan izin Allah jua, yakin dan percaya bahawa, angin kemenangan besar Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 yang lalu, diketuai oleh ‘Apai Besai’ Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Satem, telah berpuput-puput bayunya ke Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sekarang pula, mula meniup obor perjuangan yang kami yakin dan percaya, hari demi hari, mudah-mudahan, dengan kehendak Yang Esa, akan membawa pula kemenangan besar di Pilihanraya Umum Ke-14 yang bakal tiba tidak lama lagi, kepada Kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah.

163. Bersempena pula tersergamnya kompleks baharu Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, setinggi 70 tingkat, yang saya rasmikan upacara pecah tanahnya 2 hari lepas, bakal menjadi mercu tanda serta perlambangan roh, fizikal, jasmani dan rohani kepada perjuangan UMNO dulu kini dan selamanya.

164. Jadinya, ayuhlah wahai bangsaku sedar, jangan lalai walau seketika, bahawa, kita sedang berdepan dengan cabaran yang tidak pernah dilalui sepertinya.

165. Jikalau UMNO terkubur oleh kelekaan kita, pastinya ia menjadi satu ‘dosa’ yang tidak akan diampunkan oleh anak-anak cucu kita kelak.

166. Apalah akan menimpa bangsa kita nanti? Bila semua sudah punah berkecai, apabila UMNO sudah tidak ada lagi, umpama kupang tembaga yang tidak berguna. Pabila orang-orang Melayu sudah tidak ada tempat bergantung harap, akan tersungkur dan tertiaraplah, menjadi hina, merempat, mengemis, bahkan terbangsat di tanah sendiri.

167. Pada masa itu, zahir UMNO akan tercarik dan luka, batin parti Keramat ini juga, pastinya menjerit-jerit dan luluh binasa.

Alangkah berhiba-hiba di hati, Tamatlah riwayat Melayu sejati. Nobat nafiri puntiada bergema dan tidak akan berbunyi lagi.

Saudara dan saudari,

168. Makanya, akhirul kalam, saya selaku Presiden menyeru kepada kalian semua, Jangan kita mundur walau setapak, jangan kita berpatah jalan walau sejengkal, dengan ibarat pedang di kanan dan terhunus keris di kiri, berselempangkan pula semangat yang tidak mungkin bisa mati. Kerana janji Tuhan pada tiap yang berusaha tentu ada balasan jayanya. Kalau belum hari ini, esok atau lusa cahaya mentari pasti terbit dan memancar jua. Ayuhlah, Tanpa gentar dan tiada ragu-ragu lagi, kita bangun dan berdiri, bersiap untuk berjuang bermati-mati pabila semboyan dibunyi-kan nanti.

Hidup UMNO!

Hidup Barisan!

Hidup Malaysia!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO – Destini Bangsa

Alhamdulillah, berkat rahmat dan keizinan Allah SWT, kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk berhimpun atas nama parti keramat UMNO, bagi mewakili generasi muda dan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan.

2. Namun, sebelum saya memulakan bicara, saya ingin membawa perhatian saudara-saudara semua ke layar skrin ini. (Video)

3. Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas bangsa Rohingya di Myanmar yang amat-amat tidak berperikemanusiaan dan sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang punya akal, hati dan jiwa.

4. Dan justeru itu, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan segala bentuk kekejaman ini dengan serta-merta.

5. Kepada ASEAN, Pergerakan Pemuda UMNO juga mendesak agar keahlian Myanmar dalam ASEAN dikaji semula. Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pemusnahan etnik besar-besaran dalam sebuah negara ahli ASEAN.

6. Marilah sama-sama kita menadah tangan memohon kepada Ilahi agar bangsa Rohingya diberikan perlindungan dari kezaliman dan kemusnahan

Bismillahhirrahman nirrahim
Ya Allah, Iyyakana’ buduwaiyya ka nastain,
KepadaMu lah kami bermohon dan memanjatkan doa
Kau berikanlah perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kami Bangsa Rohingya.
Kau berikanlah mereka kekuatan untuk mendepani dugaanMu yang maha besar ini dan Kau anugerahkanlah mereka keimanan, kesabaran, keamanan serta jalan keluar yang terbaik dari belenggu kekejaman ini.
Ya Allah ampunkan segala dosa dan rahmatilah mereka yang terkorban di sana. Engkau hapuskanlah ketakutan dan kesedihan mereka.
Ya Allah, Yang Maha Berkuasa, hancur dan leburkanlah musuh-musuh durjana yang menindas orang Islam, pecah belahkanlah mereka dan goncangkanlah hati-hati mereka.
Ya Allah, menangkanlah orang Islam dan kalahkan semua musuh-musuh kaum muslimin.
Amin, amin ya rabbal alamin.
Saudara-saudara para perwakilan sekalian,

7. Perhimpunan tahun ini diadakan dalam keadaan kita bakal menghadapi satu ujian besar dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi. Walaupun penggal penuh Parlimen adalah sehingga tahun 2018, umum tahu bahawa berkemungkinan besar pilihan raya ke-14 akan diadakan lebih awal dari tarikh akhir penggal ini.

8. Ini bermaksud kita sudah masuk mod perang atau war mode. Ini juga berkemungkinan besar adalah Perhimpunan Agung yang terakhir sebelum pilihan raya. Justeru, pada perhimpunan ini, semboyan perlu dibunyi, gendang perang dipalu dan wisel permulaan ditiup untuk memberi arahan kepada jentera dan keseluruhan ahli parti untuk sedia menggempur, sedia berlawan dan memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang demi kelangsungan perjuangan bangsa.

9. Ini juga bermaksud keutamaan kita mesti jelas. Cakap-cakap tentang pemilihan parti tak perlu diendah. Cita-cita jawatan dalam parti simpan sahaja dahulu – kerana seperti mana disebut berulang kali, tanpa kuasa politik yang datang dalam bentuk mandat rakyat, segala pangkat dan jawatan dalam parti tidak bermakna. Tak guna cari populariti dalam kelompok kecil tetapi tidak dapat membantu mempengaruhi kemenangan parti dalam pilihan raya. Jangan menang sorak perwakilan, tetapi parti UMNO dan Barisan Nasional habis tergadai.

10. Perhimpunan Agung kali ini juga pentas yang sesuai untuk kita mengimbas kembali dan melihat sejauh mana pendekatan Pemuda yang telah kita bawa memberikan impak dan keberhasilan yang diinginkan. Perlu kita ingat, politik khidmat bakti yang berpaksikan nilai dan makna merupakan satu DNA atau identiti baharu dalam gerak kerja Pemuda UMNO. Kita telah membuat keputusan pada Perhimpunan Agung Pemuda yang pertama setelah saya menjadi Ketua Pemuda, bertitik tolak dari ucapan dasar saya yang bertajuk ‘Di Persimpangan Jalan Perjuangan’, untuk menambah satu dimensi baharu kepada perjuangan Pemuda.

11. Kita telah bersetuju bahawa perjuangan Pemuda tidak boleh bersifat satu dimensi sahaja. Bising-bising tin kosong. Tetapi sebaliknya membawa identiti baharu dalam memperkenalkan Qiyadah Fikriyah atau kepimpinan berfikir (thought leadership). Mencambahkan idea dan penyelesaian untuk golongan muda supaya mereka terus yakin bahawa mereka boleh menyandarkan harapan kepada Pemuda UMNO. Bahawa ada pihak yang boleh memperjuangkan pandangan dan isi hati mereka. Bahawa ada pihak yang mengambil berat dan peduli akan nasib mereka. Bahawa ada pihak dalam kumpulan pemerintah yang memahami jiwa dan membawa suara yang senada dengan mereka.

12. Ini tidak bermaksud DNA Pemuda yang lama terus dihapuskan. Bilamana sesuai, Pemuda masih boleh turun gelanggang dan berdepan dengan sesiapa sahaja. Lihat sahaja Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Saudara Azwan Bro serta Rafizal, dengan Pemuda Bangkitnya, yang telah menggegar Menara Komtar di Pulau Pinang; atau Zainuri dan Pemuda Selangor dengan baldinya yang membawa mesej serius tentang kegagalan Kerajaan negeri Selangor menyelesaikan krisis air; atau Dato’ Armand Red yang baru-baru ini menjadi tetamu bermalam Polis Di Raja Malaysia.

13. DNA yang baharu ini melihat DNA yang lama digabungkan dengan daya pemikiran yang lebih tajam dan hujah yang lebih mendalam. Pentas debat dan forum mahasiswa tidak pernah dielak oleh Pemuda. Bila ada isu hangat, kita pantas laksana dialog dengan anak muda di bawah think-tank kita, Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di bawah Tengku Zuhri. Pemimpin Pemuda sudah mula tampil di dada akhbar dan media sosial untuk membina naratif politik yang positif untuk parti UMNO dan Kerajaan BN.

14. Tetapi yang paling penting adalah sejauh mana DNA baharu ini, suara orang muda ini, diberi perhatian oleh pucuk pimpinan? Mungkin kita boleh mengaku diri kita solution provider dan think tank, tetapi adakah kita syok sendiri? Peduli ke tidak Presiden parti selaku Perdana Menteri terhadap apa yang kita bincangkan di sini ataupun kita ibarat bercakap berdegar-degar tetapi hanya untuk dibawa oleh angin lalu sahaja? Biar rekod kita yang berbicara.

15. Masihkah kita ingat, pada Ucapan Dasar saya yang pertama -, bila mana orang bercakap pasal pelajar universiti sahaja, Pemudalah yang pertama memperjuangkan pelajar vokasional. Mari kita lihat. (Video)

16. Itu disebut dalam ucapan pertama kita. Kita sebut pasal TVET. Sekarang adakah ianya satu realiti? (Video)

17. Terima kasih Perdana Menteri. Hari ini TVET telah diarusperdanakan.

18. Masih ingatkah kita, bila disebut tentang masa hadapan, ketika itulah kita sebut tentang pentingya kemahiran dunia digital untuk anak bangsa. (Video)

19. Kerajaan dengar suara kita atau tidak? (Video)

20. Terima kasih Perdana Menteri

21. Masihkah kita ingat, sewaktu tiada satu garis pendapatan asas, yang menjadi pemangkin memperjuangkan gaji minimum, yang menjadi pembela golongan pekerja itu siapa? (video)

22. Pemuda ke depan minta gaji minimum untuk golongan pekerja, mendesak biar disegerakan. Apa respon Kerajaan? (Video)

23. Terima kasih Perdana Menteri

24. Masih ingatkah kita, bila graduan belajar tinggi-tinggi, tiga tahun menuntut untuk mendapatkan ijazah tetapi masih tidak dapat kerja, siapa yang angkat agenda ini, yang bersuara risaukan tentang mereka ? (Video)

25. Mendapatkan pekerjaan untuk anak muda adalah desakan nombor satu Pemuda. Adakah Kerajaan dengar atau tidak? (Video)

26. Terima kasih Perdana Menteri

27. Masihkah kita ingat, dari sudut idealisme politik anak muda, suatu ketika dahulu disebut bahawa universiti kita mengongkong anak muda nak berpolitik. Bahawa siswa siswi tiada kebebasan politik. Maka Pemuda tampil ke hadapan, dengan berani menuntut agar dipinda AUKU, supaya mahasiswa bebas untuk sertai politik, masihkah kita ingat? (Video)

28. Adakah Kerajaan dengar suara kita? Adakah Perdana Menteri terima suara kita yang berjuang untuk anak muda dan mahasiswa berpolitik? (Video)

29. Terima kasih Perdana Menteri.

30. Masih ingatkah kita, satu perkara lagi yang kita perjuangkan adalah anak muda yang bankrap, yang berdepan dengan status muflis, yang tak layak ambil pinjaman, yang masa depannya gelap gelita kerana masalah tersebut.. Kita menuntut agar dipinda Akta Kebankrapan, agar diberi peluang kedua untuk mereka. (Video)

31. Apakah respon Kerajaan? (Video)

32. Terima kasih Perdana Menteri.

33. Masihkah kita ingat, satu lagi agenda penting Pemuda adalah pemilikan rumah untuk orang muda. Siapa yang tak nak tempat berteduh. Tetapi bila nak beli rumah, bila nak letak deposit dan bila nak buat pinjaman, bank tolak permohonan mereka. Adakah Pemuda suarakan perkara ini untuk orang muda? (Video)

34. Apa pula jawapan Kerajaan untuk perkara ini? (Video)

35. Terima kasih Perdana Menteri.

36. Masih ingatkah kita, bila kita buat makmal generasi muda, jemput PM untuk dengar rintihan tentang isu pemilikan rumah, kita sebut terang-terang bahawa pemilikan rumah ini adalah satu agenda penting untuk orang muda. (Video)

37. Adakah suara kita menjadi realiti? (Video)

38. Terima kasih Perdana Menteri.

39. Masihkah kita ingat, dan seperti yang kita maklum, Pemuda selalu turun padang jumpa golongan muda – yang bujang, yang baru bekerja, yang tinggal di bandar. Sesetengahnya bercadang nak sewa rumah tetapi nak menyewa pun mereka tak mampu. Lantas Pemuda cadangkan agar ditambah rumah transit untuk kita mendapatkan tempat tinggal untuk anak muda bandar. (Video)

40. Adakah PM dengar suara kita untuk tambah Rumah Transit. Berapa yang beliau tambah? Satu ribu? Dua ribu? Tiga ribu? (Video)

41. Terima kasih Perdana Menteri

42. Masihkah kita ingat, apabila Pemuda menyelami idealisme perjuangan, bila kita mendengar rintihan rakyat, bila kita menjerit merayu agar Kerajaan hentikan kenaikan tol supaya janji ditepati. (Video)

43. Apakah jawapan Kerajaan untuk desakan kita? (Video)

44. Terima kasih Perdana Menteri.

45. Masih ingatkah kita, tatkala kita berani untuk rakyat jelata, kita bersuara minta bagi diskaun, kurangkan sengsara rakyat yang menggunakan pengangkutan awam (Video)

46. Kini, bila dilancar LRT 3, rakyat turut tidak dilupakan (Video)

47. Terima kasih Perdana Menteri.

48. Lantaran itulah, kita berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, yang bukan sahaja terbuka dan menerima pandangan golongan muda bahkan menyokong kebanyakan idea kita sehingga diangkat menjadi dasar dan program Kerajaan.

49. Inilah antara sebab mengapa Pergerakan Pemuda terus memberi sokongan kepada beliau untuk kekal menerajui parti dan Kerajaan – seorang pemimpin yang sentiasa mendengar suara anak muda, seorang pemimpin yang telah banyak deliver untuk aspirasi orang muda.

Saudara-saudara sekalian,
50. Ini semua bukti hasil kerja kita selama ini. Hasil kerja yang tidak lagi boleh diragui. Hasil kerja yang menceritakan DNA baharu Pemuda – bahawa Pemuda tidak lagi satu dimensi. Mendesak sahaja. Turun ke jalan raya sahaja. Itu kita masih boleh buat. Tetapi itu sudah menjadi tugasan mudah, tugasan rutin. Kacang.

51. Hari ini orang muda dahagakan idea dan penyelesaian. Mereka mahu melihat idea itu menjadi realiti. Kalau ada desakan pun, mereka mahu desakan itu dijadikan dasar Kerajaan dan bukan hanya sembang kosong, retorik bohong. Mereka mahu melihat politik yang lebih profesional. Hujah berfakta bukan ugutan perkauman. Kepimpinan berfikir atau thought leadership.

52. Maka apabila baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan satu mandat besar bagi saya selaku Menteri Belia dan Sukan untuk menerajui dan mengendali pelaksanaan awal dialog Transformasi Nasional 2050 atau TN50,
saya anggap ini juga adalah satu pengiktirafan bagi gerak kerja dan DNA baharu Pemuda UMNO yang telah menjadi think tank Kerajaan dalam isu-isu untuk orang muda.

53. Tugas dan amanah ini sangat besar maknanya. Dialog TN50 ini akan mengumpul suara orang muda yang akan menjadi asas kepada visi negara untuk 30 tahun akan datang. Visi kali ini merupakan gagasan dari bawah atau bottom up, bukannya arahan dari atas atau top down. Perdana Menteri mahu rakyat melihat dan menggenggam visi ini sebagai hasil luahan aspirasi mereka.

54. Baik dari segi pendidikan, alam sekitar, urus tadbir politik, sukan, seni dan budaya, dari segi keusahawanan, kemahiran ekonomi, agama, perpaduan, malah segenap aspek pembangunan negara bangsa bakal dilakar oleh generasi muda.

55. Memang ini program Kerajaan, tetapi saya mahu Pemuda terlibat secara aktif. Pemuda institusi yang siang malam bersama generasi muda Melayu, yang hampir sedekad memberikan usul dan cadangan dasar – pembawa suara anak muda Melayu ke pentas tertinggi.

56. Namun, tatkala kita merencana masa depan Negara merentas segenap aspek, kurang lengkaplah jika kita tidak turut membincangkan masa depan Melayu di tahun 2050.

57. Dalam kita memikirkan destini Melayu pada tahun 2050, kita juga perlu ada olahan falsafah identiti Melayu yang sesuai dengan zaman dan wawasan. Jati diri Melayu takkan lari daripada paksi perjuangan yang asal – agama Islam kita, bahasa kita, status bumiputera kita. Tetapi meski pasak kita tak berubah, biarlah ia mampu dicanai menjadi batu loncatan untuk kita menggapai bintang, merentasi kemungkinan. Jangan pula pasak kita dilihat sebagai halangan kepada imaginasi, batas kepada prestasi.

58. Mengapa saya berkata begitu? Kerana selama berpuluh tahun, identiti politik kita didominasi dua perkara, – kepribumian Melayu-Islam yang dipertahan dan keperluan untuk membantu kedudukan ekonomi Melayu yang terkebelakang. Cuma persoalannya sekarang, adakah itu sahaja erti perjuangan Melayu?

59. Takkan kita defensif sangat. Takkan polemik Melayu hanya dilihat dari keadaan yang sentiasa lemah dan hanya perlu terus dibantu sahaja.

60. Saya percaya tidak. Kerangka minda kita sudah sedia untuk lebih diregang supaya tidak hanya menjadi sebuah bangsa yang reaktif dan defensif semata-mata – bangsa yang hanya meminta-minta, yang anti-ilmu, yang anti-persaingan, yang hanya mencari tongkat.

61. Sudah tiba masanya kita jadi bangsa yang menggubah rentak, merencana agenda. Untuk mencapai aspirasi Melayu TN50, kita perlu membentuk sebuah identiti bangsa yang perjuangannya lebih meluas dan ketrampilannya lebih jitu. Yang mengejar kejayaan dan penambahbaikan.

62. Sebuah ufuk perjuangan yang lebih luas bermakna Melayu punya pandangan, sumbangan dan keupayaan merentasi batasan. Perjuangan kita tidak hanya berlegar sekitar isu DEB, diskaun Bumiputera, Perkara 153 dan hak-hak sewaktu dengannya. Benar, itu benih perjuangan kita yang asal yang tetap akan kita pertahankan. Tetapi pada 2050 nanti biarlah Melayu mencipta nama dalam segenap dimensi.

63. Tatkala saudara Timur Tengah kita bergolak dek puak ekstremis sesat, biarlah Melayu itu sinonim dengan pemimpin umat Islam sejagat. Apabila gelombang digital kian melanda, biarlah Melayu itu dilihat penjana peluang ekonomi baharu yang berjaya. Apabila kejayaan sebuah bangsa dilihat pada ilmunya, pada inovasinya, pada penyelidikannya. Biarlah Melayu itu terkenal dengan pakar dan pemikirnya. Begitu besar cabaran rantau dan dunia. Sayang jika Melayu terus terkurung dalam kepompong identiti lama.

64. Sebuah ketrampilan yang jitu bermaksud Melayu yang yakin dan berani dalam segala segi. Tidak khuatir tewas, tertoleh-toleh sana sini, tetapi terus mara menentu nasib sendiri. Tidak diselubungi paranoia, terkesima. Tidak kecut dengan persaingan sihat. Tidak gemar mengungkap kata, “Melayu belum bersedia”.

65. Kerana visi kita, Melayu TN50, Melayu yang perkasa – gagah bukan hanya bertempur bertempik suara, tapi berani yang lebih berisi, tak berselindung di sebalik benteng dan tradisi. Melayu yang tak sangsi akan kebolehan sendiri.

66. Rumusannya, sebuah Melayu yang mendahagakan gemilang jaya yang lebih besar dari takut risiko gagal. Percayalah, bangsa playsafe, meski 100 tahun merdeka, takkan ke mana.

67. Hanya melalui peralihan falsafah dan jati diri sesuai dengan zaman, barulah segala pencapaian dan kejayaan yang kita harapkan untuk Melayu 30 tahun lagi, mampu menjadi realiti. Sebaliknya, seandainya kita masih di takuk pemikiran lama, masih tidak berganjak dari zon selesa, maka bahtera akan kekal berlabuh takkan berlayar ke mana..

68. Justeru, marilah kita bersama kumpul dan garapkan harapan anak muda Melayu untuk tahun 2050 nanti. Tiga puluh tahun itu adalah perjalanan kita menuju destini – untuk mengejar rakan yang lain dari pelbagai segi. Harapan saya di tahun 2050 nanti, di dalam persaraan, saya dapat tersenyum bangga melihat bangsa Melayu yang sudah mencapai aspirasinya.

69. Maka, turunlah padang, dekati anak muda dan fahami aspirasi mereka untuk tahun 2050 nanti. Adakah kita masih inginkan anak Melayu yang malas membaca? Adakah anak Melayu yang hanya ghairah dengan program-program TV seperti Melodi dan Meletop aspirasi kita? Adakah kita mahu anak muda Melayu yang harinya sudah dikira sempurna dan lengkap, bila dapat melihat Mr Pilot atau Surihatinya? Adakah kita mahu anak muda Melayu yang percaya tahyul, percaya khurafat, percaya bomoh, percaya pada air jampi untuk selesaikan masalah mereka?

70. Biarlah kita membina anak bangsa yang rasional dan berfikiran logik, yang menjiwai dunia sains hari ini. Rasional dan logik tidak bermakna hanyut spiritual kita, tidak bermakna terpesong akidahnya. Al-Khawarizmi, Ibnu Hayyan, Ibnu Rushd, Ibnu Sina – semuanya Islam, semuanya berakidah. Mereka berpegang teguh kepada spiritual tetapi tidak menafikan sains dan logik – mereka menyelidik dan mereka cipta – sekaligus meningkatkan syiar dan kegemilangan tamadun Islam – satu kegemilangan yang telah beratus-ratus tahun hilang tak kelihatan. Merekalah yang dimaksudkan dalam Surah Ali-Imran ayat 190.

71.

72. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;” (Ali-Imran 3:190)

73. Ulul-Albab inilah bangsa saintifik yang kita mahu menjadi realiti bangsa Melayu di tahun 2050 nanti.

74. Ini sebenarnya bukan perkara asing untuk kita orang Melayu. Kita pernah melihat suatu zaman di mana bangsa kita disegani, bangsa kita dihormati, orang bertandang ke tempat kita demi sesuap rezeki. Budaya kita di zaman Kesultanan Melayu Melaka budaya terbuka – sentiasa menerima pelbagai pendapat untuk memperbaiki pelabuhan. Pemikiran kita di zaman itu pemikiran logikal – di mana Shahbandar dan pedagang berfikiran inovatif dan teknikal, dalam mencari cara untuk meningkatkan keuntungan dan mengurangkan kos. Nilai kita di zaman itu adalah nilai yang rasional – sanggup mempelajari puluhan bahasa pedagang luar, walaupun Melayu lingua francanya.

75. Sebab itu, mendahului dialog TN50, Pemuda telah memulakan gerak kerja lebih awal dalam mengarusperdanakan TVET melalui inisiatif Pemuda Mahir dan mendedahkan anak bangsa kepada bahasa digital melalui program coding bersama MAGIC. Langkah-langkah tersebut dibuat kerana kita memikirkan masa depan dan bukan setakat keperluan semasa. Sebab itu pada pentas kali ini, sejajar dengan tugasan yang bakal kita pikul untuk menjayakan dialog TN50, saya ingin membangkitkan satu lagi kebimbangan yang perlu ditangani segera demi survival bangsa.

76. Saya khuatir dengan keterlibatan anak muda kita dalam bidang sains. Kita mahu hampir 300,000 pelajar mengambil jurusan sains di peringkat SPM, yang pilih tak sampai 100,000. Daripada 100,000 ini pula, ada yang berputus asa dan berpindah jurusan ketika di universiti – nak isi kuota 60 peratus pelajar sains di universiti pun masih belum kita capai.

77. Dan dalam konteks ini, Pemuda sekali lagi ingin mencadang sebuah idea yang hakiki, menterjemah falsafah kepada realiti. Maka pada hari ini, Pemuda ingin menyeru Kerajaan untuk mengangkat lebih ramai anak Melayu untuk mempelopori STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) – biar anak Melayu jadi penggerak ekonomi masa hadapan.

78. Saya risau jika tidak ada kesedaran, usaha dan gerakan besar-besaran untuk menggalakkan anak bangsa terlibat dalam bidang STEM, dari peringkat sekolah lagi, kita bakal kembali ke takuk lama. Kemiskinan yang berjaya kita basmi dahulu, akan datang membelenggu kembali dek kerana kita tidak memahiri ilmu untuk berjaya di masa depan. Anak Melayu perlu kuasai STEM sekarang kalau tidak mahu kembali papa kedana di dekad mendatang.

79. Biar kejayaan Melayu baharu diukur dengan berapa banyak teknologi yang dipatenkan, bukan setakat berapa banyak graduan dikeluarkan. Biar kejayaan kita diukur dengan berapa banyak saintis, ahli akademik dan pelopor teknologi anak Melayu, bukan hanya berapa ramai ahli profesional yang dilahirkan. Biar kejayaan Melayu baharu diukur dengan harta intelek dan keuntungan hasil inovasi berteraskan STEM, bukan hanya harta fizikal seperti hartanah dan bangunan semata-mata.

Saudara-saudara perwakilan sekalian,
80. Segala apa yang telah saya sebutkan inilah yang dimaksudkan dengan politik khidmat bakti yang membawa nilai dan makna. Medan siasah ini mesti menjadi gelanggang di mana masa depan bangsa dibincang dan masalah rakyat diselesaikan, bukan hanya batu loncatan ke tampuk kuasa semata-mata.

81. Dua minggu sudah, saya hadir di Konvensyen Anak Muda Bandar, anjuran Pemuda BN Wilayah Persekutuan. Saya dengar resolusi yang dibentangkan hasil perbincangan anak-anak muda bandar. Saya langsung tidak mendengar resolusi hendak menjatuhkan pemimpin atau menggulingkan Kerajaan yang sah dipilih rakyat. Saya tidak mendengar resolusi yang menyerang peribadi sesiapa dan memaki hamun orang yang tidak sependapat dengan kita. Saya tidak mendengar hidangan fitnah yang dibuat berdasarkan andaian, spin dan maklumat palsu.

82. Sebaliknya, apa yang saya dengar pada konvensyen tersebut adalah seperti apa yang Pemuda telah laksanakan sejak beberapa tahun yang lepas ini. Cadangan yang konkrit, yang teliti, yang bernas berkenaan pekerjaan untuk orang muda, perumahan untuk orang muda, sistem pengangkutan awam, kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak untuk ibu bapa muda dan sebagainya. Syabas kepada Saudara Razlan dan Pemuda Wilayah. Inilah namanya berjuang demi rakyat.

83. Kita beri khidmat bakti dan cadangan, bukan seperti perhimpunan kuning yang diadakan sehari sebelum Konvensyen Pemuda Wilayah. Mereka bangga sebab dapat duduk atas jalan depan KLCC. Tetapi apa hasil perhimpunan mereka? Adakah mereka membincang dan menyediakan penyelesaian isu rakyat seperti peluang pekerjaan, pembinaan perumahan rakyat, perkhidmatan pengangkutan awam dan lain-lain? Mereka hadir kerana tidak suka kepada Kerajaan Barisan Nasional. Bukan himpunan yang bermatlamat tetapi himpunan yang menggunung benci. Penyelesaian mereka? PM mesti undur. Kerajaan BN mesti diguling sekarang juga.

84. Jika terlaksana nafsu amarah mereka, apa jadi selepas itu? Negara ini tidak boleh diperintah oleh kumpulan yang tiada langsung hala tuju dan perancangan yang dikongsi bersama untuk masa depan rakyat. Malaysia tidak boleh dikemudi oleh sekumpulan manusia yang tiada perancangan dan visi yang satu demi masa depan negara.

85. Apa akan jadi nanti jika nauzubillah, kumpulan caca marba ini berkuasa? Tengok sahaja koleksi puak yang membanjiri perhimpunan kuning tempoh hari. Mereka bercanggah dan bertelagah sesama sendiri dalam perjuangan hakiki – langsung tiada hala tuju dan aspirasi bersama. Di kalangan mereka,ada kumpulan ultra Melayu, ada yang dari kumpulan Islamis PAN, tidak kurang yang memperjuang hak asasi ala Barat, juga pejuang budaya songsang, tidak lupa kumpulan cauvinis Cina DAP yang mendominasi. Satu-satunya titik pertemuan adalah kebencian mereka terhadap Perdana Menteri dan BN.

86. Masalahnya, adakah kebencian semata-mata mencukupi dan memadai untuk menjadikan sekumpulan manusia itu sebuah Kerajaan? Tanpa semangat kebersamaan yang terjalin daripada nilai-nilai dan visi yang dikongsi bersama, apa akan terjadi kepada Negara? Negara akan hancur. Pentadbiran Kerajaan akan lumpuh kerana tiada kata sepakat – masing-masing mempunyai agenda sendiri. Apakah kita sanggup melihat segala yang kita bina bersama selama ini hancur di tangan mereka yang ‘berkawan’ sementara ini?

87. Jangan sekali-kali rakyat terpedaya dan tertipu dengan mereka. Mereka kata perjuangan mereka adalah untuk rakyat – tetapi sebenarnya perjuangan mereka adalah untuk kuasa. Mereka kata perjuangan mereka berkecuali daripada politik kepartian, tetapi sebenarnya himpunan mereka sekadar platform untuk parti-parti pembangkang. Mereka kata mereka memperjuangkan Malaysia yang bebas, tetapi sebenarnya siapakah yang membiaya, jika bukan anasir luar yang membonekakan mereka.

88. Bukti yang paling jelas menunjukkan betapa perhimpunan kuning ini sekadar kemarukkan kuasa adalah kesanggupan mereka menerima kehadiran individu yang selama ini membantah dan dahulunya melarang sebarang perhimpunan jalanan sewaktu beliau berkuasa. Individu yang dahulunya menjadi bahan serangan kumpulan kuning, yang dahulunya dipanggil Mahazalim, Mahafiraun tetapi hari ini diterima dengan tangan terbuka dan berlapang dada.

89. Manakala bagi Tun Dr Mahathir, gerakan jalanan yang satu ketika dahulu beliau musnahkan dengan tindakan FRU, ISA dan kuku yang besi, hari ini disokong dan disanjung sebagai suara rakyat yang sebenar. Kesanggupan mereka ini berpusing 180 darjah dan membuat pusingan U pastinya bukan kerana prinsip, tetapi kerana mahu kuasa hingga matlamat itu menghalalkan segalanya.

90. Inilah yang mendepani kita sekarang. Bukannya musuh politik biasa. Tetapi musuh yang mengamalkan seni politik segala kemungkinan. Seni politik sapu sahaja – janji boleh. Seni politik yang tiada setiakawan. Seni politik Machiavelli yang tiada pegangan nilai atau makna. Yang bertopengkan rakyat tetapi bermatlamatkan kuasa.

91. Tetapi jangan kita lupa, jangan kita biar rakyat lupa – bahawa perjuangan yang kononnya mulia oleh bekas pemimpin kita ini sebenarnya sebuah wayang dan muslihat. Sebuah hipokrasi mengejar takhta, membina legasi dan empayar. Memang benar kata orang, bila di luar sana, bila tak berjawatan, cukup senang mengutarakan dusta. Namun sewaktu dia berjawatan, prinsipnya cukup berbeza.

92. Beliau pun sendiri pernah berkata – Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

93. Dulu, Bersih dipertikai (Video)

94. Sekarang, merayu rakyat sertai Bersih (Video)

95. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

96. Dulu Soros dikritik (Video)

97. Sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros (Video)

98. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

99. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan (Video)

100. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak (Video)

101. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

102. Dulu, bila ditanya pasal reformasi (Video)

103. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan (Video)

104. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

105. Dulu Mat Sabu dicaci dihina (Video)

106. Sekarang teman bergelak ketawa (Video)

107. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

108. Dulu konon pejuang bangsa (Video)

109. Sekarang seganding musuh bangsa (Video)

110. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

111. Dulu pertikai kewujudan Keadilan, (Video)

112. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar (Video)

113. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa.

114. Dulu, musuh dipersoal (Video)

115. Kini semeja, mengejar kuasa (Video)

116. Melayu Mudah Lupa, Melayu mudah lupa.

117. Wahai Tun, kami di dewan ini juga ingin berpuisi

Bahawasanya Melayu di dalam dewan ini bukan sepertimana yang disebut oleh Tun.
Bahawasanya Melayu di dalam dewan ini tak mudah lupa,
Melayu dalam dewan ini hormat pengorbanan Tun.
Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun.
Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun.
118. Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.

Juga ingat diktatorship Tun.
Juga ingat kepincangan Tun.
Juga ingat penyelewengan di zaman Tun.
Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.
119. Dan yang akan kami paling ingat,

Yang Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat,
Adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini.
Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami,
Kesanggupan Tun menghina parti Keramat ini.
Kerakusan Tun membunuh parti UMNO ini.
120. Jasa Tun akan sentiasa kami kenang,

Tetapi pengkhianatan Tun, pembelotan Tun, akan bermati-matian kami tentang.
121. Namun jangan kita pandang rendah kepada parti serpihan yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir untuk melawan kita. Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng bahawa sasaran Parti Pribumi adalah pengundi tegar kita dan kubu-kubu kita. Parti Pribumi tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap UMNO – kawasan seperti Muar, Langkawi, mungkin Rembau.

122. Ahli-ahli mereka ramai terdiri daripada orang yang satu ketika dahulu bersama kita dalam UMNO. Malah kita sudah dengar cerita bahawa ada arahan dari pimpinan Parti Pribumi untuk ahli UMNO yang sudah berpaling tadah dan mahu berhijrah kepada Parti Pribumi untuk sorokkan dahulu pertukaran, sembunyikan dahulu pembelotan dan senyapkan dahulu pengkhianatan – dan hanya muncul untuk mengejutkan UMNO dengan serangan hendap ketika semboyan kempen sudah berbunyi apabila sudah terlewat untuk kita bertindak dan jentera pilihan raya dilumpuhkan oleh sabotaj dalaman.

123. Keadaan ini bertambah bahaya sebab mungkin masih ada sentimen dikalangan penyokong dan ahli kita yang masih mengenang jasa mereka yang hari ini terang-terangan mengkhianati. Biasalah orang Melayu. Tebal dengan rasa hormat dan penghargaan. Tapi ingat, mereka yang pernah menjadi pemimpin kita, rakan kita satu ketika dahulu sudah jelas menentang kita. Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan, berpatah arang dengan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.

124. Di dewan keramat ini, saya ingin menyeru setiap ahli Pemuda – sekarang bukanlah masa untuk kesetiaan dan kasih sayang yang berbelah bahagi. Tidak boleh ada walau sekelumit rasa simpati terhadap mereka yang satu ketika pernah bersama namun kini menyanggah perjuangan kita.

125. Kita sedang berperang. Yang menentang, kita lawan. Yang tidak ingin bersama UMNO, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan.

Saudara-saudara perwakilan sekalian,
126. Dalam keadaan Melayu mendapat pelbagai tawaran daripada badan-badan siasah yang ingin mewakili bangsa kita, keperluan UMNO untuk membuktikan parti kita masih relevan, parti kita masih pilihan yang tepat untuk orang Melayu, menjadi semakin penting. Zaman dahulu, UMNO adalah satu-satunya pilihan untuk orang Melayu. UMNO sahaja pejuang bangsa. Parti sosialis haluan kiri gagal meyakinkan Melayu bahawa kepentingan bangsa terbela di bawah mereka, manakala PAS pula hanya mendapat sokongan daripada kelompok minoriti di kalangan orang Melayu. Kini berbeza. Pilihannya banyak. Pasaran politik Melayu sudah tepu. Dan orang Melayu terdorong untuk mencuba yang baharu.

127. Saya sebut tahun lepas bahawa UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai kelab yang eksklusif. UMNO ditubuhkan dahulu sebagai parti orang biasa, parti golongan marhaen. Walaupun ada di kalangan pimpinan parti yang datang dari kelas bangsawan, mereka ini berjiwa rakyat. Mereka tidak menunjuk-nunjuk akan kekayaan mereka. Mereka tidak memisahkan diri dari rakyat dengan tembok protokol, pengiring dan pangkat. Mereka juga berganding dengan orang biasa – cikgu sekolah, suri rumah, petani dan alim ulama. UMNO dilihat parti rakyat, parti orang biasa.

128. Namun kejayaan UMNO dalam memajukan bangsa, akhirnya mengubah parti kita. Era 80-an dan 90-an melihat UMNO menjadi lebih korporat. Guru dan penjawat awam dilarang memegang jawatan. Broker dan kontraktor mula mengelilingi para pemimpin parti. Di mata orang Melayu biasa, UMNO sudah menjadi parti golongan atas, parti golongan kaya.

129. Hari ini kita melihat ada usaha untuk kembalikan UMNO kepada rakyat agar parti keramat ini kembali berpasak di bumi yang nyata. Kerana itulah UMNO, dan dari situlah juga datangnya keramat parti kita ini.

130. Kita kembalikan perjuangan UMNO kepada semangat asal yang memperjuangkan setiap daripada orang Melayu, tanpa mengira darjat dan pangkat, adilnya masyarakat, dan melawan ketidaksamarataan. Kita kembalikan perjuangan UMNO kepada perjuangan yang dibina dengan suara majoriti orang Melayu tidak berjawatan, yang tiada kuasa dan disambut oleh kepimpinan Melayu yang ikhlas berjuang untuk bangsa. Kerana dari situ datangnya keramat UMNO itu, dari situ terbitnya sokongan yang memberikan UMNO kuasa berdekad lamanya, dari situ perjuangan kita diorak.

131. Bukakan pintu UMNO semula untuk lebih ramai guru-guru, untuk petani, untuk nelayan, untuk kaum ibu – bukan hanya sebagai ahli tetapi ahli yang suaranya didengari. Runtuhkan tembok pemisah antara pemimpin UMNO dengan ahli akar umbinya, biar yang pemimpin di atas mendengar dan memperjuangkan suara ahli UMNO segenap lapisan termasuk insan-insan kerdil yang selama ini merasakan dirinya tidak pernah diendahkan.

132. Pucuk pangkalnya, jika kita mahu kekal menjadi parti nombor satu untuk orang Melayu, yang penting adalah nawaitu kita, pemimpinnya. Orang Melayu tiada masalah dengan UMNO. Orang Melayu sayang kepada UMNO. Tetapi yang menghalang kita kekal menjadi pilihan nombor satu orang Melayu adalah segelintir daripada kita yang seakan lupa jati diri UMNO itu sendiri.

133. Untuk UMNO kekal relevan dan terus dilihat sebagai pilihan tepat untuk orang Melayu, kita perlu segera kembalikan semangat dan cara kepimpinan pengasas-pengasas parti kita. Itulah UMNO yang sejati. UMNO yang bukan hanya berpura-pura prihatin terhadap nasib rakyat semata-mata untuk tatapan media sebagai photo opp. UMNO yang benar-benar berjuang untuk memperbetulkan ketidakadilan ekonomi dan jurang pendapatan yang luas. UMNO yang berdiri dan menjadi perisai kepada orang yang tiada nama, yang ditindas oleh gerombolan elit korporat.

134. Sebagai generasi baharu, Pemuda mesti menunjuk jalan bagi mengembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Tak payahlah feudal sangat. Tak payahlah kejar banyak sangat pangkat dan gelaran. Mulianya kita di mata rakyat bukan pada pangkat dan gelaran tetapi pada kesungguhan kita menjuarai nasib mereka. Jangan tunjuk sombong. Belajar merendah diri. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya.

135. Rakyat mahu melihat pemimpin yang berintegriti. Jangan seleweng harta rakyat. Jangan sunglap hak masyarakat. Pemimpin zaman dahulu mengorbankan kekayaan. Bukannya menggunakan pangkat mengaut kesenangan. Dan UMNO ini jangan dianggap sebagai medan urus niaga. Kita patut memberi kepada UMNO dan bukannya mengharap UMNO yang memberi kepada kita.

136. Dan saya yakin Pemuda mampu untuk membawa perubahan ini. Pemuda mampu memperbetulkan keterhanyutan kita di era 80-an dan 90-an sehingga memadam semangat asal UMNO – di mana perjuangan menjadi tentang wang ringgit. Jadikan parti kita, wadah untuk orang biasa, untuk segenap rakyat jelata.

Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,
137. Itulah UMNO yang sebenar sepanjang 70 tahun perjuangannya. Nenek moyang kita mengangkat martabat bangsa Melayu bertunjangkan UMNO. Dari Melayu yang kais pagi makan pagi, kepada Melayu berilmu, Melayu berperniagaan, Melayu berjawatan dan Melayu global. Ini semua hasil perjuangan UMNO. Kini jutaan profesional muda adalah anak Melayu, yang terima biasiswa ke universiti terkemuka pun banyak orang Melayu. Kalau dahulu Melayu cuma makan gaji, kini orang Melayu mencipta peluang pekerjaan. Ini semua hasil perjuangan UMNO.

138. Menuju ke hadapan, cabaran global semakin getir. Generasi anak muda hari ini lahir pada zaman teknologi moden dan ekonomi digital. Kalau satu ketika dahulu UMNO berjaya membebaskan orang Melayu dari cengkaman kemisikinan, sekarang UMNO jugalah yang mempunyai track record untuk bersama anak bangsa dalam mengemudi dunia tanpa sempadan ini.

139. Tidak ada parti lain yang mempunyai agenda yang jelas untuk memperkasakan bangsa dan ummah. Kalau UMNO tidak lagi berkuasa, hancurlah agenda bangsa dan hilanglah segala impian melihat orang Melayu berdiri sama tinggi, jika tidak lebih lagi, dengan orang lain dalam dunia moden ini.

140. Kuasa dan mandat itu penting – bukan untuk kepentingan parti semata-mata tetapi tanpanya, momentum perjuangan kita akan berbeza. Kemampuan kita untuk memperjuangkan hak orang Melayu tidak lagi sama. Maka, untuk terus diberi mandat ini, kita mesti bersedia menghadapi pilihan raya yang akan datang tidak lama lagi.

141. Dalam keadaan politik hari ini, terutamanya selepas kemenangan kita di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sudah kedengaran suara yang menyatakan pilihan raya umum kali ini BN akan menang mudah sebab pembangkang berpecah. Jangan kita harapkan UMNO berkuasa hanya kerana lawan yang lemah, lawan yang berpecah, kerana realiti membuktikan bahawa lawan yang retak seribu sekalipun boleh bersatu bila sudah gilakan kuasa. Asas kemenangan kita wajib kerana UMNO itu kuat.

142. Pertamanya, sedarlah bahawa semua politik itu adalah politik kawasan. Ingat, all politics is local. Walaupun sentimen nasional ada kesannya kepada pengundi, perkara pokok bagi mereka adalah kehidupan harian di kawasan dan kampung masing-masing. Pengundi mahu keperluan harian dan permintaan asas mereka dijaga dengan baik.

143. Justeru, baliklah Pemuda ke bahagian masing-masing selepas perhimpunan ini dan taklukilah politik tempatan. Kenduri kendara, kematian, orang sakit, mesyuarat PIBG, kempen derma, jalan berlubang, longkang tersumbat, banjir kilat, rumah terbakar, cerun runtuh semuanya adalah tugas kita untuk percepatkan tindakan dari pihak yang bertanggungjawab. Biar Pemuda tunjukkan contoh, dekati anak muda, selesaikan masalah mereka. Biar mereka kenal siapa Pemuda. Jangan jadi macam pembangkang, hanya bising di Parlimen, main sentimen, menghasut, memfitnah tetapi di kawasan, khidmat pun tiada, bakti pun tiada. Ada sesetengah yang lima tahun sekali baru nampak batang hidung.

144. Yang kedua, setelah kita menjaga kawasan masing-masing dengan baik, sentimen nasional juga perlu dikawal. Sentimen ini amat penting bagi pengundi muda, kerana ramai yang menjadi pengundi luar serta arif media sosial. Pemuda perlu ke depan, biar kita pantas patah hujah lawan di media sosial. Biar kita berani, tampil ke pentas berdebat dengan pembangkang. Pemuda UMNO dipenuhi dengan pemimpin bijaksana. Inilah masa untuk tampil menunjukkan bakat. Jangan hanya tulis di group Whatsapp sahaja. Keluar dan hadapi musuh di alam nyata.

145. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengumumkan bahawa satu rombakan biro Exco Pemuda akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan. Biar kita susun sayap kita betul-betul untuk pilihan raya – dengan struktur baharu untuk menuju ke medan perang. Biro-biro akan disatukan, yang mana kurang relevan dengan pilihan raya, kita rehatkan dahulu. Di negeri dan bahagian, saya akan arah untuk buat yang sama. Kerja kita bermula hari ini adalah seratus peratus ke arah pilihan raya.

146. Yang ketiga adalah perlunya Winning Mentality dalam kita menuju pilihan raya. Kita mesti yakin kita boleh menang, jangan kita mengaku kalah sebelum berperang. Bila kita ada winning mentality, bila kita tahu kekuatan kita, rakyat dapat rasai keyakinan ini. Rakyat akan sedari bahawa UMNO yang mampu untuk terus mengemudi negara.

147. Saya tidak mahu lagi dengar di kalangan hulubalang parti dalam dewan ini, yang bercerita macam kita akan kalah. Ini tidak bermaksud kita terlebih yakin sampai lalai dan alpa. Tetapi ini bagi meniupkan semangat kepada jentera di segenap lapisan parti untuk terus mengejar setiap undi, untuk berkerja siang malam, untuk lawan hujah musuh, untuk kita terus mengejar kemenangan.

148. Yang keempat, menangnya kita baik dari zaman logo kapal layar di atas kertas undi sehinggalah dacing di bendera biru – adalah kerana kebersamaan kita dengan parti komponen. Setiakawan kita, dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan sehinggalah kini, bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

149. Maka menuju ke medan perang kali ini, semangat kebersamaan ini mesti dilihat dari semua rakan kongsi BN. Ada sedikit kebimbangan bahawa bila tiba bab membuat kerja, tiada sangat semangat kebersamaan ini daripada beberapa parti komponen. Senang kata, jangan hanya bergantung pada UMNO untuk buat kerja. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bukan berat hanya UMNO sahaja yang pikul.

150. Kepada komponen yang belum bangun lagi, bangun lah. Kepada komponen yang masih nak salahkan orang lain, sudah-sudahlah. Kebersamaan mesti ditunjuk sewaktu kita berperang. Bukan hanya bila dah menang, kebersamaan itu tiba-tiba muncul untuk mendapat habuan jawatan menteri. Marilah kita bersama bersatu di bawah panji BN dan membuktikan peranan masing-masing dan dengan masing-masing menjayakan peranannya.

151. Yang kelima, tidak namanya Pemuda kalau tidak bercakap pasal peremajaan. Kita lihat baru-baru ini, bila Trump kalahkan Clinton, peremajaan sekali lagi menjadi buah mulut. Bukan pasal usia, Trump dan Clinton lebih kurang umurnya. Bukan pasal parti, kerana Republikan dianggap parti yang tua. Bukan pasal strategi semata-mata, Clinton pakai media sosial ala-ala Obama, Trump lebih tradisi dalam strategi. Tetapi mengapa Trump boleh mengalahkan Clinton – menjadi upset terbesar demokrasi global dalam dekad ini?

152. Antaranya – Trump membawakan sebuah harapan yang baharu, Clinton bawa imej yang basi. Clinton dilihat terlalu sebati dengan tradisi – berkhidmat dalam Kerajaan Obama, isteri kepada bekas presiden, dan sentiasa muncul di mata rakyat sekian lama. Trump pula datang tanpa pengalaman dalam politik, tak pernah pegang sebarang jawatan dan idea-ideanya, walaupun kurang bijak dan rasis, dilihat berbeza. Pengundi Amerika melihat beliau lebih segar, produk baharu, bukan dinosaur yang hampir pupus dengan idea yang basi.

153. Maksudnya, rakyat inginkan sebuah wadah politik yang membawa idea yang segar, membawa pemimpin dengan pendekatan yang baharu – biarlah tua, biarlah partinya dah lama sekalipun.

154. Maka kita perlu mengambil iktibar daripada pengamatan ini. Inilah erti peremajaan menuju PRU. Biarlah kita parti yang sudah 70 tahun sekalipun, asalkan kita boleh “capture the imagination of the voters” dan bawa pendekatan yang segar dan baharu. Pemimpin yang datang dengan idea baharu. Calon yang ketrampilannya, hujahnya pun baharu. Yang mendekati rakyat dengan gerak kerja baharu. Yang bila bercerita tentang visi peribadi – penuh idea baharu. Senang cerita, kalau nak semuanya baharu, bagilah lebih tempat untuk calon muda.

155. Oleh yang demikian, Pemuda seru pucuk pimpinan parti, untuk benar-benar memberi peluang kepada calon muda untuk buktikan kewibawaan kami. Saya sudah sepakat dengan Ketua Puteri UMNO Malaysia yang juga akan sebut dalam ucapan dasarnya, bahawa Pemuda dan Puteri secara rasminya mengusulkan kepada pimpinan parti sasaran calon muda sebanyak 30 peratus dalam pilihan raya akan datang. Jangan ketinggalan zaman. Jangan dilihat parti semalam. The future is now.

Saudara-saudaraku sekalian,
156. Tariq ibn Ziad beramanat, di kala genting antara ajal dan hayat:

157. “Wahai pahlawanku, ke mana akan kau lari? Laut di belakangmu, di hadapanmu musuh. Hanya harapan keberanian dan ketabahan ada bersamamu.”

158. Maka di Dewan Merdeka ini saya menyeru, di saat kita mengorak langkah ke medan perang, kobarkanlah semangat juang, barakanlah ia di setiap nafas yang dihela. Bersama kita berpadu – memerah akal, membanting kudrat. Tiada pilihan lain buat kita, undur pantang sekali.

Kerana, inilah amanah perjuangan jatuh bangunnya nusa dan bangsa.
Kerana, UMNO inilah sandaran orang Melayu, tempat rakyat berpaut erat.
Kerana, sanggupkah kita melihat nasib anak bangsa diperjudikan untuk dendam kesumat tak sudah?
Kerana, sanggupkah kita melihat orang Melayu dipecah belah demi percaturan politik menang jadi arang, kalah jadi abu?
Kerana, sanggupkah kita melihat orang Melayu hina dan merempat lantaran hilangnya kata sepakat?
Kerana, sanggupkah kita melihat negara diporak perandakan oleh penangguk di air keruh?
Kerana, sanggupkah kita melihat rakyat sengsara dek serakah politik pembangkang yang gilakan kuasa?
Kerana, sanggupkah kita melihat negara dirobek seteru dari luar?
159. Maka bangkitlah saudaraku, bangkitlah dengan ikrar dan semangat juang mu. Tekadlah, walau badai datang melanda, walau bercerai jasad dan nyawa, Pahlawan Pemuda kekal sebagai benteng paling hadapan membela bangsa, agama dan Negara.

160. Kepada Allah kita berserah, berpayung ikhtiar kita berjuang.

HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
161. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/ucapan-dasar-ketua-pergerakan-pemuda-umno-destini-bangsa-1.414203#sthash.DXIhDDUi.dpuf

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Manifesto BN Sarawak Bagi PRN 11

Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini melancarkan manifesto 15 perkara yang berpaksikan rakyat bagi pilihan raya negeri ke-11.

Manifesto dengan tema ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan’ dilancarkan oleh Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di ibu pejabat PBB, di sini Selasa.

15 perkara manifesto adalah seperti berikut:

1. Menegakkan Hak Sarawak dan Rakyatnya

• Kami komited melindungi hak-hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

• Kami berjaya dalam rundingan fasa pertama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penurunan kuasa, dan memperkasa tadbir urus Kerajaan Negeri.

• Kami akan meneruskan rundingan fasa kedua yang melibatkan hal berkaitan perundangan dan fasa ketiga yang melibatkan hal kewangan.

• Kami juga akan meneruskan rundingan untuk meningkatkan bayaran royalti minyak dan gas dari lima peratus kepada 20 peratus untuk Sarawak.

2. Mempertahankan Keamanan dan Keharmonian Negeri Kita

• Keharmonian dan keamanan adalah cara hidup rakyat Sarawak dan Kerajaan BN Sarawak akan memastikan tiada elemen negatif merosakkannya.

• Untuk melindungi keamanan dan keharmonian di Sarawak, kami tidak akan teragak-agak menggunakan undang-undang Imigresen untuk menghindarkan tindakan golongan pelampau dan unsur-unsur negatif.

3. Memelihara Budaya, Warisan dan Kepercayaan Pelbagai Kaum di Sarawak

• Kami akan terus mengukuhkan amalan hormat-menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum dan membenarkan setiap individu mengamalkan agama masing-masing.

• Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan kami akan terus memelihara perpaduan dan keharmonian untuk keamanan dan kemajuan serta kemakmuran.

4. Menjamin Hak Rakyat ke Atas Tanah Mereka • Kami tetap melindungi hak rakyat ke atas tanah mereka.

• Kami akan meneruskan kerja-kerja survei perimeter semua tanah NCR, dan akan menjalankan kerja survei individu sehingga surat hak milik tanah dikeluarkan untuk semua lot individu.

5. Melindungi dan Memulihara Alam Semula Jadi

• Kami komited untuk mewarta sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keluasan tanah negeri sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA). Sarawak telah menetapkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu juta hektar TPA menjelang tahun 2020.

• Kami akan terus melindungi alam semula jadi melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan dan menggunapakai teknologi terkini.

6. Mempertingkatkan Kebajikan Golongan yang Kurang Bernasib Baik

• Sebagai kerajaan yang prihatin, kami komited untuk meningkatkan lagi kualiti hidup golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat dan tidak akan membiarkan mereka tercicir dari jaringan keselamatan sosial.

7. Menyediakan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik untuk Golongan Berpendapatan Rendah dan Sederhana

• Kami akan mempermudahkan kelayakan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak untuk memiliki rumah mampu milik.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami menetapkan sasaran untuk membina 15,000 rumah di bawah projek PR1MA, Rumah Mampu Milik (RMM), Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Skim Pembesaran Kampung

• Kami akan terus menyediakan lebih banyak lot kediaman di bawah Skim Pembesaran Kampung. Program Bantuan Rumah (PBR)

• Kami akan terus membaik pulih kediaman atau membina rumah baharu untuk golongan miskin. 3,678 unit rumah akan dibina atau dibaik pulih pada tahun 2016 di bawah PBR.

Kediaman PR1MA

• Rumah mampu milik yang berkualiti akan dibina di bawah projek PR1MA. Golongan sasar projek ini adalah mereka yang berpendapatan sederhana. Harga rumah yang ditawarkan adalah sehingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran.

8. Mempercepatkan Pembangunan Jaringan Jalan, Liputan Bekalan Air, Elektrik dan Telekomunikasi

• Projek infrastruktur terbesar di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo sejauh 1,089 km akan menghubungkan Telok Melano, Lundu di selatan dan Merapok, Lawas di utara. • Kami juga akan membina lebih banyak jambatan dan jalan raya feeder dalam tempoh lima tahun akan datang.

• Kami akan menambah baik jaringan jalan pesisir melalui pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Lupar.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan: – membina 1,625 km jalan baharu;

– membekalkan 39,000 isi rumah baharu dengan bekalan elektrik 24 jam,

– bagi meningkatkan liputan kepada 98 peratus isi rumah di Sarawak;

– menyediakan bekalan air terawat kepada 79,000 isi rumah baharu, untuk meningkatkan liputan kepada 96 peratus isi rumah di Sarawak; dan

– meningkatkan liputan jalur lebar kepada 95 peratus di Sarawak.

9. Meningkatkan Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan

• Kami komited dalam meningkatkan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di bandar dan luar bandar.

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan mempunyai nisbah 1 doktor bagi setiap 400 pesakit.

• Nisbah doktor kepada pesakit: – 2010 – 1 doktor bagi setiap 2,000 pesakit – 2015 – 1 doktor bagi setiap 980 pesakit 10. Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Aktiviti Sosio-Ekonomi

• Kami komited meningkatkan peranan wanita dalam bidang industri dan perniagaan serta dalam pembangunan negara.

• Pada tahun 2015, lebih daripada 20 peratus jawatan pembuat keputusan dipegang oleh wanita. Kami akan memastikan bahawa peratusan ini akan meningkat di peringkat negeri dan persekutuan di masa hadapan.

• Kami akan memansuhkan semua undang-undang dan dasar-dasar yang mendiskriminasikan wanita.

11. Mengiktiraf dan Membangunkan Potensi Belia Demi Masa Depan Kita

• Kami mengiktiraf bahawa golongan belia adalah pemimpin-pemimpin masa hadapan.

• Belia di Sarawak akan diberi lebih banyak peluang dalam bidang: – pendidikan; – perniagaan; – pekerjaan; dan – aktiviti sosial, dengan melibatkan mereka dalam program-program pembangunan.

12. Memajukan Pendidikan dan Latihan Teknikal

• Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan membina lebih banyak pusat kemahiran teknikal dan pusat pendidikan:

– Centre of Technical Excellence (CENTEXS);

– Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS);

– Institut Latihan Perindustrian (ILP); dan

– Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

• Dalam tempoh lima tahun akan datang kami akan membina:

– 16 sekolah rendah; dan – 6 sekolah menengah.

• Kami akan membaiki dan menaiktaraf 34 sekolah rendah dan menengah.

13. Mewujudkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan untuk Rakyat Sarawak

• Kami mempunyai Pelan Pembangunan yang komprehensif untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak melalui pembangunan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

• Menerusi SCORE sahaja, lebih satu juta pekerjaan baharu akan diwujudkan menjelang tahun 2030 di mana lebih daripada 50% adalah pekerjaan mahir dan separa mahir.

Program GETS

• Program Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS) selama tiga tahun dari 2016 hingga 2018 akan melatih sehingga 5,000 pemegang diploma dan ijazah yang menganggur untuk mempertingkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan.

14. Membangunkan Persekitaran Perniagaan yang Kondusif untuk Pelaburan dan Keusahawanan

• Kami komited dalam menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan bagi pelabur dan usahawan menerusi kestabilan politik dan ekonomi di negeri ini.

• Menerusi program pengindustrian yang terancang, kami akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk pembangunan usahawan.

15. Industrialisasikan Negeri Melalui Sektor Pembuatan, Pelancongan dan Transformasi Luar Bandar

• Kerajaan BN Sarawak telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11, selain daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

• Daripada jumlah tersebut, kami memperuntukkan RM1.5 bilion bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

• Kami akan mempromosi dan menarik lebih banyak pelaburan dalam: – aktiviti hiliran sektor pembuatan di SCORE; – mentransformasikan Bintulu sebagai hab petrokimia di rantau ini; dan – industri berteknologi tinggi di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.

• Kami akan membangunkan infrastruktur pelancongan dan juga menyediakan lebih banyak insentif untuk menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

• Bagi membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kami akan membina lebih banyak estet perindustrian termasuk di peringkat daerah.

• Bantuan kewangan dan bukan kewangan akan juga diberikan kepada PKS di Sarawak. – BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks ucapan perdana menteri bentang RMK11

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wa bihi Nastai’n
Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman.

Tuan Yang Dipertua,

Saya dengan penuh ta’zim berdiri dalam Dewan yang mulia ini, untuk mengemukakan satu usul:

Bahawa Dewan ini,

Menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh;

Merestui usaha Kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia ke 11 seterusnya;

Meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, menurut Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ke-11, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha menjayakan matlamatnya.

Tuan Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat,

1. Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja meninggalkan bulan Rejab. Hari ini pula, Khamis 21 Mei, jatuhnya bersamaan 3 Syaaban 1436 Hijrah, pada salah satu bulan yang mulia, sampailah masa dan ketika yang ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa, sebuah lagi dokumen penting lagi bersejarah akan dipersembahkan.

2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran, Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta raya, bukannya di tangan makhluk.

3. Begitulah juga, kemampuan manusia merancang, amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.

Tuan Yang Dipertua,

4. Menyusur titian masa, semenjak tahun 1971 hingga 1990, kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

5. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.

6. Kemudiannya, bermula tahun 1991, sampai kepada tahun 2000, diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya Wawasan 2020.

7. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara dilaksanakan, melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini pula, memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif lagi makmur, menuju negara maju menjelang 2020.

8. Selanjutnya, dalam episod-episod bersilih ganti, diperkukuhkan lagi dengan beberapa gagasan dan misi nasional oleh Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tuan Yang Dipertua,

9. Sebelum itu, elok saya menjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, khususnya, dan rakyat dikasihi di luar sana, tentang pelbagai dokumen yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan, sama ada dalam parlimen atau, di majlis-majlis rasmi.

10. Pertamanya, saban tahun, dalam dewan yang mulia ini, kerajaan usulkan bajet-bajet negara, yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.

11. Manakala, kira-kira 3 minggu yang lepas, di Angkasapuri, saya telah menyampaikan Laporan Tahunan, merangkumi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

12. Dokumen itu pula, diseliakan oleh pasukan PEMANDU, bersama kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan.

13. Rancangan Malaysia ini pula, ianya di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi atau EPU. Untuk pengetahuan ramai, semenjak Unit ini ditubuhkan pada tahun 1961, tugas utamanya adalah untuk menyediakan Rancangan pembangunan negara.

14. Jadinya, jika dihimbau semenjak 5 dekad lalu, melalui 10 rancangan Malaysia, kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta pelbagai ceritera kejayaan yang dapat diperbanggakan.

15. Ini bermakna, Alhamdulillah, negara bertuah ini telah mencapai kemajuan yang dikagumi, dan terus berada di jajaran yang betul serta kukuh.

Tuan Yang Dipertua,

16. Di sinilah, satu hal yang perlu difahami baik-baik, bahawa, kesemua dasar dan wawasan,… setiap satu rancangan,… adalah tali temali, saling kait berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain secara konsisten sejak puluhan tahun yang lalu.

17. Ertinya,… adalah tidak benar, jika sesetengah pihak menuduh kononnya, dasar Kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar yang sebelumnya.

18. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan bahawa, segala perancangan,… gagasan dan dasar kerajaan Perikatan, membawa kepada Barisan Nasional,… sejak meraih kemerdekaan,… bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman ketika itu,… hinggalah kini, kita terus berkesinambungan dan beristiqamah pada landasan dan menuju matlamat yang sama.

19. Jelasnya,… bertitik tolak dari Rancangan Malaysia Pertama yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Parti Perikatan selepas Pilihanraya Umum Malaysia yang pertama tahun 1964, sehinggalah Rancangan Malaysia Kesepuluh, kita telah mampu memperoleh pelbagai nikmat kejayaan.

Tuan Yang Dipertua,

20.Antara 10 pencapaian dan kisah yang boleh diperbanggakan sepanjang sepuluh Rancangan Malaysia yang lalu adalah,… Pertamanya,… pada tahun 1970 nilai KDNK adalah 71.1 bilion ringgit, berbanding pada tahun 2014, ia telah meningkat kepada 1.1 trilion ringgit.

21. Malaysia juga boleh berbangga, kerana telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi, antara yang tertinggi di Asia, yakni secara purata pada kadar 6.2 peratus setahun sejak lima dekad yang lalu.

22. Kedua, dari sudut struktur ekonomi, kita telah beralih daripada sebuah negara dominan sektor pertanian, dengan sumbangan 31.8 peratus kepada KDNK pada tahun 1970, kepada sebuah negara berasaskan pembuatan dan perkhidmatan, dengan sumbangan pada kadar 76.5 peratus kepada KDNK. Walhal, sektor pertanian telah menguncup kepada paras 9.2 peratus pada tahun lepas.

23. Ketiga, pendapatan bulanan purata isi rumah, juga meningkat lebih 20 kali ganda. Yakni, daripada 264 ringgit sebulan pada tahun 1970 kepada 6,141 ringgit sebulan pada tahun 2014. Manakala, pendapatan penengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada 166 ringgit, telah meningkat kepada 4,585 ringgit sebulan tahun lalu.

24. Keempat, setakat RMK-10, sebanyak 76.1 peratus daripada isi rumah keseluruhan sudah memiliki kediaman. Bagi isi rumah miskin pula, 75.3 peratus telah berjaya mempunyai rumah sendiri.

25. Kelima, sehingga kini, 95.1 peratus daripada penduduk di seluruh negara, telah mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan 97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.

26. Keenam, jika pada tahun 1970, hanya 75 peratus rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Syukurlah, hal ini, kadar literasi telah meningkat kepada 98 peratus.

27. Ketujuh, sebanyak 27 peratus daripada tenaga buruh kini mempunyai pendidikan tertiari, iaitu meningkat empat kali ganda berbanding 6 peratus pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia Ketiga.

28. Kelapan, kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.

29. Kesembilan, hak milik ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula, telah meningkat sebanyak 10 kali ganda, yakni, daripada 2.4 peratus pada tahun 1970, kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.

30. Dan kesepuluhnya, kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada 2014 yang lalu. Jadinya, bersyukur kita bahawa, kemiskinan tegar telah berjaya dibasmikan.

Tuan Yang Dipertua,

31. Sebermulanya saya mengambil tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara dihitung dari tahun 2011 sehingga 2020.

32. Dasar Transformasi Nasional ini, dirangka sebagai satu peta halatuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia secara tuntas dan holistik, demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju, High Income Advanced Economy.

33. Ia berasaskan kriteria-kriteria antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.

34. Ringkasnya, kita mahu mencapai satu bentuk kecapan kemakmuran dan kejayaan negara kepada seluruh rakyat, di mana tidak ada mana-mana golongan pun yang akan berasa tercicir atau terpinggir.

Tuan Yang Dipertua,

35. Di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional inilah, lahirnya setakat ini 6 program. Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik, Program Transformasi Komuniti, Program Transformasi Sosial dan Program Transformasi Fiskal. Hari ini, satu lagi kertas mustahak, akan saya sampaikan, yakni Rancangan Malaysia Kesebelas.

36. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya meneruskan dengan pembentangan, moleklah diberi gambaran, bagaimanakah yang dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang maju itu kelak, pabila tiba penghujungnya Rancangan Malaysia Kesebelas ini.

37. Sebagaimana kita perlu faham, Rancangan Malaysia Kesebelas ini merupakan pelonjak akhir sebelum kita memasuki gelanggang negara maju. Pada waktu itu, kita seharusnya telah mencapai beberapa perkara seperti:

38. Pendapatan Negara Kasar per Kapita telah mencecah 15 ribu dolar Amerika. Dari piawaian antarabangsa, nilai ini telah menepati tahap pendapatan sebagai negara maju. Walaupun demikian, sesebuah negara maju tidak boleh hanya didefinasikan dari sudut pendapatan per kapita.

39. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah tamadun holistik, di mana masyarakatnya memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak, mencintai pula ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula rakyat sebuah negara maju.

Tuan Yang Dipertua,

40. Makanya, melangkah ke hadapan, buat julung kali setelah menerima mandat daripada rakyat secara demokrasi pada pilihanraya umum ke-13 yang lalu, dengan kehendak dan izin yang Maha Berkuasa, saya bentangkan di sini, Rancangan Malaysia Kesebelas dengan Enam Strategi Tumpuan :

Pertama : Inklusiviti;
Kedua : Kesejahteraan Rakyat;
Ketiga : Modal Insan;
Keempat : Pertumbuhan Hijau;
Kelima : Infrastruktur; dan
Keenam : Inovasi dan Produktiviti

41. Bagi mempastikan Enam Strategi Tumpuan RMK-11 ini berjaya mencapai matlamatnya, game changers berikut, akan dilaksanakan sebagai pemangkin ke arah lonjakan yang signifikan bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

Pertama : Meningkatkan Produktiviti;
Kedua : Menjana Kekayaan Melalui Inovasi;
Ketiga : Mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah;
Keempat : Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET;
Kelima : Melaksana Pertumbuhan Hijau; dan
Keenam : Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.

Tuan Yang Dipertua,

42. Merujuk strategi tumpuan inklusiviti, Kerajaan akan berikhtiar bersungguh-sungguh agar tiada golongan rakyat yang akan tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara.

43. Adalah hakikat, di dunia ini, bagaimana maju pun sesebuah negara itu seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, there will always be vulnerable groups, mereka yang berpendapatan rendah,… golongan gelandangan dan yang tidak mempunyai pekerjaan.

44. Selain daripada itu, Malaysia akan terus menangani golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah yakni Bottom 40 percent, atau selepas ini saya akan sebut sebagai B40. Untuk makluman, menurut perangkaan, golongan B40 ini, kini adalah sekitar 2.7 juta isi rumah.

45. Oleh yang demikian, dalam tempoh Rancangan ini, kerajaan mensasarkan pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada lebih kurang 2,500 ringgit sebulan pada tahun 2014 kepada lebih 5 ribu ringgit sebulan pada tahun 2020 kelak. Ke arah ini, Kerajaan akan mengambil usaha-usaha yang intensif antaranya merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti.

46. Bahkan, kadar pekali Gini negara dijangka semakin mengecil daripada 0.401 pada tahun 2014, kepada 0.385 pada tahun 2020. Untuk makluman semua, dari sudut ekonomi, lebih kecil nilai pekali  Gini, bererti kita makin berada dalam keadaan lebih baik, dengan pengagihan pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat.

47. Bagi menangani kos sara hidup isi rumah B40 ini, inisiatif-inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Agrobazaar Rakyat  1Malaysia akan terus dilaksanakan. Pelbagai lagi inisiatif baru akan dibuat dan diperkenalkan sepanjang tempoh Rancangan ini.

48. Pendapatan isi rumah B40 juga dapat dipertingkatkan melalui pendidikan dan kemahiran tinggi. Bagi yang berminat untuk berniaga pula, program sokongan keusahawanan akan ditambah baik  khususnya, perusahaan mikro dan kecil.

49. Di samping itu, saya menyeru dan mahukan sektor swasta, terutamanya syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan, supaya menyumbang kepada pembangunan golongan ini dengan cara  menempatkan premis perniagaan atau kilang-kilang mereka, di kawasan majoriti penduduk B40.

50. Seperkara lagi, masyarakat kelas menengah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, dapat ditingkatkan saiznya daripada 40 peratus sekarang, kepada 45 peratus bila tibanya tahun 2020.

Tuan Yang Dipertua,

51. Dalam hal memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera, tentulah tumpuan akan diberikan kepada kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan kaum majoriti Bumiputera.

52. Bagi golongan wanita, peranan mereka bukan sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.

53. Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2014, kepada 59 peratus menjelang 2020.

54. Kerajaan juga akan terus melaksanakan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.

55. Kepada golongan belia pula, yang menjadi harapan dan aset penting negara, dengan Dasar Belia Negara yang baru, kerajaan mahukan potensi mereka dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan, pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.

56. Ke arah ini, seperti mana dalam Bajet 2015 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit.

57. Di bawah RMK-11 pula, 1Malaysia Youth City akan mempunyai ekosistem komprehensif, bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan, termasuklah rumah transit.

58. Bagi golongan kanak-kanak pula, pusat penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas akan diperbanyak. Sementara itu, bagi yang berumur 13 hingga bawah 18 tahun, dan tinggal di institusi kebajikan akan diberi peluang untuk mendapat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional atau TVET.

59. Selanjutnya, sumbangan dan khidmat bakti yang telah ditabur oleh warga emas kepada negara ini akan senantiasa dihargai. Justeru, sebagai masyarakat penyayang dan prihatin, fasiliti penjagaan  warga emas akan ditambah baik dan diperbanyakkan dari masa ke semasa sepanjang tempoh Rancangan ini.

60. Seterusnya, bagi golongan orang kurang upaya, kerajaan akan memperkukuh kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka.

61. Melalui Rancangan ini, Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta mensasarkan penambahan 7 lagi pusat kehidupan berdikari baharu di seluruh negara, yang akan memberi manfaat kepada sejumlah hampir 11 ribu OKU.

62. Kerajaan juga komited mencapai sasaran penyertaan OKU untuk mengisi lebih 16 ribu jawatan dalam sektor awam melalui pertimbangan khas. Kini, seramai hampir 4 ribu OKU sedang berkhidmat dalam sektor awam.

Tuan Yang Dipertua,

63. Selaras dengan konsep inklusiviti, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi, tumpuan turut diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub-etnik dan kumpulan minoriti hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis.

64. Antaranya, Program Skim Pinjaman Khas Kampung Baru Cina akan diteruskan dengan menumpukan kepada pinjaman mikro kredit.

65. Bagi masyarakat India pula, satu Blueprint yang menggariskan hala tuju pembangunan sosioekonomi mereka akan disediakan.

66. Untuk Orang Asli dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak, tumpuan akan diberikan kepada pemberian hak milik tanah adat atau NCR bagi menggalakkan pembangunan tanah dengan teknologi moden melalui agensi kerajaan berkaitan.

67. Kepada masyarakat Melayu di perkampungan tradisi terutama nelayan dan petani serta isi rumah yang bekerja sendiri, akan disediakan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan termasuk memodenkan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.

Tuan Yang Dipertua,

68. Bercakap tentang pembangunan bandar dan luar bandar secara saling melengkapi, penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalanraya akan diteruskan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

69. Kerajaan akan membina 3 ribu kilometer jalan berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020. Akses kepada bekalan air dan elektrik di seluruh negara pula, akan dipertingkatkan kepada 99 peratus pada tahun 2020.

70. Bagi bekalan air bersih dan terawat melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar pula, sukacita dinyatakan, lebih 10 bilion ringgit akan diluluskan.

71. Manakala, lebih 3 bilion ringgit lagi, turut diluluskan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar. Ini,… akan memberi impak kepada hampir 40 ribu rumah.

Tuan Yang Dipertua,

72. Dari aspek pembangunan ekonomi wilayah, dalam tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor, iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak, telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak 307 bilion ringgit, dengan 57 peratus atau 175 bilion ringgit pelaburan. Jumlah pelaburan ini, menjana sebanyak lebih 427 ribu peluang pekerjaan.

73. Maka, untuk RMK-11 ini, kerajaan mensasarkan sebanyak 236 bilion ringgit pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470 ribu pekerjaan lagi di kelima-lima koridor wilayah tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

74. Berhubung hal pembangunan ekonomi wilayah juga, sukacita saya umumkan,… kerajaan akan mewujudkan Malaysia Vision Valley.

75. Malaysia Vision Valley ini yang terletak di bahagian barat Negeri Sembilan, meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan kawasan seluas 108 ribu hektar.

76. Sebagai makluman, Malaysia Vision Valley ini merupakan satu lagi projek pembangunan bersepadu baharu, meliputi beberapa kluster strategik yang bertujuan untuk melengkapi pembangunan di Lembah Klang, khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Tuan Yang Dipertua,

77. Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pula, akan terus menjadi agenda nasional. Peratus Bumiputera kepada populasi negara kini, adalah 68 peratus berbanding 62 peratus 25 tahun yang lalu.

78. Maka dengan itu, inisiatif-inisiatif bagi Bumiputera bukan sekadar harus, tetapi wajib dilaksanakan. Kerajaan akan tetap memperjuangkan dasar-dasar Bumiputera, tetapi mestilah berasaskan meritokrasi sesama Bumiputera.

79. Seterusnya, ucapan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan pada 2013, kita komited dan berazam sepenuhnya, untuk mensasarkan kadar 30 peratus Pemilikan Ekuiti Bumiputera, berjaya dicapai menjelang 2020 nanti. Insya-Allah.

80. Seterusnya lagi, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa, pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat penabungan minima.

Tuan Yang Dipertua,

81. Kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa ertinya kemajuan tanpa sentosa dan bahagia mendatangi kehidupan.

82. Oleh itu, di bawah RMK-11 ini, tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Ke arah itu, antara inisiatifnya, bilangan katil di kedua-dua hospital awam dan swasta akan ditingkatkan sebanyak 25 peratus kepada 73 ribu katil pada tahun 2020.

83. Sasaran ini akan dicapai antaranya, menerusi pembinaan 6 hospital baru di Kemaman, Bentong, Baling, Pendang, Pasir Gudang dan Maran. Manakala, 2 buah hospital di Sabah iaitu Hospital Tawau dan Hospital Kota Marudu serta Hospital Miri di Sarawak akan dinaiktaraf. Selain pembinaan hospital baru, Kerajaan juga sedang giat menyiapkan hospital di Sri Aman, Sarawak.

84. Di samping itu, bagi menambahbaik akses kepada penjagaan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar, sebanyak 165 buah Klinik 1Malaysia akan dibina dengan kos sebanyak 33 juta ringgit.

85. Pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan yang berkemahiran tinggi akan disediakan. Matlamat Rancangan ini, menjelang tahun 2020, nisbah doktor kepada penduduk dijangka meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.

86. Dalam perkara ini, sekalipun World Health Organization atau WHO, tidak menetapkan apa-apa nisbah khusus, namun sekadar perbandingan dan makluman, Ahli-Ahli Yang Berhormat, nisbah doktor kepada populasi kita kalau nak dibandingkan dengan negara Singapura 1 kepada 502, manakala di United Kingdom adalah 1 kepada 358. Ini adalah satu hal yang sungguh positif.

87. Bahkan, selain daripada perkhidmatan kesihatan awam kita yang hampir percuma, yakni bayaran hanya seringgit jika kita ke Hospital Kerajaan dan Klinik 1 Malaysia,…bagi rawatan pesakit luar.

88. Secara keseluruhannya lagi, WHO telah mengiktiraf bahawa, sistem perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik di rantau Pasifik Barat.

89. Meskipun begitu, kita perakui hakikat bahawa kita masih perlu menangani kekurangan pakar-pakar perubatan khususnya, di kawasan-kawasan luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

90. Rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat berlindung dari panas dan hujan, adalah antara 3 keperluan asas kehidupan kepada semua.

91. Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat, semenjak 2013, Kerajaan mensasarkan untuk membina 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat.
92. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.

93. Daripada jumlah 1 juta unit rumah yang dihasratkan tersebut, sebanyak 182 ribu unit rumah dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2015. Di samping itu, kira-kira lebih 23 ribu unit telah disediakan oleh kerajaan negeri dan FELDA.

94. Jikalau, dalam tempoh RMK-10, sekitar 74,300 unit rumah mampu milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri, di bawah RMK-11 pula, sejumlah 653 ribu unit rumah lagi akan dibina juga oleh pelbagai pihak.

Tuan Yang Dipertua,

95. Sebagai satu program baru lagi, yang akan mengubah wajah rumah-rumah di kampung dan luar bandar, sukacita saya mengumumkan bahawa, satu program baik-pulih secara besar-besaran melibatkan sebanyak 400,000 rumah dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 5,000 ringgit hingga 10,000 ringgit akan diperuntukkan kepada setiap rumah.

Tuan Yang Dipertua,

96. Sememangnya bidang sukan merupakan medium perpaduan yang sangat diminati dan popular di kalangan rakyat. Oleh itu, Kerajaan akan menggalakkan bidang ini demi melahirkan atlet-atlet jagoan dan bertaraf dunia seperti Dato’ Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Sazali Abdul Samad dan Pandelela Rinong.

97. Lantaran itu, bagi melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang, di bawah RMK-11, Universiti Malaya dipilih untuk menumpukan kecemerlangan dalam sukan badminton, manakala Universiti Teknologi MARA akan menumpukan kepada kecemerlangan sukan bola sepak.

98. Di samping itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di Gambang Pahang, yang telah dilancarkan pada tahun 2014 akan terus diperhebat demi mempastikan pembangunan pemain, kejurulatihan, kemudahan dan pertandingan secara berterusan, dilaksanakan pada peringkat usia muda.

Tuan Yang Dipertua,

99. Kemajuan juga bererti berkembangnya kesenian, kebudayaan dan ketamadunan. Sebab itulah, RMK-11 turut mementingkan golongan karyawan dan penggiat seni tanahair.

100. Untuk itu, aktiviti kesenian akan dipergiat dengan menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA, daripada tahap akademi kepada status universiti dalam usaha menghasilkan penggiat seni dan budayawan yang berkaliber. Sehubungan itu juga, industri kreatif akan terus dipergalakkan.

Tuan Yang Dipertua,

101. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah.

102. Berhubung ini, sukalah saya maklumkan, melalui RMK-11 ini sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu, bakal diwujudkan.

103. Antara langkah yang akan diambil ialah, menambah baik produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan operasi pasaran buruh.

104. Selanjutnya, pada akhir tempoh RMK-11 kelak, Kerajaan mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7 peratus setahun, berbanding 2.6 peratus setahun pada RMK-10.

105. Dalam Rancangan ini, Kerajaan juga mensasarkan agihan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40 peratus, berbanding dengan 34 peratus pada tahun 2013. Maksudnya, jika sesebuah syarikat menjana 10 ribu ringgit, agihan yang diberikan kepada pekerja adalah secara puratanya 4 ribu ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

106. Merujuk kepentingan dan kebajikan warga kerja, Kerajaan akan memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti, kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja.

107. Dalam pada itu, paras Gaji Minimum akan terus dikaji secara berkala berasaskan persetujuan tripartite, yakni pihak Kerajaan, majikan dan kesatuan pekerja.

Tuan Yang Dipertua,

108. Realitinya lagi, dalam menuju negara maju, kita memerlukan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi. Oleh sebab itu, Kerajaan mahu supaya lebih ramai pelajar yang mendapat pendidikan  berbentuk kemahiran dan vokasional dilatih dan dilahirkan, yang jumlahnya kini hanya 25 peratus daripada tenaga kerja.

109. Rancangan ini bermatlamat melonjakkan jumlahnya kepada 35 peratus, supaya dapat beriring dengan graduan akademik dan profesional.

110. Sebab itulah, dalam mengatasi dan mendepani keperluan ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET akan diperkasakan.

111. Ke arah ini, sukacita saya mengumumkan antara lain, 1 bilion ringgit akan diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran, berbanding 500 juta ringgit pada tempoh Rancangan yang lalu.

112. Melalui program ini, lepasan TVET berpeluang untuk mendapat pekerjaan dengan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam sektor-sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan, perkapalan serta automotif.

113. Selain itu, Program Sistem Latihan Dual Nasional disesuaikan daripada model latihan TVET di negara Jerman yang 70 peratus kandungan latihan adalah berorientasikan apprenticeship. Ianya dijangka meningkatkan jumlah pelatihnya daripada 164 ribu kepada 225 ribu pelatih pada tahun 2020.

114. Sehubungan ini, bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam program apprenticeship ini, Kerajaan bercadang memberi insentif berbentuk geran dan pengecualian cukai pendapatan.

Tuan Yang Dipertua,

115. Laginya, dalam ikhtiar meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedang dilaksanakan dengan rapi.

116. Daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan kita dalam pendidikan STEM atau Science, Technology, Engineering and Mathematics. Begitu juga, pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan bahasa kebangsaan sebagai pengukuhan jati diri rakyat Malaysia.

117. Di samping itu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta pendidikan agama dan moral adalah di antara subjek yang perlu diberi keutamaan.

Tuan Yang Dipertua,

118. Seperkara yang mustahak lagi, ingin saya nyatakan kepada Dewan yang mulia, dalam tempoh Rancangan,… kadar penyertaan murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan kepada 100 peratus enrolmennya menjelang 2020.

119. Untuk pendidikan rendah dan menengah juga, sejumlah sekurang-kurangnya 80 buah sekolah baru akan dibina di seluruh negara dalam tempoh 2 tahun pertama semasa Rancangan, meliputi antaranya 2 buah di Perlis, 2 buah di Melaka, 5 buah di Sabah dan 5 buah lagi di Sarawak.

120. Ini tidak termasuk sebagai contoh, dua buah Maktab Rendah Sains MARA yang akan dibina di Sik, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan, serta sebuah sekolah menengah yang majoritinya Orang Asli di  Sungai Siput, Perak yang sudah hampir siap binaannya.

121. Manakala, beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh akan dibina, seperti di Keningau, Sabah dan Manjung, Perak.

122. Menyentuh pendidikan tinggi pula, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) merupakan antara strategi utama RMK-11.

123. Langkah ini dijangka dapat menyokong pencapaian sasaran 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.
Tuan Yang Dipertua,

124. Berbicara tentang pertumbuhan hijau, pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen 2009, Malaysia telah dengan secara sukarela mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Greenhouse Gas daripada KDNK, sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.

125. Sehingga akhir tahun 2013, Malaysia telah berjaya mengurangkan sebanyak 33 peratus intensiti pelepasan Greenhouse Gas daripada KDNK, hasil daripada pelaksanaan langkah mitigasi.

126. Di sudut ini juga, senario global warming yang berlaku di seluruh dunia telah mengakibatkan pelbagai bencana alam seperti banjir, hakisan pantai dan tanah runtuh. Ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi serta punca pendapatan dan keselamatan rakyat.

127. Selain itu, untuk projek Rancangan Tebatan Banjir atau RTB, antaranya, Kerajaan akan melaksanakan RTB Sungai Kelantan secara bersepadu melalui pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir.

128. Projek-projek lain termasuklah RTB Sungai Kuantan, Pahang, Sungai Moyog di Sabah, Sungai Perak dan Sungai Kemaman di Terengganu.

Tuan Yang Dipertua,

129. Pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang dalam melonjakkan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.

130. Rancangan ini menarik perhatian kepada antaranya beberapa pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi dalam mencapai status negara maju. Ini, termasuklah pembinaan lebuhraya, kemudahan MRT dan LRT, loji janakuasa elektrik, loji rawatan air, dan inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.

131. Bagi pembangunan rangkaian jalan raya, Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang sedang dibina, akan meningkatkan hubung-jalin di Sabah dan Sarawak.

132. Manakala, Central Spine Road, yang menghubungkan Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai akan menambah-baik hubung-jalin di Semenanjung Malaysia dan memangkin pertumbuhan di wilayah pantai timur.
133. Kemudiannya lagi, Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada tahun 2019, akan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk pantai barat di Perak dan Selangor.

134. Juga, Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dengan jarak 197 kilometer akan dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

135. Bagi pengangkutan awam juga, suka saya kongsikan, pembinaan Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dan LRT3, kesemuanya akan berlangsung dalam RMK-11.

136. Pembinaan High Speed Rail juga untuk makluman Tuan Yang Dipertua, yang akan menjajari Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, hingga ke Jurong East di Singapura, akan dilaksanakan.

137. Kemudahan ini bakal mempercepatkan perjalanan KL ke Singapura, pada hanya 90 minit. Setelah siapnya projek ini kelak, akan meningkatkan manfaat ekonomi antara kedua-dua buah negara yang paling pesat membangun di rantau ini.

Tuan Yang Dipertua,

138. Berkait perkhidmatan jalur lebar pula, Kerajaan akan meningkatkan liputannya secara menyeluruh, melalui Inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau HSBB2, dan Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

139. Dengan ini, sukacita dimaklumkan, menjelang 2020, semua isi rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi, akan mendapatkan akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat.

140. Manakala, saudara-saudara kita di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pula akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar 20 megabit sesaat…dalam kata lain, lagi laju daripada rumah kita sekarang ini.

Tuan Yang Dipertua,

141. Seterusnya, loji-loji janakuasa elektrik baharu untuk menjana 7,626 Megawatt kuasa elektrik akan dibina. Antaranya adalah 3 buah projek loji janakuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan Negeri Sembilan serta 2 buah projek loji janakuasa elektrik gas di Pulau Pinang dan Johor.

142. Ini semua, dengan anggaran jumlah kos pelaburan sebanyak 28 bilion ringgit dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000 jumlah peluang pekerjaan baharu.

Tuan Yang Dipertua,

143. Loji Rawatan Air Langat 2 pula adalah penting bagi menjamin bekalan air yang berterusan. Margin rizab bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa sekarang adalah lebih kurang 4 peratus.

144. Bagi mempastikan margin rizab di antara 10 hingga 15 peratus seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, pelaksanaan ini perlu disegerakan. Kelewatan pelaksanaan projek ini akan menyebabkan integriti bekalan air dan kesejahteraan rakyat Selangor serta Lembah Kelang terjejas.

Tuan Yang Dipertua,

145. Di sudut lain, perkhidmatan pembetungan bersambung pula disasarkan meningkat daripada 63 peratus kepada 80 peratus di bandar utama. Oleh itu, Projek Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kinta Barat, Papan, Perak,… akan dibina dengan anggaran kos berjumlah 2 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

146. Berhubung sumber gas asli, medan gas yang sedia ada, khususnya di Semenanjung Malaysia semakin matang. Dari itu, kemudahan pengimportan gas asli perlu ditambah untuk memenuhi permintaan gas asli pada masa hadapan.

147. Lantasnya, Terminal Regasifikasi 2 sedang dibina di Pengerang, Johor sebagai tambahan kepada Terminal Regasifikasi 1 di Melaka, yang mula beroperasi pada tahun 2013.

148. Selain itu, pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang akan terus dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak 53 bilion ringgit pada 2016.

149. Selain daripada itu, projek infra utama yang akan dilaksanakan dalam Rancangan ini, termasuklah pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas di Sarawak, pembesaran lapangan terbang Kota Bharu dan penambahbaikan Pelabuhan Kuantan. Terminal Padang Besar juga akan dinaiktaraf dalam merancakkan lagi kendalian kargo dari Selatan Thailand untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.

Tuan Yang Dipertua,

150. Seterusnya, kajian empirikal membuktikan bahawa wujudnya korelasi yang kuat antara inovasi dan produktiviti. Survival dan berjayanya sesebuah organisasi atau negara itu, sangat bergantung kepada penekanan terhadap dua perkara ini.

151. Justeru, untuk sentiasa kekal mendepani kelok kemajuan, Malaysia akan terus membudayakan inovasi yang membawa kepada peningkatan produktiviti dalam semua peringkat, sama ada di peringkat nasional, industri mahupun perusahaan.

152. Sehubungan itu, satu Blueprint Produktiviti Nasional akan digubal bagi menggariskan hala tuju serta merangka tindakan komprehensif lagi spesifik dalam memacu produktiviti. Bagi maksud ini, Majlis Produktiviti Nasional akan diwujudkan.

153. Salah satu langkah untuk meningkatkan produktiviti, Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan akan ditubuhkan untuk menyelaras, dan memantau pelaksanaan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan.

154. Sektor industri pengangkutan dan penyimpanan dijangka berupaya mewujudkan sejumlah 146 ribu peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi kepada rakyat.

155. Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya, peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi berasaskan komuniti.

156. Selaras itu, kerjasama penyelidikan antara Kerajaan, industri dan ahli akademik akan terus diperkemas. Salah satu contoh sedia ada adalah, seperti Steinbeis Malaysia Foundation, SIRIM-Fraunhofer dan Jaringan Penyelidikan Awam Swasta yang ditubuhkan bagi meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan.

157. Makanya, menjelang tahun 2020, pengkomersialan output R&D disasar meningkat kepada 10 peratus berbanding 5 peratus pada tahun 2013.

Tuan Yang Dipertua,

158. Melalui Rancangan ini juga, sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, akan terus dipastikan signifikasi sumbangannya kepada KDNK negara.

159. Dalam sektor perkhidmatan, antara industri yang akan digalakkan adalah kewangan Islam, ICT, minyak dan gas, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan tinggi swasta, pelancongan dan industri Halal.

160. Pada tahun ini, Blueprint Sektor Perkhidmatan yang mempunyai 29 pelan tindakan, mensasarkan peningkatan produktiviti buruh dari 68,111 ringgit pada tahun 2015, kepada 83,411 ringgit menjelang tahun 2020. Sektor ini, Insya-Allah, dijangka menyumbang sebanyak 55.3 peratus kepada KDNK.

161. Bagi sektor pembuatan pula, akan dipacu oleh beberapa subsektor pemangkin iaitu kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan serta aeroangkasa. Yang penting, sektor ini akan membuka 2.8 juta lagi peluang pekerjaan.

162. Seterusnya, bagi merancakkan pertumbuhan eksport baru-baru ini, Majlis Eksport Negara telah ditubuhkan. Majlis ini bertanggungjawab bagi menggalakkan pertumbuhan eksport termasuk meningkatkan ekosistem eksport dengan menaik taraf infrastruktur, meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai, memaksimumkan peluang perdagangan terutamanya dengan negara-negara ASEAN dalam jangkamasa pendek dan sederhana.

Tuan Yang Dipertua,

163. Jika negara perlu melakukan inovasi, bandar-bandar utama kita juga perlu melakukan inovasinya supaya kekal relevan. Kini, bandaraya-bandaraya besar dunia, bukan hanya berlumba-lumba mencari pelaburan, tetapi ia menjadi persaingan bakat-bakat terbaik dunia untuk mentransformasikan bandar-bandar ini dan seterusnya negara mereka.

164. Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara China, hanya bandar Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini, bandar-bandar lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi sebutan di persada dunia.

165. Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar-bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di bawah RMK-11.

Tuan Yang Dipertua,

166. Sesungguhnya, kita sentiasa menghargai jasa dan khidmat kakitangan awam dan anggota keselamatan. Untuk itu, dalam Rancangan ini, Kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan kerjaya, skim perkhidmatan dan perumahan dari masa ke semasa.

167. Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan dan integriti.

Tuan Yang Dipertua,

168. Bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas ini, Kerajaan akan menyediakan siling peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak 260 bilion ringgit sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua,

169. Seandai dan sekira diqabul dan diperkenankan oleh Allah jua, realitinya, dalam pada kita menongkah separuh jalan Rancangan ini, tinggal hanya setahun dua saja lagi, era yang disebut sebagai beyond 2020.

170. Meskipun dengan segala perencanaan yang kita perbuat ini, gambaran dan warna Malaysia pasca 2020 nanti, adalah amat penting untuk dijiwai suasana dan keadaannya kala itu. Barulah kita dapat berfirasat dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan, sebuah kelana negara ini supaya tidak tersasar.

171. Ini bermaksud, bayangan dan corak Malaysia contohnya, pada tahun 2030, antaranya, jumlah penduduk mencecah kira-kira 36 juta, kadar urbanisasi meningkat kepada 80 peratus, KDNK sebanyak 2.6 trilion ringgit, KDNK per kapita pula melebihi 117 ribu ringgit dan perdagangan dunia dijangka menjangkau 44 trilion dolar Amerika.

172. Yang terlebih utama, kita mahu adalah, wujudnya National Consensus atau Kesefahaman Nasional tentang halatuju negara pasca 2020.

173. Berbalik dan berpasak kepada pelbagai prakarsa atau inisiatif besar, selama bertahun-tahun ini, seperti bajet 2015, telah dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy.

174. Tatkala, berdepan dengan ketidak tentuan harga minyak dan kemelut ekonomi global, pada awal tahun ini pula, kerajaan tanpa berlengah telah membuat pengumuman khas, untuk mengambil langkah-langkah proaktif mengubah polisi-polisi bagi mempastikan negara kekal berada di trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.

175. Ini membuktikan, kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah Kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan mencartakan apa jua kepentingan rakyat,… sekalipun dalam banyak hal, kita telah berbuat sehabis baik begini-begini,… namun,… ditohmahnya pula oleh orang, begitu-begitu,…..

Tuan Yang Dipertua,

176. Dalam hal lain,… apabila Kerajaan dengan ikhlasnya pulak,… memutuskan supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi bersasar agar bantuan dapat diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan melalui BR1M,… tiba-tiba,… dituduh dan diperkata pulak,… sekian-sekian.

Tuan Yang Dipertua,

177. Berkenaan GST, umum berpendapat ia adalah baik untuk negara. Namun, setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya kekeliruan kepada rakyat, kita perakui sistem ini, mengambil masa bagi proses pelaksanaannya yang lebih efisien dan memuaskan semua pihak.

178. Sehubungan ini, saya nak nyatakan dalam Dewan Yang Mulia, rakyat sekalian janganlah gundah dan runsing,… kerana,… pihak kerajaan akan memaklumkan tentang hasil kutipan GST ini, ke arah mana perbelanjaannya.

179. Kerana itu,… pagi ini,… saya bagi pihak kerajaan yang menepati janji, ingin menegaskan bahawa,… kita akan mempastikan hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat keseluruhannya.

Tuan Yang Dipertua,

180. Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan rintangan dihadapkan, saya dan pihak kerajaan memilih hanya SATU jalan, iaitu terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.

181. Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini sememangnya adalah sebuah perjuangan, laksana lautan yang jarang tenang. Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan dan musim panas, adakala masa susah dan adakala masa senang.

182. Justeru,… saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia,… sekiranya kita bersabar,… seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan,… juga keyakinan di dada,… bertawakal kepada yang Maha Kuasa,… kelak… akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita.

183. Begitulah, kita wajib menghitung doa dan berharap bahawa Rancangan Malaysia Kesebelas ini, akan disokong dan memanfaati semua lapisan.

184. Tak kiralah,… Pak Tani di kebun, Pesawah di bendang, para nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli-ahli korporat mahupun cendekiawan.

185. Hatta, kepada saudara-saudari kita,… di seberang sana, saya mengajak agar sama-sama mendokong usaha murni Kerajaan untuk menjulang Malaysia gagah dan megah di persada antarabangsa.

Tuan Yang Dipertua,

186. Sesungguhnya, perjuangan ini adalah perjuangan yang murni, demi bangsa Malaysia dan pertiwi. Sememangnya jua, beban dan amanah yang sedang digalas ini, adalah berat dan memerlukan jiwa-jiwa besar serta kekuatan dari segenap penjuru. Barulah sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya dapat dijelmakan.

187. Pucuk pangkalnya, janganlah dipersiakan, apa yang sudah kita secara susah payah raih dan kecapi. Jauh sekali meruntuhkannya, nauzubillah,… kelak menyesal tidak berguna lagi,….

188. Lantas, marilah kita merenung bait-bait lagu Kebangsaan, “Negaraku, …. Tanah Tumpahnya Darahku,… Rakyat Hidup Bersatu dan Maju…” Itulah tema,… itulah rahsia,… kecemerlangan kita selama ini.

189. Disimpulkan kalam,… Ya Ilahi,… Ya Robbi,… satukanlah hati-hati kami,… berkatilah perjuangan ini,… seraya kita maktub dan keramatkan rancangan Malaysia Kesebelas ini.

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

190. Pastinya,…pastinya… setiap satu amal dan setiap satu usaha kita semua,… akan dipersaksi oleh masa dan dihakimi oleh waktu.…

191. Bak kata orang dulu-dulu,… Yang benar tetap benar,…. Buktinya kelak jadi sejarah.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teks penuh ucapan Bajet 2015

to be or not to be

“Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat”.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama
berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah- Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya.

2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat.

3.Saya…

View original post 11,709 more words

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Intipati Bajet 2015

Berikut ialah sorotan Bajet 2015 bertemakan “BAJET 2015 : EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

* Bajet 2015 pelengkap kepada Rancangan Malaysia Ke-10.

* Rancangan Malaysia Ke-11 akan dilancarkan pada Mei 2015.

* Satu pendekatan baharu di kenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) sedang digariskan.

* Bajet 2016 akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

* Sejak 2009, sejumlah 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan.

* Jumlah pelaburan mencecah RM219 bilion dan dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan.

* Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3 peratus, yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean bagi tempoh separuh pertama 2014.

* FBM KLCI meningkat 114 peratus daripada 884.45 mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014.

* Permodalan pasaran juga meningkat 162 peratus daripada RM667.87 bilion kepada RM1,749.49 bilion pada 7 Oktober 2014.

* Pendapatan Negara Kasar Per kapita meningkat 50 peratus daripada US$6,700 kepada US$10,060 dalam tempoh lima tahun ini.

* Tahun ini Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus.

* Defisit fiskal dijangka juga terus turun kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2014,  3.9 peratus pada 2013, 6.7 peratus pada 2009′

* Bagi 2015, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus.

* Defisit fiskal diunjur terus turun kepada 3 peratus daripada KDNK.

* FBM KLCI mencecah 1,892.65 mata pada Julai 2014, mencapai paras tertinggi dalam sejarah negara.

* FDI sebanyak RM38.7 bilion pada 2013 merupakan pelaburan terealisasi sebenar tertinggi sehingga kini.

* Bajet 2015 memperuntuk RM273.9 bilion, peningkatan sebanyak RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

* Perbelanjaan Mengurus RM223.4 bilion, Perbelanjaan Pembangunan RM50.5 bilion.

* Pada 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion, peningkatan RM10.2 bilion berbanding 2014.

* Hasil kutipan daripada GST pada 2015 dianggarkan sebanyak RM23.2 bilion.

* Kerajaan mengecualikan beberapa barangan daripada GST berjumlah RM3.8 bilion.

* Pemansuhan SST akan menyaksikan kehilangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

* Kerajaan akan mempunyai baki hasil berjumlah RM5.6 bilion selepas ditolak RM3.8 bilion dan RM13.8 bilion.

* Daripada jumlah tersebut, RM4.9 bilion disalurkan kembali kepada rakyat melalui pakej-pakej bantuan seperti  BR1M.

* Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanya berjumlah RM690 juta.

* Bajet 2015 digubal berfokuskan kepada Ekonomi Keperluan rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama

* Kerajaan melaksanakan Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan

* Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion bagi PKS

* Skim Insentif Penyelidikan bagi Perusahaan (RISE) dengan peruntukan RM10 juta

* Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport (SEF) berjumlah RM300 juta.

* Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais dengan peruntukan RM20 juta

* Platform Akaun Pelaburan (IAP) akan diperkenalkan dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta

* Sekuriti Kerajaan Malaysia dan terbitan Pelaburan Kerajaan akan disenaraikan dan diurusniagakan di ETBS

* Perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018

* Kelab Perlindungan dan Ganti Rugi luar negara akan ditubuhkan di bawah Exim Bank, menawarkan perlindungan liabiliti pihak ketiga pada kadar premium yang berpatutan

* Insentif dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun

* Insentif 70 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang menguruskan kawasan perindustrian di kawasan lain

* Bagi industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi, elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus akan disediakan ke atas RM4 juta perbelanjaan pertama bagi tempoh 2015-2017.

* Bagi industri lain, elaun modal automasi 200 peratus akan disediakan ke atas RM2 juta perbelanjaan modal pertama bagi tempoh 2015 hingga 2020.

* Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sepanjang 59 kilometer yang bernilai RM5.3 bilion akan dibina.

* Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sejauh 276 kilometer dengan kos pembinaan RM5 bilion akan dibina.

* Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur – Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan RM1.6 bilion akan dibina.

* Menaik taraf landasan kereta api sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu, dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan RM150 juta.

* Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya dengan kos pembinaan RM23 bilion.

* Projek LRT 3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang dengan anggaran kos RM9 bilion.

* Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dengan nilai pelaburan RM69 bilion untuk mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan

* Dana Mobiliti Mapan berjumlah RM70 juta akan disediakan di bawah SME Bank untuk membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik.

* 50 bas elektrik akan diperkenalkan.

* Peruntukan RM200 juta bagi MyCreative Ventures pada 2012.

* Peruntukan RM100 juta bagi Dana Industri Kandungan Digital.

* Kira-kira 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus susulan pelaksanaan GST

* Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan pengguna bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

* 300,000 pembayar cukai individu tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan pada 2015 susulan pelaksanaan GST

* Bagi 2015, pembayar cukai dengan golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

* Cukai pendapatan individu juga akan distrukturkan semula pada 2015 di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan tahun depan.

* Pada 2016, kadar cukai pendapatan syarikat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 24 peratus dan kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 19 peratus.

* Perniagaan akan menerima geran latihan sebanyak RM100 juta untuk menghantar kakitangan mereka menjalani latihan tentang GST.

* Perusahaan kecil dan sederhana akan mendapat bantuan kewangan berjumlah RM150 juta bagi membeli perisian perakaunan

* Elaun Modal Dipercepatkan bagi pembelian peralatan dan perisian ICT.

* Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan CBP akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pelbagai subsidi kepada RM40.5 juta pada 2014.

* Peruntukan bagi subsidi telah meningkat 14 kali daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.

* Kerajaan akan mengumumkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum tidak lama lagi.

* Bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat membuka syarikat di Malaysia, modal berbayar kini ditetapkan pada RM75,000.

* Kira-kira 354 jenis barang dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus susulan pelaksanaan GST.

* Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan pengguna bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

* 300,000 pembayar cukai individu tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan pada 2015 susulan pelaksanaan GST.

* Bagi 2015, pembayar cukai dengan golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

* Cukai pendapatan individu juga akan distrukturkan semula pada 2015 di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan tahun depan

* Pada 2016, kadar cukai pendapatan syarikat akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 24 peratus dan kadar cukai pendapatan bagi PKS akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan kepada 19 peratus.

* Perniagaan akan menerima geran latihan sebanyak RM100 juta untuk menghantar kakitangan mereka menjalani latihan tentang GST.

* Perusahaan kecil dan sederhana akan mendapat bantuan kewangan berjumlah RM150 juta bagi membeli perisian perakaunan

* Elaun Modal Dipercepatkan bagi pembelian peralatan dan perisian ICT.

* Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan CBP akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pelbagai subsidi kepada RM40.5 juta pada 2014.

* Peruntukan bagi subsidi telah meningkat 14 kali daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.

* Kerajaan akan mengumumkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum tidak lama lagi.

* Bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat membuka syarikat di Malaysia, modal berbayar kini ditetapkan pada RM75,000.

* Usahawan ekspatriat syarikat permulaan akan mendapat pas kerja setahun.

* EKUINAS akan menerima RM600 juta untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

* Sehingga kini, EKUINAS  telah melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.3 bilion dalam pelbagai sektor.

* Memperkukuh peranan Institut Keusahawanan Negara sebagai pusat kecemerlangan Keusahawanan Bumiputera.

* Merancakkan lagi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dengan peruntukan tambahan RM30 juta.

* Skim Usahawan Permulaan Bumiputera juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

* Program pra-eksport akan diperkenalkan bagi 60 syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi untuk meningkatkan penjenamaan, persijilan antarabangsa dan kaji selidik pasaran bagi produk Bumiputera.

* Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan RM200 juta bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam, bagi menyediakan pembiayaan dan kredit antara RM50,000 dan RM1 juta mulai Januari 2015.

* Amanah Ikhtiar Malaysia akan menggunakan sumber dalaman berjumlah RM1.8 bilion bagi pembiayaan untuk memberi manfaat kepada 346,000 Sahabat AIM

* Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperuntukkan RM100 juta untuk melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang.

* LGM akan menyediakan pinjaman mudah berjumlah RM6.4 juta sebagai modal kerja kepada 64 koperasi pekebun kecil bagi membeli getah terus daripada 442,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

* Peruntukan RM41 juta bagi pekebun kecil untuk penanaman baharu dan penanaman semula.

* Pengecualian duti eksport bagi minyak sawit mentah dilanjutkan sehingga Disember 2014

* Sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk membina 80,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia.

* Had kelayakan pendapatan isi rumah dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM8,000 bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah.

* Skim Pembiayaan Sewa-Beli akan diperkenalkan kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank.

* Jabatan Perumahan Negara akan mendapat peruntukan RM644 juta bagi membina 26,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat.

* Syarikat Perumahan Negara Bhd akan membina 12,000 unit “Rumah Mesra Rakyat”, 5,000 unit “Rumah Idaman Rakyat” dan 20,000 unit “Rumah Aspirasi Rakyat” di tanah persendirian.

* Kerajaan akan melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman sehingga Disember 2016.

* Kerajaan akan menaikkan had harga rumah daripada “Skim Rumah Pertamaku” kepada RM500,000.

* Kad kelayakan umur peminjam bagi skim ini akan dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun.

* Program Penyelenggaraan Perumahan Awam akan mendapat peruntukan RM40 juta.

* RM100 juta akan diperuntukkan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia bagi penyelenggaraan perumahan kos rendah swasta.

* Cukai keuntungan ke atas pelupusan harta tanah akan ditaksir secara sendiri oleh pembayar cukai mulai 2016.

* Had kelayakan minimum pinjaman perumahan penjawat awam dinaikkan kepada RM120,000 daripada RM80,000 dan had kelayakan maksimum kepada RM600,000 daripada RM450,000 tahun depan.

* Wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM100 bagi penjawat awam dimansuhkan.

Bernama

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kronologi #mh370

Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
    
Berikut kronologi insiden kehilangan MH370:
    
8 Mac Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.

8 Mac Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan.

8 Mac Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

8 Mac Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

9 Mac Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

9 Mac Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.

10 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

10 Mac APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemuidi perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.

11 Mac Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.  Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.

12 Mac Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.

13 Mac Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

13 Mac China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.

14 Mac Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

14 Mac Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.

15 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.

16 Mac Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubungkehilangan pesawat.

16 Mac Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

16 Mac Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

17 Mac Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

18 Mac Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usahamencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

19 Mac Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbangrendah di ruang udara Maldives.

20 Mac Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang

Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.

21 Mac Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.

22 Mac transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.

Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.

23 Mac Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.

24 Mac Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Bernama

 

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bahang perkauman kerana Cina tolak konsep perkongsian, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan masyarakat Cina menolak konsep “perkongsian” dengan mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu merupakan punca bahang perkauman di negara ini semakin tegang.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan pengundi kaum Cina sebagai punca Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan lemah ketika ini.

“Melayu terpecah kepada tiga parti dan setiap daripadanya memerlukan sokongan Cina untuk menang.

 

“Cina memiliki undi penentu dan berada dalam kedudukan untuk memberi kemenangan kepada yang mereka percayai boleh membuang konsep perkongsian,” tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, kesempatan diambil pembangkang apabila menggunakan isu tersebut untuk meraih undi daripada kaum Cina pada pilihan raya tahun lalu.

“Slogan ‘Ini Kali lah’ yang digunakan sebagai isyarat kuasa politik boleh dirampas daripada BN dan pembangkang boleh membentuk kerajaan.

“Kerajaan pembangkang ini akan mengabaikan prinsip perkongsian,” kata Dr Mahathir.

Menurutnya, ramai bukan Melayu yang menyokong BN sebelum ini terpedaya dengan helah pembangkang tersebut.

“Ramai penyokong bukan Melayu parti komponen BN yakin bahawa dengan menarik balik sokongan mereka, BN akan tewas, begitu juga idea perkongsian kuasa politik dan ekonomi antara kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyalahkan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah sebagai punca konflik antara kaum semakin hangat.

“Mengambil kesempatan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah, konflik antara kaum semakin tegang.

“Keadaan di Malaysia tidak setegang ini sebelumnya,” kata Dr Mahathir lagi, sambil menggesa semua masyarakat di Malaysia membuang pemikiran konsep dominasi kaum supaya dapat hidup tanpa sengketa.

“Rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina dan India atau penduduk asal Sabah dan Sarawak mestilah buang konsep dominasi kaum daripada pemikiran.

“Negara ini perlulah dikongsi dan dikongsi secara adil semua kaum,” katanya.

BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat kali pertama dalam sejarah hilang undi popular pada pilihan raya ke-13 tahun lalu, dan pengundi masyarakat Cina telah disalahkan oleh pemimpin Umno sebagai punca utama prestasi buruk tersebut.

Najib sendiri, dalam ucapan selepas pengumuman keputusan pilihan raya, telah menggunakan istilah “tsunami Cina” sebagai punca gagal memperoleh majoriti dua pertiga, dan cuma memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. – 27 Januari, 2014.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2013

 

1 SAFAR 1435 / 4 DISEMBER 2013
8.30 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC

“BERSEDIA UNTUK ESOK”

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi:
YAB Dato’ Seri Ir. Haji Idris Haron
YB Dato’ Seri Idris Jusoh
YB Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

Melayu itu kalau merantau sampai ke Deli
Kalau berperang sampai ke rawan
Kalau mempertahan putih sumsum tulang
Kalau menjajah langsung jadi pahlawan
Dari Riau ke Selat Melaka
Dari Palembang ke Tanah Jawa.

Melayu baru bila berfikir jadi Dr. Maza
Bila berseni indie, jadi Wani Ardy
Bila bikin muzik jadi Yuna
Bila menyanyi dengan sopan… jadilah Siti Nurhaliza

Melayu itu halus
Bila marah menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Jangan lupa tempelak Usman Awang
Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tapi itu Melayu yang dulu
Melayu sekarang melanggar pantang
Kadang tersadung adat dan sopan
Menata merdeka menonggak wawasan

Melayu hari ini Melayu cemerlang
Gah bak helang menyongsong awan
Minda progresif menakhoda masa depan
Jadi obor menyuluh zaman

Alhamdullilah, segala puji-pujian untuk Allah S.W.T, Tuhan yang maha pemurah lagi penyayang. Juga selawat dan salam ke atas junjungan terpuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat. Kita mensyukuri rahmat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu pagi ini di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke 61.

Jika di perhimpunan tahun lepas, kita sibuk melurus barisan, mengatur strategi, untuk menghadapi PRU13 – pilihan raya paling getir dalam sejarah UMNO, tahun ini, saya mulakan dengan setulus terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda UMNO. Anda semua tak kenal siang malam, tak hirau penat di badan, ketika mengharungi pilihan raya Mei lepas. Bukan calang-calang rintangan yang kita tempuh, tanpa Pemuda di barisan hadapan, belum tentu kita menang, silap haribulan boleh kecundang!

Di perhimpunan tahun ini juga kita membuka lembaran segar dengan meraikan barisan kepimpinan yang baru. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara sekalian yang telah memenangi jawatan di peringkat pusat, bahagian dan juga cawangan masing-masing. Saya juga amat berterima kasih dengan jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh barisan kepimpinan sebelum ini. Kalau tiada yang lama, manakan dapat mereka yang baru. Kalau yang lama enggan menunjuk jalan, masakan yang baru tahu haluan.

Sebelum PRU13, kita gesa Presiden kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk memberi peluang kepada wakil pemuda diangkat jadi calon. Rasionalnya enteng saja, bila bercakap tentang soal suara anak muda, ia wajib dicorongkan melalui orang muda juga. Alhamdullilah, pucuk pimpinan mendengar cadangan kita bila 45 daripada sayap Pemuda UMNO jadi calon ahli parlimen dan ADUN. Ini suatu pengiktirafan yang besar kepada institusi Pemuda UMNO. Memang lumrah kehidupan, kalah menang adat pertandingan. Walau begitu, saya bangga dengan pengiktirafan yang diberi, bila dua dari calon Pemuda diangkat jadi menteri dan timbalan menteri. Manakala enam lagi duduk di kerusi exco kerajaan negeri. Kami Pemuda UMNO, insya Allah, akan melunaskan amanah yang diberi dengan kamil.

Cuma peluang orang muda dijadikan calon itu, sebenarnya boleh diunjur, boleh diperlebihkan lagi. Kalau kita perhatikan pihak sebelah sana, PAS, DAP dan PKR, mereka tampak lebih bersedia menonjolkan calon muda, jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin ini sesuatu yang boleh pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah UMNO dilihat segar dan melaksanakan peremajaan sepenuhnya.

Sidang perwakilan sekalian,

Tahun ini kita telah melakar sejarah baru untuk UMNO dengan menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti. Inilah bukti transformasi yang dimaksudkan oleh Y.A.B. Presiden untuk parti UMNO. Ini adalah suatu pengiktirafan yang ulung dari pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.

Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian. Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat. Menyentuh tentang logistik pula, aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan. Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.

Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti. Fitrah antara kita dan pembangkang tak serupa, gerombolan pembangkang hanya gah bertempik, kononnya merekalah juara demokrasi, tapi sumbang di gelanggang sendiri.

Lihat sahaja DAP dan PAS yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri. Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah… semua itu bukan salah mereka.

PAS bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti.

Inilah bezanya kita dengan pembangkang. Berbanding DAP dan PAS yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat, kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti.

Selagi kita masih bercakap soal pemilihan parti, saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada setiap ahli Pemuda, yang telah memberi mandat seratus peratus untuk saya. Insya-Allah, amanah dan kepercayaan ini akan saya lunaskan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, proses demokrasi parti kita juga menyaksikan persaingan sengit di peringkat Naib Ketua Pemuda, Exco serta jawatan-jawatan Pemuda di peringkat bahagian, mahupun cawangan. Tapi sidang perwakilan yang saya hormati, kita ini carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali. Janganlah apa yang terkhilaf semasa pemilihan UMNO dijadikan kudis di badan atau api di dalam sekam. Jalan di hadapan masih panjang, inilah masa dan ketikanya untuk kita bersatu kembali mengukuhkan parti.

Hakikatnya, pemilihan parti adalah persaingan kekeluargaan sesama kita. Marilah kita hulurkan tangan, dakapkan ukhwah, eratkan perpaduan. Sedarlah semua, musuh politik yang sebenar bukan sesama kita tapi pembangkang di luar sana. Bak kata orang, menembak beralamat, berkata bertujuan – sesama pemuda kita muafakat, dengan musuh kita berdepan.

Dalam keutuhan persaudaraan ini, dalam kita menyusun langkah dan strategi, dalam kita menyahut peranan dan tuntutan organisasi, jangan kita sesekali terleka dibuai jawatan. Kita perlu sentiasa menginsafi bahawa apa yang kita pegang ini adalah satu amanah – bukan sahaja kepada rakyat, parti dan negara, tetapi yang paling utamanya amanah dan accountability kepada Yang Maha Esa. Amanah itu bukan sahaja luas dan berat tetapi juga perlu di jaga, kerana kita tak boleh menyimpanginya, walau tersorok di lubuk hati. Accountability kepada Allah S.W.T. bukan sekadar kepada tindak tanduk kita tetapi juga niat yang tersirat dalam hati kita, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 284:

al-baqarah-284

Yang bermaksud: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.”

Ingatlah juga, amanah yang ditanggung demi harapan rakyat dan ahli UMNO ini hendaklah kita lunaskan dengan terbaik dan penuh keadilan. Bahawasanya jawatan yang kita pegang ini hanyalah dipinjamkan oleh rakyat dan ahli dengan harapan kita menengakkan keadilan untuk semua, sepertimana pesanan Allah S.W.T. kepada kita di dalam surah An-Nisa’, ayat 58:

an-nisa-58

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Pada masa yang sama, selain dari melunaskan amanah sebaik mungkin, akhlak dan budi dilupa jangan, kerana jawatan itu bukannya tiket untuk bermegah dan sombong. Sama-samalah kita sentiasa merendah diri, sama-samalah kita sentiasa ingat pada akar umbi. Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 37:

al-isra-37

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Atas nama saling mengingati sesama sendiri, saya berpesan untuk mereka yang di atas pentas ini, janganlah kita sombong dan lupakan kawan-kawan, jangan hanya bangga dengan jawatan. Jangan setelah menang tak angkat telefon atau jawab Whatsapp dan BBM. Peringatan yang serupa saya beritahu diri sendiri juga.

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Rapatkan saf luruskan barisan
Bersatu teguh kita bersama

Pisang kelat digonggong helang
Jatuh ke lubuk di Indragiri
Amanah rakyat kukuh dipegang
Sumpah keramat hidup dan mati

Sidang perwakilan sekalian,

Bila cerita PRU13 dan pemilihan parti kita arkibkan, kini tiba masanya kita tentukan kemudi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kita muhasabah, kita cermin diri, kita perhalusi sekali lagi jalan perjuangan yang sudah diteroka sekian lama. Nilai yang bagaimana ingin kita teladankan untuk rujukan pelapis? Peranan mana paling molek untuk kita kelek dalam menyumbang ke arah kejayaan parti? Untuk menjawab soalan-soalan ini mungkin elok jika kita mengimbau perjalanan kita beberapa tahun ini, agar sumbangan kita kepada parti tidak monolitik dan tradisional. Pemuda UMNO sentiasa perlu berada dalam langgam orang muda.

Gemala rukun Pemuda UMNO yang digariskan empat tahun lalu, masih jadi paksi perjuangan mutakhir kita – yakni Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu. Saya percaya lima teras ini telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif – satu pendekatan yang telah membuka lembaran baru dalam perjuangan kita. Lembaran baru yang kita selak bersama harapan untuk jadi lebih baik. Pengalaman itu guru paling berkesan untuk insan. Dan pengalaman harus dilalui, ia tak bisa dipinjam atau dibeli.

Progresif tidak bermakna lupa diri atau perjuangan asas, percaya kepada pendekatan berbeza dan moden, tidak bermakna Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka.

Gagasan progresif Pemuda bukan sekadar sembang kosong atas angin. Malah, pendekatan progresif kita telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan sebenar di akar umbi. Melalui pendekatan ini kita telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai kiblat perjuangan kita.

Pelbagai isu yang membelenggu rakyat – dari pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk orang muda – telah dibangkitkan dan diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Di atas antelas yang sama, kita bukan sekadar suara pembela rakyat, politik khidmat bakti telah menuntut kita melangkah jauh, mendahului zaman, sebagai ejen penyelesai masalah rakyat. Anak muda kini semakin menilai, bagi mereka retorik janji sudah tak laku.

Alhamdulillah, kita kotakan apa yang dikata melalui program Pemuda UMNO dan BN seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, Expo Perumahan Pemuda BN (HOPE), Jelajah 1Malaysia (JOM), Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) dan pelbagai program lain. Pemuda UMNO telah merintis jalan, membawa harapan untuk rakyat. Ternyata kita bukan hanya lantang bersuara tapi juga berjaya bertindak. Di mata generasi baru, Pemuda yang hebat bukan Pemuda yang sembang deras, cerita lebat. Pemuda yang hebat adalah Pemuda yang membawa kesan jelas dalam kehidupan seharian rakyat.

Orang lama telah mengajar kita agar selalu beringat, jangan jadi seperti orang hendak menepung, tiada berberas. Program-program kita ini tidak pernah bersifat syok sendiri yang hanya diketahui dan dirasai dalam kepompong sesama kita sahaja. Terbentang untuk rakyat hari ini, program-program anjuran Pemuda UMNO yang terkenal seantero negara.

Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama. Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,” kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? Sudah tentu lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata.

Nyata perlaksanaan program melalui lensa sejagat dan pendekatan progresif telah menjadi wahana bakti kita untuk bangsa. Lihat sahaja daripada 160 ribu yang berjaya mendapat kerja melalui Karnival Kerjaya kita, majoritinya adalah anak Melayu. Daripada 500 ribu yang bakal menikmati Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), majoritinya adalah anak Melayu. Daripada pelajar yang telah ditaja melalui Biasiswa Pendidikan Pemuda BN, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila gaji minimum diperkenalkan dek desakan Pemuda – golongan yang meningkat pendapatan mereka, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila kita memperjuangkan isu pelepasan status muflis untuk orang muda, siapa golongan yang bakal mendapat peluang kedua? Tetap anak Melayu.

Natijahnya, usaha kita tertumpu kepada isu-isu utama yang dialami pemuda Melayu. Melalui pendekatan dan program sejagat, agenda bangsa jelas terlaksana, nasib bangsa tetap terpelihara.

Sidang perwakilan yang saya hormati,

Tujuan saya membangkitkan pencapaian kita, bukan untuk mendabik dada. Kita kongsi semula pencapaian kita hari ini, agar jadi pemangkin untuk melahirkan idea-idea baru di masa akan datang. Saya dambakan sayap Pemuda mendahului zaman, tak gentar dengan perubahan, tetap relevan dalam ekosistem politik yang sentiasa berubah.

Dalam konotasi yang serupa, fitrah politik Pemuda UMNO perlu sejajar dengan tuntutan semasa. Kita tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama, sekadar jadi geng pendesak – membangkit semangat dan emosi semata – tapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Apa guna jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai? Apa guna mengerah jentera mengangkat sepanduk, jika nasib dan pencapaian bangsa tak sampai ke mana?

Pemuda UMNO bukan seperti pancang digoyang arus, bukan niat kita memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan, pasca merdeka. Pendekatan sebegitu sesuai dengan keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di era tersebut. Tetapi zaman sudah berubah, masyarakat alaf ini sentiasa mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini, rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya ia tidak membawa apa-apa kesan progresif dalam hidup mereka.

Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip. Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat sesebuah perjuangan. Agenda memperkasa agama, bangsa dan negara takkan sirna dari jati diri Pemuda, seperti mana juga tugas kita sebagai sayap utama UMNO untuk membantu ke arah kejayaan politik parti. Dalam mencapai matlamat ini, kayu ukur yang menilai betul atau khilaf sesuatu pendekatan adalah melalui pilihan raya – melihat sama ada rakyat menerima kita sebagai pembela kepentingan mereka. Jika pendekatan dan pengisian perjuangan tak serasi dengan nadi rakyat – khususnya generasi muda yang menjadi tumpuan kita – maka mereka tidak akan mengundi Barisan Nasional.

Kejayaan BN dalam PRU13 menjadi bukti bahawa pendekatan progresif ini lebih tepat. Malah, kajian Merdeka Centre mendapati 54 peratus pengundi Melayu bawah umur 30 tahun, telah mengundi Barisan Nasional dalam PRU baru-baru ini. Bukan mudah berdepan janji-janji manis minyak turun, tol percuma, pendidikan percuma, PTPTN tak payah bayar semula, dalam nirwana ciptaan pembangkang. Kendatipun cabaran menggunung, kemampuan kita bergerak bersama zaman, mencorak pendekatan, telah membawa pulangan politik, bila Barisan Nasional dikekalkan di tampuk pentadbiran.

Tapi jangan lupa rakan-rakan, walaupun kita berjaya meraih sokongan sebahagian besar golongan muda Melayu, kita masih punya banyak kelemahan. Kita ingat fenomena tsunami politik 2008 dahulu – di mana kedengaran ungkapan “berubah atau rebah” dari segenap pengulas dan pemerhati. Pada waktu itu, kita bermuhasabah – menyedari bahawa UMNO dan BN memerlukan pembaharuan hakiki untuk kembali bangkit dari belenggu kekecewaan PRU12. Syukur, kita tidak perlu pandang jauh untuk mencari inspirasi – kerana kita telah mengambil iktibar dari contoh perubahan hampir serupa yang dilalui Y.A.B. Presiden kita sendiri.

Saya masih teringat ketika mana Y.A.B. Presiden telah melalui cabaran getir di kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1999. Namun, berkat kebijakan mencongak strategi yang progresif dan inklusif, beliau berjaya mengubah pendulum politik sehingga mencatat antara majoriti kemenangan terbesar pada pilihan raya umum 2004. Inilah satu kisah kejayaan dan peringatan yang besar untuk kita semua. Sebagaimana pepatah Arab ada menyebut: “man jadda wa jada, wa man shabara zhafira” yang bermaksud siapa yang bekerja keras pasti beroleh kejayaan, dan siapa yang sabar, merekalah yang beruntung.

Saya sendiri telah belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman Y.A.B. Presiden. Di PRU12 dahulu, saya menang dengan majoriti kecil 5 ribu undi – turun jauh dari majoriti BN sebanyak 18 ribu lebih pada pilihan raya sebelumnya. Saya sedar pada waktu itu, kalau salah catuan dan tanpa pendekatan yang betul, mungkin saya di Rembau sepenggal cuma. Lalu saya terapkan pendekatan politik progresif cara saya di sana – kerap turun padang selesai masalah, cuba meningkat taraf hidup dan ekonomi Rembau, tak kisah lah kawasan putih, kelabu atau hitam. Waima kawasan Melayu, Cina, India, atau orang asli, pekan atau desa, tua atau muda, tidak terkecuali dari tanggungjawab selaku wakil rakyat. Malah ada yang mempersoal pendekatan saya, “kenapa KJ masih layan peti undi bukan Melayu walhal dulu tewas semua?”

Tetapi selain daripada kegigihan, saya juga telah melihat Y.A.B. Presiden sebagai contoh terbaik bahawa kepimpinan sejati adalah berteraskan kebenaran dan keadilan untuk semua. Selaku pemimpin dan wakil rakyat, kita wajib berusaha berlaku adil kepada semua; berusaha meraih sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah, berkat usaha serta bantuan keluarga, taulan dan Pemuda UMNO, di PRU13 tempoh hari saya berjaya meningkatkan majoriti tiga kali ganda – mendapat undi bukan sahaja dari pengundi Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Maka percayalah, usaha gigih berterusan, insya-Allah akan membuahkan hasil – ingatlah bila berjuang biar dahi berluluk, asal tanduk mengena. Namun, sungguhpun kerja keras itu pucuk pangkalnya, adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia pula menjadi terasnya. Ini kerana, rakyat juga nanti yang menilai, mana yang baik mahupun buruk, bak kata bicara orang dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas.

Saya pohon sahabat perwakilan mencontohi Y.A.B. Presiden. Kalau kena gaya, didorong pula oleh pendekatan dan strategi yang tepat, UMNO akan kekal jadi pemimpin dan pembela untuk semua – sejajar dengan hasrat bapa-bapa pengasas parti UMNO sebelum ini. Tak betul jika mereka kata UMNO disokong sesetengah kelompok sahaja. Tak betul jika mereka kata UMNO telah “senja,” bagaimana pula kita “senja” bila kita menambah lebih lapan kerusi pada PRU13 yang lepas? Bahkan UMNOlah parti yang mendahului zamannya dan progresif, dengan formula kerjasama pelbagai kaum yang meliputi semua, bukan sahaja yang di bandar mahupun di desa, yang berharta mahupun yang berkelana. UMNOlah jua parti yang menerajui perpaduan tanahair.

Ini sejajar dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa Y.A.B. Presiden – pendekatan yang sederhana, pertengahan, seimbang dan adil. Falsafah yang datang dari agama suci Islam kita sendiri, menjadi petunjuk kepada satu model kepimpinan negara yang bijaksana dan berhikmah, sesuai dengan tuntutan realiti kepimpinan dalam sebuah masyarakat majmuk. Dalam konteks ini, konsep wasatiyyah yang diterajui Y.A.B. Presiden di negara kita amat penting dalam menolak pendekatan ekstrim atau melampau, sekaligus menghancurkan formula kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

Malah jika kita imbas sejarah tamadun manusia pun, persoalan falsafah kesederhanaan ini sudah lama bertapak di kalangan tokoh-tokoh pemikir dunia. Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, menulis lebih 2 ribu tahun dahulu mengenai Golden Mean yang mencari titik tengah antara dua kutub, mencari ramuan seimbang antara dua baku. Serupa juga dengan konsep Middle Path yang diikuti oleh penganut agama Buddha, di mana mereka percaya bahawa kunci kepada keamanan jiwa dan rohani bila seseorang itu tidak terserong dengan godaan nafsu melampau.

Natijahnya, prinsip haluan tengah inilah yang patut kita amalkan dalam mencorak pendekatan Pemuda hari ini. Malah, konsep dan budaya sederhana ini bukan asing kepada kita – jauh sekali, ia jelas tercatit dalam perjuangan awal bapa-bapa kemerdekaan.

Jangan terpadam dalam ingatan, ketika mana pemimpin UMNO Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan meneroka era baru kemerdekaan negara, mula-mula di bawah gerbang Perikatan, kini Barisan Nasional. Kegemilangan dan kerjasama ini bukannya ditempa atas dasar pura-pura atau sekejap cuma, tetapi termeterai demi maslahat besar kepentingan majmuk dan nusa. Sesungguhnya, benih pendekatan progresif ini sudah lama tertanam, jadi darah daging parti kita. Berbekal azam dan formula baru, kita bina satu era kegemilangan yang progresif untuk UMNO – kekal memimpin negara untuk tahun-tahun mendatang.

Sidang perwakilan sekalian,

Semua usaha yang saya gariskan tadi – menyentuh pendekatan, kegigihan, keadilan ke arah kembali ke zaman kegemilangan – hanya mampu tercapai sekiranya diiringi oleh proses pemantapan organisasi. Maka, saya menyifatkan usaha dalaman ini sebagai salah satu agenda utama saya untuk penggal mendatang. Pemantapan organisasi yang saya maksudkan adalah tertumpu kepada modal insan Pemuda itu sendiri, mengukuhkan kekuatan akar organisasi kita, yakni pemimpin di peringkat bawahan.

Kemampuan modal insan di peringkat pimpinan atasan sahaja tak memadai. Sebaliknya, Pemuda di peringkat cawangan juga harus diberi nafas dan iltizam baru melalui kursus-kursus kepimpinan dan pemantapan organisasi. Atas semangat yang sama, Y.A.B. Presiden telah bersetuju dengan cadangan Pemuda menubuhkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), sempena penghormatan kepada Ketua Pemuda yang pertama. AKHI akan menjadi pusat pengkaderan pemimpin-pemimpin masa depan – sekaligus memastikan generasi seterusnya kekal unggul dalam meneraju Pemuda dan UMNO pada masa akan datang.

Agenda peningkatan modal insan Pemuda juga memperlihatkan beberapa usaha baru di peringkat Exco. Saya telah melantik dua individu profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untuk berucap di perhimpunan kita. Biro-biro juga telah disyaratkan melantik sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru. Untuk menunjang pencapaian, setiap biro akan diukur menurut skala KPI masing-masing. Apa yang kita mahukan adalah prestasi dan pencapaian dari saudara-saudara yang berada atas pentas sekarang.

Semua usaha ini adalah untuk menyediakan landasan menuju kegemilangan. Kemampuan pemimpin-pemimpin dari kilang Pemuda telah diiktiraf parti, bahkan kita mengucap terima kasih kepada perwakilan parti induk, kerana memilih tiga mantan Pemuda ke Majlis Tertinggi baru-baru ini. Ia merupakan penghargaan besar kepada seluruh jentera Pemuda. Tetapi kita perlu meningkatkan modal insan supaya kepimpinan Pemuda masa hadapan terus dilihat sebagai sumber kekuatan kepada parti. Kelangsungan Pemuda besok adalah amanah dan tanggungjawab kita selaku pemimpin Pemuda hari ini. Sedarlah, kejayaan seseorang pemimpin diukur bukan hanya melalui pencapaiannya sewaktu memegang jawatan, tetapi juga melalui apa yang ditinggalkan kepada organisasi dan juga kewibawaan penggantinya.

Sidang perwakilan sekalian,

Sebagaimana tradisi sanawi setiap ucapan dasar saya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, sekali lagi Pemuda membawa cadangan-cadangan bernas untuk dipertimbang, dan kalau elok boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Menjunjung prakarsa sulung tahun ini, Pemuda menyambut baik Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang menjadi contoh afirmatif, bahawa kita tidak pernah bersifat rasis. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Presiden September lalu, adalah pelan tindakan menyeluruh untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat Bumiputera, berlandaskan prinsip keadilan sosial. Agenda ulung itu langsung tidak mencantas hak orang lain, malah, apa yang kita usahakan adalah untuk memastikan kek ekonomi dapat dibesar dan diagihkan dengan adil untuk kemakmuran bersama.

Walaubagaimanapun Agenda Ekonomi Bumiputera ini tidak akan berjaya selagi dikekang halangan-halangan yang samada sengaja atau tidak sengaja didirikan untuk membantutkan kemajuan orang Melayu. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Dr Mohammed Abdul Hamid dari UKM dan Dr Lee Hwok Aun dari UM, mendapati amalan pilih kasih dan diskriminasi masih berleluasa terutama dalam syarikat bukan Bumiputera terhadap pekerja Bumiputera. Menurut kajian tersebut, sungguhpun menepati dari segi merit dan kelayakkan, rata-rata Bumiputera tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Malah ada yang dapat gaji yang kurang berbanding dengan pekerja lain yang sama kebolehan atau kelayakan. Apa yang lebih menyedihkan, kita sering nampak iklan-iklan pekerjaan yang terang-terang mengutamakan satu bangsa sahaja, dan menganaktirikan bangsa lain.

Diskriminasi ini harus segera dikekang, jadi Pemuda menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa perkara seperti ini tidak lagi membantut usaha Kerajaan untuk melihat lebih ramai professional Bumiputera di sektor swasta. Kita akur mungkin ada yang berkata bahawa dalam aspek pengambilan pekerja, kaum Bumiputera lebih diutamakan di sektor awam. Tetapi dari segi pengurusan kanan, semakin ramai Ketua Setiausaha Kementerian dilantik dari kaum bukan Bumiputera. Malangnya hingga kini, kita masih susah sangat untuk melihat seorangpun Ketua Pegawai Eksekutif Melayu, di syarikat-syarikat milik kaum yang lain.

Cadangan kedua tahun ini melibatkan aspek keusahawanan – ramai kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7, merungut tentang kekurangan kerja. Sungguhpun macam-macam projek mega diumumkan kerajaan, mereka masih ketinggalan dan perlu diberi peluang. Sehubungan dengan itu, Pemuda meminta kerajaan untuk mempelbagaikan projek-projek berskala kecil melalui inisiatif Unit Pemerkasaan Bumiputera. Pada masa yang sama, kita cari jalan untuk menambahkan peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana yang berwibawa, agar mereka dapat menyertai projek berskala besar menerusi proses pengecilan kerja dan carving out.

Beralih pula kepada cadangan yang ketiga. Pemuda meminta kerajaan mengkaji semula pendekatan syarikat di bawah seliaan kerajaan untuk membeli barangan pembinaan seperti simen, batu, pasir dan besi, sebagaimana model terdahulu iaitu Pernas dan UDA Trading. Langkah ini boleh membantu kontraktor binaan mengatasi kekangan penawaran bahan dan harga. Namun demikian, pendekatan baru yang tuntas perlu diadakan untuk membantu usahawan yang benar-benar mahu berjaya – bukan yang mahu jadi broker saja. Cadangan ini sebenarnya sudah lama diperjuangkan tetapi masih belum jadi realiti. Pemuda meminta kerajaan menyegerakan penubuhan satu entiti yang dapat membeli bahan pembinaan dengan pukal dan menjualnya kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana pada harga berpatutan.

Dalam melestarikan tradisi sebagai pejuang orang muda, Pemuda juga mendesak agar penekanan dapat ditingkatkan dalam bidang vokasional dan kemahiran. Bagi Pemuda, inilah juga agenda bangsa yang sebenar. Latihan kemahiran bukan sahaja dapat menempa ruang kerjaya, tetapi mampu mengubah masa depan anak bangsa. Jangan kita lupa, tidak semua anak-anak muda kita berkeinginan untuk melanjutkan pengajian akademik di peringkat lebih tinggi. Untuk yang tidak sampai ke menara gading, laluan alternatif perlu disediakan. Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang memayungi institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN, saya amat mengerti masalah ini.

Saya berterima kasih kepada Y.A.B. Presiden yang telah bersetuju untuk menambah pengambilan pelatih IKBN sebanyak lima ribu lagi. Kualiti dan kepelbagaian latihan serta pembelajaran IKBN juga akan ditingkatkan sewajarnya. Walaubagaimanapun, Pemuda menyarankan supaya jumlah pengambilan pelatih kemahiran dapat digandakan lagi, memandangkan pelajar lepasan SPM setiap tahun mencecah hampir 500 ribu orang. Daripada jumlah ini tak sampai 40 peratus yang dapat masuk ke IPT. Apa pula tindakan kita untuk 60 peratus yang tak dapat masuk IPT? Mestilah kerajaan menyediakan lebih tempat di institut-institut latihan awam supaya mereka ini juga ada masa depan yang cerah dan tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan.

Dan yang kelima, kerajaan telah menyediakan macam-macam peruntukan dan kemudahan untuk golongan petani, nelayan dan penternak – yang majoritinya adalah golongan Bumiputera. Walaubagaimanapun, objektif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan ini tumpul dek kerenah orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan. Faktor ini juga menyebabkan harga makanan di pasaran lebih tinggi daripada sepatutnya, yang mana mendatangkan beban besar kepada rakyat. Dalam hal ini, Pemuda menggesa agar rantaian nilai produk pertanian dapat dikuasai oleh golongan petani, nelayan dan penternak itu sendiri, dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan. Pemuda menyokong usaha Menteri Pertanian dalam memerangi gejala orang tengah, yang telah sekian lama membantutkan usaha kerajaan memajukan petani kecil dan menghalang penurunan harga barang-barang perlu. Selain itu, sistem AP bagi produk pertanian perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka, agar tidak wujud monopoli atau kartel yang akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Melalui langkah-langkah terperinci ini, Pemuda yakin rakyat akan memperolehi manfaat dari segi harga pasaran yang lebih berpatutan.

Begitu juga apabila kita menyentuh soal rasionalisasi subsidi. Ya, Pemuda akur bahawa demi kelangsungan dan kemampanan ekonomi, subsidi perlu distruktur semula, supaya tidak bersifat pukal dan lebih menjurus kepada mereka yang memerlukan. Dalam semangat yang sama, konsisten pula dengan cadangan yang dibawa oleh Pemuda tahun lalu, kami menggesa agar kerajaan mengkaji semula sistem kebajikan yang ada sekarang. Jika perlu, kita rombak mekanisme sedia ada, kita tambah peruntukan bulanan, agar ianya benar-benar membantu golongan yang memerlukan.

Bayangkan, ada satu kes di Kampong Bongek Tengah, di kawasan parlimen saya sendiri. Seorang ibu tunggal, berumur 64 tahun, sudahlah anaknya ramai lapan orang, yang ketujuh pula OKU dan mampu terlantar saja. Si ibu tak bekerja demi menjaga anak, tapi tuan-tuan bayangkan, bantuan kebajikan yang diterima hanya RM300 sebulan sahaja. Apalah yang boleh dibeli, apa yang mampu ditampung dengan 300 itu? Nak makan pun tak cukup, apalagi nak beli ubat atau lampin. Justeru, nilai bantuan kebajikan perlu dikaji semula supaya dalam kes-kes tertentu apa yang dihulurkan benar-benar dapat meringankan beban yang ditanggung.

Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan. Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit jumlahnya. Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata. Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa.

Seterusnya yang ketujuh, saban tahun kita dengar laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset atau perbelanjaan negara. Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera. Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.

Isu yang kelapan ini sebenarnya tidak baru. Sebagaimana tahun lalu, Pemuda sekali lagi menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini. Kita sambut baik langkah Kerajaan mengadakan Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin. Tapi kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632 unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding dengan keperluan yang amat mendesak. Bagi tujuan ini, Pemuda memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda.

Kesembilan, dalam aspek hal ehwal bandar, Pemuda mengalu-ngalukan langkah kerajaan yang akan menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di 148 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seluruh negara. Moga-moga JPP yang dilantik akan menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk bandar dan pinggiran bandar bersama kerajaan – sama seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk kawasan luar bandar. Namun demikian, memandangkan ramai anak muda bermastautin di bandar, Pemuda harap agar ada kuota khas untuk golongan muda dalam setiap JPP 20 atau 30 peratus, supaya isu dan keperluan mereka akan dapat diambilkira oleh kerajaan.

Akhir sekali, Pemuda mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini. Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan. Pada masa yang sama, kita mesti tahu adakah negara punyai kapasiti untuk mengesan hubaya mengintip di peringkat awal lagi. Jika perlu, negara harus melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau pengintipan asing. Kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

Dewasa ini, makin jelas tembelang pembangkang di mata rakyat. Kalau dulu mereka pukul canang, Selangor paling hebat dalam mengamalkan pentadbiran berhemah dan berjimat-cermat, kini tindakan kerajaan Selangor menaikkan gaji Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka sehingga ratusan peratus, apa pula ceritanya? Takkan itu juga demi rakyat?

Matematik saya senang saja, kalau gaji Speaker Selangor RM22,500 sebulan, bermakna setahun RM270,000. DUN Selangor pula bersidang kira-kira, kita ambil purata, 30 hari dalam setahun. Malahan tahun lalu, persidangan DUN Selangor hanya sebanyak 21 hari sahaja. Dengan sehari saja speaker bertugas, sudah dapat RM9,000. Gaji Menteri Besar usah cerita, lagi banyak daripada gaji Perdana Menteri yang menjaga satu negara. Pihak pembangkang ini macam bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.

Ego dan keceluparan pembangkang pula tiada batas. Semakin lama berkuasa semakin angkuh dan bongkak. DAP apabila tak kena gaya, mereka tak teragak-agak untuk memanggil penjawat awam atau sesiapa saja “anjing” atau “kucing kurap”. Bila minta maaf pun nampak sangat tak ikhlas.

Itu baru kes celupar, belum kes Karpal Singh mahu mengharamkan parti politik berasaskan kaum dan agama di negara ini. Terus naik angin Dewan Pemuda PAS dibuatnya. Sekarang, barulah PAS sedar dan lihat belang sebenar DAP, sehingga tercetus semula isu untuk muzakarah dengan UMNO. Pemuda UMNO tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP, tetapi lahir ikhlas dari hati PAS sendiri. Bagi Pemuda UMNO, ianya satu langkah yang murni ke arah impian menyatupadukan orang Melayu, demi kelangsungan survival ummah, bangsa dan agama.

Anak punai anak merbah
Terbang turun meredah awan
UMNO dan PAS satu ukhwah
Rapatkan jurang berpisah jangan

Saudara-saudara sekalian,

Walaupun kepincangan pembangkang semakin nyata, jangan hanya kita bersandarkan kepada kelemahan mereka untuk menang dalam pertaruhan akan datang. Biarkan si luncai terjun dengan labunya tetapi kita mesti mara dan berjuang atas kekuatan kita sendiri. Kita mesti menang bukan atas kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada dalam persekitaran politik yang amat mencabar. Betul kita menang PRU lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan, undi popular pula tidak memihak kepada kita. Jangan kita nafikan kelemahan yang nyata.

Empat tahun bukanlah satu masa yang lama, dalam sekelip mata sekali lagi kita kembali kepada rakyat untuk menentukan survival parti. Tetapi UMNO tak pernah gentar dengan cabaran. Kita tak pernah lekang dari diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah. Ingatlah, peranan Pemuda penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di PRU14. Saudara semua telah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini sendirian. Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang.

Dalam seiras semangat juang, bangunlah anak bangsa jangan kau diam. Kita kerah segala kudrat atas nama perjuangan, atas nama melunas amanah, membangun nusa dan membela bangsa. Membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, tetap cekal walau jalan berliku.

Janganlah kau gentar wahai orang muda, walau sebesar mana badai melanda, walau setinggi mana puncak cita-cita, walau jauh beribu batu, walau sepanas mana lautan api – kita Pemuda UMNO tetap tidak berganjak, sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah merdeka.

Saudara-saudaraku sekalian,

Jika ditanya siapa kita, siapa kita?
Kitalah sayap hulubang parti,
Kitalah penabur khidmat dan bakti
Kita bangkit bila jatuh, berjalan kita dengan tegap, berlari kita dengan memecut,
Kitalah pejuang paling hadapan,
Kitalah denyut dan nadi anak watan,
Kitalah penegak kewarasan iltizam,
Kitalah nakhoda meredah zaman,
Kitalah sayap Pemuda UMNO!

HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda