Tag Archives: Add new tag

Ismail, Saifuddin nafi sertai PKR

KUALA LUMPUR: “Saya bukan gila hendak melompat ke parti yang tidak tentu hala,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri mengenai dakwaan bahawa beliau adalah antara empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, Ismail menegaskan, tidak ada sebarang sebab untuk beliau bertindak demikian.

“Saya kini menteri dalam Kabinet. Saya bukan terencat akal nak masuk parti yang entah apa-apa,” katanya ketika menafikan dakwaan dalam satu blog bahawa beliau akan berpaling tadah.

Selain Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saifudin Abdullah turut didakwa seorang lagi wakil rakyat BN yang akan melompat parti.

Dakwaan itu dibuat melalui satu artikel oleh penulis yang menggunakan nama Greeboc dalam satu blog hari ini.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen, Ismail berkata, beliau tidak berkawan rapat dengan mana-mana pemimpin PKR termasuk penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ismail, beliau tidak faham mengapa namanya dikaitkan dengan isu itu sedangkan beliau seorang pemimpin yang berprofail tinggi.

“Saya bukannya seorang yang berkontroversi. Saya juga bukannya bercadang hendak bertanding apa-apa jawatan penting parti.

“Jadi saya tidak faham mengapa nama saya dikaitkan,” katanya sambil menambah, beliau mungkin mengambil tindakan terhadap penulis artikel itu sekiranya beliau dapat mengenal pasti identitinya.

Ismail, yang juga Ketua Umno Bahagian Bera berkata, artikel dalam blog itu sengaja ditulis untuk mengelirukan penyokong BN selain mengalih perhatian rakyat kepada tuduhan liwat yang dihadapi Anwar sekarang.

“Lepas pilihan raya lepas, PKR terutamanya Anwar tak habis-habis dengan pengumuman ada orang (BN) keluar, lompat parti tapi sampai sekarang ia tak berlaku,” katanya.

Saifudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh juga menafikan dakwaan itu sambil berkata, kesetiaan beliau kepada Umno dan BN tidak berbelah bagi.

Katanya, sebagai ahli Umno sepanjang hayat, tidak pernah terlintas di hati beliau untuk menyertai parti lain.

“Saya yakin rakyat terutamanya pengundi-pengundi saya di Temerloh tidak akan percaya kepada spekulasi itu kerana mereka kenal yang saya seorang ahli Umno yang setia sejak dari dahulu lagi.

“Saya dipilih menjadi ahli Parlimen Temerloh atas tiket Umno dan BN kerana itu saya tidak akan menghampakan harapan dan kepercayaan oleh pengundipengundi saya.

“Saya dipilih menjadi Timbalan Menteri pun atas tiket Umno dan BN, dan saya tidak akan menghampakan kepercayaan yang Perdana Menteri telah berikan kepada saya,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan dalam artikel itu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sulit dengan Anwar ketika berada di luar negara baru-baru ini.

“Lebih 10 tahun saya tidak bertemu Anwar. Saya juga telah lama tidak  keluar negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel itu kerana menghormati hak sesiapa sahaja untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Apa yang dimuatkan di dalam artikel itu, katanya, hanyalah spekulasi politik dan ia tidak mengandungi ungkapan yang memburuk-burukkan beliau secara peribadi.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Rafidah pertahan jawatan jika dicalonkan

KUALA LUMPUR 17 Jun – Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO seandainya mendapat kuota pencalonan yang mencukupi daripada pergerakan itu.

Katanya, jika perkara itu berlaku, maka ia adalah isyarat daripada Wanita UMNO yang masih mahukan beliau menerajui sayap parti itu.

“Kalau Wanita masih hendakkan saya sebagai ketua, maka saya akan bertanding.

“Saya tak boleh cakap nak pertahankan (jawatan) atau tidak kerana nak tunggu ada pencalonan dengan kuota 20 peratus itu.

“Kita tengoklah kalau tak ada yang lain bertanding maka menang tanpa bertandinglah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita UMNO di sini hari ini.- sumber Utusan.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anggota UMNO perlu tenang dan jangan gopoh gapah buat keputusan,kata Muhyiddin

sumber utusan

NEW YORK, 20 Mei — Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati anggota UMNO supaya tidak tergopoh gapah dalam membuat keputusan yang boleh merosakkan parti, kedudukan orang Melayu dan negara.

Beliau berkata tindakan perlu diambil secara bijaksana dan berhemah supaya keadaan tidak bertambah buruk lagi.

Terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar dari parti itu secara serta merta semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata adalah penting bagi anggota UMNO menjaga keselamatan parti dan kedudukan orang Melayu kerana parti komponen Barisan Nasional akan hilang keyakinan jika UMNO terus bergolak.

“Kalau ada mesej daripada tindakan yang memeranjatkan ini, apa yang perlu dibuat adalah melalui proses demokrasi dalam parti melalui musyawarah, muzakarah dan perbincangan.

“Kalau mereka tidak puas hati ada caranya seperti proses pemilihan parti.

Di situ ahli parti boleh memberikan cadangan yang perlu dibuat untuk menyelesaikan kemelut di dalam UMNO,” katanya kepada pemberita selepas seminar Peluang Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat di sini pada Isnin.— BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda