Tag Archives: agenda daily

Lantang tak bermakna keluar BN – SAPP

sumber agendadaily

Dakwaan bahawa ada parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan keluar meninggalkan gagasan tersebut yang menjurus kepada Parti Maju Sabah (SAPP) dinafikan oleh orang nombor dua parti tersebut dan menyifatkan ia hanya spekulasi, Datuk Raymond Tan.

Katanya, beliau tidak faham kenapa tumpuan diberikan SAPP apabila adanya dakwaan tersebut sedangkan parti itu tidak pernah membincangkan sebarang langkah untuk keluar dariapda menjadi komponen BN.

Malah, beliau berkata, kelantangan parti itu menyuarakan beberapa isu kemungkinan telah menyebabkan timbulnya salah faham bahawa mereka akan meninggalkan BN.

“Bersuara lantang dan kritikal tidak bermaksud kami akan meninggalkan BN. Memang ada perkara yang kami tidak puashati macam orang lain juga tapi itu tidak bermaksud kami akan keluar BN. Malah Sepanjang pengetahuan saya dan juga dalam komunikasi dengan Presiden, Datuk Yong Teck Lee, kami tidak pernah membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan jika mereka menimbulkan spekulasi itu sebab nak suruh kami menutup mulut, mereka silap kerana kami akan terus bersuara.

“Tumpuan kami ialah beberapa isu semasa yang penting tapi keluar daripada BN bukan satu daripadanya,” katanya selepas perasmian Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 Kedua di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu hari Isnin.

Hari Jumaat, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Razaleigh hamzah mendakwa ada sebuah parti komponan BN akan meninggalkan gabungan itu akhir bulan ini. Malah pada hari Ahad, beliau dilaporkan berkata, parti berkenaan adalah dari Sabah tetapi enggan mendedahkan nama parti berkenaan.

Menurut Raymond yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, tindakan itu tidak pernah dibincang walaupun SAPP kerap menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung pelbagai perkara kepada kerajaan.

“Kami sedar ramai yang menuding jari kepada SAPP tapi itu semua spekulasi, malah saya tidak faham mengapa akhbar menamakan SAPP sebagai tajuk utama berita hari ini,” ujar beliau. – 16/6/2008

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda