Tag Archives: Agendadaily

Debat gagal kemuka langkah tangani isu seleweng tanah di Pulau Pinang

Debat bertajuk ‘Kontroversi Isu Tanah di Pulau Pinang’ antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak menyentuh mengenai langkah-langkah yang patut diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.

Koh dalam debat itu berkata tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengenai isu penyelewengan tanah pernah berlaku ketika zaman pentadbiran beliau selama 18 tahun, bermotifkan politik.

Sungguhpun dicabar beberapa kali oleh Lim untuk menjawab dakwaan tertentu mengenai apa yang dipanggil “penipuan tanah” di Pulau Pinang, Koh berkata beberapa kes masih didengar di mahkamah dan beliau enggan mengulas mengenainya kerana ia subjudis.

Menurut Koh, pihaknya hanya boleh memberikan jawapan selepas kes berkenaan selesai didengar oleh mahkamah.

Koh berkata sepanjang 18 tahun, lebih 10,000 fail tanah berjaya diselesaikan.

“Peratusan pencapaian kerajaan BN menyelesaikan fail tanah di Pulau Pinang ialah 99.9 peratus,” katanya.

Sementara itu, Lim mendakwa ada lima kes membabitkan penyelewengan tanah dan berkata pihaknya ingin tahu siapa yang bertanggungjawab untuk mencari kebenaran.

Beliau mendakwa kesilapan kerajaan terdahulu itu hanya merugikan rakyat kerana wang yang terlibat boleh digunakan untuk pembangunan rakyat, terutama bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

Debat anjuran portal Agendadaily itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan NTV7. Pengerusi DBP Datuk Johan Jaafar bertindak sebagai pengantara.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Aziz Deraman bertindak bertanya soalan bagi pihak Koh manakala Editor Politik media internet Malaysian Insider, Wan Hamidi Hamid bagi pihak Lim.

Koh pada sidang akhbar selepas itu berkata berkata pihaknya berpendapat adalah tidak baik untuk mempolitikkan isu-isu mengenai tanah demi kepentingan kerajaan negeri sekarang.

“Saya sebenarnya berhasrat baik di mana saya menasihatkan sebagai satu syarat untuk debat bahawa kita berdebat selepas pendengaran mahkamah selesai tapi beliau (Lim) tidak mahu dengar,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai isu tersebut selepas menyaksikan debat berkenaan. BERNAMA

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Debat Khas Koh Tsu Koon – Lim Guan Eng – 20 Ogos 2008

Program Siri Debat Agendadaily yang akan mempertemukan dua orang kuat Pulau Pinang, secara rasminya akan berlangsung pada 20 Ogos depan.

Agendadaily selaku penganjur debat berkenaan telah mendapat pengesahan daripada kedua-dua belah pihak untuk menjayakan debat berkenaan.

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju debat berkenaan akan dijalankan atas tajuk “Kisah Benar Kontroversi Tanah di Pulau Pinang”.

Ini adalah debat kedua dianjurkan oleh Agendadaily. debat pertama antara Menteri Penerangan, datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 15 Julai 2008.

Debat antara Tsu Koon dan Guan Eng ini akan disiarkan secara langsung oleh salah sebuah stesen televisyen Media Prima.

Format debat yang antara kedua-dua mereka akan dijalankan sama seperti format debat yang pertama dahulu.

Debat ini juga akan dikendalikan oleh moderatornya, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar.

nota: mungkin sahabat maya ‘mamak penang’ boleh memberi sedikit ulasan mengenai tajuk debat yang akan diadakan nanti

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Debat Bersejarah Antara Wakil Kerajaan dan Pembangkang

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengambil bahagian dalam perdebatan bersejarah mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung malam ini.

Perdebatan tersebut yang bertajuk “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak” berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Ia bermula jam 9 malam selama sejam.

Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut di internet melalu Global Media Channel dan BernamaTV – atau di saluran-saluran televisyen yang disiarkan oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

anwar ibrahim and ahmad shabery cheek debate 150708 02Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara. Ia diikuti dengan soalan dari moderator Datuk Johan Jaaffar yang juga pengerusi DBP.

Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya – editor Siasah, Zulkifli Sulong dan naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara daripada 40 peratus sekarang kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat.

Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugian.

Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukkan RM1 bilion daripada dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar harga minyak.

Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 seliter.

“Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini,” katanya.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan mendadak harga bahan bakar tersebut.

Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 juta membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak.

Shabery pula menjawab kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM50 bilion jika ia mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.92 seliter dan akan menjejaskan peruntukan untuk pembangunan yang lain.

Lagi pula, tambahnya, harga minyak dipengaruhi oleh faktor global. Beliau mengimbau krisis global pada 1973-74 ketika rakyat menyokong tindakan Tun Razak Hussein menubuhkan Petronas, tetapi mendakwa Anwar membantahnya, seperti yang dilakukannya sekarang.

Menurut Shabery lagi, jika subsidi ditingkatkan, ia akan menguntung orang berada dan juga rakyat asing. Oleh itu, katanya, mengapa tidak wang disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukannya.

anwar ibrahim and ahmad shabery cheek debate 150708 05Menurutnya lagi, Finland dan Norway sebagai contoh, tidak memberi subsidi dan mempunyai prestasi ekonomi yang baik.

Anwar bagaimanapun berkata, negara ini tidak boleh dibandingkan dengan Norway yang mempunyai 10 kali ganda pendapatan perkapita daripada Malaysia.

Menurutnya, kenaikan mendadak harga minyak telah membebankan golongan miskin dan terpinggir dan meningkatkan lagi beban hidup mereka.

Tambahnya, Petronas mengaut keuntungan besar dan menduduki kumpulan 10 syarikat minyak tertinggi dari segi keuntungannya.

Bagaimanapun, katanya, Petronas adalah hak rakyat dan pengurangan 50 sen harga petrol adalah langkah pertama ke arah itu. Malah, katanya, kenaikan harga minyak tidak disokong oleh rakyat, kecuali ahli-ahli parlimen BN sahaja.

Shabery kemudiannya menarik perhatian hadirin ke negara Venezuela dan Iran, yang mempunyai harga minyak yang murah tetapi kadar inflasi yang tinggi.

Tetapi di Malaysia, katanya, kerajaan berjaya menangani krisis makanan, malah menurutnya harga beras di negara ini lebih murah dari di Thailand. Jadi, katanya, tidak perlu mengadakan demonstrasi di jalan – merujuk tindakan pembangkang membantah kenaikan harga minyak.

Anwar pula menegaskan bahawa bagi setiap AS$1 kenaikan harga minyak dunia, Malaysia memperolehi RM360 juta. Dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi akan memburukkan ekonomi negara.

Shabery kemudiannya membangkitkan bahawa IPP wujud ketika Anwar dalam kerajaan, dan mendakwa bekas menteri kewangan itu mempertahankan kontrak mereka ketika itu.

Malah, katanya, Anwar menggunakan kaedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk cuba menangani krisis pada 1997-98. Tambahnya, walaupun rakyat dalam kesukaran, tetapi mereka masih cukup untuk makan.

Anwar pula bertanya mengapa kerajaan memungkiri janji pilihanraya untuk tidak menaikkan harga minyak. Sebaliknya, kata beliau, kita harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak.

Shabery kemudiannya menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara utama pengeluar minyak dan menurutnya hanya 26 peratus keuntungan Petronas datangnya dari sumber tempatan dan syarikat minyak negara itu menggunakan keuntungannya untuk mencari minyak di luar negara. Dan Petronas kini muncul sebagai sebuah syarikat minyak terkemuka.

Anwar mengakui bahawa IPP diwujudkan ketika beliau dalam kerajaan, tetapi meminta Shabery meneliti rekod mengenai perkara itu.

Beliau berkata, Tan Sri Ani Arope (pengerusi TNB ketika itu) membantah terhadap EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung IPP.

Dan sebab itulah beliau meletakkan jawatan, jelas Anwar.

Menurutnya, IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi Petronas dan TNB menanggung kerugian.

Katanya, kebocoran dan kronisme boleh ditangani dan menjimatkan sejumlah RM3 bilion. Malah, kata Anwar lagi, tindakan menaikkan secara mendadak harga minyak sekarang adalah preskripsi IMF.

Oleh itu, katanya, adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa beliau tunduk kepada kehendak IMF sewaktu krisis ekonomi pada 1997-98.

Anwar berkata, terdapat dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar kepada kerajaan tahun ini, dan mengapa tidak boleh diambil RM1 bilion untuk mengurangkan harga minyak. – malaysiakini

nota. Tahniah diucapkan kepada YB Datuk Shahbery Cheek dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak lupa juga sekalung tahniah kepada Moderator Datuk Johan Jaafar serta penganjur Agendadaily.com. Di dada internet hari ini banyak mempersoalkan siapa menang dan siapa kalah pada debat malam tadi. Pada penulis tiada pemenang mutlak pada debat khas malam ini. Ini kerana masing-masing ada kekuatan dan kelemahan sendiri. Keberanian YB Datuk Shahbery Cheek untuk muncul sebagai wakil kerajaan di dalam debat khas semalam berdepan dengan Mantan TPM,Menteri Kewangan dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dipuji. Tahniah juga kepada Datuk Seri Anwar yang berani untuk berdebat walaupun sedang dihimpit dengan isu-isu politik disekeliling beliau. Bagi penulis program debat seperti ini wajar diteruskan kerana ia secara tidak langsung dapat membentuk satu sinergi di dalam arena politik tanahair kita seterusnya hasil debat ini dapat diolah oleh pihak berkenaan demi kepentingan rakyat. Tidak mustahil ada hujah2 dari DSAI yang boleh diterimapakai untuk mengurangkan beban rakyat. Walaubagaimanapun, setiap langkah yang diambil ada baikburuknya. Cuma persoalan yang bagi penulis gagal diutarakan oleh wakil pihak pendebat ialah “adakah dengan penurunan harga minyak sebanyak 50sen, ia dapat mengurangkan kembali kenaikan harga barang dan seterusnya mengimbangi kadar inflasi Malaysia?”.

Angka 50sen itu juga menggerakkan fikiran penulis utk berfikir sejenak….adakah penurunan 50sen yang dicadangkan itu diambilkira pada harga minyak runcit sekarang ataupun penuruan 50sen itu berdasarkan harga minyak sebelum pilihanraya iaitu pada RM1.92 seliter. Sekiranya penurunan 50sen berdasarkan harga semasa iaitu RM2.70, ini bermakna janji DSAI untuk menurunkan harga minyak semasa pilihanraya yang lepas merupakan satu janji kosong kepada rakyat. Sepatutnya jika dilihat dengan harga semasa RM2.7 dengan kadar 50sen yang dihanjikan sebelum pilihanraya, kadar penurunan yang sepatutnya dijanjikan oleh DSAI bukan 50sen tetapi RM1.28 seliter iaitu harga minyak sekiranya Pakatan Rakyat memerintah sepatutnya berada pada RM1.42 seliter dan bukan RM2.20.

19 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Debat Khas: Datuk Ahmad Shahbery Cheek vs Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tarikh: 15 Julai 2008

Tempa: Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur

Jam: 9 malam (siaran langsung di TV9 @astro #119

Tajuk : Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak!

Anjuran: Agendadaily

Selamat berdebat kepada kedua-dua panel dan amat diharapkan supaya panelis-panelis tidak menyalahgunakan platform debat ini. Gunakanlah platform debat ini yang bakal disaksikan oleh jutaan penonton sebaiknya dengan berhujah mengenai tajuk yang telah ditetapkan. Jangan menggunakan platform ini untuk ‘mempromosikan’ ideologi politik parti masing-masing seperti yang terjadi pada debat khas terdahulu mengenai kenaikan harga petrol.

23 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda