Tag Archives: air percuma selangor

Apa jadi dengan air percuma

sumber mstar.

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari Menteri Besar Selangor menjamin air percuma mulai bulan ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak terma-terma dan syarat-syarat pembayaran yang dijanjikan oleh Kumpulan Darul Ehsan  Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri berhubung pemberian 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, setelah menelitinya,  Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada Syabas dengan serahan tangan pagi ini.

Surat penolakan Syabas itu telah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut, kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.

Pejabat Menteri Besar Selangor ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan mStar Online bahawa Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan balas kemudian.

Pada 6 Jun lalu, kerajaan Selangor memberikan jaminan bahawa bekalan 20 meter padu air percuma kepada penduduk negeri itu berjalan seperti dirancang bermula bulan ini.

Khalid memaklumkan kerajaan Selangor telah mengarahkan semua bil bekalan air akan ditolak kira-kira RM11.40 iaitu nilai kadar 20 meter padu air seperti yang dijanjikan.

Jelas beliau, KDEB menyatakan satu surat telah dikeluarkan kepada Syabas pada 6 Jun bagi mengarahkan mereka melaksanakan pemotongan harga air itu.

“Pengguna tidak perlu ragu atau bimbang mereka tidak akan dapat air percuma kerana kerajaan jamin ia akan diberi,” kata beliau.

Bermula 1 Jun dimaklumkan seramai 1.5 juta pengguna individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya umum lepas.

Kenyataan Syabas hari ini merupakan reaksi kepada pengumuman Khalid pada 6 Jun lalu.

“Syabas tidak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bilbil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor oleh KDEB siap sepenuhnya September 2008.

“Cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas,” kata Ruslan lagi.

Jelas Ruslan, Syabas berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di negeri itu.

“Oleh itu, cadangan balas Syabas ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada Syabas perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut,” katanya.

Kata Ruslan, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan Syabas terpaksa menghentikan program pemberian air percuma yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, Syabas akan meneruskan dengan pengeluaran bil-bil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter padu air yang dijanjikan kerana Syabas tertakluk kepada perjanjian konsesi seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khalid Cakap Lain, Syabas Cakap Lain

sumber utusan

SHAH ALAM 5 Jun – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor memberi jaminan rakyat di negeri itu akan menikmati kemudahan air percuma bagi 20 meter padu pertama bermula bulan ini seperti yang dijanjikan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebarang permasalahan antara pihak-pihak berkaitan berhubung pemberian air percuma yang timbul sebelum ini telah diselesaikan.

“Kita berjaya menemui kaedah penyelesaian berhubung masalah yang timbul sebelum ini.

“Mulai esok semuanya selesai dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) akan mengenakan potongan untuk 20 meter padu pertama air pada bil pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2008 yang dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Bermula 1 Jun, kira-kira 1.5 juta pengguna meter individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada manifesto yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang dalam kempen pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, Syabas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan akan mengeluarkan bil air kepada pengguna di Selangor seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi sehingga ada arahan bertulis daripada kerajaan negeri dan Pusat.

Keputusan itu dibuat kerana perbincangan antara Syabas dengan kerajaan negeri Selangor masih belum ada keputusan berikutan banyak perkara yang perlu diambil kira seperti perundangan, kos dan kelulusan kerajaan Pusat.

Ditanya tindakan Syabas itu, Abdul Khalid menjelaskan, terdapat salah faham antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri.

“Persoalan yang timbul adalah siapa yang sepatutnya mengeluarkan surat arahan kepada Syabas.

“Sebenarnya arahan rasmi datangnya daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (yang memiliki 30 peratus saham dalam Syabas) dan bukan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin menerima cek-cek sumbangan bernilai RM800,000 daripada para penaja Piala Sultan Selangor 2008 yang akan berlangsung esok di Stadium Shah Alam.

Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 akan menampilkan aksi dua perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.

Pengunjung yang membeli tiket perlawanan bernilai RM5 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dan menyaksikan persembahan hiburan oleh artis-artis popular seperti Ella, Mas Idayu serta David Arumugam daripada Kumpulan Alleycats.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tiada air percuma di S’gor Bulan ini

sumber dari malaysiakini

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan terus mengeluarkan bil air seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi, kata ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan.

Katanya, perbincangan antara syarikatnya dengan kerajaan negeri Selangor masih belum mencapai keputusan untuk membolehkan pemberian air percuma kepada pengguna mulai bukan ini.

Ruslan berkata, Syabas belum menerima arahan bertulis dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat ataupun satu akujanji dari kerajaan Selangor atau agensi kerajaan negeri untuk membayarnya jumlah harga 20 meter padu yang dijanjikan itu.

Oleh itu, dalam satu kenyataannya, beliau berkata, pengeluaran bil Syabas akan berjalan seperti biasa dan pengguna dinasihatkan untuk membayar bil air mengikut jumlah dalam bil masing-masing.

Laporan Bernama menyebut, Ruslan berkata, kenyataan tersebut bagi menjelaskan laporan media yang mengatakan kesan pemberian air percuma akan dilihat dalam bil air di Selangor mulai bulan ini.

Ruslan berkata, perbincangan antara dua pihak itu belum mencapai keputusan kerana banyak perkara yang perlu diambil kira dan diputuskan, terutama mengenai soal perundangan, kos serta berkaitan kelulusan kerajaan pusat.

Sebagai makluman, kata Ruslan, pendirian dan dasar Syabas adalah jelas berkaitan dengan perkara ini – perkhidmatan bekalan air bersih  syarikatnya tertakluk kepada perjanjian penswastaan yang telah ditandatangani oleh Syabas dengan Selangor dan kerajaan pusat.

Menurut perjanjian penswastaan bekalan air bagi Selangor, katanya, Syabas hanya dibenarkan untuk membekal air kepada para pengguna berdasarkan kadar tarif yang telah diwartakan.

Oleh itu, katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil oleh Syabas bukan sahaja perlu mendapat kelulusan kerajaan Selangor, malah ia perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Air, dan Komunikasi (KTAK) bagi pihak kerajaan pusat.

Berkaitan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor, kata Ruslan, Syabas ingin memaklumkan bahawa, sehingga kini, perbincangan hanya terhad antara Syabas dengan Selangor dan sebarang perbincangan dengan kerajaan pusat masih belum dijalankan.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, katanya, pengguna dinasihatkan menghubungi terus Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) Syabas yang beroperasi 24 jam di talian bebas tol 1 800 88 5252 bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

nota: ketika membaca artikel ini, penulis teringat lagu Aisyah yang memenangi Anugerah Juara Lagu satu ketika dulu iaitu “Janji manismu” ~ hati membeku mengingatkan kata janji manismu…..air percuma pasti dapat diberi sekiranya peruntukan rm100juta untuk ladang babi itu dapat diperuntukan untuk membayar pampasan kepada syabas.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda