Tag Archives: aishah ghani

Cadang Dr M jadi Penasihat UMNO

Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani menyarankan agar bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat parti.

“Kita kena ingat, tidak semua apa yang pemimpin Umno buat hari ini betul. Jadi kalau Umno ada seorang penasihat yang berpengalaman luas seperti Dr. Mahathir ia akan membantu menaikkan semula imej dan maruah Umno.

“Pandangan orang yang berada di luar parti dengan di dalam parti adalah berbeza. Saya percaya Dr. Mahathir masih boleh membantu Umno,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu beliau turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr. Mahathir menyertai Umno bagi membantu memulihkan parti yang kini disifatkan sedang ‘tenat’.

“Saya sangat mengharapkan agar Dr. Mahathir kembali semula kepangkuan Umno kerana beliau mampu membawa perubahan positif dari dalam parti,” katanya.

Namun beliau berkata tanggungjawab untuk memulihkan Umno bukan sahaja terletak kepada pemimpin Umno hari ini atau Dr. Mahathir sahaja, sebaliknya perlu usaha yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

“Semua pihak harus main peranan yang sewajarnya. Harapkan Dr. Mahathir sahaja tidak cukup,” katanya.

Selain itu Aishah juga menyeru kepada semua ahli-ahli Umno yang mengikuti jejak Dr. Mahathir keluar Umno pada Mei lalu agar kembali untuk memperkukuhkan parti.

“Saya faham perasaan Tun Dr. Siti Hasmah (isteri Dr. Mahathir), Tan Sri Sanusi Junid dan juga pengikut-pengikut setia Dr. Mahathir yang mengikut jejaknya untuk keluar Umno dulu.

“Tapi alangkah baiknya kalau kita semua kembali dan memberi perhatian kepada usaha untuk memantapkan semula Umno demi kemajuan bangsa Melayu dan negara,” katanya.

nota: penulis bersetuju sekiranya TDM dilantik sebagai penasihat parti. ini supaya golongan muda di dalam UMNO dapat menggunakan sebaiknya peluang yang ada utk mendapat pandangan dan nasihat dari TDM. pengalaman luas TDM sebagai PM dan Presiden UMNO tidak harus disia-siakan.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda