Tag Archives: anifah aman

Masalah UMNO Lagi Membimbangkan

Masalah dalaman Umno adalah lebih membimbangkan daripada memikirkan kemungkinan wakil rakyatnya menyertai pembangkang, kata Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional Sabah, Datuk Anifah Aman.

Katanya, kepimpinan Umno perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan masalah dalaman parti itu daripada terlalu gusar memikirkan kemungkinan wakil rakyatnya menyertai pembangkang.

“Apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin-pemimpin Umno terlalu memberi tumpuan kepada ura-ura kononnya ada wakil rakyatnya akan melompat parti padahal mereka sepatutnya menangani masalah Umno itu sendiri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Anifah, yang juga Anggota Parlimen Kimanis dan Ketua Umno Bahagian Kimanis, berkata soal wakil rakyat daripada Umno menyertai pembangkang tidak akan timbul jika parti itu terus kuat dan pemimpin-pemimpinnya tidak terbawa-bawa dengan isu-isu lain.

“Saya lebih risau tentang apa yang akan terjadi kepada Umno khususnya menjelang pemilihan parti Disember ini,” katanya.

Ekoran pilihanraya umum Mac lalu yang menyaksikan BN buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, Anifah mengambil keputusan yang agak mengejutkan dengan menolak pelantikannya sebagai seorang timbalan menteri, jawatan yang disandangnya selama dua penggal sebelum itu. – malaysiakini

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

2 pemimpin nafi lompat parti, Ku Li dakwa komponen BN keluar bulan ini

sumber mstar
(Mutakhir) PETALING JAYA: Sementara dua pemimpin Barisan Nasional (BN) menafikan akan ada wakil rakyat Sabah melompat parti, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendakwa sebuah parti komponen BN akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu yang dipetik Bernama bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.

“Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini,” dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan Umno Pahang di sini hari ini.

BN terdiri daripada komponen Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu SUPP, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), dan Parti Demoktratik Progresif Sarawak (SPDP) serta Parti Rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, hari ini dua Ahli Parlimen – seorang dari Semenanjung dan seorang lagi dari Sabah menafikan spekulasi beberapa wakil rakyat dari negeri itu akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.

Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika dihubungi mStar Online di Kota Kinabalu memberitahu, selama empat hari berada di Sabah beliau tidak mendengar tentang akan ada Ahli Parlimen dari negeri itu bakal menyertai Pakatan Rakyat.

“Rakyat sudah bosan dengan cakap-cakap seperti ini. Hanya beberapa personaliti yang membangkitkan isu seperti ini, nak sambung-sambung cerita yang mengatakan akan ada mereka yang akan melompat parti.

“Hanya mereka seperti (Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang suka mengatakan perkara seperti ini,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini yang berada di Sabah sejak Rabu lalu.

“Jika PAS dan DAP hendak menubuhkan kerajaan, sepatutnya mereka berbuat demikian 100 hari yang lepas. Sekarang sudah 100 hari selepas pilihan raya umum diadakan, mengapa masih hendak menimbulkan isu lompat-melompat ini.

“Mereka sepatutnya membantu kerajaan menjalankan projek pembangunan, bukan membuat kenyataan-kenyataan seperti ini. Apa yang mereka dapat?

“Mereka wajar berhenti bercakap mengenai isu melompat ini,” kata beliau sambil menambah, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 13 insentif untuk Sabah baru-baru ini, rakyat negeri itu ingin melihat projek pembangunan serta janji pilihan raya ditunaikan.

Beliau mengatakan demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa politik tanah air ekoran timbulnya isu bahawa kemungkinan wakil rakyat BN dari Sabah akan melompat Pakatan Rakyat tidak lama lagi.

Isu itu timbul lagi selepas seminggu lalu Anwar mengumumkan bahawa beliau masih kekal dengan sasaran 16 September ini untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Kelmarin, Agenda Daily melaporkan dua Ahli Parlimen dari Parti Rakyat Sabah (SAPP) disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-dua mereka Enchin Majimbun dan Datuk Chua Soon Bui masing-masing Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau.

Portal itu menyebut, bagaimanapun Majimbun telah menafikan khabar tersebut tetapi menambah, “tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana.”

Chua juga menafikan laporan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Anifah Aman yang pernah ‘mencuri’ perhatian kerana menolak kedudukan dalam Kabinet dan Pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) di Dewan Rakyat juga menafikan khabar angin tersebut.

“Saya tidak tahu. Saya tidak dengar apa-apa setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, pihaknya juga belum ada membincangkan desas-desus terbaru itu dan belum ada rancangan untuk bertemu ahli-ahli Parlimen dari BN di Sabah.

Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 23 Jun ini.

Kini di Dewan Rakyat BN mempunyai 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 82 kerusi.

Umno mempunyai 79 kerusi, MCA (15), MIC (tiga), Gerakan (dua), PBB (14), SUPP (enam), SPDP (empat), PRS (enam), Upko (tiga), PBS (tiga), SAPP (tiga), PBRS (satu) dan LDP (satu).

Pertengahan bulan lalu, Anifah mencetuskan suasana hangat ketika berucap di Dewan Rakyat dengan mendakwa rakyat Sabah dianaktirikan dan dihina dengan dakwaan mahu melompat parti.

Kata Anifah, wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan.

nota: posting terdahulu mengenai ahli mp BN melompat di sini

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tengku Razaleigh minta dicalon

KOTA KINABALU 25 Mei – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden parti pada pemilihan Disember ini.

Katanya, mereka perlu berani berbuat demikian jika mahukan perubahan.

”Janganlah takut untuk mencalonkan saya, jika rakyat Sabah mahukan perubahan, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keberanian.

“Sabah bukan lagi rakyat kelas kedua dan tidak kurang berbanding dengan rakyat di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan para pemimpin peringkat akar umbi UMNO Sabah pada satu majlis di sini malam tadi.

Pertemuan yang bermula pada pukul 8 malam itu, dihadiri kira-kira 1,000 ahli UMNO dari seluruh negeri ini dan Razaleigh dikatakan menggunakan majlis tersebut untuk meraih sokongan bertanding jawatan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, dalam pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu tiada ketua UMNO sama ada di peringkat bahagian atau negeri hadir.

Tengku Razaleigh berkata, banyak perubahan perlu dilakukan kepada rakyat di negeri ini termasuk dalam aspek pemberian royalti minyak, jawatan dalam kerajaan dan beberapa isu berkaitan dasar cukai.

Menjawab beberapa soalan pada sesi dialog, beliau berkata, pihak pengurusan tertinggi UMNO perlu membuat beberapa perubahan termasuk pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan calon pilihan raya yang sepatutnya mengikut kehendak akar umbi.

”Kita mahu mengubah agar UMNO lebih demokratik, kita mahu dihentikan amalan ketua perhubungan ditunjuk oleh orang di Kuala Lumpur tetapi ditentukan oleh bahagian-bahagian,” ujar beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh pada sidang akhbar selepas itu berjanji akan menunaikan permintaan rakyat Sabah jika terbukti mereka berani membawa pencalonan serta memberi kemenangan kepadanya merebut jawatan Presiden UMNO.

”Saya katakan jika rakyat Sabah berani buktikan dengan pencalonan saya, saya jamin boleh selesaikan banyak perkara, asalkan rakyat Sabah mahu menyelesaikannya.

”Saya janji, demi Allah apa yang saya cakap, saya sudah 71 tahun, kalau mati lepas itu masuk nerakalah sebab tidak tunai janji,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin akan melepasi kuota pencalonan untuk bertanding, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui kerana UMNO cawangan belum bermesyuarat.

“Masih terlalu awal, cawangan belum bermesyuarat dan ini akan ditentukan selepas calon-calon UMNO bermesyuarat barulah mereka dapat menentukan siapa yang akan dicalonkan,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, tidak akan merajuk atau membuat apa-apa tindakan di luar batasan jika tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi.

“Ini bukan untuk saya, saya cuma mahu menjadi calon untuk membawa perubahan tetapi kalau orang tidak mahu perubahan, saya tempah tiket ke Mekah buat umrah… buat apa saya nak sakit kepala,” katanya.

nota: Tidak dinafikan Ku Li mempunyai kredibiliti di dalam memacu UMNO utk mara ke depan dengan perubahan yang ingin dibawa oleh beliau. Tidak lupakan Pak Lah mempunyai kelebihan tersendiri. Diharap tidak kira Ku Li atau Pak Lah terpilih menjadi Presiden UMNO diharap UMNO lebih kukuh. Penulis sendiri duduk semeja dengan orang kuat Ku Li pada minggu lepas. Beliau menerangkan angin perubahan yang ingin dibawa. Dari pengamatan penulisan, Ku Li mungkin berjaya melepasi kuota pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO. Penulis diajukan soalan adakah UMNO Ampang sedia menerima perubahan yang ingin dibawa? Penulis hanya tersenyum.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Senarai 29 Ahli Parlimen

berikut adalah senarai 29 orang Ahli Parlimen yang gagal untuk mengemukakan soalan bagi persidangan Parlimen yang dijadualkan ada 28 April 2008. Untuk pengetahuan semua, semua ahli parlimen dikehendaki untuk mengemukakan soalan bagi persidangan sekurang-kurang 21 hari sebelum parlimen bersidang.

Ahli-ahli parlimen yang terlibat ialah:

1. Abd. Rahman bin Bakri – Sabak Bernam – BN
2. Datuk Haji Wahab bin Haji Dolah – Igan – BN
3. Dato’ Dr Abdullah bin Md Zin – Besut – BN
4. Ahmad Lai bin Bujang – Sibuti – BN
5. Datuk Anifah bin Aman @ Haniff Amman – Kimanis – BN
6. Abit Joo Hulu – Rajang – BN
7. Ding Kuong Hiing – Sarikei – BN
8. Datuk Seri Dr Jamaluddin bin Mohd Jarjis – Rompin – BN
9. Dato’ Dr James Dawos Mamit – Mambong – BN
10. Dato’ Seri Mohd Radzi bin Sheikh Ahmad – Kangar – BN
11. Dato’ Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah – Mukah – BN
12. Dato’ Seri Rafidah binti Aziz – Kuala Kangsar – BN
13. Datuk Dr Tekhee @ Tiki Anak Lafe Mas – Gading – BN
14. William @ Nyallau Anak Badak Lubok – Antu – BN
15. Datuk Haji Yusoff Bin Mahal – Labuan – BN
16. Charles Anthony a/l R Santiago – Klang – DAP
17. Er Teck Hwa – Bakri – DAP
18. Hiew King Cheu – Kota Kinabalu – DAP
19. John a/l Fernandez – Seremban – DAP
20. Prof Dr P Ramasamy a/l Palanisamy – Batu Kawan – DAP
21. Abdullah Sani bin Abdul Hamid – Kuala Langat – PKR
22. Haji Ahmad Kassim – Kuala Kedah – PKR
23. Chua Tian Chang – Batu – PKR
24. Gobalakrishnan a/l Nagapan – Padang Serai – PKR
25. Dato’ Kamarul Baharin Abbas – Telok Kemang – PKR
26. Manikavasagam A/L Sundaram – Kapar – PKR
27. Dato’ Rashid Bin Din – Merbok – PKR
28. William Leong Jee Keen – Selayang – PKR
29. Datuk Dr Zainal Abidin Bin Ahmad – Hulu Selangor – PKR

Berbagai alasan diberikan. Ada yang lupa dan ada yang sibuk sangat dan ada juga berkata berlakunya ‘communication breakdown’. Apa-apa pun alasan mereka, harap tiada lagi insiden seperti ini berlaku!

sumber – iammalaysian dan the star

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda