Tag Archives: Anwar Ibrahim

Anwar(Hindraf) Dibidas – Malaysiakini

Beberapa ahli Parlimen hari ini membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan tindakan pertubuhan haram Hindraf pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Mereka dalam masa yang sama turut melihat bahawa kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Hindraf diketahui umum sebagai penyokong kuat kepada Anwar.

Sehubungan itu, kata mereka, atas dasar tersebut, Anwar dilihat akan melakukan apa sahaja bagi membela penyokongnya kerana pemimpin pembangkang itu sememangnya seorang yang terdesak.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau percaya sekiranya Hindraf melakukan perkara yang serupa ketika Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, nasib pertubuhan itu pastinya berbeza.

Katanya, malah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri mungkin akan menjadi orang pertama yang mengecam Hindraf di atas perbuatan pada sambutan hari raya yang lalu.

”Kalau Anwar masih Timbalan Perdana Menteri, dia orang pertama akan mengutuk Hindraf, tetapi kerana hari ini pertubuhan haram itu merupakan penyokong utama kepada Anwar, maka pertubuhan itu dipertahankan.

”Sebab itu, saya minta supaya masyarakat India termasuk parti politik kaum itu supaya tidak mengikut rentak Hindraf kerana pertubuhan itu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar ketika diminta mengulas tentang kelakuan Hindraf yang dilihat keterlaluan kebelakangan ini bukan sahaja mempertahankan pertubuhan haram itu sebaliknya menyalahkan pula Utusan Malaysia kerana membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penganut Hindu.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, tindakan Anwar mempertahankan Hindraf ternyata berlaku atas faktor politik semata-mata.

”Cara Hindraf bukan untuk datang berhari raya. Kita tidak persoalkan hasrat pertubuhan itu untuk menyampaikan memorandum. Namun, soalnya apakah tidak ada hari lain selain daripada majlis hari raya.

”Malangnya, ada pula pemimpin Melayu yang terdesak boleh menyokong perbuatan itu hanya demi mengekalkan sokongan politik,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan Anwar terhadap tindakan Hindraf pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Katanya, Anwar dari awal sanggup bersekongkol dengan pertubuhan yang telah memburukkan kerajaan di luar negara sebagai kerajaan yang melakukan pembersihan etnik.

”Dari awal lagi kenapa nak bersama dengan Hindraf. Mana perginya maruah kita kerana kumpulan ini yang menghina kerajaan kita yang ditunjangi kepimpinan Melayu Islam dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar sama sekali.

”Sebab itu, setakat sokong yang baru ini, saya memang tidak hairan, bukan kita tidak tahu Anwar ini macam mana orangnya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Anwar tidak perlu membangkitkan sentimen perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan India.

Katanya, isu mengajak orang Melayu membenci orang India seperti yang didakwa Anwar tidak timbul kerana perbuatan Hindraf pada sambutan hari raya itu dapat dinilai semua pihak termasuk media.

”Orang tak pergi ziarah hari raya pakai uniform. Orang yang macam itu tentunya ada niat lain. Jadi, kenapa kita nak pertahankan pula tindakan seperti itu.

”Jangan kita mengancam perpaduan kaum hanya kerana desakan politik kita,” ujarnya.

nota: DSAI, jangan jadi desperado dalam meraih sokongan……jangan sebab berangan nk jadi PM semua benda tak baik jadi baik…..nnt merana rakyat…bukan DSAI…..keluarkanlah statement pasal ethnic cleansing yang didakwa oleh Hindraf. Jangan tanya lain jawab lain

Advertisements

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ku Li syor BN-Pakatan bentuk kerajaan perpaduan, pemerhati anggap Anwar ‘tersedak’ – Malaysiakini

Selepas lebih enam bulan pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen kanan dari Gua Musang, mengesyorkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menerokai idea kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan untuk keluar daripada ketidaktentuan politik.

Ketua Umno Gua Musang itu telah mengetengahkan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun penganalisis melihat perkembangan tersebut sebagai tidak kena dalam senario politik semasa di mana rakyat ingin melihat kewujudan sistam dua parti di negara.

“Pakatan sudah tersepit. Datuk Seri (Anwar) Ibrahim sudah tersepit, sudah habis strategi politik,” kata Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Kata beliau, Anwar kini sudah tiada jalan melainkan mengadakan perbincangan dengan Tengku Razaleigh selepas kesemua taktiknya untuk membentuk kerajaan persekutuan baru menerusi lompat parti gagal.

“Pembangkang tidak boleh jalan (bergerak)… Pakatan hendak ambil alih kerajaan, tetapi sudah tersepit, sebab itu mereka jumlah Ku Li.

“Tetapi pandangan Ku Li tidak kena dengan senario sekarang walaupun pernah digunakan dulu (tahun 1970-an),” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, usaha ke arah itu boleh mengguna pakai formula yang pernah diamalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1974 apabila membentuk BN, menggantikan Perikatan.

Dalam pertemuan tersebut, kata bekas Naib Presiden Umno itu yang dipetik The Star berkata, beliau telah menyentuh kemungkinan merangka satu asas minimum bagi membentuk barisan kebangsaan yang baru – sebuah kerajaan hasil kejujuran dan keikhlasan demi perpaduan negara.

Kata beliau, langkah membawa parti-parti utama bersama BN akan membolehkan negara berhadapan dengan ujian dan cabaran ekoran perkembangan baru landskap politik selain situasi ekonomi global.

Sebagaimana disaksikan pada pilihan raya umum 1969, BN mengalami kekalahan di lima buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kelmarin, Tengku Razaleigh yang menawarkan diri merebut kerusi Presiden Umno, mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar, bekas Menteri Kewangan itu juga ada menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam “konteks kawan-kawan lama yang bertemu.”

Ketika mengulas khabar angin bahawa sudah menyertai Pakatan Rakyat, Tengku Razaleigh berkata, beliau telah menemui pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas permintaan mereka mahu menemuinya untuk membincangkan masa depan negara.

“Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan,” katanya. Malah desas-desus sedemikian pernah muncul tiga bulan lalu, yang beliau telah menemui pemimpin PAS di Parlimen dan ditawarkan memimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang.

“Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi,” katanya.

Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa. – mstar

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

1986- Gambar Kenangan Anwar Ibrahim Menang KP UMNO – Malaysiakini

sila klik utk imej besar. Arwah ayahanda penulis berada paling kiri gambar selaku timbalan pengerusi tetap pemuda umno Malaysia 1986.

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno cabar Anwar umum nama MP BN – malaysiakini

Umno mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah menyatakan sokongan untuk melompat ke perikatan pembangkang itu.

“Nampaknya drama Penasihat (Parti Keadilan Rakyat) PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hari semakin tidak ada penghujungnya.

“Sepatutnya ‘drama’ tersebut berakhir pada 16 September lalu, tapi nampaknya kena disambung lagi. Itupun tidak tahu bila?” kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib hari ini.

Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat dan sekali gus menetapkan 16 September sebagai tarikh membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun Isnin lalu, Anwar hanya mengumumkan pihaknya sudah ada cukup anggota untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan mahu menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi tujuan peralihan kerajaan secara lancar dan aman.

Abdullah telah menolak permintaan itu dan satu lagi permintaan Pakatan Rakyat, yang mahu Parlimen mengadakan sidang khas pada Selasa ini – yang hanya boleh dibuat dengan arahan Perdana Menteri.

Malah, Abdullah juga telah meminta supaya Anwar dan Pakatan Rakyat mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang telah pun menyatakan sokongan kepada mereka.

Oleh itu, kata Muhammad yang juga anggota Kabinet, bagi menamatkan ‘drama’ tersebut, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk umum atau mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang kononnya telah bersetuju menyertai pembangkang.

“Tempoh 48 jam itu bermula semalam, Sabtu dan menjelang Isnin jika benar ada Anwar perlu mengumumkan nama-nama tersebut,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu memberitahu, Anwar terus memainkan sentimen rakyat dengan menggembar-gemburkan isu Pakatan Rakyat akan mengambil alih Kerajaan Pusat, sedangkan “ia hanyalah lakonan semata-mata.”

“Kita cabar siarkan dalam tempoh 48 jam ini, siarkan kalau betul ada angka seperti mana yang dia dakwa, apa dia nak takut-takut,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Muhammad mengakui, memang Umno dan BN tidak menafikan ada seorang dua yang akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi jumlah itu tidak sehingga parti pembangkang boleh mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.

“Saya ingat yang nak ‘lompat’ pun dua tiga orang sahaja daripada parti yang telah mengumumkan keluar daripada BN, yang lain tak ada.

“Ada pula timbul cerita, kononnya Anwar akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri jika mendedahkan nama-nama ahli BN terbabit merupakan satu lagi gimik Penasihat PKR itu sambil menyifatkannya seperti ‘macam budak-budak’,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Muhammad, beliau berharap rakyat dapat menilai sendiri tindak-tanduk Anwar yang terus menggambarkan keadaan ekonomi dan politik negara ini sedang bergolak sehingga boleh melemahkan serta mencemarkan imej negara.

Tegasnya, rakyat perlu berhenti daripada melihat ‘drama’ dan mempercayai pelbagai spekulasi yang dibangkitkan pembangkang terutamanya Anwar dan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk memimpin negara ini selepas diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya Mac lalu. – mstar

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar vs Najib – Siapa Lebih Baik ~~ Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan 40 peratus memilih Anwar manakala Najib memperolehi 34 peratus. Manakala satu perempat responden tidak dapat memilih atau yakin dengan kedua-dua calon tersebut.

Dalam soalan berasingan, 39 peratus bersetuju Najib boleh menjadi perdana menteri hyang baik, manakala 44 peratus lagi tidak bersetuju.

Ini dianggap sebagai satu berita baik untuk timbalan perdana menteri itu walaupun ketinggalan di belakang Anwar kerana peratusan penerimaannya sebagai perdana menteri telah meningkat lima peratus berbanding dengan tinjauan pendapat Julai lalu. Manakala peratusan untuk Anwar pula turun tiga peratus.

Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffin berkata ini adalah kali pertama mereka membandingkan Anwar dengan Najib.

“Antara sebab kami turut memasukkan soalan itu kali ini ialah kerana tinjauan ini dijalankan di sekitar 16 September. Juga, Anwar telah menonjolkan diri sebagai bakal perdana menteri,” kata Ibrahim.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah menetapkan tarikh 16 September untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Barisan Nasional.

Seramai 1,002 responden dipilih untuk tinjauan pendapat tersebut yang diadakan antara 11 hingga 22 September lalu.


Ejen Amerika

Dalam tinjauan itu juga, hanya 15 peratus percaya tuduhan salahlaku seks terhadap Anwar manakala 13 peratus lagi percaya beliau seorang “penjenayah seksual”.

Walaupun 21 peratus percaya dengan tuduhan bahawa beliau menjadi “ejen Amerika” tetapi 51 peratus lagi percaya ketua pembangkang itu seorang pemimpin yang “kuat dan berwawasan” serta “seorang pengurus ekonomi yang cekap”.

Penyokong Anwar adalah lebih pelbagai kaum, berbanding dengan penyokong Najib yang sebahagian besarnya orang Melayu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sokongan sebenar orang Melayu kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebanyak 17 peratus orang responden Melayu percaya Anwar seorang “penjenayah seks” manakala hanya 8 peratus responden Cina dan 1 peratus responden India berkongsi sentimen tersebut.

Hasilnya adalah sama berhubung tuduhan Anwar seorang “ejen Amerika/Yahudi” dengan 28 peratus Melayu berkata “iya” berbanding dengan hanya 12 peratus (Cina) dan 4 peratus (India).

Apabila ditanya secara khusus sama ada Najib boleh menjadi perdana menteri yang baik – tanpa membandingkan beliau dengan orang lain – responden Melayu 52 peratus, Cina (29) dan India (10 peratus).

Mengenai Abdullah

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan ranking bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berubah berbanding dengan tinjauan bagi bulan Julai.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia (21 peratus) menyifatkan keadaan politik yang tidak menentu yang menyelubungi negara sekarang sebagai kebimbangan mereka yang paling besar – meningkat daripada 10 peratus berbanding dengan dua bulan lalu.

Sebanyak 50 peratus berkata mereka masih begitu bimbang dengan isu-isu ekonomi. – mkini

nota: Memang tidak dinafikan DSAI lebih popular berbanding DNTR. Tetapi harus diperhatikan bahawa kedua-dua tokoh politik ini menggunakan pendekatan politik yang berbeza.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS Bagi AMARAN Lagi – Malaysiakini

Selepas tarikh 16 September berlalu tanpa kejutan, PAS pula mengulangi pendiriannya tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang dicita-citakan, majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam kelak.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Isu-isu Semasa di Dungun, Terengganu minggu lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang lebih mengharapkan wakil rakyat Umno menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dipetik Harakah menerusi edisi terbaru bertarikh 29 September (hari ini), Abdul Hadi berkata, apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi anggota Dewan Rakyat beragama Islam, maka PAS akan membuat keputusan – sedia menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, PAS telah meletakkan syarat agar kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh wakil-wakil Islam Melayu.

Jika Islam tidak majoriti, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan disertai oleh PAS.

“PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak mendapat majoriti Islam. Itu syarat pertama,” kata beliau.

Susulan pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula 82 anggota.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing mempunyai 31, 28 dan 22 anggota Dewan Rakyat.

Salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) telah keluar dan kini bertindak sebagai Bebas di Parlimen. Seorang lagi anggota Dewan Rakyat juga merupakan wakil Bebas.

Idea pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat telah diutarakan oleh pembangkang pada 1 April lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan 16 September yang lalu bagi mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun tiada perkembangan menjelang 16 September, sebaliknya Pakatan Rakyat menerusi Anwar telah meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan peralihan kerajaan pusat secara aman.

Surat pertemuan itu ditandatangani Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemudian Anwar meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen pada 23 September.

Kedua-dua permintaan itu ditolak Abdullah dan tarikh baru Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ialah 1 Oktober.

Syarat kedua yang ditentukan Abdul Hadi ialah kerajaan yang bakal dibentuk itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh, bermakna terdiri daripada wakil rakyat yang konsisten (istiqamah).

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada (BN).

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruh tetap mesti lebih baik,” kata Abdul Hadi.

Pada minggu lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi di Kota Bharu bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai sasaran tersebut.

Difahamkan, dalam pertemuan itu Anwar sekali lagi memberi jaminan tidak akan meminggirkan PAS apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan. – Mstar

nota: Pening la DSAI….dah janji macam2 ni..satu pun tak tunai…!!! hehehe masak masak!!! Tapi awas…ramai musang berbulu ayam(penyokong kuat Anwar) di dalam PAS….gerakan meliberalisasikan PAS sedang bermula.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar: ‘Deadline’ bukan isu – Malaysiakini

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, pihaknya akan menghantar sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses peralihan kuasa kerajaan pusat dan permintaan diadakan sidang khas Parlimen.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, sekali lagi mendakwa telah mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

“Surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyentuh mengenai proses peralihan kuasa secara aman dan sidang khas Parlimen bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).

“Kita (Pakatan Rakyat) masih mengemukakan tuntutan supaya Perdana Menteri menghormati hak rakyat yang memilih kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding kes liwat terhadapnya di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini pagi semalam.

Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, dan anak mereka Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Ketika mengulas mengenai suratnya yang meminta Perdana Menteri mengadakan sidang khas Parlimen, Anwar berkata, Abdullah tidak memberi sebarang jawapan berhubung perkara itu kecuali membuat kenyataan untuk tidak memenuhi tuntutan berkenaan.

Anwar juga masih enggan mengumumkan nama anggota-anggota Parlimen yang beliau dakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya ada bilangan majoriti. Pasal deadline (tarikh untuk menubuh kerajaan baru) bukanlah satu isu,” katanya.

Sementara itu dalam blognya hari ini, Anwar berkata, beliau dan teman-teman dalam Pakatan Rakyat tetap yakin dan percaya bahawa hasrat rakyat untuk melihat perubahan akan menjadi kenyataan.

“Kami akan meneruskan usaha dengan penuh hemah dan berhati-hati demi mencapai matlamat dan telah mencapai kata sepakat untuk tidak melayan sebarang provokasi mahupun pendekatan yang tidak bertanggungjawab serta membawa kepada ketidakstabilan dan ketidaktentuan buat negara.”

Kata Anwar, beliau tidak tahu mengenai adanya perundingan yang dilakukan antara Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri.

“Kenyataan yang telah dibuat semalam menyarankan ruang komunikasi yang dibuka telah disalah tafsir,” katanya lagi. – mstar

nota: hehehe…kelakar melihat tindak tanduk DSAI. Setelah gagal mengotakan janji belia sebanyak dua kali iaitu membentuk kerajaan pada 16 September dan 23 September, kini beliau tetap yakin dapat membentuk kerajaan baru tanpa perlu memaklumkan tarikh baru. Inilah yang dikatakan janji ahli Politik dan bukan janji dari seorang Pemimpin. Ahli politik akan membuat keputusan populis utk menarik perhatian ramai.

Kredibiliti DSAI agak tercabar akibat 2 kali gagal melunaskan janji untuk membentuk kerajaan baru. Kini, PR cuba pula cara lain. Ingatlah wahai semua pembaca. Kita hamba yang merancang, Allah SWT penentu segalanya. Janganlah kita bersifat angkuh dan gila kuasa, kerana semua akan terjadi dengan izinNya.

Kepada penyokong PR dan pemimpin PR, jangan Khianati pilihan rakyat pada PRU yang lepas. Barisan Nasional telah pun dipilih melalui proses DEMOKRASI pada PRU yang lepas utk memimpin negara. Janganlah sanggup khianati rakyat dengan cuba menubuhkan kerajaan baru. Perlu ingat, pilihanraya yang lepas TELUS. Sekiranya tak telus, sudah tentu PR tidak dapat bentuk kerajaan di lima negeri.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda