Tag Archives: azmin ali

Ismail, Saifuddin nafi sertai PKR

KUALA LUMPUR: “Saya bukan gila hendak melompat ke parti yang tidak tentu hala,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri mengenai dakwaan bahawa beliau adalah antara empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, Ismail menegaskan, tidak ada sebarang sebab untuk beliau bertindak demikian.

“Saya kini menteri dalam Kabinet. Saya bukan terencat akal nak masuk parti yang entah apa-apa,” katanya ketika menafikan dakwaan dalam satu blog bahawa beliau akan berpaling tadah.

Selain Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saifudin Abdullah turut didakwa seorang lagi wakil rakyat BN yang akan melompat parti.

Dakwaan itu dibuat melalui satu artikel oleh penulis yang menggunakan nama Greeboc dalam satu blog hari ini.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen, Ismail berkata, beliau tidak berkawan rapat dengan mana-mana pemimpin PKR termasuk penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ismail, beliau tidak faham mengapa namanya dikaitkan dengan isu itu sedangkan beliau seorang pemimpin yang berprofail tinggi.

“Saya bukannya seorang yang berkontroversi. Saya juga bukannya bercadang hendak bertanding apa-apa jawatan penting parti.

“Jadi saya tidak faham mengapa nama saya dikaitkan,” katanya sambil menambah, beliau mungkin mengambil tindakan terhadap penulis artikel itu sekiranya beliau dapat mengenal pasti identitinya.

Ismail, yang juga Ketua Umno Bahagian Bera berkata, artikel dalam blog itu sengaja ditulis untuk mengelirukan penyokong BN selain mengalih perhatian rakyat kepada tuduhan liwat yang dihadapi Anwar sekarang.

“Lepas pilihan raya lepas, PKR terutamanya Anwar tak habis-habis dengan pengumuman ada orang (BN) keluar, lompat parti tapi sampai sekarang ia tak berlaku,” katanya.

Saifudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh juga menafikan dakwaan itu sambil berkata, kesetiaan beliau kepada Umno dan BN tidak berbelah bagi.

Katanya, sebagai ahli Umno sepanjang hayat, tidak pernah terlintas di hati beliau untuk menyertai parti lain.

“Saya yakin rakyat terutamanya pengundi-pengundi saya di Temerloh tidak akan percaya kepada spekulasi itu kerana mereka kenal yang saya seorang ahli Umno yang setia sejak dari dahulu lagi.

“Saya dipilih menjadi ahli Parlimen Temerloh atas tiket Umno dan BN kerana itu saya tidak akan menghampakan harapan dan kepercayaan oleh pengundipengundi saya.

“Saya dipilih menjadi Timbalan Menteri pun atas tiket Umno dan BN, dan saya tidak akan menghampakan kepercayaan yang Perdana Menteri telah berikan kepada saya,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan dalam artikel itu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sulit dengan Anwar ketika berada di luar negara baru-baru ini.

“Lebih 10 tahun saya tidak bertemu Anwar. Saya juga telah lama tidak  keluar negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel itu kerana menghormati hak sesiapa sahaja untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Apa yang dimuatkan di dalam artikel itu, katanya, hanyalah spekulasi politik dan ia tidak mengandungi ungkapan yang memburuk-burukkan beliau secara peribadi.

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar Tak Jadi Umum

sumber mstar

SHAH ALAM: Pengumuman mengenai kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal tandingi dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwa akan melompat parti, yang dinanti-nantikan banyak pihak tidak menjadi kenyataan malam ini!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut ramai akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya kecil tidak berbuat demikian.

Malah, Anwar yang kini berhadapan dengan isu terbaru dakwaan meliwat seorang pembantu khasnya juga menangguhkan hasrat beliau untuk mengumumkan nama empat Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata Anwar, mengambil kira suasana politik semasa beliau akan mengumumkan nama mereka dalam beberapa minggu lagi atas alasan mahu menyelesaikan kes terbaru dihadapinya sekarang.

Beliau memberi jaminan keempat-empat wakil rakyat berkenaan akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya dalam satu rapat umum yang diadakan di Stadium Malawati di sini.

Anwar tiba di stadium itu pada pukul 10 malam dan mula berucap kira-kira sejam bermula 10.15 malam.

Semalam Anwar mengatakan bahawa dua daripada mereka merupakan wakil rakyat Umno.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, beliau akan turut menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung kes yang menimpanya.

Anwar juga menyentuh isu kesan kenaikan harga minyak, kerajaan tidak telus dan isu yang dihadapinya pada 1998.

Turut hadir dalam rapat umum itu adalah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; Setiausaha Agung yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat tidak hadir.

Petang tadi, Azmin ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen berkata, Anwar akan mengumumkan rancangannya untuk bertanding pilihan raya kecil dan nama wakil rakyat BN terbabit.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi menafikan tuduhan liwat terhadap dirinya oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau percaya, ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Anwar membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana dikatakan memalsukan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lalu.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam Tidak Terkejut

sumber mstar

SHAH ALAM: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor berkata beliau tidak terkejut dengan dakwaan liwat kali kedua yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya beliau mempunyai sebab untuk berkata demikian dan akan menjelaskan perkara itu pada masa yang sesuai.

“Bagaimanapun saya tetap berpendirian saya tidak mahu mengaibkan orang, sehinggalah maruah saya dicabar dan saya harus membela maruah saya, saya akan katakan perkara sebenar,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor di sini hari ini.

Ditanya sejauh mana beliau mengenali akhlak Anwar, beliau berkata: “Ia akan buka aib orang jadi saya tak nak ulas. Saudara boleh tafsir sendiri.”

Mohamad Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar, berkata tuduhan liwat terhadap Anwar bersifat peribadi dan bukan berunsur politik seperti yang didakwa oleh Anwar.

Mengenai dakwaan Anwar bahawa kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan karier politik beliau dengan mengaitkannya sekali lagi dalam kes liwat dan ancaman bunuh yang didakwa diterimanya, Mohamad Ezam berkata dakwaan itu sama sekali tidak masuk akal.

“Tidak masuk akal pun orang nak buat konspirasi dalam hal yang sama membabitkan orang sama dua kali, tak logik pun. Anwar seharusnya tunggu, kenapa nak tergesa-gesa dakwa ada ancaman bunuh. Tunggu sahajalah siasatan polis dan selepas itu pertahankan diri sekiranya ada asas,” katanya. BERNAMA

18 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam Mendedah Lagi – “Ahli keluarga Anwar dilantik penasihat KDEB”

sumber KLpos: Selepas menggegarkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan dakwaan bahawa PKR mengutip wang dari syarikat swasta dan memasukkannya ke dalam akuan parti, semalam, bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor membuat satu lagi dakwaan; ahli keluarga Anwar dilantik jadi penasihat di sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menurut Ezam, dalam ceramahnya di pentas UMNO Bandar Tun Razak, “Saya mahu KDEB [Kumpulan Darul Ehsan Berhad] jelaskan, apakah salah seorang daripada ahli keluarga Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai penasihat kepada syarikat tersebut…?”

KDEB merupakan antara anak syarikat kerajaan negeri yang mempunyai ‘duit, dan sebelum ini diarahkan menjadi ‘tukang bayar bil percuma’ rakyat Selangor kepada Syabas.

Tambah Ezam lagi, PKR di Selangor tidak mempercayai rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kata Ezam “Jelas terbukti bagaimana pimpinan PKR tidak pernah mempercayai rakan Pakatan Rakyat apabila Azmin Ali pada hari ini di Parlimen telah menuduh Dato Dr Hassan Ali yang memberikan maklumat kepada saya setelah pendedahan di buat keatas kepincangan pentadbiran PKR Selangor…”

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MB: Duit S’gor masuk akaun PKR

sumber malaysiakini

Menteri Besar Selangor hari ini mengakui wujud sumbangan derma daripada syarikat-syarikat swasta bagi sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu yang dimasukkan ke dalam akaun PKR.

“Saya diberitahu ada usaha untuk mengutip derma yang saya rasa tidak perlu,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas dakwaan Mohamad Ezam Mohd Nor.

selangor govt pig issue 090408 khalidBekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mendakwa kutipan wang bagi penganjuran majlis sambutan itu telah dipindahkan ke dalam akaun parti tersebut.

Abdul Khalid (foto) berkata wang kutipan itu “tidak seberapa jumlahnya” dan akan dibekukan.

Mengulas dakwaan pemimpin Pakatan Rakyat bertelagah dalam isu ini, beliau berkata exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali telah dijelaskan kedudukan sebenarnya.

“Saya fikir beliau menerima keadaan ini yang memerlukan kita bekerjasama,” kata Abdul Khalid.

Jelasnya lagi, selain Dr Hassan yang juga pesuruhjaya PAS negeri, jawatankuasa sambutan 100 hari itu turut melibatkan pegawai khas menteri besar Yahya Shahri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Tambah Abdul Khalid, ahli-ahli Pakatan Rakyat sebagai satu pasukan akan berbincang bagaimana wang itu akan digunakan dan jumlah kutipan itu akan diberitahu kepada kerajaan negeri.

“Satu-satunya insiden malang ialah, kutipan dan pemindahan dana ke dalam akaun Parti Keadilan (Rakyat).

“Ia seharusnya dipindahkan ke dalam akaun negeri dan kemudian kita bincangkan kegunaannya,” katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Beliau akan menulis surat bagi mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkenaan dan bertanya sama ada mereka menerima tekanan untuk menyumbang untuk sambutan itu.

Beliau sebelum itu mengumumkan tindakan penggantungan jawatan Yahya, yang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa, selama dua bulan berkuatkuasa serta-merta hari ini.

nota: Hanya setelah perkara ini dibongkarkan oleh Ezam Mohd Noor, baru sahaja Khalid Ibrahim bersuara. Ia juga disebabkan tekanan dari parti dalam pakatan sendiri iaitu DAP dan PAS yang ternyata tidak berpuashati kerana duit yag disalurkan tersebut tidak ‘dinikmati’ secara bersama. Walaupun jumlahnya tidak diberitahu, penulis percaya jumlah yang di’dermakan’ itu agak lumayan nilainya. Di manakah integriti dan prudennya kerajaan pimpinan PKR di Selangor? Bukankah dasar pentadbiran yang berintegriti dan pruden menjadi pujaan dan slogan pakatan rakyat?? Perkara ini hanya diketahui selepas pendedahan dilakukan oleh pihak ketiga. Sehingga hari ini, dana yang dikumpulkan juga untuk membeli bangunan ibu pejabat PKR di Tropicana juga masih mendatangkan seribu satu pertanyaan. Di manakah datangnya duit PKR sedangkan parti-parti gabungan mereka yang lebih ‘tua; dari mereka mengambil masa lebih berpuluh tahun untuk mengumpulkan dana bagi memiliki bangunan mereka sendiri….??

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PKR pindah ke ibu pejabat baru

sumber malaysiakini

Parti pembangkang, PKR, akan berpindah ke ibupejabat barunya di bangunan lima tingkat di Merchant Square di zon komersial di Tropicana, Kuala Lumpur.

“Pilihanraya umum sudah tiga bulan berlalu, oleh itu pihak parti memberi keutamaan untuk mempunyai ibupejabatnya sendiri,” kata seorang pemimpin kanan PKR.

Pada masa ini, PKR beroperasi di dua pejabat sederhana – satu di Brickfields dan satu lagi di Seksyen 16, Petaling Jaya.

Parti itu juga akan mengadakan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) yang ke-69 pada hari yang sama parti itu berpindah ke ibupejabat barunya.

PKR ditubuhkan pada 1999 sewaktu kemuncak zaman reformasi oleh penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diketuai oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Dengan adanya ibupejabat baru itu, ia dijangka dapat membantu wakil rakyat kita memperbaiki sistem penyampaian kepada para pengundi mereka,” kata pemimpin PKR itu.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen – yang terbanyak di kalangan parti-parti pembangkang. DAP menang 28 kerusi manakala PAS 23 kerusi Parlimen.

topik terdahulu mengenai perpindahan ke pejabat baru. klik sini

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pengakuan Ezam Mohd Nor

sumber malaysiakini.

Dalam wawancara selama hampir dua jam dengan Malaysiakini semalam, antara soalan utama yang dikemukakan kepada bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ialah kisah sebenar yang membawa beliau kembali semula ke pangkuan Umno.

Untuk berkongsi sepenuhnya dengan para pembaca, di bawah ini kita siarkan jawapan Ezam penuh terhadap soalan tersebut.

Saya berterima kasih pada soalan tersebut, sebab itu soalan penting kerana ada perbezaan yang besar di antara cakap-cakap dan pertemuan-pertemuan saya dengan pemimpin Umno sebelum pilihanraya baru-baru ini, pilihanraya 2004 dan sebelum itu, dengan keputusan saya kali ini.

Saya mengakui dalam 2004 khususnya, ialah kita bermula dengan 1999 lagi, setelah saya ditahan di bawah ISA dan semasa saya di Kamunting, tidak ada usaha untuk menarik saya balik ke Umno, tiada ada usaha yang bersungguh-sungguh. Tetapi selepas itu dipisahkan dengan rakan-rakan di penjara Kajang dan sendirian, masa itu ada usaha untuk cuba mengajak saya untuk meninggalkan perjuangan PKR, memimpin Pemuda PKR untuk masuk Umno.

ezam joins back umno 280508Saya tolak masa itu kerana prinsip saya, saya tidak akan deal (berbincang) dan bertolak ansur dalam keadaan saya dalam penjara. Bagi saya, apapun, kena keluar saya (dari penjara). Saya bebas dalam 2003, dan selepas itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi menteri. Beliau berbeza dengan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Kalau Dr Mahathir, approach (pendekatannya) adalah menekan. Lagi kuat anda lawan, lagi kuat dia tekan, masukkan dalam penjara. Tapi pendekatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menarik. Sebab itu apabila pilihanraya 2004 ada usaha untuk menarik saya dan rakan-rakan lain untuk kembali ke Umno.

Dan usaha tersebut, saya lihat satu peluang pada masa itu, untuk deal (berbincang) untuk mendapatkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya membebaskan beliau untuk mendapatkan rawatan. Kalau tak bebas sepenuhnya pun tetapi untuk mendapatkan rawatan. Pada masa itu, keadaan Datuk Seri Anwar adalah kritial. Setelah bincang dengan beberapa teman-teman senior dan kawan-kawan lama Anwar sendiri, yang non-partisan dan sebagainya, maka mereka merasakan keutamaan harus untuk menyelamatkan Anwar Ibrahim.

Sebab itu kita melangkah untuk membuat keputusan untuk memulakan perbincangan dengan pemimpin Umno. Antara pemimpin tertinggi yang kita temui termasuk Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Aziz Shamsuddin – antara pemimpin besar Umno. Dan semua ini saya lakukan dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar.

anwar hadi awang harun din germany 140904 gesturingDalam pertemuan kedua bersama Datuk Sri Dr Mohd Khir Toyo, Datuk Seri Anwar sendiri yang minta supaya saya membawa bersama dua pemimpin PKR untuk berbincang – Mereka adalah Datuk Kamarul Bahrin dan seorang lagi Hajah Rahmah Othman. Kita berempat, seorang lagi Johari Abdul. Kita berempat berjumpa dengan Datuk seri Dr Mohd Khir Toyo dan saya yang mengetuai perbincangan tersebut. Ini atas keputusan Datuk Seri Anwar. Kata OK macam mana, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo nak berbincang – 2004 sebelum pilihanraya umum – Anwar kata Ok tapi bawa tiga orang, biar ada saksi. Nanti orang kata apa-apa (pula) kat you.

Memang saya yang deal, sepatutnya, Tan Sri Khalil Yaakob, ketika itu setiausaha agung (Umno) hadir (sama) dalam pertemuan yang kedua itu tapi tak hadir, jadi Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sahaja, di rumah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. Jadi, line (hujah) saya ialah sebarang deal atau usaha untuk bincang mestilah dimulakan dengan membebaskan Datuk Seri Anwar. Itu saya firm (tegas), mesti dimulakan dengan membebaskan Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan rawatan. Dan saudara boleh tanya Datuk Kamarul, Johari Abdul dan Rahmah Othman. Saya sengaja sebut nama kerana semua ini saksi.

Apabila Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak boleh komit yang itu, kita back out. Dia kata you masuk (Umno) dulu dan (kemudian) bincang tentang Anwar. Tapi you kena masuk dulu, you kena bertanding… saya kata no,no, kita tolak kerana tidak minat dengan apa yang kami akan dapat. Fokus kita adalah jelas.

Lepas itu berjumpa dengan Datuk Aziz Samsuddin, bersama dengan sebelas atau dua belas kawan-kawan, Ruslan Kassim dan teman-teman lain. Begitu juga. Dia cakap-cakap, akhirnya dia minta kita masuk (Umno) tapi saya kata apa pun sama juga, mesti bebaskan Datuk Seri Anwar. Jadi (bila) dia tidak boleh komit, saya keluar. Saya tamatkan di situ.

Selepas saya tamatkan, kawan-kawan teruskan dan sebab tu mereka masuk (umno) sebelum pilihanraya. Bagi saya itu keputusan masing-masing dan saya faham ketika itu mereka sudah dalam keadaan susah, tertekan dan sebagainya, masalah kewangan, peribadi dan sebagainya. Mungkin mereka perlukan wang dan saya tidak dapat halang sebab saya pun dalam keadaan yang tidak senang. Kita dah berjuang lama, ini saya faham. Sebab itu saya masih berkawan dengan mereka hingga hari ini. Bagi saya itu bukanlan an act of betrayal (berpaling tadah) walaupun saya tidak bersama (mereka) sebab saya punyai bottom line iaitu bebaskan Datuk Seri Anwar. Selain dari itu, saya tidak akan terima.

Selepas pilihanraya, keadaan Datuk Seri Anwar semakin teruk. Semakin kritikal selepas pilihanraya (di mana) Barisan Nasional (BN) menang besar. Datin Seri Wan Azizah jumpa saya minta supaya diusahakan untuk rawatan. Buka pintu balik (perbincangan), bukan untuk bertanding atau bukan untuk masuk Umno tetapi untuk Datuk Seri Anwar. Kita cuba pelbagai-bagai. Saya jumpa sendiri Datin Paduka Rahmah Othman yang baik dengan Abdullah sebab dia Team B dulu, tapi simpati dengan kita. Saya jumpa dia, kita hantar rombongan jumpa mufti-mufti, kita jumpa beberapal lagi pemimpin Umno yang lain yang dekat dengan perdana menteri.

Tetapi mesej tak sampai, hinggalah satu hari, seorang wartawan asing memberitahu saya, jika hendak (mesej) sampai kepada PM, dapatkan (bantuan) Khairy (Jamaluddin). Saya jumpa Datin Seri Wan Azizah dan tanya macam mana. Ini pandangan mereka, mungkin kita boleh cuba. Saya tidak kenal Khairy. Ini penting untuk rekod, sebab (ada) tuduhan (yang mengaitkan) saya dengan Khairy. Ini kisah benar. Saya tidak kenal Khairy tapi ada cadangan untuk saya cari Khairy sebab dia dapat sampaikan mesej dengan cepat kepada perdana menteri. Sejurus selepas pilihanraya, dekat-dekat dengan tarikh Anwar bebas, September 2004, jadi mungkin Mei atau Jun.

anwar khairy 150807Saya cari Khairy melalui kontak di London, melalui kawan-kawan, akhirnya saya dapat jumpa Khairy. Di situlah bermulanya hubungan saya dengan Khairy. Masa itu dia belum (jadi) naib ketua pemuda. Dan saya bagi tahu dia kebimbangan kita tentang keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar dan mintalah sampai kepada perdana menteri. Selepas dua pertemuan, Khairy aturkan pertemuan antara Datuk Seri Abdullah dengan Datin Seri Wan Azizah di pejabat perdana menteri.

Saya hadir tapi saya tidak masuk ke dalam. Saya biar Datin Seri Wan Azizah berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah. Saya tidak tahu secara terperinci (apa yang dibincangkan), tapi pada asasnya ialah untuk kesihatan, perubatan dan minta Anwar dikeluarkan dari penjara duduk di hospital, sebab (masa itu) dia berulang, kerana tidak ada pihak berkuasa yang berani benarkan Anwar duduk di hospital.

Masa itu juga Pak Lah ambil telefon, hubungi menteri kesihatan dan arahkan, masa itu petang dah, keluarkan Anwar Ibrahim on the spot dan lepas tu kita minta rawatan keluar negara , PakLah tak komited, dia kata dia akan tengok. Dan ketiganya, Datin Seri Wan Azizah minta Pak Lah adil dalam penghakiman (kes rayuan Datuk Seri Anwar di Mahkamah Persekutuan), jangan campur seperti Dr Mahathir. Pak Lah beri komitmen, dia tak akan campur, Masa itu tengah  (perbicaraan), dah hujung-hujung (di peringkat penghakiman dibuat).

Mengikut kata Datin Seri Wan Azizah, Pak Lah kata OK, katanya, dia seorang pemimpin Islam, itulah yang beliau (Wan Azizah) beritahu saya, Pak Lah kata: “saya komited, saya pemimpin Islam, takkan saya nak buat macam tu”.

Selepas Datuk Seri Anwar ke hospital, saya masih lagi jumpa Khairy sebab target saya masih lagi nak dapatkan rawatan ke luar negara. Khairy mencuba, hingga pada suatu ketika, dah ada keputusan pun untuk mendapatkan rawatan di luar negara tapi bukan di Jerman tapi di Singapura.

ezam interview 310508 5Pada mulanya, Datin Seri Wan Azizah tidak setuju. (Kemudian) jumpa Anwar dan beliau kata OK ke Singapura. Jadi saya (pun) sampaikan pada Khairy. Tiba-tiba Jabatan Peguam Negara nasihatkan jangan, walaupun menurut Khairy, Pak Lah telah bersetuju. Kata peguam negara ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara tu habis di situ, tak jadi, walaupun sebenarnya telah ada keputusan dari perdana menteri.

Selepas beberapa ketika, mahkamah tetapkan tarikh untuk keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan. Jadi kita tangguh dulu perbincangan untuk rawatan (Anwar) di luar negara dan kita tunggu keputusan. Kalau keputusan bebaskan (Anwar) oklah. Kalau tidak bebas, kita sambung (perbincangan). Tapi bila keputusan (Anwar) bebas, sebagai tanda hormat, saya bagi tahu Khairy (Anwar) bebas, dan Khairy bertanya apa lagi yang boleh dibantu. Saya tanya Datuk Seri Anwar dan beliau minta pasport sebab dia nak terbang cepat. Itulah yang diminta oleh Datuk Seri Anwar dan saya sampaikan kepada Khairy dan dia sampaikan kepada bapa (mentuanya). Malam tu juga Khairy datang dan esoknya saya uruskan pasport Datuk Seri Anwar. Itulah peristiwa yang berlaku bila Khairy datang ke rumah Datuk Seri Anwar pada malam itu. Ini yang sebenarnya berlaku.

Sebab itu saya hendak tekankan di sini (ialah) keseluruhan proses ini hanya membabit dan memfokuskan kepada soalan untuk menyelamatkan Datuk Seri Anwar. Tidak ada deal (masuk Umno) seperti yang dituduh terhadap saya. Saya sebenarnya expect (harap) Datuk Seri Anwar dan Datin Paduka Wan Azizah untuk menyatakan perkara ini, sekurang-kurangnya untuk membela saya bila orang (mengaitkan) saya dengan Khairy kerana mereka tahu perkara yang sebenar. Seluruh proses yang saya deal dengan Khairy, dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan semua proses ini bukan untuk saya, malah saya menolak semua tawaran lain, hanya semata-mata – dan saya tidak berganjak dengan permintaan saya – untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Jadi itu ceritanya.

Selepas itu, Datuk Seri Anwar bebas, tidak ada lagi deal, Khairy pun saya tak jumpa dah. Khairy pun takut nak jumpa saya kerana dia telah dikritik hebat kerana datang ke rumah Anwar… (setakat itulah) hubungan kami. Kadang-kadang terjumpa di lapangan terbang (tapi) tidak ada hubungan, tidak ada perjumpaan selepas itu.

Selepas setahun Anwar bebas, saya ada masalah dengan Keadilan dan sebab itu saya dah mula jauhkan diri pada 2006. Saya dan tubuhkan Gerak. Saya tidak ada deal sehinggalah sebelum pilihanraya 2008, datang lagi kawan-kawan dalam Umno dan sebagainya untuk meminta saya bertanding tapi bukan (pemimpin) peringkat senior, tapi di peringkat negeri dan bahagian, yang minta saya timbang bertanding dan balik semula ke Umno dan itupun saya tolak. Kawan-kawan (dari PAS) juga memang secara ikhlas mahu saya tanding di kerusi selamat di Kelantan.

ezam interview 310508 1Pada masa itu, kita tidak tahu yang (kawasan-kawasan lain) juga selamat. Itupun saya tolak kerana fokus saya sekarang ini, berbalik kepada persoalan reform. Walaupun fokus awal saya tidak pada reform kerana nak selamatkan Datuk Seri Anwar yang kritikal dan sakit. Bila dia keluar, kita tidak cerita dah bab kemanusian, kerana semua sudah bebas, jadi saya fokus kepada reform.

Pada 2008 ada usaha untuk menarik saya supaya bertanding tapi saya tidak bertanding kerana saya tidak nampak ada reform dalam Umno untuk saya kembali kepada Umno. Sebab itu saya tolak tawaran (bertanding) dalam pilihanraya umum lepas. Saya ingin meneruskan usaha dalam Geraka kerana saya merasakan usaha reform penting atau peranan lebih baik dapat saya mainkan dalam sivil society, dalam Gerak.

Selepas pilihanraya yang tsunami baru-baru ini, ada usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bagi saya merupakan satu langkah signifikan untuk reform, tentang badan kehakiman, tentang rasuah. Jadi, selepas itu ada beberapa pegawai beliau dan pimpinan Umno minta pandangan saya dan saya nyatakan saya amat setuju dengan reform ini dan ini bagi saya fundamental dan signifikan dan saya yakin ini sebenarnya membuka ruang kepada proses reform dalam negara.

Selepas itu, mereka aturkan saya berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, saya rasa hampir sebulan yang lalu. Bagi saya, kalau nak dikatakan deal, itulah deal yang pertama yang masuk Umno. Saya nak katakana bezanya, deal yang dulu-dulu tu bukan masuk Umno, tetapi adalah deal untuk bebaskan Datuk Seri Anwar

ezam interview 310508 4Dan saya mahu berbicara dan berbincang kerana saya yakin ada ruang untuk reform yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah dalam BPR dan badan kehakiman. Setelah berjumpa beliau selama dua jam, saya yakin bahawa beliau memang komited tentang usaha reform tersebut dan beliau mempelawa saya untuk bersama-sama dalam Umno.

Setelah saya mengambil masa seminggu untuk berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan, akhirnya, saya membuat keputusan untuk masuk Umno. Itu keseluruhan prosesnya.

Saya sebut nama-nama di atas tadi, – Datuk Kamarul dan Johari dan Rahman – kerana mereka masih dalam PKR. Mereka tidak ikut saya (masuk) dalam Umno. Jadi mereka seharusnya tampil dan menyatakan apakah perkara i(pelbagai tuduhan terhadap Ezam) tu benar. Jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur, seharusnya mereka memberitahu memang segala tuduhan terhadap saya, tuduhan tawaran dan imbuhan, dan sebagainya, semuanya itu adalah fitnah. Saya ada bukti, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah sendiri (bahawa) proses saya deal dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Khairy, semuanya dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar dan semuanya fokus untuk membebaskan beliau.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno, landasan Ezam perangi rasuah

sumber malaysiakini

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau kembali semula menyertai Umno untuk meneruskan perjuangannya memerangi rasuah dan penyelewengan.

ezam noor“Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai Umno di hadapan Presiden (Umno) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacanya dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

“Saya ingin mengotakan janji selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun perdana menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan Badan Pencegan Rasuah (BPR) kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah.

“Kerana bagi saya, inilah komitmen yang paling sukar dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa,” kata Ezam sambil menambah, beliau pernah dipecat dari Umno pada 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti ketika itu.

Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR) pada 1999, Ezam, 41, adalah ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1993 hingga 1996, setiausaha pemuda Umno Selangor dan timbalan ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan.

Beliau juga merupakan bekas setiausaha politik kepada menteri kewangan dari 1996 hingga 1998 dan merupakan felo Institut Kajian Dasar (IKD) dari 1998 hingga 2005.

Setelah melepaskan jawatannya sebagai ketua AMK, Ezam mengasaskan penubuhan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) untuk memerangi rasuah di negara ini.

Berikut adalah kenyataan media Ezam

Sebaik selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyedai Umno dengan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan besar bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers).

Saya dipecat dari Umno pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pada masa itu.

Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai Umno di hadapan Presiden Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu – melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini.

Sepanjang 10 tahun saya melalui liku perjuangan yang getir, pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh tersebut adalah terbitnya keyakinan di hati bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang kebetulan saya membacanya tatkala di penjara, “Setiap ummat ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta”. (riwayat muslim).

Dan berdasarkan keyakinan itu, saya mengorbankan segenap jiwa dan tenaga untuk mengajak pemimpin dan masyarakat menghadapi cabaran utama kita hari ini iaitu membanteras rasuah.

Bertolak dari kesedaran itu, saya menubuhkan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat melawan demi menjadikan rasuah musuh nombor satu negara.

Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Sementara, pengumurnan Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen.untuk melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, ditambah dengan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting serta signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini.

Setelah berjumpa Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam memastikan proses perubahan itu berlaku.

Dengan semangat reformasi itulah, saya di sini, pada hari ini menyatakan dengan jelas hasrat, sokongan dan komitmen saya untuk bersama-sama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara meneruskan pe juangan mdakukan perubahan tersebut.

Saya ingin mengotakan janji pada diri saya sendiri selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun Perdana Menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan BPR kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah. Kerana bagi saya inilah komitmen yang paling sukar untuk dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, niat saya di dalam politik selain melakukan perubahan juga mempertahan dan meneruskan cita-cita bapa-bapa pengasas negara ini. Mereka yang terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum yang berusaha membina negara ini dengan cita-cita besar dan sejumlah pengorbanan.

Mereka menggubal dasar untuk menjamin negara ini ditadbir dengan penuh hemah dan keutamaan nombor satu mereka adalah Malaysia. Hari ini semangat dan pengorbanan mereka telah dinodai oleh pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan diri menguasai kepentingan negara.

Kerakusan kepada kuasa menyebabkan mereka sanggup mencemuh dasar dan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu hanya atas tujuan untuk memancing undi dengan meniupkan sentimen perkauman.

Mereka mendakwa mereka membawa politik baru berbilang kaum tetapi hakikatnya memainkan sentimen kaum yang sempit dan politik tanpa batasan.

Pengasas negara ini dahulu yang memulakan politik berbilang kaum dengan asasnya Melayu di samping pengiktirafan wajar kepada bangsa lain dengan semangat menghormati dan berkerjasama membina Malaysia ini.

Sebab itulah budaya orang Cina mengundi calon Mdayu dan India dan sebaliknya berlaku semenjak awal penubuhan negara ini lagi. Pertimbangan utama pemimpin pada ketika itu adalah kepentingan negara. Justeru mereka saling memahami dan berkorban dalam
mempertahan asas negara ini.

Sayangnya terdapat segelintir pernimpin hari ini pertimbangan utama adalah kepentingan diri dan kelompok mereka. Mereka mempopularkan budaya politik tanpa batasan – iaitu apa sahaja boleh asal aku dan kelompok aku berkuasa. Sebab itulah hari ini kita melihat politik melampau berleluasa, politik fitnah, menjatuh dan melompatkan orang menjadi agenda paling utama.

Budaya matlamat menghalalkan cara ini, amat asing di awal penubuhan negara ini. Hari ini kita melihat lenyapnya jiwa kenegaraan (sfatemanship) dalam kepimpinan bangsa ini. Yang menonjol adalah pemimpin yang hebat percaturan politik untuk kepentingan individu dan kelompok sendiri sehingga sanggup menggadai persoalan asas negara yang dibina dengan semangat dan cita-cita bersama.

Saya kembali untuk bersama teman-teman saya dalam Umno dan Barisan Nasional meneruskan perjuangan dengan keyakinan bahawa formula BN merupakan formula terbaik untuk negara ini. Sedikit pengalaman saya di ‘luar’ BN mungkin dapat membantu meyakinkan orang ramai bahawa formula lain tidak mampu membina negara ini dengan berkesan dan bertahan (sustainable).

Dan formula BN yang terbukti berjaya selama lebih 50 tahun ini juga dibina dengan nilai kesederhanaan, humiliti (tawadu’) tolak ansur, hormat-menghormati dan yang paling penting semangat kenegaraan (sfatemanship) yang utama di kalangan pengasas-pengasas BN.

Ciri-ciri negatif keangkuhan dan kemewahan yang menghakis nilai integriti hampir tidak wujud di kalangan pengasas BN pada ketika itu.

Saya melihat dan yakin komitmen Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama BN untuk membina kembali nilai-nilai integriti pengasas-pengasas BN yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara selama ini.

Justeru, saya menawarkan diri saya untuk bersama mereka membina kembali kekuatan nilai integriti tersebut demi rakyat dan negara yang tercinta ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Antara Komen Ezam nak masuk UMNO

petikan agendadaily

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Azmin Ali senada menilai langkah bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda parti itu Ezam Mohd Noor nak masuk UMNO langsung tidak menjejaskan pembangkang.

Kedua-dua mereka yang ditemui di lobi Parlimen berkata ini kerana Ezam sudah lama bukan lagi ahli PKR.

“Itu pilihan dia,”kata Wan Azizah.Manakala Azmin yang mulanya agak keberatan nak komen berkata, “ saya tak perlu komen kerana dia bukan ahli Parti Keadilan Rakyat….bahkan parti bukan bersandarkan kepada satu individu…kekuatan parti bersandarkan kepada sokongan rakyat yang mahukan agenda perubahan.

“Dari segi lojiknya orang yang paling lama dalam UMNO Tun Dr Mahathir pun sudah istihar UMNO sebuah parti yang rosak…dia sendiri telah keluar dari UMNO jadi saya tak perlu komen lebih dari itu,”katanya yang diketahui umum mempunyai hubungan yang dingin dengan Ezam.

Kedua-dua Azmin dan Ezam sebelum ini merupakan tunjang Parti Keadilan Nasional iaitu nama asal PKR.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang diminta mengulas pula memberitahu beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Ezam.

“Kami kawan lama,maklumlah dia keluar (dari UMNO ) dulu bukan dalam keadaan yang menyeronokan .Kita bersihkan yang lama supaya nanti tiada yang membelenggu beliau berjuang bersama kita.

“Saya terfikir juga bagaimana dia tergerak hati untuk bersama-sama dengan kita,mengapa orang yang begitu rapat dengan Anwar seperti Chandra ( Dr Chandra Muzaffar) dan Nalla ( Datuk Nallakaruppan) juga sudah kecewa dengan Anwar.

“Semua ini menimbulkan tandatanya kepada saya secara peribadi hingga berjumpa dia nanti.Tempat dan tarikh belum ditetapkan,”katanya.

Ditanya mengenai penerimaan ahli UMNO pada Ezam beliau berkata itu bergantung kepada cara dan pendekatan Ezam sendiri dan ia perlu dari peringkat bawah.

Ahli Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir pula tidak setuju dengan kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO.

“Ada sesuatu yang tidak kena di sini,”katanya.

Malah katanya ”saya risau apakah kemasukan Ezam menjadi satu petanda awal bahawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai UMNO.”

Ketua Pemuda UMNO Johor Razali Ibrahim berkata beliau sentiasa bersikap terbuka dalam apa jua langkah yang boleh kuatkan lagi parti.

“Pada saya untuk kita bangunkan negara ini adalah menjadi tanggongjawab semua pihak bukan saja kepimpinan tetapi juga rakyat dan saya percaya tidak ada seorang individu yang boleh bangunkan negara ini secara berseorangan selain dari kerjasama dari seluruh lapisan masyarakat.

“Atas kata-kata itu kita hendaklah mempunyai tanggongjawab untuk melaksanakan tugas kita dengan jujur dan amanah serta ikhlas.Saya berpandangan bahawa apa yang berlaku hari ini (Ezam nak masuk UMNO) boleh jadi sesuatu yang beri kebaikan kepada usaha kita meletakan kembali negara kita dalam keadaan yang stabil.

Namun begitu Razali yang juga Ahli Parlimen Muar memberi amaran bahawa jangan sesekali kepercayaan yang diberikan itu digunakan atas kepentingan peribadi.

“Kalau ini berlaku saya rasa tidak apa yang dapat kita berikan selepas harapan kepercayaan kesanggupan UMNO untuk menerima beliau kembali dan selepas ini saya harap beliau akan membuktikan bahawa beliau benar-benar ikhlas dan dapat menyumbang walaupun sebagai ahli biasa.

“Bagi saya sumbangan bukan bererti kita mempunyai kedudukan kerana setiap seorang ahli UMNO selama ini telah menyumbang tenaga masa dan keringkat untuk membawa negara ini ke tahap yang tinggi.”katanya.

Bagi Ahli Parlimen Bebas kawasan Pasir Mas Kelantan, Datuk Ibrahim Ali keputusan Ezam masuk balik UMNO adalah sesuatu yang tidak diduga.

” Itu hak peribadinya dan kita mesti menghormati keputusannya.Setiap orang ada kehendak dan pendirian masing-masing,”katanya.

Ditanya mengenai kesannya keatas pembangkang,beliau berkata setakat ini ia sukar diukur.

“Base politik Ezam ialah di Selangor.Kena tengoklah nanti sejauh mana Ezam berperanan.Setiap orang politik ada base masing-masing.

“Cuma saya duga PKR tentu terkejut terutamanya Datuk Seri Anwar sendiri kerana Ezam adalah bekas Setiausaha Politik beliau,”katanya. – 28/5/2008

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kempen Menuntut Janji Yang Belum Ditunaikan

Penulis telah berbincang dengan ketua cawangan UMNO Jln enggang En Rosman Kassim dan Setiausaha cawangan En Kamarudin Bakar untuk mengadakan kempen di atas. Secara dasarnya, kedua2 mereka bersetuju dengan idea penulis untuk melancarkan kempen di atas. Kempen atau program ini adalah bertujuan untuk mengumpul semua nama anak-anak Selangor yang layak untuk mendapatkan hak mereka seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat di dalam manifesto mereka pada pilihanraya umum yang lepas. Sebagai permulaan kempen/program ini akan dimulakan secara maya atau ‘online’ sebelum ia dikembangkan dengan mengadakan ‘roadshow’ di seluruh kawasan Jalan Enggang dan Ampang. Sebagai rujukan, penulis akan memaparkan semula janji yang ditabur oleh Pakatan rakyat tempohari.

Sosial dan Kebajikan Rakyat
  • Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
  • Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri.
  • Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah.
  • Memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke Universiti.
  • Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor.
  • Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga.
  • Membuka Pusat Sukan Mini dan Rekreasi bagi belia.
  • Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim.
  • Memberi elaun ibu tunggal yang layak.
  • Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
  • Mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam

Pihak UMNO cawangan Jalan Enggang akan mengenalpasti satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan roadshow program ini di kawasan berhampiran. Program ini akan mengumpulkan semua nama anak-anak atau individu Selangor yang tinggal di kawasan Ampang. Nama-nama ini kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan negeri supaya hak yang layak diterima oleh individu terbabit dapat dibuat oleh kerajaan Khalid Ibrahim. Sebagai permulaan kempen ini akan dilaksanakan secara maya.

Sekiranya anda seorang yang lahir di Selangor dan tinggal di kawasan Ampang, anda layak menuntut janji yang ditabur. Laman web ini memerlukan butiran berikut. Semua butiran ini hendaklah dihantar melalui email ke pemudaenggang@gmail.com. Anda akan dimaklumkan kelak tarikh roadshow yang akan diadakan.
Sila email kepada kami:

Nama:

Alamat:

No. Telefon:

Jenis Bantuan: contoh: tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

Nama Penerima Hak:

Sila email ke pemudaenggang@gmail.com

Ayuh kita tuntut janji manis PAKATAN RAKYAT!!!

*program/kempen ini akan berjalan secara berterusan(on-going). walaubagaimanapun, nama-nama yang dikumpul hanya akan diserahkan kepada kerajaan negeri secara berkala.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda