Tag Archives: BERSIH

Hindraf sambut Hari Bapa di ‘Istana Negara’

Seramai 70 anak-anak anggota Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di bawah umur 10 tahun akan mengetuai perarakan ke Istana Negara Sabtu ini untuk menyerahkan ‘teddy bears’ sebagai hadiah sempena sambutan Hari Bapa.

Menurut satu kenyataan, acara simbolik itu adalah bagi menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak telah dinafikan hak untuk menyambut hari tersebut bersama bapa masing-masing yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, pada hari berkenaan, Yang di-Pertuan Agong menjadi ‘bapa’ kepada kanak-kanak tersebut kerana semua rakyat Malaysia – tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama – taat setia kepada baginda.

bm lima tahanan hindrafAntara yang ditahan di Kamunting ialah lima pemimpin Hindraf itu – M Manohan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar.

Mereka ditahan pada 13 Disember tahun lalu, selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Seorang daripada mereka, Manoharan bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu atas tiket DAP dan menang kerusi negeri Kota Alam Shah.

Beliau memperolehi 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan – mahkamah yang tertinggi di negara ini – menolak rayuan mereka mereka supaya dibebaskan daripada tahanan bawah ISA.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Malaya yang juga pengerusi panel hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata arahan penahanan yang dikeluarkan oleh menteri keselamatan dalam negeri pada 13 Disember tahun lalu adalah sah dan memenuhi semua keperluan di bawah ISA.

Menurutnya, panel tiga orang hakim mahkamah tertinggi di negara ini bersetuju dengan keputusan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz yang memutuskan bahawa menteri berkenaan boleh mengarahkan seseorang itu ditahan mengikut Seksyen 8 ISA pada 26 Februari lalu.

Alauddin berkata, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kapasitinya sebagai menteri keselamatan dalam negeri (waktu itu), mempunyai hak untuk mengeluarkan arahan tahanan dan telah memenuhi keperluan prosedur bawah akta tersebut.

Ia dipersetujui sebulat suara oleh dua lagi hakim – Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Hashim Mohd Yusoff.

Penyokong Hindraf mendakwa, kelima-lima pemimpin mereka itu – empat daripadanya peguam – hanyalah membangkitkan isu-isu yang membabitkan kepentingan kaum India.

Pelbagai pihak termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA dan Gerakan, turut menggesa kerajaan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut.

nota: penulis kadang-kala berasa kasihan terhadap anak-anak pemimpin HINDRAF ini yang diperkuda-kudakan serta diperbodohkan oleh ahli HINDRAF termasuklah bapa mereka sendiri yang berada di dalam tahanan ISA. Anak-anak kecil ini sepatutnya diberi bimbingan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India di Malaysia dan bukannya menantikan wang segera spt yang dituntut oleh HINDRAF daripada kerajaan British. Di manakan pemimpin agung Hindraf P Wayamoorthy(betul kan sekiranya tersalah eja) tatkala anak-anak ini memerlukan kasih bapa mereka yang ditahan di Kamunting?? Tatkala anak-anak ini sengsara, beliau sedang bergembira di luar negara ihsan duit kutipan derma dari masyarakat India yang diperbodohkan oleh HINDRAF yang berasal dari bangsa mereka sendiri.

Sahabat-sahabat berbangsa India sekiranya ada yang memasuki weblog ini, penulis harap agar berfikiran rasional terhadap tuntutan yang HINDRAF buat. Adakah saudara-saudari melihat pembunuhan atau pembersihan etnik berlaku di Malaysia sepertimana yang berlaku di Bosnia satu tika dahulu. Adakah kuil yang dirobohkan seperti di dalam surat HINDRAF diroboh secara paksaan tanpa notis terdahulu dari pihak kerajaan??? Adakah kuil sahaja yang dirobohkan oleh pihak kerajaan di dalam membangunkan negara? bagaimana pula dengan surau2 di kawasan setinggan yang diroboh??

Perkara pokok di sini ialah ada pihak di kalangan bangsa India sendiri yang ingin menjadi ‘hero segera’ seperti DSAI dengan mengkhianati bangsa mereka sendiri. Penulis masih menganggap tuntutan yang dilakukan oleh HINDRAF adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana sekiranya tuntutan ini masuk akal…sudah tentu mendiang Tun S Sambanthan sudah membuat tuntutan ini sejak dari zaman kemerdekaan negara kita.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Minyak: Protes besar-besaran 12 Julai

Ribuan orang akan digerakkan untuk menyertai protes membantah kenaikan besar harga minyak di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.
Penganjur Gabungan Anti-Inflasi (Protes) berharap dapat menghimpun 100,000 orang untuk mendesak kerajaan supaya mengurangkan harga minyak ke paras asalnya, sebelum ini.

“Kami percaya, dengan kenaikan drastik harga minyak, kami akan mendapat sokongan rakyat…

“Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar,” kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli dalam sidang akhbar hari ini.

Hatta menjelaskan bahawa Menara Berkembar KLCC dipilih sebagai tempat protes tersebut kerana ia merupakan ibupejabat syarikat minyak negara, Petronas.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas sepetutnya digunakan untuk meringan beban rakyat, akibat kenaikan harga minyak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol naik 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 manakala harga diesel naik RM1 atau 63.3 peratus kepada RM2.58.

Kenaikan harga minyak itu adalah antara langkah drastik kerajaan untuk menangani kenaikan subsidi minyak, yang dijangka mencecah RM56 bilion tahun ini.

Selepas membuat pengumuman tersebut, Abdullah berharap rakyat Malaysia tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api itu. – sumber malaysiakini

nota: Mutakhir ini, kerap negara dilanda berbagai dengan demostrasi protes bermula dengan gerakan BERSIH dan HINDRAFF. Ironinya, protes besar-besaran ini ditunjangi oleh ahli politik pembangkang yang mengejar keuntungan politik. Sekiranya ikhlas di dalam menjadi ahli politik, kesemua ahli politik tak kira dari BN atau PR hendaklah duduk semeja berbincang tentang bagaimana masalah kenaikan harga dapat dibendung. Adakah mereka bersifat prihatin dengan mengadakan protes walaupun ia dijalankan secara aman? Adakah kita ingin melihat keadaan seperti di negara jiran yang hampir setiap hari melakukan protes terhadap kenaikan harga minyak?Apakah keuntungan protes ini? Yang jelas ialah keuntungan bagi ahli politik pembangkang. Sekiranya tercetus kejadian yang tidak diingini, merekalah yang akan lari menyelamatkan diri dahulu sambil meninggalkan peserta protes sendirian di jalanan.

Pendapat penulis ialah sekiranya penganjur masih ingin mengadakan protes ini, adalah lebih baik ia dianjurkan di dalam stadium supaya keadaan lebih terkawal dan pengajur bebas mengadakan ceramah sekiranya perlu. Tidak perlulah menunjukkan hero dengan mengadakan demostrasi di kawasan segi bintang emas seperti di KLCC kerana ia memberi imej buruk kepada negara. Bukan sahaja imej tercemar malah ia menyusahkan rakyat lain.

23 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda