Tag Archives: campur tangan Amerika Syarikat (AS)

Pas, UMNO perlu bersatu bantah campur tangan AS

KUALA LUMPUR 2 Julai – Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) merayu Pas dan UMNO bersatu untuk menghalang campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam urusan dalaman negara.

Ketua Umumnya, Osman Abu Bakar berkata, kedua-dua parti orang Melayu itu perlu segera berbuat demikian demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan agama Islam di negara ini.

Beliau berkata, kegagalan kedua-dua parti itu untuk bersatu dalam keadaan sekarang akan membolehkan maka AS menjajah negara ini dengan pendekatan berbeza.

”Bila ini terjadi, kedaulatan kita sebagai warganegara Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi pasti terjejas seperti yang kita saksikan di Iraq dan Afghanistan sekarang.

”Jika bukan Pas dan UMNO siapa lagi, campur tangan AS harus dihalang demi survival politik, ekonomi dan agama orang Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Osman mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara AS, Tom Casey yang menentang sebarang siasatan atau pendakwaan bermotifkan politik ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Negara kuasa besar itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, menuduh Anwar, 60, meliwatnya beberapa kali, satu tuduhan yang dinafikan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Justeru kata Osman, Pas juga perlu meninggalkan PKR kerana parti itu secara jelas tidak memperjuangkan komponen-komponen utama dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedaulatan Islam dan ketuanan Melayu.

Beliau berkata, PKR sehingga kini tidak membantah campur tangan AS dalam urusan negara kerana ia penting dalam sebarang isu membabitkan Anwar.

Beliau menambah, negara juga perlu bebas daripada sebarang bentuk tekanan AS selaras dengan imejnya sebagai bekas Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Dalam pada itu, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Casey itu.

Presiden Penaja IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, kenyataan yang menekan kepimpinan negara itu adalah satu bentuk konspirasi yang tidak boleh dimaafkan.

”Kenyataan Casey itu juga menggugat keamanan masyarakat majmuk dan kedaulatan negara ini,” ujarnya. – utusan

nota: amat meluat dengan beberapa pendapat di laman malaysiakini yang mengutuk Menteri Dalam Negeri kerana berang dengan tindakan Amerika Syarikat cuba mencampur tangan di dalam urusan domestik Malaysia. Sila rujuk di sini. Penulis bukanlah ini bersifat ‘racist’ tetapi komen awal diterbitkan datangnya dari bukan Melayu yang rata-rata kurang senang dengan kontrak sosial mutakhir ini. Sebagai masyarakat dan rakyat Malaysia, sepatutnya tidak kira sama ada Melayu, India, Cina atau bangsa lain mengutuk keras tindakan Amerika Syarikat yang cuba mencampuri urusan negara. Sehingga kini tidak ada kenyataan rasmi dari pihak DAP dan PKR mengenai campur tangan Amerika ini. Mungkin saat inilah dinantikan oleh mereka. Urusan Amerika yang ingin mencampuri urusan dalam Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah bermula sejak dari penubuhan Petronas satu ketika dahulu.  Amerika pada ketika itu mengirim surat kepada Allahyarham Tun Razak meminta beliau supaya memecat Tengku Razaleigh kerana idea beliau untuk menubuhkan Petronas dilihat sebagai satu ancaman. Tidak ketinggalan pada zaman reformasi satu ketika dahulu, di dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, mantan Naib Presiden US Al Gore memuji tindakan berani kumpulan reformasi di Malaysia. Tetapi sayang sekali, ramai rakyat Malaysia melihat tindakan Amerika ini sebagai satu tindakan yang betul dan positif untuk menekan kerajaaan Barisan Nasional. Padah pasti menanti sekiranya Amerika berjaya mencampuri urusan negara kita sekiranya DSAI berjaya menjadi PM. Jangan kita biarkan Malaysia menjadi seperti IRAQ.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda