Tag Archives: che det

Tun Mahathir: Khairy mampu tewaskan Mukhriz, calon lain – Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Khairy Jamaluddin, yang dijangka berhadapan dengan saingan anaknya, Datuk Mukhriz dan beberapa calon lain, akan menang pemilihan Ketua Pemuda Umno Mac depan.

“Meskipun anak saya akan bertanding (jawatan Ketua Pemuda), saya tidak ragu-ragu bahawa Khairy akan memperoleh kemenangan,” kata bekas Presiden Umno itu dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak mengkritik kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy menambah:

“Saya tidak tahu sama ada orang ramai ada mendengar pencuri yang mengatakan “pencuri!”,” kata beliau yang bersara Oktober 2003 dan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional oleh Abdullah.

Bagaimanapun pencuri berkenaan berjaya melepaskan diri sebab orang ramai mengejarnya dari arah bertentangan.

“Pencuri yang berpendidikan tinggi berjaya melepaskan diri bersama hasil rompakan,” katanya lagi.

Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak ketinggalan mengucapkan “semoga berjaya” kepada Khairy yang kini merupakan Naib Ketua Pemuda Umno, kedudukannya yang dimenangi tanpa dicabar empat tahun lalu.

Selain Khairy dan Mukhriz yang masing-masing merupakan anggota Dewan Rakyat akan berhadapan dengan cabaran dua pemimpin yang lain termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo.

“Anda (Khairy) seorang yang pintar dan layak untuk dianggap sebagai graduan pintar daripada institusi agung, Oxford University dari Great Britain,” katanya.

Malah dalam tulisannya Dr. Mahathir berkata, beliau turut kongsi sedih dengan nasib Khairy yang mengatakan beliau dihalang daripada menemui ahli-ahli Pemuda.

Perkembangan itu kemungkinan akan menyebabkan beliau kehilangan peluang bersaing jawatan yang diingini, katanya. – mstar

30 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Hari Raya Tun Dr Mahathir

Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam, khususnya kepada pelayar laman blog chedet.com.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.

Saya akan mengadakan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti berikut;

Tarikh : Oktober 5, 2008

Tempat : 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor

Masa : 10:00 pg – 1.00 tgh dan 2.30 ptg – 5.00 ptg

Kepada yang akan menyambut Aidilfitri di kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan kami mendoakan perjalanan pulang yang selamat.

Sekali lagi saya dan isteri saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Dr Mahathir bin Mohamad

Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali

1 Syawal 1429 Hijrah

nota: Jika yang berkesempatan, boleh beramai2 hadir ke majlis rumah terbuka Tun Mahathir.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Cadang Dr M jadi Penasihat UMNO

Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani menyarankan agar bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat parti.

“Kita kena ingat, tidak semua apa yang pemimpin Umno buat hari ini betul. Jadi kalau Umno ada seorang penasihat yang berpengalaman luas seperti Dr. Mahathir ia akan membantu menaikkan semula imej dan maruah Umno.

“Pandangan orang yang berada di luar parti dengan di dalam parti adalah berbeza. Saya percaya Dr. Mahathir masih boleh membantu Umno,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu beliau turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr. Mahathir menyertai Umno bagi membantu memulihkan parti yang kini disifatkan sedang ‘tenat’.

“Saya sangat mengharapkan agar Dr. Mahathir kembali semula kepangkuan Umno kerana beliau mampu membawa perubahan positif dari dalam parti,” katanya.

Namun beliau berkata tanggungjawab untuk memulihkan Umno bukan sahaja terletak kepada pemimpin Umno hari ini atau Dr. Mahathir sahaja, sebaliknya perlu usaha yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

“Semua pihak harus main peranan yang sewajarnya. Harapkan Dr. Mahathir sahaja tidak cukup,” katanya.

Selain itu Aishah juga menyeru kepada semua ahli-ahli Umno yang mengikuti jejak Dr. Mahathir keluar Umno pada Mei lalu agar kembali untuk memperkukuhkan parti.

“Saya faham perasaan Tun Dr. Siti Hasmah (isteri Dr. Mahathir), Tan Sri Sanusi Junid dan juga pengikut-pengikut setia Dr. Mahathir yang mengikut jejaknya untuk keluar Umno dulu.

“Tapi alangkah baiknya kalau kita semua kembali dan memberi perhatian kepada usaha untuk memantapkan semula Umno demi kemajuan bangsa Melayu dan negara,” katanya.

nota: penulis bersetuju sekiranya TDM dilantik sebagai penasihat parti. ini supaya golongan muda di dalam UMNO dapat menggunakan sebaiknya peluang yang ada utk mendapat pandangan dan nasihat dari TDM. pengalaman luas TDM sebagai PM dan Presiden UMNO tidak harus disia-siakan.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ku Li dan Najib Tiada Peluang Pada PAU akan datang?

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tiada siapapun termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang ‘berpeluang’ untuk menandingi jawatan Presiden Umno pada Disember ini.

“Pada pemilihan Umno akan datang Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) akan menang, tidak akan ada siapa yang boleh tanding Presiden kerana tiada siapa yang boleh memperoleh 60 pencalonan.

“Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu… Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau,” katanya.

Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu menyatakan demikian dalam satu temu bual dengan mStar Online baru-baru ini.

Jelas Dr. Mahathir, sama ada Tengku Razaleigh ataupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memang tidak berpeluang untuk menyaingi Abdullah yang menggantikan beliau lima tahun lalu.

Pemilihan pucuk kepimpinan pusat Umno akan berlangsung pada Disember ini.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden Umno pada Disember ini.

Kini beliau mengadakan pertemuan di seluruh negara untuk mencari sokongan melepasi kelayakan pencalonan yang diwajibkan untuk menentang Abdullah.

Berdasarkan pendirian yang diumumkan sejak kebelakangan ini, Najib dipercayai hanya akan kekal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Ketika mengulas mengenai peralihan kuasa pula, Dr. Mahathir memberitahu, beliau tidak setuju dengan kata sepakat yang telah dicapai oleh Abdullah dan Najib sebelum ini.

“(Saya) tak setuju, lama sangat, tahun 2010… tak ada masa untuk memulihkan parti untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Empat hari selepas Dr. Mahathir ditemui mStar Online, semalam Abdullah memberitahu bahawa tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada Najib masih belum ditetapkan lagi.

Menurut Abdullah, sepertimana yang diperjelaskannya kelmarin beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.

Dr. Mahathir juga menyentuh soalan sama ada Umno masih relevan ataupun sebaliknya khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata beliau: “Bagi banyak orang, Umno sudah tidak relevan.”

Mengenai keperluan menubuhkan parti baru, beliau berkata: “Sekarang ini pilihan antara masuk parti lawan, ada tiga parti lawan (dan) mungkin mereka (ahli Umno yang tidak berpuas hati) menyertai parti lawan.”

Jelas beliau, parti baru juga sukar untuk ditubuhkan kerana tiada pihak yang berani untuk keluar Umno.

“Saya tidak mahu parti baru, saya patuh kepada Umno yang asal, ini bukan Umno yang asal,” katanya.

Dr. Mahathir keluar daripada Umno pada 19 Mei lalu.

nota: penulis merujuk kepada kenyataan Tun – “”Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu… Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau,” katanya.” Adakah kenyataan ini merujuk kepada diri Tun sendiri. Penulis kagum dan amat menyanjungi Tun Mahathir tetapi sejak kebelakangan penulis merasakan Tun tidak seharusnya terus mengkritik pentadbiran negara pada masa kini. Terimalah hakikat tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan. Di dalam setiap pentadbiran ada kelemahan dan kekuatan yang sendiri. Jangan samakan pencapaian Tun dengan Pak Lah. Bagi penulis apa yang diperlukan sekarang ialah pengukuhan umat Melayu supaya umat ini terus maju.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tun Mahathir Gagal??

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu keluar Umno, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau “nampak gagal” dalam perjuangannya yang terbaru, tetapi tindakan ke atas beliau oleh kepimpinan parti akan membawa kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Saya nampak gagal tapi saya percaya kesannya dalam pilihan raya akan datang kerana tindakan parti terhadap saya, ramai pengundi akan tolak BN,” kata beliau dalam temu bual bersama mStar Online di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini.

Ditanya mengenai peluang beliau berjaya dalam ‘perjuangan’ melawan kepimpinan parti kali ini, Dr. Mahathir berkata: “Mungkin tiada peluang, tapi tak apa.”

“Saya dapat menunjukkan saya menentang. Kalau orang hendak kata saya salah, OK.”

Bekas Presiden Umno itu keluar parti pada 19 Mei lalu. Isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut keluar Umno berada di pejabat Dr. Mahathir ketika sesi temu bual dengan mStar Online.

Kedua-dua mereka memegang nombor keahlian Umno 0000001 dan 0000002.

Umno dan BN buat pertama kali telah berhadapan dengan prestasi paling buruk dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

Ketika kepimpinan beliau, BN pernah kehilangan dua negeri iaitu Kelantan pada 1990 dan disusuli Terengganu 1999, yang ditawan semula tahun 2004.

Bagaimanapun dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikuasai pembangkang manakala majoriti dua pertiga dipegang BN di Dewan Rakyat juga dinafikan.

Sama ada yakin atau tidak akan mencapai kejayaan dalam usaha untuk mengubah kepimpinan Umno, kata Dr. Mahathir, apa yang penting ialah beliau menyuarakan pandangannya apabila tidak setuju dengan kepimpinan parti.

Dr. Mahathir, yang lantang bersuara dalam banyak perkara dan berhadapan dengan pelbagai isu sepanjang kepimpinan 22 tahun sebagai Perdana Menteri pernah dianggap sebagai pemimpin yang makin berpengaruh dan mantap apabila berhadapan isu-isu yang mencabar.

Menjawab soalan itu, beliau hanya berkata, “saya tidak tahu, kamu tengok sahajalah.”

Dr. Mahathir juga mengakui beliau seolah-olah kelihatan seorang diri cuba membawa perubahan dalam Umno sejak keluar parti 19 Mei lalu.

Selain Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah, yang turut keluar secara terbuka ialah anak mereka, Datuk Mokhzani dan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

“Ya, nampak saya seorang diri, tapi ramai yang sokong, mereka tak ambil tindakan, tak berani ambil tindakan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini tiada pihak yang datang menemui untuk meminta beliau mengubah pendirian dalam soal tersebut.

“Saya duri dalam daging, sekarang sudah dikeluarkan, tak akan nak masuk balik,” kata Dr. Mahathir dan menambah, beliau tidak akan kembali sama sekali ke Umno selagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Majlis Tertinggi Umno meskipun menerima keputusan keluar parti tetapi bersedia untuk menerima beliau jika Dr. Mahathir berhasrat untuk kembali semula.

“Dulupun, saya balik ke Umno apabila Tunku (Abdul Rahman Putra Al-Haj) sudah tarik diri (berundur). Inipun saya kata kalau Abdullah tarik diri, keluar daripada parti atau letak jawatan, saya masuk parti.

“Bagi saya, saya tiada pilihan, selagi ada Pak Lah, saya tak (akan) kembali,” katanya.

Selepas tiga minggu keluar Umno, Dr. Mahathir berkata, keadaan tidak banyak berbeza.

“Tiada beza, bila saya ada dalam Umno selepas saya letak jawatan (tahun 2003), saya terus berada dalam Umno.

“Layanan kepada saya seolah-olah saya daripada parti lawan, saya disekat tidak boleh bercakap, tak boleh bertemu dengan orang Umno, menteri tak boleh jumpa saya, saya tak boleh jumpa menteri, kalau saya ada syarahan, ahli Umno tidak boleh hadir, ketua bahagian tidak boleh hadir.

“Jadi sekarang ini saya bukan ahli Umno, (keadaan) sama saja. Keadaan itu tidak berbeza,” katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, beliau memang bebas pada masa lalu tetapi orang tidak berani menemui dan masih tidak berani berbuat demikian.

“Sekarang ini pun tak berani datang jumpa, dia (mereka) takut. Hari ini (Selasa lalu) saya bercakap di Bankers Club. Walaupun ada ahli Umno jadi anggota Bankers Club, tetapi tidak hadir,” katanya.

Ekoran itu, tambah beliau, jika situasi tersebut berterusan ramai akan tetap merasa kecewa dengan Umno dan akan menyokong parti lawan sehingga bakal membawa kepada kekalahan BN dalam pilihan raya akan datang.

Dr. Mahathir juga menyentuh mengenai UMNO dan pilihan raya umum ke-12 dalam blognya hari ini.

nota: Jutaan terima kasih penulis kepada ayahanda pembangunan dan pemodenan Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir. Jasanya sangat banyak untuk dikira. Kejayaan demi kejayaan dicipta. Walaubagaimanapun, penulis amat berharap sekiranya Tun dapat terus memberi nasihat kepada kerajaan dan bukannya pendedahan panas kerana ini membawa kehancuran kepada umat melayu khasnya. Diharap Tun dapat membimbing YB Mukhriz supaya beliau mempunyai gaya kepimpinan seperti Tun.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda