Tag Archives: datuk ahmad ismail

Datuk Ahmad Ismail Kena Gantung 3 Tahun

Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail digantung keahlian dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Tertinggi (MT) parti yang bermesyuarat hari ini berpendapat kenyataan dan tindakan Ahmad yang menimbulkan keresahan dan bantahan daripada partiparti komponen Barisan Nasional (BN) adalah serius.

Hukuman itu adalah mengikut Perkara 20.9 perlembagaan parti, kata Abdullah, yang juga Presiden Umno, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam itu di sini hari ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos lepas dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.

“Apa-apa jawatan yang dia (Ahmad Ismail) pegang sekarang ini yang bersabit dengan parti atau memihak kepada rakyat ataupun yang mewakili parti akan digugurkan,” kata Abdullah, yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya jika ketua bahagian Bukit Bendera itu boleh merayu atas hukuman yang dikenakan, beliau berkata: “Biasanya semua ada hak merayu.”

Kepada soalan lain jika tindakan akan dikenakan ke atas akhbar yang melapor kenyataan Ahmad, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Hal-hal yang berkaitan dengan akhbar, hal-hal yang berkaitan dengan tindakan orang yang di luar dari parti kita sebagaimana yang saya katakan tadi, ini tentulah sekali akan dibuat keputusan oleh jabatan-jabatan kerajaan atau kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan jabatan-jabatan lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, parti-parti politik tidak boleh mengambil tindakan dan jika parti-parti politik menyedari sesuatu perkara yang berlaku itu berpotensi menimbulkan keadaan yang tidak baik dalam negara, maka tidak ada kesalahan bagi parti-parti yang berkenaan untuk membuat laporan polis.

Begitu juga tidak ada kesalahan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang merasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku untuk membuat laporan kepada polis dan menyatakan sesuatu yang perlu diambil tindakan undang-undang yang dipakai pada waktu itu, katanya.

Sementara itu, MT Umno juga berpendapat semua parti komponen BN perlu bertindak tegas dan mengenakan hukuman disiplin terhadap mana-mana anggota parti yang bertindak atau membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan serta menjejaskan hubungan antara parti dalam BN.

Abdullah berkata, jemaah menteri dalam mesyuaratnya pagi tadi, telah berbincang mengenai situasi berkaitan hubungan kaum di negara ini dan berpendapat bahawa situasi hubungan dalam negara ini telah menunjukkan tanda-tanda yang kurang baik dan mungkin menyebabkan ketegangan pada hubungan kaum.

“Seterusnya apabila banyak perkara yang ditimbulkan, yang dicakap mengenai perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum-kaum dalam negara ini… isu-isu yang tidak biasa ditimbulkan telah ditimbulkan dan menjadi isu. Perkara yang tak sepatutnya dibincang juga nak dibincang jadi ini menimbulkan pelbagai reaksi,” kata Abdullah.

Selama ini, kata beliau, kerajaan dapat mengawal keadaan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini namun situasi seperti itu tidak boleh dibiarkan berterusan memandangkan ia dapat menegangkan keadaan dan merosakkan ketenteraman awam.

“Ini adalah satu keadaan yang kita harap tidak akan berlaku dalam negara kita,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan 10 lelaki berkumpul di hadapan pintu masuk utama ke Menara Datuk Onn hari ini dengan membawa kain rentang yang menunjukkan mesej menyokong Ahmad.

Mereka yang mengaku tidak mewakili Umno atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan berkata mereka terpanggil untuk berbuat demikian sebagai menunjukkan sokongan kepada Ahmad yang menghadapi tindakan disiplin oleh Umno kerana dikatakan mengucapkan kata-kata perkauman ketika kempen pilihan raya kecil Kepala Batas baru-baru ini.

Antara ungkapan yang terdapat pada kain-kain rentang yang mereka bawa ialah “Theresa Kok Celupar, Biadap, Kurang Ajar. Umno Jangan Takut, MT Pertahankan Perjuangan Datuk Ahmad Ismail, Kami Sokong Datuk Ahmad Ismail dan MT Pertahan Maruah Datuk Ahmad Ismail.

Mereka berada di hadapan Menara Datuk Onn itu selama hampir 10 minit sebelum bersurai sebaik Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sampai untuk mempengerusikan mesyuarat khas MT pada kira-kira jam 2.45petang.

nota: keputusan yang telah dijangkakan oleh ramai pihak. cuma diharap jangan lah hanya dihukum ahli yang membuat isu ‘panas’ secara terang-terangan. turun dan pandanglah ke akar umbi,nescaya ramai lagi ahli UMNO yang boleh digantung keahlian mereka.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Dimanipulasi

Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail hari ini menjelaskan bahawa beliau bukan seorang bersikap perkauman dan kekecohan yang timbul ekoran kenyataannya mengenai masyarakat Cina baru-baru ini berpunca daripada salah lapor sebuah akhbar berbahasa Cina.

Beliau mendakwa ucapannya mengenai kedudukan kaum-kaum di Malaya pada zaman pra merdeka semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh 23 Ogos lalu dimanipulasi oleh pemberita akhbar Sin Chew Jit Poh sehingga menyebabkan masyarakat dan pemimpin Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) membuat komen melulu tanpa usul periksa.

Katanya adalah tidak adil beliau dibicarakan di dalam mahkamah media dan didapati bersalah serta dihukum tanpa penjelasan diperoleh daripadanya dan pemberita berkenaanlah yang seharusnya dipersalahkan kerana menjadikan ia sebagai perkauman.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri 13 ketua dan wakil Umno bahagian di Pulau Pinang serta para penyokong parti di Menara Umno di sini, Ahmad kesal kerana ceramahnya mengenai fakta sejarah bagi membangkitkan kesedaran kepada orang Melayu dan anggota Umno mengenai perjuangan bangsa Melayu disalah lapor oleh pemberita berkenaan.

“Saya tidak akan meminta maaf di atas kesalahan yang dibuat oleh pemberita berkenaan. Saya tidak bersalah dan saya cabar sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan saya bahawa orang Cina adalah penumpang di Tanah Melayu sebelum merdeka dan sememangnya bukan Melayu adalah pendatang dan menumpang di sini ketika itu,” katanya.

Ahmad berkata beliau berdiam diri selama ini kerana mahu menilai dan melihat perkembangan isu ini dan kebetulan beliau berada di Bangkok kerana membawa pasukan sepak takraw negara menyertai Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai.

“Saya membuat keputusan tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan balas seperti mana beberapa pemimpin Cina yang membuat komen melulu dan tidak berasas yang menampakkan ketidakmatangan mereka dan memanaskan isu yang tidak berasas ini,” katanya.

Ahmad berkata ucapan itu dibuat sebagai penjelasan kepada masyarakat Melayu mengenai pentingnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikekalkan berikutan Pakatan Rakyat mahu menghapuskan DEB dan kononnya mahukan kesamarataan.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata ucapannya menceritakan bagaimana British menjajah Tanah Melayu dan membawa masuk orang Cina untuk bekerja di lombong bijih timah dan India di ladang-ladang getah.

“Kemudian British telah membangunkan kawasan yang didiami oleh orang Cina dan membina klinik, hospital dan juga sekolah di kawasan itu sehingga membolehkan orang Cina mendapat pelajaran lebih awal daripada orang Melayu.

Selepas 10 tahun merdeka pula, katanya jurang ekonomi antara kaum Melayu dan Cina begitu ketara sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan berlaku peristiwa 13 Mei 1969 yang meninggalkan kesan mendalam dan pahit kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Semasa menuntut kemerdekaan, orang Melayu telah rela dan sanggup memberi hak kewarganegaraan kepada orang Cina dan orang Cina juga bersetuju hak dan ketuanan Melayu tidak boleh dipertikaikan dan agama Islam menjadi agama rasmi negara. Inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui,” katanya.

“Maka, saya tidak bersikap perkauman. Saya mempunyai ramai kawan Cina dan India bukan sahaja dalam politik, sukan dan perniagaan tetapi dalam kehidupan seharian. Saya tiada masalah hubungan dengan mereka.

“Saya tidak akan meminta maaf dan saya juga tidak mempunyai sebab untuk meminta maaf dengan sesiapa pun dalam isu ini. Saya tidak membuat apaapa kesalahan,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau meminta maaf dalam tempoh seminggu ini, Ahmad menegaskan: “Perdana Menteri selaku pemimpin besar kita dan juga Pengerusi BN terpaksa menjaga hati parti-parti komponen. Walaupun saya menyokong Perdana Menteri dan sayangkan beliau, saya kena mempertahankan prinsip saya dan semua ketuaketua bahagian di Pulau Pinang bahawa saya tidak akan meminta maaf.”

9 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda