Tag Archives: Datuk Mukhriz Mahathir

Perpaduan Umat Islam dan Melayu–4 pemimpin duduk semeja?

dari agendadaily

Bayangkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja bincang bagi meleraikan kekusutan membabitkan umat Islam dan orang Melayu.

Bagi pihak Menteri Besar Kelantan ia tidak jadi hal. “Lama dah kita (PAS) minta nak diadakan pertemuan seperti ini tetapi UMNO yang tidak mahu”,katanya kepada para wartawan di Kota Bharu Isnin sebagai mengulas cadangan yang dibuat oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesyorkan empat pemimpin utama Melayu itu duduk semeja bagi membincangkan kepentingan umat Islam yang kedudukannya semakin meruncing.

Nik Aziz berkata senario sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk diadakan pertemuan penting sebegitu kerana jika dibiarkan berlanjutan, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Sekarang Melayu sama Melayu dah bertengkar tetapi keikhlasan sebenarnya ada dalam PAS dan bukannya dalam UMNO selagi dia pegang kepada (konsep) nasionalis,” katanya.

“Bila pembangkang dah dapat lima negeri (selepas pilihan raya umum lalu) baru timbul nak adakan pertemuan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang ditemui lepas satu majlis di PWTC,Kuala Lumpur petang Isnin untuk mengulas hal berkenaan menyambut baik cadangan Dr Mohd Asri dan kesanggupan Nik Aziz untuk duduk semeja dengan bapanya,Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat untuk tujuan berkenaan.

Katanya beliau mengalu-alukan apa juga usaha untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

Menurut Mukhriz perkara tersebut pernah dibuat dalam MAPEN dulu khusus mengenai ekonomi tetapi kurang mendapat sambutan.

nota: penulis amat bersetuju sekiranya keempat2 pemimpin Melayu di atas dapat duduk semeja dan berbincang mengenai masa depan orang Melayu. Kepentingan politik harus diketepikan tatkala perbincangan ini bermula. Perbincangan ini hendaklah dibuat atas dasar ikhlas dan bukannya bagi meraih populariti politik semata-mata. Diharap pertemuan ini dapat diadakan dalam tempoh yang terdekat.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

‘Jangan terlalu emosi’ – Mukhriz

sumber utusan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengingatkan pihak yang tidak bersetuju dengan tindakannya mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar tidak terlalu emosi mendesak dirinya dipecat.

Beliau berkata, ini memandangkan desakan seumpama itu tidak akan membantu usaha mendekatkan golongan muda kepada UMNO kerana parti akhirnya dilihat sebagai tidak terbuka kepada kritikan.

”Apabila saya mengkritik pemimpin, ada pula tuntut saya dipecat. Atas apa alasan pun saya tidak tahu kerana Perlembagaan UMNO tidak pula mempunyai peruntukan sedemikian.

”Pada saya tak perlulah hendak emosi, lebih-lebih lagi kita sekarang bercakap hendak tarik orang muda menyokong UMNO tetapi kita pula bertindak sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar berhubung kenyataan Pemuda Perak yang menggesa Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO memecatnya kerana meminta Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Keputusan itu dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharuddin setelah mengadakan mesyuarat khas dengan 16 Ketua Pemuda Bahagian Perak semalam.

Menurut Zainol, mesyuarat itu semalam turut menuntut pemimpin UMNO bahagian atau cawangan yang menyokong tindakan Mukhriz itu supaya keluar daripada parti.

Sementara itu, Mukhriz percaya keputusan Pemuda UMNO Perak yang dinyatakan oleh Zainol itu tidak pun mewakili suara ramai Pergerakan Pemuda di negeri itu.

Katanya, ini memandangkan beliau dalam masa yang sama turut menerima banyak sokongan daripada pemimpin Pemuda Perak.

”Ada yang menelefon sokong dan ada pula menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), jadi saya tidak beri perhatian sangat kepada laporan berkenaan. Itu pendapat beliau (Zainol),” jelasnya.

Mengenai gesaan Zainol supaya mana-mana pemimpin Pemuda UMNO peringkat cawangan dan bahagian yang menyokongnya turut keluar parti, Mukhriz berkata, orang yang sedemikian hanya merosakkan parti.

”Inilah masalahnya bila ada di dalam UMNO yang berpandangan sebegini. Pada mereka tidak boleh tegur pemimpin, bila tegur dianggap menderhaka.

”Pada saya mereka ini tidak memahami sebenarnya antara mengkritik parti dengan mengkritik kepimpinan,” ujarnya.

Mengulas beberapa pendapat mengaitkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu orang Melayu sebagai antara langkah mendapat sokongan, Mukhriz berkata, perkara itu tidak harus timbul.

”Sebagai bekas Presiden UMNO, tentunya hal yang berkaitan orang Melayu tidak pernah ditinggalkan beliau.

”Pada saya apa yang dibangkitkan adalah satu kesinambungan sahaja, bukan ada tujuan yang lain,” katanya.

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda