Tag Archives: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Ezam serah borang keahlian sertai UMNO

KUALA LUMPUR 28 Mei – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyerahan borang itu disampaikan sendiri oleh Ezam kepada Abdullah yang juga Perdana Menteri di bangunan Parlimen, hari ini. – Utusan

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

‘Jangan terlalu emosi’ – Mukhriz

sumber utusan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengingatkan pihak yang tidak bersetuju dengan tindakannya mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar tidak terlalu emosi mendesak dirinya dipecat.

Beliau berkata, ini memandangkan desakan seumpama itu tidak akan membantu usaha mendekatkan golongan muda kepada UMNO kerana parti akhirnya dilihat sebagai tidak terbuka kepada kritikan.

”Apabila saya mengkritik pemimpin, ada pula tuntut saya dipecat. Atas apa alasan pun saya tidak tahu kerana Perlembagaan UMNO tidak pula mempunyai peruntukan sedemikian.

”Pada saya tak perlulah hendak emosi, lebih-lebih lagi kita sekarang bercakap hendak tarik orang muda menyokong UMNO tetapi kita pula bertindak sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar berhubung kenyataan Pemuda Perak yang menggesa Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO memecatnya kerana meminta Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Keputusan itu dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharuddin setelah mengadakan mesyuarat khas dengan 16 Ketua Pemuda Bahagian Perak semalam.

Menurut Zainol, mesyuarat itu semalam turut menuntut pemimpin UMNO bahagian atau cawangan yang menyokong tindakan Mukhriz itu supaya keluar daripada parti.

Sementara itu, Mukhriz percaya keputusan Pemuda UMNO Perak yang dinyatakan oleh Zainol itu tidak pun mewakili suara ramai Pergerakan Pemuda di negeri itu.

Katanya, ini memandangkan beliau dalam masa yang sama turut menerima banyak sokongan daripada pemimpin Pemuda Perak.

”Ada yang menelefon sokong dan ada pula menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), jadi saya tidak beri perhatian sangat kepada laporan berkenaan. Itu pendapat beliau (Zainol),” jelasnya.

Mengenai gesaan Zainol supaya mana-mana pemimpin Pemuda UMNO peringkat cawangan dan bahagian yang menyokongnya turut keluar parti, Mukhriz berkata, orang yang sedemikian hanya merosakkan parti.

”Inilah masalahnya bila ada di dalam UMNO yang berpandangan sebegini. Pada mereka tidak boleh tegur pemimpin, bila tegur dianggap menderhaka.

”Pada saya mereka ini tidak memahami sebenarnya antara mengkritik parti dengan mengkritik kepimpinan,” ujarnya.

Mengulas beberapa pendapat mengaitkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu orang Melayu sebagai antara langkah mendapat sokongan, Mukhriz berkata, perkara itu tidak harus timbul.

”Sebagai bekas Presiden UMNO, tentunya hal yang berkaitan orang Melayu tidak pernah ditinggalkan beliau.

”Pada saya apa yang dibangkitkan adalah satu kesinambungan sahaja, bukan ada tujuan yang lain,” katanya.

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda