Tag Archives: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin

Tiada Perjanjian Pangkor II

dari utusan

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan beliau telah menandatangani apa yang didakwa sebagai ‘Perjanjian Pangkor II’ dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang menteri besar menyebut negeri Perak diperintah oleh lslam.

Ketika membuat penafian itu pada satu sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, Mohammad Nizar menyifatkan dakwaan itu sebagai satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali.

“Saya boleh katakan setiap kali dalam mesyuarat exco (kerajaan negeri), mana-mana isu berkenaan pentadbiran Islam memang tidak pernah dikomen oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat.

“Bahkan kami telah membuat persetujuan bahawa seluruh ahli dewan undangan negeri dan seluruh ahli mesyuarat negeri (exco) berpegang kepada peruntukan-peruntukan yang ada dalam perlembagaan negara berkenaan dengan keistimewaan hak- hak agama Islam sebagai agama rasmi. Kita juga berpegang kepada kedudukan Islam dalam Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohammad Nizar mengulas laporan akhbar Ahad lepas yang memetik abangnya, Fadhil Jamaluddin, sebagai berkata bahawa beliau tidak layak menjadi menteri besar kerana telah menandatangani Perjanjian Pangkor II dengan DAP yang kononnya turut melarang menteri besar daripada menyebut mana-mana terma yang berkaitan dengan PAS atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan lain-lain.

Beliau berkata, sesiapa yang mempercayai dakwaan itu adalah mereka yang tidak mempunyai maklumat dan berfikiran singkat.

Mohammad Nizar berkata abangnya itu berkemungkinan telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya tidak menyalahkan abang saya. Sebagai adik saya tetap menghormati beliau,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menambah bilangan ahli majlis mesyuarat pihak berkuasa tempatan kaum India daripada 48 orang kepada 60 orang seperti yang diminta oleh Hindraf dalam memorandum yang diserahkan semalam kepada pejabat Menteri Besar, Mohammad Nizar berkata, buat masa ini tiada penambahan ahli akan dibuat kerana tempat untuk ahli majlis adalah terhad dan penambahan ahli harus menggunakan wang kerajaan negeri.

“Prestasi ahli majlis yang ada sekarang akan dinilai dalam masa enam bulan hingga hujung tahun ini dan ahli majlis yang tidak menunjukkan pencapaian memuaskan akan diganti oleh ahli dari mana-mana golongan yang layak tanpa mengira kaum,” katanya

nota: Persoalannya…pernahkah isu berkenaan pentadbiran Islam dibincangkan di dalam mesyuarat EXCO?? sekiranya tidak pernah sudah tentu DAP tidak akan membuat sebarang komen.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

28 wakil BN boikot DUN Perak bantah Speaker

sumber mstar

IPOH: Kesemua 28 wakil Barisan Nasional (BN) hari ini memulaukan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kerana membantah keputusan Speaker yang tidak membenarkan seorang wakil mereka memulakan perbahasan.

Tindakan itu dilakukan sebelum perbahasan usul terima kasih titah Sultan Perak bersambung pada hari ketiga persidangan hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali mengetuai wakil BN keluar dewan pada kirakira 10.35 pagi selepas Speaker S. Sivakumar memilih wakil lain memulakan perbahasan.Sebelum itu itu Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin (BN-Kubu Gajah) telah bangun untuk memulakan perbahasan yang ditangguh petang semalam.

Sivakumar bagaimanapun memberi peluang berbahas kepada Chang Lih Kang (PKRTeja) dan keputusannya itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah dan bantahan daripada wakilwakil BN.

Sebelum meninggalkan dewan, Tajol Rosli (BN-Pengkalan Hulu) memberitahu dewan bahawa semua wakil rakyat BN akan keluar daripada dewan sekiranya Kubu Gajah tidak diberi hak untuk meneruskan perbahasan.

Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Tajol Rosli berkata, Raja Ahmad Zainuddin sewajarnya diberikan peluang untuk menyambung perbahasan pada sesi hari ini selepas sesi perbahasan semalam ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Hee Yit Foong kira-kira 7.10 malam.

“Semalam persidangan ditangguhkan pada 7.10 malam, maghrib masuk waktu 7.19 malam. Jadi apa nak tambah, setengah jam sahaja dan beliau (Timbalan Yang Dipertua) sudah berjanji mahu memberi Raja Ahmad Zainuddin berucap. Kalau beliau mahu tangguh sampai 9 malam, tidak ada masalah,” katanya.

Katanya, tindakan keluar dari dewan kerana Sivakumar tidak membenarkan Raja Ahmad Zainuddin berucap sebagai pembahas pertama.

Tajol Rosli berkata, beliau hanya akan menghadiri persidangan itu pada esok hari iaitu semasa sesi penggulungan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sidang kemudiannya diteruskan dengan wakil Teja memulakan perbahasan.
Setiausaha BN Perak, Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) berkata, wakil-wakil BN hanya akan menyertai semula persidangan pada pagi esok.

Sementara itu ketika ditemui pemberita Sivakumar berkata, beliau hanya mengikut Perkara 12 Perintah Tetap yang menyatakan bahawa mana-mana wakil rakyat yang mula-mula berdiri akan diberikan peluang untuk berucap.

“Saya ikut perintah tetap, siapa bangun dulu, dia akan berucap. Semalam ada 13 wakil rakyat yang berucap, enam wakil rakyat BN diberi peluang. Adakah ia adil? Hari ini saya rancang nak beri kerajaan dulu dan kemudian bagi pembangkang,” katanya.

Beliau juga turut berharap semua wakil rakyat BN menyertai semula persidangan itu. sumber mstar

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda