Tag Archives: debat khas penang

Debat gagal kemuka langkah tangani isu seleweng tanah di Pulau Pinang

Debat bertajuk ‘Kontroversi Isu Tanah di Pulau Pinang’ antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak menyentuh mengenai langkah-langkah yang patut diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.

Koh dalam debat itu berkata tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengenai isu penyelewengan tanah pernah berlaku ketika zaman pentadbiran beliau selama 18 tahun, bermotifkan politik.

Sungguhpun dicabar beberapa kali oleh Lim untuk menjawab dakwaan tertentu mengenai apa yang dipanggil “penipuan tanah” di Pulau Pinang, Koh berkata beberapa kes masih didengar di mahkamah dan beliau enggan mengulas mengenainya kerana ia subjudis.

Menurut Koh, pihaknya hanya boleh memberikan jawapan selepas kes berkenaan selesai didengar oleh mahkamah.

Koh berkata sepanjang 18 tahun, lebih 10,000 fail tanah berjaya diselesaikan.

“Peratusan pencapaian kerajaan BN menyelesaikan fail tanah di Pulau Pinang ialah 99.9 peratus,” katanya.

Sementara itu, Lim mendakwa ada lima kes membabitkan penyelewengan tanah dan berkata pihaknya ingin tahu siapa yang bertanggungjawab untuk mencari kebenaran.

Beliau mendakwa kesilapan kerajaan terdahulu itu hanya merugikan rakyat kerana wang yang terlibat boleh digunakan untuk pembangunan rakyat, terutama bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

Debat anjuran portal Agendadaily itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan NTV7. Pengerusi DBP Datuk Johan Jaafar bertindak sebagai pengantara.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Aziz Deraman bertindak bertanya soalan bagi pihak Koh manakala Editor Politik media internet Malaysian Insider, Wan Hamidi Hamid bagi pihak Lim.

Koh pada sidang akhbar selepas itu berkata berkata pihaknya berpendapat adalah tidak baik untuk mempolitikkan isu-isu mengenai tanah demi kepentingan kerajaan negeri sekarang.

“Saya sebenarnya berhasrat baik di mana saya menasihatkan sebagai satu syarat untuk debat bahawa kita berdebat selepas pendengaran mahkamah selesai tapi beliau (Lim) tidak mahu dengar,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai isu tersebut selepas menyaksikan debat berkenaan. BERNAMA

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda