Tag Archives: EGM

Abdullah minta UMNO bahagian tidak adakan EGM

KUALA LUMPUR 28 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta UMNO bahagian di seluruh negara tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), sebaliknya memfokuskan kepada usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.

Perdana Menteri berkata, perubahan dalam parti boleh dilakukan apabila tiba masa mesyuarat untuk memilih pucuk pimpinan tidak lama lagi.

“Berilah perhatian kepada isu-isu yang menghimpit rakyat.

“Hal parti kita akan bincang apabila tiba masanya, ahli-ahli boleh mainkan peranan dalam perubahan kepimpinan parti,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn di sini petang ini. – sumber Utusan

nota: Presiden UMNO telah membuat permintaan agar UMNO bahagian tidak mengadakan satu mesyuarat luar biasa (EGM). Penulis bersetuju dengan saranan beliau kerana penulis merasakan bahawa tindakan mengadakan EGM ini tidak kena pada masanya. Ini disebabkan perhimpunan/pemilihan agung akan diadakan pada Disember nanti di mana sebelum pemilihan agung ini diadakan, seluruh cawangan dan bahagian akan mengadakan satu persidangan dan seterusnya pemilihan jawatankuasa. Apakah keputusan yang boleh dibuat di dalam EGM jika hanya ia adalah salah satu platform untuk meluahkan perasaan tidak puas hati kepada kepimpinan parti. Penulis berpendapat agar pada pemilihan di peringkat bahagian dan cawangan nanti, ia merupakan platform terbaik bagi ahli-ahli UMNO untuk menyuarakan pendapat masing-masing dengan tidak mencalonkan mana-mana pemimpin yang didapati kurang kualitinya. Tumpuan utama sekarang adalah memperkukuhkan parti dan bukan untuk menjatuhkan parti. Apakah tindakan kita dengan meminta Presiden untuk letak jawatan dapat memperkukuhkan semula parti. Tidak salah sekiranya kita nantikan pemilihan Disember ini untuk menurunkan seseorang itu dari tampuk kepimpinan kerana dengan cara ini ialah lebih melicinkan pentadbiran sesebuah parti mahupun negara. Harus diingat bahawa Presiden UMNO adalah Perdana Menteri Malaysia, maka dengan itu proses utk meminta Pak Lah berundur hendaklah diadun, dan dibuat secara teliti supaya kestabilan negara terjamin.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda