Tag Archives: EZAM MOHD NOR

Pak Lah tolak gesaan Anwar – malaysiakini

Kira-kira empat jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan sidang khas Parlimen sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata: “Tidak perlu.”

Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, sidang tergempar Parlimen tidak perlu diadakan memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang tidak lama lagi.

Dewan Rakyat dijadual bersidang 13 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab perlunya diadakan sidang khas Parlimen kerana Dewan Rakyat akan mula bersidang selepas Aidilfitri.

Kata Abdullah, Anwar boleh membangkitkan apa jua perkara sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.

Pada sidang media pukul 2 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan susana politik termasuk dakwaan kepercayaan ke atas Abdullah sudah terhakis.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan pertama Ketua Umum Pakatan Rakyat itu untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Anwar menjelaskan beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi “bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.”

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

“Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya,” kata beliau. – mstar

nota: keadaan politik kritikal hanya dirasai oleh mereka yang berjanji berbagai tetapi tak dapat ditunaikan. Janji 16 sept dianjak ke tarikh lain. itulah keaddaan yang kritikal kpd mereka yg kini sudah ramai mempersoalkan kredibiliti pemimpin spt DSAI. Kan lebih elok tunggu je PRU yg akan datang. Janganlah disebabkan agenda peribadi tak tercapai, satu negara nak dihuru-harakan.

Pembangkang sudah tentu akan membawa usul “bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.” Ini disebabkan sememangnya peranan itu yg harus dimainkan, Kalau tak nak bangkang, masuk lah kerajaan.

Rakyat semakin hari semakin dibodohkan tak kira oleh BN ataupun PR. Apa yg boleh disimpulkan ialah masing2 kini lebih menumpukan agenda peribadi masing2.Apa salahnya DSAI tunggu utk beberapa tahun lagi dan tak salah juga jika peralihan kuasa dipercepatkan juga.

sumber yg diterina, Mesyuarat MT tadi tidak membincangkan isu kemasukan semula TDM ke UMNO. tak tau kenapa. Mungkin TDM belum serah borang atau MT tak nak bincang. Apa2pun alasannya, proses kemasukan ahli umno haruslah dipercepatkan sebab proses terlalu lama di ambil utk diproses. Sekiranya kemasukan sdr Ezam boleh dicepatkan, kenapa tidak bagi orang lain.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khairy Berundur 16 September Ini Jika…

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mempertaruhkan jawatannya itu jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan persekutuan yang baru sebagaimana dijanjikan 16 September ini.

Sebaliknya, kata Khairy, jika Anwar gagal untuk mengotakan apa yang telah diperkatakan sejak tiga bulan yang lalu, beliau perlu melepaskan jawatan sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Saya akan meletakkan jawatan, saya pertaruh jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda.

“Saya akan meletakkan jawatan pada 16 September…. tapi balasannya, kalau dia (Anwar) tidak bentuk kerajaan, dia perlu letak jawatan,” kata beliau ketika berucap di Bilik Gerakan Pemuda Umno dan Barisan Nasional di Permatang Pasir dekat sini malam tadi.

“Saya minta Anwar letak jawatan… Ini perjanjian gentelmen,” katanya lagi.

Turut berucap pada sesi kempen itu ialah dua bekas orang kuat Anwar iaitu Ezam Mohd Noor dan Datuk S. Nallakaruppan.

Dalam pada itu ketika bercakap kepada wartawan selepas kempen itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau mencabar Anwar supaya bersumpah bagi membersihkan namanya seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak malam tadi.

Kata beliau, kesediaan Najib bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu malam tadi untuk menafikan beliau kenal dan mempunyai kaitan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibuat untuk mencari kebenaran berikutan diserang secara peribadi berulang kali oleh Anwar.

“Soalnya sekarang ini kita semua hendak mencari kebenaran dan Datuk Seri Najib diserang secara peribadi berulang kali oleh Anwar.

“Oleh itu dia rasa terpanggil untuk membersihkan namanya secara Islam,” kata Khairy yang telah berulang kali mencabar Anwar supaya bersumpah.

Banyak pihak telah mencabar Anwar supaya turut bersumpah sebagaimana dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jumaat lalu.

Khairy berkata, Anwar patut melakukan perkara yang sama menurut cara Islam.

“Bagi orang Melayu, jika timbul sebarang keraguan mengenai sesuatu perkara, bersumpah di masjid, itu menandakan satu pendekatan yang serius untuk membela diri,” katanya. – mstar

39 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam sedia lawan Anwar…..di Kulim atau BTR??

Bekas anak buah lawan ketua? Kerusi belum kosong lagi tetapi cabaran sudah menanti untuk disaksikan?

Nampak gaya, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor bersedia untuk menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diadakan pilihan raya kecil di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

“Saya tidak gentar menghadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Ezam menyertai UMNO selepas menghantar borang keanggotaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 28 Mei lalu.

“Pertamanya saya ahli biasa dalam UMNO. Jadi soal pertandingan pilihan raya kecil itu apatah lagi menentang Anwar, baik dijelaskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Tapi saya juga ingin menegaskan dan menjelaskan sekali lagi memang saya bersedia.. saya tidak gentar langsung untuk berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diminta untuk mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu nanti,” katanya.

Ezam merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar, dari tahun 1996 hingga bekas ketuanya itu dipecat daripada kerajaan dan parti pada September 1998.
Beliau keluar daripada PKR dua tahun lalu dan dua bulan yang lalu menyertai Umno.Kelmarin, Anwar yang pernah mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah, melahirkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Bandar Tun Razak.

Selari dengan pengumuman itu, Anwar juga berkata, pihaknya masih yakin akan membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September ini.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau hanya akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya minggu depan. – dari mstar

nota: Pada hemat penulis walaupun sdr ezam sudah bersedia untuk bertanding melawan bekas ketuanya iaitu DSAI, adalah lebih baik sekiranya pilihanraya kecil akan diadakan di salah satu kawasan berkenaan, calon BN hendaklah datang dari kalangan anak tempatan. Janganlah hanya kerana DSAI yang bertanding, maka ezam menjadi lawannya. Penulis percaya para pengundi sama ada di Bandar Tun Razak atau di Kulim pasti bijak untuk mengundi anak tempatan kawasan berkenaan berbanding DSAI yang sememanya bukannya datang dari kedua-dua tempat tersebut. Apa-apa pun, amatlah tidak wajar sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan kerusi MP Bandar Tun Razak semata-mata utk memenuhi nafsu DSAI untuk bertanding seterusnya ingin menjadi PM Malaysia. Tindakan untuk mengosongkan kerusi parlimen dengan sengaja demi DSAI adalah satu tindakan khianat kepada para pengundi.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Sumpah Ezam : Anwar bukan muslim yang baik

dipetik dari mykmu

Sumpah Ezam Mohd Noor, bekas orang kuat Anwar Ibrahim. Malah Ezam juga dikatakan telah mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim bukan seorang Muslim yang baik dan tidak layak sama sekali untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apakah makna yang tersirat di sebalik sumpah Ezam ini? Apakah yang Ezam sembunyikan selama ini tentang Anwar? Apakah selama ini Ezam turut bersubahat menyembunyikan sesuatu yang kotor serta jijik tentang Anwar daripada pengetahuan seluruh rakyat?
“SAYA bersumpah dengan nama Allah dan Rasulullah S.A.W dan dengan berpegang teguh kepada prinsip sebagai seorang Muslimin, saya tidak akan sama sekali membenarkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri…” Deklarasi Ezam Mohd Nor.
Benar Ezam lebih mengerti serta memahami siapa sebenarnya Anwar Ibrahim. Ezam lebih dekat dengan kehidupan politik dan peribadi Anwar Ibrahim. Ezam lebih mengetahui bunga pencak silat politik Anwar malah wajah Anwar Ibrahim yang sedang di jaja merata-rata tempat hari ini akan ada wajah lain di sebaliknya pada kaca mata Ezam seandainya terdedah.

Ezam yang sekian lama menjadi alas kaki Anwar dan akhirnya bangun bertaubat untuk membuktikan kepada khalayak betapa jijiknya Anwar sehingga beliau begitu berani melontarkan pandangan bahawa Anwar bukan seorang muslim yang baik.

Adakah kenyataan Ezam ini ada rasionalnya kerana Anwar dengan imej serta perwatakan Islamnya sedang diterima hebat sebagi penyokong gerakan Islam sejati malah aura keperibadian Islamnya begitu sekali diagungkan oleh PAS sehingga mereka sanggup tunduk dan menjadi pencacai dalam gerakan Pakatan Palsu Rakyat.

Namun sumpah Ezam ini membuktikan ada sesuatu yang Ezam dan Anwar sembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Kejujuran Ezam untuk mendedahkan siapa Anwar sebenarnya adalah dituntut sebelum Anwar melakukan sesuatu yang bakal merosakkan agama, bangsa dan Negara.

Anwar yang sedang menggilai kerusi Perdana Menteri selepas Pak Lah perlu dihalang dengan apa cara sekalipun dan keberanian Ezam untuk mendedahkan `musang berbulu ayam’ ataupun ‘ musang berjanggut’ ini amat sekali dialu-alukan dan Ezam harus menunaikan sumpah itu dari sekarang kerana kelibat Anwar yang sedang menjajakan ranjang kotor landskap politik Negara makin menular.

Kebencian rakyat terhadap Pak Lah tidak seharusnya dijadikan hamparan untuk menukar beliau dengan Pak Lah dan Anwar bukanlah satu-satunya pemimpin `Melayu’ yang diharapkan untuk menjamin kestabilan politik negara ini. Anwar ada sejarahnya tersendiri, Anwar ada keperibadian yang hanya beliau seorang sahaja yang tahu.

Kita melihat Anwar seakan memimpin satu gerakan kepimpinan yang boleh menghancurkan Negara. Setiap bait-bait perkataan yang keluar dari mulutnya hanyalah sekadar umpan mahu memancing sokongan untuk beliau berkuasa. Bahasa badan mampu meruntuhkan keyakinan khalayak kepada kerajaan dan rakyat terpesona dengan hujah pidatonya yang mungkin telah dihafal berlama-lama.

Ezam sudah tidak mempunyai banyak masa untuk menunaikan sumpah tersebut. Ezam ada kemampuan untuk meyakinkan rakyat. Ezam ada kelebihan untuk memberitahu rakyat yang telah sekian lama terpesong ideologi kerana dirasuk oleh Anwar.

Dosa Ezam terhadap UMNO dan rakyat akan terampun seandainya Ezam mula sedar betapa bahayanya Anwar kalau tidak dihalang dari sekarang dan Ezam harus dengan gagah mendedahkan segala-galanya tentang Anwar.

Mendedahkan maksud Anwar bukan Muslim yang baik harus diperjelaskan oleh Ezam agar tidak ada rakyat terus terpesong dengan imej Islam yang sedang mewarnai Anwar hari ini. Kalau Ezam hanya sekadar melontarkan kenyataan semata-mata tanpa apa-apa yang membenarkan segala sumpah beliau tersebut, Ezam juga akan turut ditempelak sebagai seorang pemimpin retorik, sama seperti Anwar Ibarhim.

Ezam di tuntut hari ini untuk menebus apa yang dilakukan sebelum ini agar orang seperti Anwar dapat dilihat oleh masyarakat dari sudut sebenarnya. Arca Islamik yang dipotretnya mampu memesongkan rakyat.  Anwar juga hari ini kelihatan membelakangi orang Melayu hanya untuk mencapai cita-cita yang terbit dari dendam peribadi. Langkah Anwar mampu dipatahkan oleh seorang yang tahu, pernah berkorban untuk Anwar dan faham selok-belok mainan politik Anwar. Ini perlu dilaksanakan dengan segera agar Malaysia terselamat dari Anwar Ibrahim.

85 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam ada pendedahan lagi..

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor mungkin mengetengahkan pendedahan-pendedahan terbaru?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini, yang kembali ke pangkuan Umno lima bulan lalu, tidak menolak kemungkinan ke arah itu -bakal mendedahkan lebih banyak kes salah guna dan rasuah membabitkan Pakatan Rakyat.

Kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS diberi nama Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata Ezam, beliau mempunyai beberapa kes untuk diumumkan tetapi ia akan dilakukan secara teratur sebaik sahaja mendapat bukti-bukti yang kukuh.

“Saya seorang yang serius dengan fakta (bukti). Ya (akan didedahkan), bergantung pada bukti, kita akan mendedahkannya,” kata beliau dalam temu bual khas di sini hari ini.

Selepas kembali Umno, baru-baru ini Ezam mendakwa PKR Selangor telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu.

Sebahagian sumbangan itu kemudian disalurkan ke dalam akaun PKR.

Malah penghujung bulan lalu beliau juga mendedahkan pelantikan adik Anwar Ibrahim, Rusli sebagai penasihat syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ezam memberitahu, pendedahan buat peringkat ini akan ditumpukan ke atas Selangor semata-mata.
Ketika ditanya sejauh mana Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, Ezam berkata, beliau bukan tukang meramal nasib dalam soal itu tetapi mengambil kira perkembangan semasa adalah “sukar bagi Pakatan Rakyat” untuk bertahan.

Kata beliau, kedudukan Pakatan Rakyat juga kemungkinan menjadi tanda tanya selepas tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Beliau juga tidak yakin bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencapai sasaran tersebut.

Anwar kini berhadapan dengan isu dakwaan meliwat bekas pembantu khasnya.

Ketika ditanya apakah mesej yang akan disampaikan jika bertemu Anwar pada bila-bila masa mulai sekarang, Ezam memberitahu: “Saya akan minta beliau menjadi seorang negarawan, menjadi negarawan, dan memiliki sifat-sifat sebagai seorang negarawan.”

Kata beliau: “Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat, seorang pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk negara ini.”

Justeru, tambah Ezam, beliau tidak akan meluangkan masa dan tenaganya untuk mempromosikan Anwar sebagai pemimpin negara ini.

Baru-baru ini beliau menyifatkan Anwar tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula, Ezam memberitahu, Presiden PKR itu tidak relevan dalam soal kepercayaan kepimpinan.

“Teras ini berkaitan dengan Keadilan dan Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Ezam berkhidmat dengan Anwar sejak 1991 dan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya lima tahun kemudian.

Beliau dipecat daripada Umno pada 1998 bersama Anwar.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Antara keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO

1. Ezam diterima masuk UMNO, tetapi tidak boleh bertanding

KUALA LUMPUR 26 Jun – Majlis Tertinggi UMNO hari ini membuat keputusan menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd. Nor sebagai ahli parti itu.

Tetapi beliau tidak dibenarkan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti.

Mohamad Ezam ketika dihubungi berkata, beliau menerima keputusan Majlis Tertinggi itu dengan hati terbuka.

“Sememangnya hasrat saya sertai UMNO bukan untuk bertanding sebarang jawatan. Oleh itu, saya terima keputusan itu dengan hati yang terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

2. Isa Samad boleh bertanding

KUALA LUMPUR 26 Jun – Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Samad yang tamat tempoh penggantungan keahliannya 23 Jun lalu, dibenarkan bertanding pada pemilihan parti Disember ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu layak merebut sebarang jawatan jika beliau telah menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.

“Majlis Tertinggi (MT) sudah melepaskan beliau daripada hukuman penggantungan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut di PWTC hari ini.

Ditanya sama ada jawatan Naib Presiden yang pernah dipegang oleh Mohd. Isa dikembalikan kepada beliau, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat tersebut.

sumber utusan

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Adik Anwar Letak Jawatan

sumber malaysiakini

Ahli keluarga terdekat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan jawatannya secara mengejut daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat besar milik kerajaan Selangor, semalam.

Saudara kandung Anwar, yang tidak dinamakan, menyerahkan surat meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam, kata sumber-sumber PKR.

Tindakan adiknya dibuat setelah ditegur oleh penasihat PKR itu bagi mengelakkan tugasnya di syarikat itu “mencemarkan imej” beliau dan parti, kata mereka.

anwar ibrahim pc 120508 01Sumber-sumber itu memberitahu Malaysiakini hari ini, Anwar tidak tahu-menahu mengenai pelantikan adiknya itu sehinggalah beberapa hari lalu.

Selain memaksa adiknya meninggalkan tugasnya di KDEB, menurut sumber-sumber lagi, Anwar juga memaklumkan perkara itu kepada menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka bagaimanapun tidak mengetahui jawatan atau tugas sebenar adik Anwar di syarikat senaraian awam itu.

“Beliau diambil bekerja dan tidak salah untuk bekerja (di KDEB) tetapi Anwar tidak mahu ia merosakkan imej parti,” kata sumber-sumber sewaktu diminta mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas setiausaha politik Anwar itu berkata pelantikan saudara kandung mantan timbalan perdana menteri itu dibuat “beberapa minggu, bulan lalu”.

“Apakah betul ada ahli keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat KDEB?

“Saya mahu penjelasan mereka sebelum saya membuat kenyataan lanjut,” kata bekas ketua Angkatan Muda PKR itu kepada media selepas ceramah ‘Sirih Pulang ke Gagang’ di Sungai Besi malam tadi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar.

Difahamkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat lembaga pengarah dan kemungkinan mengambil masa yang panjang.

nota: setelah pendedahan dibuat oleh Ezam akhirnya terbongkar juga rahsia licik DSAI. rujuk posting asal di sini

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam: DEB bukan punca rasuah

sumber malaysiakini.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan merupakan punca rasuah, kata  bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor.

Di Indonesia, kata Ezam, tidak ada DEB tetapi lebih banyak berlakunya rasuah.

Malah, katanya, Menteri Besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri dilahirkan dari DEB.

‘Jika tidak ada DEB, tidak ada PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan Guthrie (yang pernah diterajui oleh Khalid sebelum ini),” katanya dalam ceramah anjuran Umno bahagian Bandar Tun Razak malam tadi.

Menurutnya, mereka yang berkata DEB sebagai punca rasuah, adalah satu pengkhianatan kepada bangsa.

Beliau mengulangi dakwaannya bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghapuskan teras Melayu dalam parti tersebut.

Ezam berkata, selepas Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004, PKR yang berteraskan Melayu sudah tidak kedengaran lagi.

“PKR adalah parti berbilang kaum tetapi berasaskan bangsa Melayu tetapi selepas beberapa tahun Anwar dibebas, beliau tidak lagi menyebut lagi perkara tersebut.

“Ini pengkhianatan. Orang yang biadap dan tidak bertamadun yang melenyapkan asas-asas perjuangan parti, ” katanya.

nota: penulis bersetuju dengan pendapat Ezam yang mengatakan DEB bukan punca rasuah. Punca rasuah sebenarnya adalah datang dari manusia yang tamakkan harta dan mengambil kesempatan di dalam perlaksanaan DEB ini. Tidak dinafikan DEB ini bukanlah sesuatu yang sangat semput tetapi ia tidak boleh dipertikaikan kerana DEB ini juga lahir lah usahawan Bumiputra yang berjaya pada hari ini. Rasuah bukannya lahir akibat DEB tetapi ia terhasil akibat sifat tamak manusia yang mengejar keuntungan dunia semata-mata. Rasuah terdapat di mana-mana negara di dunia..walaupun ada negara yang tahap rasuahnya agak rendah seperti di Singapura..tetapi ia tetap berlaku. Terdapat beberapa ‘mindset’ si penerima rasuah ini dan yang paling popular ialah ‘mindset’ “alah kalau aku tak amik..orang atas yang amik”.

Untuk menggempur keluar rasuah ini di dalam diri seseorang amat sukar dilakukan. Ini kerana mindset individu tersebut yang rata-rata sudah sebati dengan mindset di atas. Rasuah amat sukar dibendung tetapi boleh dikurangkan secara berperingkat. Yang peliknya kebanyakan isu rasuah di Malaysia ini yang dilaporkan, dihebohkan hanya lah melibatkan orang Melayu. Adakah kaum-kaum lain bebas dari rasuah?? Persoalan ini bukanlah untuk mengundang kontroversi atau sebagainya….tetapi terimalah hakikat bahawa rasuah yang dihebohkan kebanyakannya melibatkan orang Melayu.

Mungkin disebabkan itu rating rasuah Malaysia agak tinggi berbanding Singapura yang rata-rata jawatan tinggi di dalam kerajaan mereka adalah dari bangsa cina. Penulis teringat satu kisah mengenai si penjual ketam. Didatangi kepadanya seorang pembeli yang ingin membeli 2 kilo ketam. Lalu di tanya si penjual..”En nak ketam cina atau ketam melayu”…pembeli agak hairan dengan jenis ketam tersebut lalu bertanya apa beza kedua2 ketam tersebut. “En, ini ketam cina…ini ketam kalau satu ekor mau keluar dari baldi….semua ketam akan tolong tolak naik atas…..ini ketam melayu….kalau satu ekor mau naik atas..semua ketam kasi tolong tarik dia turun bawah..” demikianlah beza ketam melayu dan ketam cina.

Bangsa lain akan membantu sesama mereka asalkan bangsa mereka berjaya…segala pekung disorok setebal yang boleh agar bangsa mereka kelihatan sentiasa kuat…..

berbeza dengan bangsa melayu yang penuh dengan perasaan hasad dengki….contoh terbaik ialah pada PRU12 yang lepas…berapa ramai calon Melayu tumbang akibat mentaliti “argh..biarkan Pak Lah dan Umno rasa..”….bukan penulis ingin mempertahankan Pak Lah…tetapi begitulah rendah lah mentaliti orang Melayu hingga bertepuk tangan melihat tumbangnya calon melayu seterusnya negeri2 yang dikuasai oleh Melayu seperti Selangor dan Perak kepada pemerintahan boneka cina di negeri terbabit.

Akhirkata ayuh lah saudara sebangsaku…buang lah perasaan hasad…amarah..demi memperkukuhkan kedudukan orang Melayu.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam Mendedah Lagi – “Ahli keluarga Anwar dilantik penasihat KDEB”

sumber KLpos: Selepas menggegarkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan dakwaan bahawa PKR mengutip wang dari syarikat swasta dan memasukkannya ke dalam akuan parti, semalam, bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor membuat satu lagi dakwaan; ahli keluarga Anwar dilantik jadi penasihat di sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menurut Ezam, dalam ceramahnya di pentas UMNO Bandar Tun Razak, “Saya mahu KDEB [Kumpulan Darul Ehsan Berhad] jelaskan, apakah salah seorang daripada ahli keluarga Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai penasihat kepada syarikat tersebut…?”

KDEB merupakan antara anak syarikat kerajaan negeri yang mempunyai ‘duit, dan sebelum ini diarahkan menjadi ‘tukang bayar bil percuma’ rakyat Selangor kepada Syabas.

Tambah Ezam lagi, PKR di Selangor tidak mempercayai rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kata Ezam “Jelas terbukti bagaimana pimpinan PKR tidak pernah mempercayai rakan Pakatan Rakyat apabila Azmin Ali pada hari ini di Parlimen telah menuduh Dato Dr Hassan Ali yang memberikan maklumat kepada saya setelah pendedahan di buat keatas kepincangan pentadbiran PKR Selangor…”

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Keputusan Ezam Masuk UMNO dijangka dibuat hari ini…

KUALA LUMPUR 25 Jun – Keputusan rasmi kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor ke dalam UMNO dijangka diketahui esok.

Menurut Mohamad Ezam, Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat esok dijangka membuat keputusan sama ada beliau diterima semula ke dalam UMNO atau sebaliknya.

“Saya menjangkakan kemasukan saya semula ke dalam UMNO akan disambut baik oleh ahli UMNO di semua peringkat.

“Saya yakin dengan kemasukan semula ke dalam UMNO dapat menguatkan lagi perjuangan parti kerana saya mempunyai asas perjuangan yang sama seperti UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri ceramah umum anjuran Pemuda UMNO bahagian Bandar Tun Razak di sini malam ini.

Pada 28 Mei lalu, Mohamad Ezam menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam turut mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti Disember ini.

“Matlamat utama saya untuk menyertai UMNO semula bagi memperjuangkan apa yang sedang diperjuangkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

sumber utusan

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda