Tag Archives: fuel subsidi

Rakyat anggap harga baru petrol, diesel membebankan

KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan diminta mengkaji semula harga baru petrol dan diesel yang masing-masing naik 78 sen dan RM1 seliter kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Saranan supaya kenaikan itu disemak kembali dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan menjadi bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui hari ini menghargai langkah kerajaan terus memberikan subsidi kepada mereka berikutan kenaikan harga bahan api itu tetapi berharap harganya diturunkan sedikit kerana kenaikan kali ini terlalu tinggi.

Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri termasuk di Kedah, Johor, Pahang dan Pulau Pinang mendapati orang ramai mengakui kenaikan harga barangan akibat penstrukturan semula subsidi minyak tidak dapat dielakkan.

Kenaikan harga minyak, menurut mereka, akan menyebabkan kos yang ditanggung oleh pelbagai pihak khususnya peniaga meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan.

Seorang peniaga kedai runcit di Johor Bahru, Tan Lian Chu, 40, berkata, kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada pengguna, peruncit dan pemborong yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Bahan mentah selalunya tidak menentukan harga kerana ia sekejap naik, sekejap turun, tetapi apabila harga petrol naik, pasti akan berlaku kenaikan harga,” katanya.

nota: penulis bersetuju sekiranya kerajaan dapat menimbang semula kadar kenaikan sebanyak 78sen semalam walaupun pendirian penulis tetap dengan penghapusan subsidi secara total. Ini kerana tempoh yang dikuatkuasakan kenaikan harga ini terlalu singkat berbanding cakap-cakap awal yang mengatakan harga minyak hanya akan naik pada bulan September nanti.Penarikan subsidi minyak ini haruslah dilakukan secara berperingkat supaya rakyat dapat menyiapkan diri mereka apabila subsidi minyak ditarik sepenuhnya. Sebaliknya sebelum menaikkan harga minyak, pihak kerajaan seharusnya memperkemaskan lagi perkhidmatan awam supaya beban kenaikan kurang dirasai oleh rakyat. Diharap dengan penstrukturan semula subsidi baru ini di mana harga minyak akan di’review’ setiap bulan, dapat memastikan kadar harga minyak di Malaysia tetapi murah berbanding negara lain. Kerajaan juga diharap dapat segera menurunkan harga jualan minyak kepada rakyat sekiranya terdapat penurunan harga pasaran minyak global.

Kos Petronas meningkat lebih 200%, tidak ramai peduli – Hassan

KUALA LUMPUR 5 Jun – Petronas, syarikat minyak terkemuka negara, sedang berdepan dengan masalah peningkatan kos carigali minyak yang melambung tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sejak tiga tahun lalu, kos Petronas meningkat lebih 200 peratus tetapi tidak ramai orang peduli kerana mereka lebih tertumpu kepada isu kenaikan harga minyak.

Dalam satu taklimat media di sini hari ini, beliau berkata, syarikat minyak itu melabur pada kos yang tinggi selain bilangan telaga minyak semakin berkurangan.

Mohd. Hassan menjelaskan: ‘‘Petronas kini terpaksa menerokai telaga-telaga minyak kecil yang memberikan hasil lima atau 10 juta tong dan bukan lagi telaga-telaga yang menghasilkan 100 juta tong seperti satu ketika dahulu.’’

Mohd. Hassan berkata, langkah memajukan telaga minyak kecil melibatkan kos yang sangat tinggi. Begitu juga apabila Petronas bergerak untuk menerokai kawasan yang jauh dari pantai.

Beliau berkata, kos untuk melakukan pengerudian telaga minyak di kawasan cetek kini mencecah AS$7 juta berbanding AS$3 juta sebelumnya dengan kos berkaitan carigali seperti penyewaan kapal terus meningkat.

Beliau berkata, Petronas juga kini menerokai kawasan laut dalam dan kedalaman yang dikenali sebagai ultra deep dengan menanggung kos yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh, kata Mohd. Hassan, Exxon Mobil hanya mampu meraih AS$40 bilion pada tahun 2006, peningkatan hanya AS$1 bilion meskipun terdapat peningkatan harga minyak dunia yang agak tinggi.

“(Sedangkan) ia adalah syarikat minyak terbesar di dunia, paling cekap dan diuruskan pada tahap paling baik. Margin hasil perolehannya telah terhakis,’’ jelas beliau.

Mohd. Hassan berkata, keadaan itu menyebabkan Petronas terpaksa menerokai kawasan ‘ultra deep’ yang mana terma perjanjian perkongsian lebih berpihak atau menguntungkan pihak asing kerana kos dan keperluan teknologi yang tinggi.

“Medan Kikeh yang merupakan medan telaga minyak laut dalam pertama negara terletak di luar pesisir Sabah yang memiliki kedalaman kira-kira 1,300 meter dan medan Gemusut di luar pesisir Sabah yang sedang diterokai memiliki kedalaman kira-kira 1,800 meter,’’ kata beliau.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda